Tarian Singa (舞狮, wǔshī) adalah tarian tradisi dalam kebudayaan Cina dan kebudayaan kaum Asia lain yang mana ia adalah tarian meniru pergerakan singa dengan memakai kostum sebagai pembawa tuah. Tarian Singa dipersembahkan sempena perayaan tahun baru Cina dan festival kaum Cina lain. Tarian ini juga dipersembahkan sempena peristiwa pembukaan bisnes baharu, sambutan istimewa, perkahwinan atau menyambut tetamu khas mengikut tradisi masyarakat Cina.

Ada 2 jenis Tarian Singa yang utama: Singa Utara dan Singa Selatan. Kedua-dua tarian berasal dari China namun di seluruh dunia dan Asia Tenggara khasnya, Tarian Singa Selatan lebih dikenali kerana diaspora masyarakat China selatan akibat sejarah yang panjang berhubung dengan Asia Tenggara. Selain kedua-dua jenis tarian ini, ada tarian versi lain ditemui di Jepun, Korea, Tibet dan Vietnam. Tarian Singa juga wujud dalam kebudayaan Melayu Indonesia khasnya Bali, tetapi tariannya agak berlainan dengan yang asal dan dinamakan sebagai Singa Barong.

Sebenarnya tarian dengan melakonkan watak haiwan telah lama bertapak di China sejak zaman silam dengan catatan dari teks Shujing berusia 2,000 tahun, berkenaan tarian memakai topeng dan berkelakuan sebagai haiwan buas dan burung lagenda terkenal seluruh dunia akan kelahiran semula, Pheonix. Dalam sumber dinasti Qing, tarian ini dipersembahkan sebagai upacara menghalau hantu dengan memakai topeng berbulu beruang. Manakala dinasti Han pula mencatatkan pendomin (pelakon bisu) menari dengan berwatakan sebagai ikan, naga dan phoenix.

Tarian Singa berasal dari luar China seperti Empayar Parsi dan diperkenalkan pada kurun ke-3 Masihi. Menurut Laurence Picken iaitu pakar kaji muzik tradisional, perkataan singa yang berbunyi shi (獅) berasal dari kata pinjaman dari Parsi iaitu šer. Penggunaan kata shizi yang juga bermaksud singa pertama kali diguna pada zaman dinasti Han ketika menjalin hubungan dengan Asia Tengah dan kerajaan Parsi, di mana wakil Parsi membawa seekor singa masuk ke China. Penyerapan Tarian Singa dalam masyarakat berlaku di zaman dinasti Tang, sehingga para penyair dan penulis mengenali Tarian Singa sebagai tarian asing. Dalam teks Utara Wei bertajuk Description of Buddhist Tempels in Luoyang, upacara keramaian yang membawa patung Buddha dipimpin oleh para penari Tarian Singa bagi menghalau semangat jahat. Di sini dapat dilihat bahawa Tarian Singa telah diserap masuk dalam keagamaan Buddhism.

Banyak versi Tarian Singa sejak diperkenalkan dan dipopularkan di zaman dinasti Tang. Antaranya adalah, Tarian Singa yang dijelaskan oleh Bai Juyi, penyair yang menulis puisi “Western Liang Arts” (西凉伎), di mana tarian dipersembahkan oleh dua orang penari Hu (bermaksud bukan orang Han dan dari Asia Tengah) yang memakai kostum singa yang kepalanya diperbuat dari kayu, ekor dari sutera, dan badan yang berbulu. Mata singa disadur emas dan giginya dicat perak, bersama telinga yang boleh digerakkan seperti kostum Tarian Singa kini. Pada abad ke-8 Masihi, Tarian Singa ini tiba di Jepun. Sejak zaman dinasti Song, Tarian Singa biasa dipersembahkan semasa festival dan dikenali sebagai Tarian Singa Utara di zaman dinasti Song Selatan.

GAMBAR 1: Illustrasi Jepun mengenai gambaran tarian singa dinasti Tang mengikut penerangan Bai Juyi.

Tarian Singa Selatan kemudian dikembangkan di selatan China dari daerah Guangdong. Ada beberapa kisah mengaitkan asal-usul tarian singa ini. Antaranya, tarian singa ini asalnya adalah tarian festival dari penduduk kampung atas kejayaan mereka menghalau makhluk mistik bernama Nian. Kisah lain adalah Maharaja Qianlong bermimpi tentang makhluk pembawa tuah sepanjang pengembaraan ke selatan China, kemudian baginda mengarahkan orangnya untuk mincipta kostum seperti dalam mimpinya dan gunakannya dalam festival akan datang.

Kini, ada 7 jenis Tarian Singa di seluruh Asia, iaitu:

Tarian Singa Utara

Tarian ini dipersembahan dengan tarian berpasangan. Topeng kepala singa diperbuat dari kayu dan dicat emas, memakai kostum badan singa yang berbulu jingga-kekuningan, dan reben merah diikat pada kepala singa, simbolik kepada singa jantan manakala reben hijau simbolik kepada singa betina.

