Pokok Krismas merupakan sebatang pokok malar hijau yang dihiasi dengan lampu-lampu dan pelbagai perhiasan yang menjadikan ia antara elemen penting bagi Perayaan Hari Natal. Pokok ini dijadikan sebagai perhiasan dalaman dan luaran sesebuah kawasan. Mengenai jenis-jenis pokok Krismas, pokok pain dan pokok fir, sering menjadi pilihan utama. Pokok ini, ada yang ditebang, dipasu dan ada juga diperbuat dari pokok buatan.

Perayaan Hari Natal mempunyai hubungan yang kuat dengan sejarah silam dan fenomena alam. Di bahagian Atmosfera Utara Bumi, hari yang paling sekejap dan malam yang terpanjang, jatuh pada tanggal 21 Disember atau 22 Disember dan fenomena ini digelar sebagai solstis musim sejuk. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, solstis merupakan waktu ketika Matahari berada paling jauh ke selatan atau ke utara, dari Khatulistiwa.

Kebanyakan masyarakat purba percaya bahawa matahari ialah dewa dan musim sejuk yang sering tiba pada setiap tahun, merupakan petanda bahawa dewa mereka itu, sedang sakit dan lemah. Bagi mereka, tujuan meraikan solstis ini kerana solstis membawa maksud bahawa dewa mereka, sudah mula beransur baik.

Masyarakat Mesir Purba menyembah dewa matahari mereka iaitu Ra. Semasa solstis berlaku, peristiwa ini merujuk kepada Ra yang semakin pulih dari sakitnya. Setibanya saat ini, masyarakat Mesir Purba mula memenuhkan ruang-ruang perumahan mereka dengan pokok-pokok sawit yang menghijau. Hal ini merupakan simbolik terhadap sebuah kejayaan, iaitu hidup setelah mati.

Bagi masyarakat awal  Rom pula, solstis ini diraikan dengan sebuah perayaan bernama Saturnalia, yang menghormati Saturn, dewa pertanian. Mereka tahu dan faham bahawa solstis akan mengembalikan kehijauan ladang-ladang dan kebun-kebun mereka.

Bagi memperingati peristiwa ini, masyarakat ini telah menghias rumah-rumah dan kuil-kuil mereka dengan dahan-dahan yang malar hijau. Di bahagian Utara Eropah pula, golongan paderi Celt Purba, telah menghiasi kuil-kuil mereka dengan dahan-dahan hijau sebagai simbol kehidupan yang abadi.

Konsep Alam Semesta

Bagi masyarakat Parsi, Perayaan Hari Natal ini ada persamaannya dengan sebuah tradisi perayaan mereka, iaitu Shab-e Yalda. Shab-e Yalda bermaksud “Malam Kelahiran”, yang juga dikenal sebagai “Kelahiran Mithra”.

Perayaan ini disambut setiap 20 Disember atau 21 Disember setiap tahun-menyamai tarikh berlakunya solstis musim sejuk. Konsep pokok Krismas mempunyai identiti yang sama dengan konsep pokok Yalda yang diraikan oleh masyarakat Parsi. Sehingga hari ini, Yalda masih lagi disambut oleh anak-anak keturunan mereka di seluruh dunia.

Bidang sains dalam kehidupan seharian masyarakat ini, bukanlah suatu yang asing. Astronomi merupakan salah satu cabang sains yang tertua dalam ketamadunan Parsi. Bagi mereka, pokok Yalda merupakan pokok yang suci. Mereka hias pokok tersebut dengan pelbagai perhiasan dan diselitkan juga elemen keagamaan, sejarah dan falsafah alam semesta terhadapnya.

Pokok Yalda dihias kerana pokok ini melambangkan sebuah sistem suria. Pada puncak pokok ini, mewakili Matahari manakala di bahagian bawahnya pula, dihiasi dengan pelbagai perhiasan, yang mewakili planet-planet dan bintang-bintang di angkasa. Mereka juga meletakkan dua reben emas atau perak pada pokok tersebut untuk menggambarkan ia sebagai Bima Sakti.

Tuntutan Kewujudan Pokok Krismas Pertama

Terdapat dua buah negara yang sering berbalah mengenai isu ini. Kedua-dua negara tersebut ialah Latvia dan Estonia. Masing-masing mendakwa bahawa di negara merekalah, tempat wujudnya pokok Krismas yang pertama. Latvia telah mengenal pasti bahawa tradisi pokok Krismas ini telah pun ada pada tahun 1510.

Terdapat seorang ahli persatuan saudagar, The House of the Black Heads  membawa sebatang pokok ke bandar mereka dan menghias cantik pokok tersebut, sebelum pokok itu terbakar. Sementara itu juga, Estonia telah menyanggah dakwaan tersebut, dengan mengatakan bahawa festival yang sama juga telah di anjurkan oleh persatuan yang sama, di pusat bandar Tallinn pada 1441.

Terdapat ahli sejarawan yang meragui kedua-dua dakwaan tersebut. Gustavs Strenga (2016) dari National Library of Latvia di Riga, telah mendakwa bahawa perayaan persatuan tersebut, tiada kaitan langsung dengan Hari Natal. Namun begitu, perkara ini tiadalah dapat menghentikan pertelingkahan sesama mereka. Info tambahan, terdapat sebuah plak yang telah dibina bagi memperingati tempat letaknya, pokok Krismas pertama tersebut di Town Hall Square, Riga.

Walau bagaimanapun, simbolik pokok Krismas ini mempunyai asal-usulnya yang jauh lebih awal, iaitu seawal abad ke 600 Sebelum Masihi. Simbolik ini terkait dengan dewa Matahari, Mithra, dalam masyarakat Parsi. Gambar berikut merupakan relief yang terukir pada dinding Persepolis. Salah satu adat istiadat telah dilaksanakan di ibu kota Empayar Achaemenid ini, menggambarkan Mithra dan sebatang pokok yang malar hijau.

Tuntasnya, tumbuhan juga memainkan peranan penting dalam pembinaan budaya dan ketamadunan sesebuah bangsa. Sebarang usaha pemeliharaan dan perlaksanan sesebuah tradisi, menambah jangka hayatnya untuk kekal relevan walau berubah norma, pegangan dan pandangan sesebuah bangsa terhadap tradisinya sendiri.

RUJUKAN:

History.com Editors. (2020, December 2). History of Christmas Trees. HISTORY.

Why do we have Christmas trees? The surprising history behind this holiday tradition. (2020, December 18). Travel.

Hudiburgh, M. (2008). Christmas is an old Tradition from Persian/Iran. Academia.

Shab-e Yalda, the celebration of the longest night of the year. (2020, January 18). Eavar Travel.

Holloway, A. (2014, December 22). Christmas tree has its roots in ancient customs. Ancient Origins.

The Editors of Encyclopaedia Britannica. (2020). Christmas tree | Tradition, History, & Facts. Encyclopedia Britannica.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pena, wadah intelek agama, bangsa dan watan.

Comments are closed.