Asal-Usul Sebenar Mi Segera

3056
views

Bila tengok lambakan mi segera yang dijual di pasaran, pasti ramai ada kenangan tersendiri berkenaan makanan ini. Bagi yang sedang belajar, inilah makanan kecemasan bila sudah kehabisan makanan. Atau ini satu-satunya makanan yang boleh diambil bila poket tengah kering. Tetapi tak semua tahu bagaimana makanan ini bermula dan menjadi kegilaan semua tanpa mengira masa atau tempat termasuk Malaysia.

Tidak ramai tahu mi segera sebenarnya berasal dari Jepun dan ia dianggap antara ciptaan Jepun yang paling berjaya sebaris dengan keretapi laju, komputer riba dan karaoke. Walaupun jualan membabitkan makanan ini menurun jika dibandingkan jualan pada tahun 1970-an dan 1980-an dan hanya membentuk 5% daripada jualan di seluruh dunia. Tetapi dari segi pengambilan, warga negara Matahari Terbit itu merupakan pemakan ketiga terbesar di dunia di belakang China dan Indonesia. Lebih 5.5 bilion mi segera dihidangkan kepada para pengguna dalam setahun.

Asal-usul mi segera boleh dijejaki dari bentuk awal mi ramen yang dibawa ke Jepun oleh chef-chef China pada akhir abad ke-19. Mi ramen tradisional pada dasarnya hanyalah mi gandum yang dihidangkan bersama kuah bersup dengan sedikit hirisan daging atau taufu di bahagian atas. Untuk dekad-dekad berikutnya, resepi ringkas ini diubahsuai dan dikembangkan bukan sekali tetapi berkali-kali. Ini turut memberi peluang kepada chef-chef berbakat mengunakan imaginasi mereka untuk menonjolkan bakat mereka seperti menghasilkan kuah yang kompleks, tekstur mi yang sempurna dan hiasan atas yang pelbagai.

Tetapi selepas Perang Dunia Kedua (WWII), semua itu berubah. Kebanyakan wilayah Jepun musnah akibat kempen pengeboman tanpa henti pihak Bersekutu dengan kemuncaknya serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Dan bila Jepun memutuskan untuk menyerah kalah pada pertengahan tahun 1945, populasi yang terselamat merasa lapar akibat krisis makanan yang meruncing. Dan ini membawa kepada kemunculan seorang ahli perniagaan bernama Momofuku Ando. Bukan sekali dua lelaki ini membina dan kehilangan kekayaannya di Taiwan dan Jepun. Semasa WWII, Ando meraih kekayaan dengan menjual kelengkapan dan peralatan industri tetapi jatuh dan pernah satu ketika dipenjarakan akibat kesalahan menipu.

Tapi satu sikap Ando yang patut dicontohi ialah kesungguhannya dalam membina semula reputasi dan kekayaannya. Dan peluang itu terhidang menerusi satu perbualan dengan kenalannya dari Kementerian Pertanian Jepun. Dalam perbualan tersebut, mereka ingin tahu bagaimana hendak menarik rakyat Jepun makan lebih banyak hasil gandum Amerika, salah satu komponen bantuan penting negara Uncle Sam kepada Jepun ketika itu. Tatkala itu, Ando teringat pada akhir perang, beliau melihat orang ramai beratur dan menanti dengan sabar untuk mendapatkan mi ramen yang disediakan penjual ramen ketika itu. Bagi beliau, makanan rakyat kelas pekerja ini boleh saja dimodenkan dan dipercepatkan proses memasaknya. Dan paling penting, ia menggunakan banyak tepung gandum dari Amerika Syarikat.

Jadi pada usia 48 tahun, Ando mengubah dirinya sebagai pencipta makanan dan menghabiskan masanya di pondok kayu di laman belakang kediamannya setiap hari selama setahun. Bila beliau muncul semula, Ando menghasilkan satu produk yang hampir serupa dengan paket mi segera yang kita selalu jumpa di rak-rak pasar raya atau kedai-kedai. Bagi mana-mana individu berminat bagaimana Ando menghasilkan mi segera, senario ini boleh dilihat di tiga muzium mi segera. Salah satu muzium berkenaan dimiliki syarikat Nissin yang turut diasaskan oleh Ando dan terletak di Yokohama.

Satu perkara yang kita perlu faham ialah terdapat banyak produk mi segera yang dijual di pasaran seluruh dunia termasuk Malaysia. Kita sudah masak dengan produk seperti Maggi, Indomie dan Mamee. Bagi membolehkan produk ini terus bertahan, mereka mempelbagaikan perisa mengikut selera pelanggan di kawasan tumpuan mereka. Sesetengah mahukan perisa zaitun, kuah keju atau makanan laut berkrim. Menurut wakil Nissin Kasura Suzuki, mereka melancarkan 300 produk mi segera setahun tetapi hanya 1% saja yang bertahan di pasaran. Bagi membolehkan syarikat mereka terus bersaing dengan syarikat-syarikat lain, mereka perlu kreatif bukan saja dari segi perisa tetapi juga dari segi pembungkusan.