Penari tarian Singa Utara perlu perwatakan seperti Fu Dogs atau singa penjaga istana dalam mitos diraja. Penari juga perlu mahir dalam akrobatik, ada stunt dan mahir mengimbang di atas bola gergasi. Tarian ini biasanya dipersembahkan sebagai satu keluarga. Ada pasangan ‘singa dewasa’ bersama sepasang ‘anak singa’. Para penari singa akan dipimpin oleh seorang penari yang berwatakan sebagai ‘pewira’ dengan memegang objek sfera.

Daerah China yang mengamalkan tarian ini adalah Hebei dan Ningbo. Ada pelbagai persembahan tarian Singa Utara seperti Tower Lion Dance di mana para penari singa akan memanjat menara yang dibina menggunakan kayu.

Tarian Singa Selatan

Tarian yang dinamakan juga sebagai tarian Singa Kantonis berasal dari Guangdong. Inilah tarian yang wujud dan diamalkan dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia. Kostum singa Selatan mempunyai tanduk tunggal, seolah-olah menyerupai makhluk mitos kebudayaan Cina bernama Nian. Kepala singa biasanya, secara tradisi diperbuat menggunakan papier-mâché menutupi rangka bamboo membentuk kepala singa, dicat dan dihias menggunakan bulu. Badan singa pula diperbuat dengan kain tahan lasak dihiasi bulu.

Kini, rangka kepala singa diperbuat dari aluminium menggantikan bamboo. Malah perhiasan kostum tarian singa kini lebih menyerlah dengan menambah perhiasan kertas dan sticker pantulan. Ada pelbagai jenis tarian singa ini namun yang paling utama ada dua jenis tarian: gaya Fo Shan dan He Shan. Perhiasan pada kostum singa juga berbeza mengikut gaya tarian.

Tarian Singa Vietnam

Orang Vietnam mengenali Tarian Singa sebagai Tarian Unicorn (múa lân). Tarian Singa Vietnam sememangnya banyak pengaruh dari Tarian Singa Selatan namun ditambah dengan unsur budaya tempatan. Tarian ini biasanya dipersembahkan dalam festival tradisi seperti Tahun Baru Vietnam dan festival pertengahan musim luruh. Tarian unicorn juga dipersembahkan bersama teman penari bernama Ông Địa atau semangat Bumi, digambarkan sebagai lelaki perut besar, botak, punya senyuman melebar dan memegang kipas daun.

Menurut kepercayaan, semangat baik mempunyai kuasa untuk menyeru unicorn yang membawa tuah. Sepanjang tarian berlangsung, semangat baik meluaskan kawasan di hadapannya bagi memberi laluan kepada unicorn. Kehadiran Ông Địa dalam tarian menambahkan lagi keceriaan dalam festival tarian Unicorn.

Tarian Singa Jepun

Jepun mengenali tarian singa sebagai shishi-mai (獅子舞). Ia diperkenalkan sejak dinasti Tang dan menjadikan tarian singa sebagai persembahan untuk sambutan kelahiran Buddha. Tarian singa pertama dipersembahkan di Jepun direkodkan pada tahun 752 di Nara. Tarian ini biasa dipersembahkan semasa tahun baru bagi membawa tuah dan menghalau semangat jahat. Persembahan yang diiringi muzik seruling dan dram, penari tarian singa akan datang dan mengigit kepala seseorang sebagai cara memberi tuah kepada orang yang digigit. Di Okinawa, wujud tarian singa namun ia berkait dengan lagenda makhluk Shisha. Tarian, kostum, dan perwatakan berbeza dengan watak Shishi di tanah besar.

Ada 9000 jenis tarian singa Jepun di seluruh negara mengikut budaya daerah masing-masing. Dalam festival ajaran Shinto, tarian singa dipersembahkan kerana ia sebahagian dari tarian Kagura. Kostum singa Jepun diperbuat dari kayu, kepala yang dikilatkan bernama shishi-gashira. Tarian ini boleh dilakukan perseorangan atau berduet. Tarian perseorangan biasa dipersembahkan di Timur Jepun. Dalam perhiasan kepala singa, ia berbeza mengikut budaya daerah. Kepala yang bertanduk digambarkan sebagai rusa (shika). Shishi yang ditulis dengan karakter Kanji berbeza di atas kepala boleh bermaksud raksasa, rusa atau khinzir hutan, asalkan kata shishi tidak lari dari maknanya iaitu haiwan berkaki empat.

