Dahulu, orang Kadazan Dusun yang merupakan orang asal utara pulau Borneo mengamalkan ajaran pagan, ajaran di mana mereka percaya akan sesuatu yang berkuasa tanpa sebarang bentuk, membimbing kehidupan mereka. Yang maha kuasa itu orang Kadazan Dusun panggil sebagai Kinorohingan.

Pada suatu ketika, masyarakat Kadazan Dusun mengalami bencana kebuluran. Bekalan makanan yang mereka simpan telah habis dan tiada lagi haiwan buruan di kawasan buruan mereka.

Kinorohingan dan isterinya bernama Suminundu merasa kasihan akan kaum Kadazan Dusun yang kebuluran. Bagi menamatkan kebuluran tersebut, Kinorohingan terpaksa mengorbankan satu-satunya anak perempuannya yang jelita bernama Huminodun.

Mayatnya kemudian disemadikan di bumi sebagai korban kepada semangat bumi. Kononnya, mayat Huminodun telah mengeluarkan pelbagai jenis benih tumbuhan, terutamanya benih padi untuk menjadikan makanan utama orang Kadazan Dusun.

Berkat korban Huminodun yang mengeluarkan benih padi, kaum Kadazan Dusun mewujudkan kepercayaan bahawa padi mempunyai semangat bernama ‘Bambarayon’.

Maka, bermulanya upacara Pesta Kaamatan, Tadau Kaamatan, atau Kokotuan (pesta menuai) untuk memberi penghormatan kepada semangat padi yang telah dituai dan disimpan dalam bekas simpanan padi bernama ketawai atau tangkob. Selain penghormatan semangat padi, upacara ini diadakan bagi memperingati dewa Kinorohingan yang sanggup korbankan anak perempuannya

Kaum Kadazan Dusun juga percaya dengan melaksanakan upacara ini rezeki mereka akan diberkati saat selesai menuai benih padi.

Tidak pasti tarikh apakah upacara ini pertama kali diadakan kerana biasanya rahib wanita yang digelar sebagai Bobohizan menentukan tarikh tuaian padi. Namun begitu, pada waktu tersebut Pesta Kaamatan belum menjadi upacara rasmi lagi. Sehinggalah pada 30 Jun 1960, Pesta Menuai telah diadakan secara rasmi di Sekolah St. Michael, Penampang.

Pada waktu pagi perayaan, sembahyang kesyukuran dilaksanakan di Gereja St. Michael, Penampang. Kemudian mengadakan perarakan berjalan kaki mengelilingi kampung yang terdiri daripada para belia yang memakai pakaian tradisi Kadazan.

Selesai berarak, barulah upacara bermula dengan pertandingan memukul gong yang disertai oleh 12 buah kampung. Beberapa das tembakan senapang patah dilepaskan sebagai tanda sambutan. Pertandingan nyanyian atau Sugandoi turut diadakan. Tetamu kehormat iaitu Ketua Setiausaha Kerajaan dan isterinya, para pegawai kerajaan dari Jesselton (Kota Kinabalu), serta orang kenamaan kolonial dan masyarakat Cina turut hadir memeriahkan perayaan tersebut.

Pada waktu petangnya, banyak persembahan dan pertandingan diadakan seperti tarian kebudayaan, ratu cantik (Unduk Ngadau), pakaian beragam bagi orang tua serta bina badan bagi kaum lelaki Kadazan. Perlawanan bola sepak dan tayangan filem juga turut diadakan di padang sekolah.

Selain Penampang, orang Kadazan Dusun dan Kadazan dari daerah lain juga menyambut pesta ini termasuklah Inanam, Telipok, Tamparuli, Ranau, Papar, Keningau, Labuan, dan Sandakan.

Di Menggatal, perayaan diadakan pada 1 Julai 1960 di Pekan Menggatal. Manakala di Sandakan, Pesta Kaamatan diadakan dengan mengorbankan seekor kerbau dan menyediakan sebanyak 30 buah tajau berisi tapai (arak) sebagai hidangan.

Di Keningau pula perayaan diadakan selama dua hari. Orang Kadazan di Keningau menyebut nama pesta tersebut sebagau Kinasaakazan Do Bambaazon.

Sejak Pesta Kaamatan diadakan secara rasmi, perayaan ini mampu menyatukan keakraban sesama kaum Kadazan Dusun dan Kadazan, tambahan lagi mengeratkan hubungan kepelbagaian kaum seperti Cina dan Sino-Kadazan (Cina Peranakan Kadazan).

Namun pada tahun 1985, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Ketua Menteri Sabah mengumumkan perubahan tarikh perayaan Pesta Menuai ke tarikh 30 dan 31 Mei.

*Tambahan*

Pertandingan Unduk Ngadau berasal dari semangat Huminodun yang keluar dari mayat setelah disemadikan selama 7 hari.

Nama semangat tersebut adalah ‘Runduk Tadau’, bermaksud gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari. Kemudian Unduk Ngadau mengajar Bobohizan pertama pelbagai jenis mantera yang masih diamalkan kini.

Sekarang, seiring dengan pertandingan ratu cantik, Unduk Ngadau melambangkan kecantikan dan kebaikan budi bahasa Huminodun.

KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN!

RUJUKAN:

Asal Usul Dan Sejarah Pesta Kaamatan Yang Anda Perlu Tahu. Iloveborneo. Retrieved from 30 May 2020. https://www.iloveborneo.my/…/asal-usul-dan-sejarah-pesta-k…/

Fausto Barlocco (2010). The village as a ‘community of practice’: Constitution of village belonging through leisure sociality. Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde 166 (4): 404–425. Leiden: KITLV, Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Caribbean Studies.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.