Asal-Usul Perkataan Sado

0
1193
views

SADO. Semua orang tahu perkataan sado ini. Dikatakan ia adalah gabungan dari perkataan “besa” dan “bodo”.

Contoh ayat, “Cuba kau tengok badan Rashid, besa bodo badan dia.”

Ini contoh dialog yang dikatakan menjadi asal usul perkataan ini. “Besa” dan “bodo” akhirnya menjadi SADO.

Persoalannya, logikkah? Jika logik sekalipun bagi sesetengah orang, adakah hujah itu kuat?

Begini, saya ada satu lagi teori yang saya kira jauh lebih tepat dan kuat berbanding hujah “besa” dan “bodo” tadi.

Waqaf Saham

Saya berasal dari Taiping, sebuah daerah di utara Perak. Di sana, sejak kecil saya sudah dengar perkataan ini. Kebanyakan yang menggunakannya adalah mereka yang berumur atas dari 50 tahun. Namun, sebutannya sedikit tersasar dari SADO yang selalu kita dengar hari ini. Apa yang kerap disebut oleh orang-orang kampung saya adalah SENDO. Sebutan SEN adalah sebutan SAND (pasir). Sendo ini disebut untuk menggambarkan seseorang yang mempunyai tubuh berotot dan tegap. Maksud perkataan sama sahaja seperti Sado.

Sendo ini disebut dengan meluas di negeri belah utara. Negeri dan tempat lain saya tidak pasti bagaimana. Apabila hari ini ramai orang menyebut Sado, saya mula terfikir, dari mana datangnya perkataan ini? Kenapa mereka sebut Sendo atau Sado untuk menggambarkan orang yang berotot?

Akhirnya saya dapat jawapan bagi persoalan ini. Perkataan ini berasal dari nama seseorang, iaitu Eugen Sandow. Beliau adalah manusia pertama yang membina badan dengan cara yang sistematik dan teratur. Beliau digelar bapa bina badan dunia moden.

Eugen Sandow berasal dari Jerman, lahir pada tahun 1867 dan mati pada tahun 1925. Rupa-rupanya selama ini setiap juara bina badan peringkat antarabangsa akan digelar Mr Sandow dan menerima piala Sandow. Di negara-negara sebelah barat, perkataan Sandow ini memang sangat sinonim dengan pertandingan bina badan. Semua peserta bersungguh-sungguh untuk mendapatkan gelaran Mr Sandow pada tahun itu.

Jadi, saya berpendapat asal perkataan Sado dari gabungan dua perkataan iaitu “besa” dan “bodo” adalah tidak tepat dan tidak logik. Perkataan itu berasal dari nama Eugen Sandow, cuma sebutan Sado itu sedikit tersasar. Ini perkara biasa apabila perkataan atau gelaran itu datang dari sebut-sebut, berpindah dari mulut ke mulut, pasti ada bunyi sebutan yang tersasar.

Eugen Sandow, manusia pertama yang membina badan dengan cara sistematik
Piala Mr Sandow yang menjadi rebutan setiap peserta bina badan peringkat kebangsaan di Amerika Syarikat.
Phil Heath bergambar dengan piala Sandow setelah memenangi tempat pertama dalam kejohanan Mr Olympia tahun 2015
Arnold Schwarzenegger menerima piala Mr Sandow ketika menjuarai kejohanan Mr Olympia pada tahun 1973