Tarian Singa Korea

Di Korea, tarian singa dipanggil sebagai “Sanye”, direkodkan dalam teks sejarah Samguk Sagi , salah satu puisi dari kerajaan Silla yang ditulis oleh Choe Chiwon. Kata Sanye juga pernah direkodkan oleh Raja Jinheung di waktu pemerintahannya, kurun ke-6 Masihi dalam lagu “The Lion’s Talent” yang berkemungkinan merujuk kepada tarian singa. Ada 2 tarian singa tradisional yang masih terpelihara sehingga kini, iaitu saja-noreum, dipersembahkan dalam bentuk penghalauan hantu dan sajach’um, dipersembahkan dalam bentuk hiburan.

Tarian singa dipraktikkan dalam upacara menghalau hantu bermula dalam tahun baru di zaman dinasti Goryeo. Tarian singa Korea yang terkenal adalah Bukcheong sajanoreum atau tarian singa Bukcheong. Penari membawa topeng kepala yang mana muka singa dilukis dan memakai kostum bulu perang bersama penari lain. Penari diiringi lagu yang dimainkan dari dram kembar, dram berbentuk jam pasir, gong dan seruling bamboo. Tarian itu berlangsung setiap malam ke-15 di tahun baru, di mana para penari menjenguk rumah ke rumah di kawasan Bukcheong bagi memberi tuah dan menghalau semangat jahat untuk kesejahteraan di tahun baru. Dipercayai jika kanak-kanak duduk di belakang ‘singa’ ketika persembahan berlangsung, dia dikurniakan kesihatan baik dan umur yang panjang.

Tarian Singa Tibet


Di kawasan Himalaya dan Tibet, masyarakat sana mempunyai Tarian Singa Salji. Tarian ini berasal dari kalangan orang Tibet juga yang melakukan diaspora dari utara India dan Nepal serta Uttar Pradesh dan Ladakh.

Tarian Singa Salji adalah tarian popular dalam kalangan masyarakat Tibet dan dipersembahkan semasa festival tarian dan sambutan tahun baru. ‘Singa salji’ yang berkostum bulu putih mewakili pergunungan salji dan glasier yang wujud di Tibet. Ia melambangkan tuah selain perlambangan lain seperti kuasa, keberanian dan kegembiraan. Sejarah bagaimana tarian singa wujud di Tibet adalah panjang tetapi sesetengah versi sejarah mengatakan tarian ini dipengaruhi oleh tarian singa China yang dibawa oleh masyarakat dari sempadan Sino-Tibetan. Tarian singa salji boleh dipersembahkan dalam bentuk hiburan atau untuk tujuan keagamaan oleh para sami.

Tarian Singa Indonesia

Indonesia mengenali tarian singa sebagai Barongsai, tarian yang biasa kaum Cina Indonesia persembahkan sempena Imlek (tahun baru Cina). Kemudian orang Indonesia mencipta tarian singa yang sarat dengan budaya mereka. Tarian singa yang tiada hubungkait dengan budaya China pernah dipersembahkan di Bali dan Jawa.

Di Bali, tarian singa mereka digelar Barong. Mengikut kepercayaan orang Bali beragama Hindu, Barong adalah raja kepada semangat baik dan musuh kepada syaitan iaitu Ratu Rangda. Di Jawa, Reog Ponorogo nama tarian singanya.

Reog Ponorogo dipersembahkan semasa perayaan Aidilfitri atau festival hari kebangsaan. Penari perseorangan bernama warok membawa topeng singa dengan berat 30 – 40 kg menggunakan giginya. Warok mesti seorang yang gagah membawa topeng dan mengangkat seorang remaja di atas kepalanya sehingga berat ditanggung sebanyak 100 kg. Dengan topeng singa sepanjang 2.5 meter, berkulit harimau atau harimau bintang, dan dihiasi dengan bulu burung merak menjadikan topeng itu diiktiraf sebagai topeng paling besar di dunia.

RUJUKAN:

  1. Benito Ortolani (1995).The Japanese Theatre: From Shamanistic Ritual to Contemporary Pluralism. Princeton University Press. pp. 26–27
  2. “Chinese Lion Dance Banned in Indonesia’s Aceh”.Jakarta Globe. December 21, 2009.
  3. Fan Pen Li Che (2007).Chinese Shadow Theatre: History, Popular Religion, and Women Warriors. McGill-Queen’s University Press. p. 64.
  4. “Hidden Meanings In the Southern Cantonese Lion Dance Costume”.Chinese Lion Dancers. Archived from the original on 28 August 2011.
  5. Keith Pratt; Richard Rutt, eds. (1999).Korea: A Historical and Cultural Dictionary. Routledge. p. 271.
  6. Laurence E. R. Picken (1984).Music for a Lion Dance of the Song Dynasty. Musica Asiatica: volume 4. Cambridge University Press. p. 201.
  7. Marianne Hulsbosch, Elizabeth Bedford, Martha Chaiklin, eds. (2010).Asian Material Culture. Amsterdam University Press. p. 117.
  8. Wang Kefen (1985).The History of Chinese Dance. China Books & Periodicals.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.