Di Jepun turut menyaksikan seorang penilai mi segera terkemuka. Ya, saya tak bohong, ada seorang penilai mi segera paling prolifik bernama Toshio Yamamoto atau lebih dikenali sebagai Ton Tan Tin. Yamamoto sudah meminati ramen sejak berumur 10 tahun dan dianggap orang paling berpengalaman dalam penilaian berkenaan mi segera. Sebelum dikenali sebagai penilai ramen, beliau pernah bekerja sebagai seorang jurutera. Tetapi selepas penilaiannya berkenaan ramen menjadi popular, Yamamoto memutuskan untuk meletakkan jawatan dan memfokuskan usahanya kepada penilaian mi segera.

Beliau menilai produk yang bukan saja dihantar syarikat tetapi juga peminat di mana sesetengah mi datang dari luar negara.  Dalam setiap videonya, penonton akan melihat bagaimana sesebuah mi disediakan dan berapa bintang yang boleh diberi kepada produk tersebut. Setakat ini, Yamamoto sudah menilai lebih 6,200 produk mi segera dan masih belum menemui satu produk yang selayaknya diberi taraf lima bintang. Menurut beliau, bagi mendapat penarafan sedemikian, supnya perlu berkualiti sementara perisanya juga bersifat seimbang.

Di China pula, ia menjadi tumpuan ramai kerana itulah makanan yang sesuai dimakan semasa bekerja dan bermusafir. Walaupun ada sesetengahnya menganggap ia makanan sampah dan tidak berkhasiat, ia tetap menjadi pilihan kerana mudah disediakan. Mi segera menjadi pilihan para pekerja yang menetap di asrama dan mereka secara tidak langsung menjadi tulang belakang kejayaan ekonomi China. Buktinya, pertumbuhan ekonomi China mencatatkan 9.5% setahun untuk tiga dekad, satu pertumbuhan yang dianggap memeranjatkan oleh Bank Dunia sebagai pertumbuhan ekonomi paling pantas di dunia. Dan ini hasil sumbangan dan pengorbanan gaya hidup yang dibuat mereka untuk menjayakan semua ini.

Tetapi gaya hidup berasaskan mi segera dilihat hanyalah satu sejarah masa lalu. Walaupun pada satu ketika, rakyat China menikmati 50 bilion mi segera pada tahun 2010, statistik tersebut semakin menurun dengan tahun lepas saja menyaksikan penurunan sebanyak 16%. Menurut Profesor Meng Suhe, keadaan ini berlaku disebabkan pekerja-pekerja China yang bermusafir lebih mendambakan air tangan keluarga terutama ibu bapa mereka dan lebih meminati makanan yang bukan diproses. Bagaimanapun, bagi generasi alaf baru, ini merupakan sasaran terbaru syarikat-syarikat pengeluar mi segera kerana mereka masih bergantung kepada makanan yang diproses terutama yang dihantar ke rumah.

Di Amerika Syarikat pula, jangan terkejut jika anda melihat ada bungkusan mi segera dalam sel penjara banduan. Ini kerana selain sebagai tambahan makanan, ia juga berperanan sebagai mata wang pasaran gelap di penjara. Dahulu, banduan berurusan menggunakan rokok sebagai kaeda transaksi tetapi kini bertukar kepada mi segera atas satu sebab: DUIT! Dengan belanjawan penjara dipotong dan kualiti makanan yang dihidangkan tidak berkualiti, banduan terpaksa beralih arah kepada mi segera semata-mata untuk hidup.

Bagi bekas banduan Chandra Bozelko, mi segera menjadi medium transaksi penjara kerana ia mudah disimpan dan tidak mudah rosak. Transaksi sebegini bukan saja untuk urusan jual beli dan pinjaman tetapi juga untuk urusan lain seperti pelacuran. Sekiranya banduan gagal membayar nilai mi segera bagi transaksi yang dipersetujui, ia boleh bertukar menjadi ganas di mana ada sesetengah banduan dikelar atau ditikam. Bagi banduan yang makan mi segera tetapi mahu mengubah selera, mereka menjadi lebih kreatif dengan menukar mi menjadi asas tortila atau pizza.

Dengan keinginan pengguna mahu menjalani kehidupan sihat, syarikat-syarikat pengeluar mi segera di China dan Jepun mula mendapat permintaan pelanggan mereka yang mahukan mi segera dikurangkan kandungan garamnya dan ditambah kandungan nutrien. Rasa pelik tetapi tidak mustahil boleh berlaku. Kerana jika kita mengikut peribahasa Melayu di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, tiada yang mustahil.

SUMBER

Hatton, Celia. (2018). BBC. The Eternal Life of the Instant Noodle. https://www.bbc.co.uk/news/resources/idt-sh/the_instant_noodle

Previous articleMetallica: Kumpulan Metal Berpengaruh
Next articleSebab Kita Jatuh Cinta
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE