Moving Forward As One

Asal Usul Nama Nasi Lemak

3,217

Tahukah anda?

Nasi Lemak pernah mendapat pengiktirafan sebagai antara makanan paling sihat oleh 10 negara di dunia oleh majalah TIME pada tahun 2016. Makanan lain juga yang diiktiraf sihat termasuklah Pho dari Vietnam dan Eschews daripada Jepun.

Pada tahun 2019, seorang Doktor Pakar Kardiologi & Orthomolecular daripada Jepun bernama Dr Atsuo Kanagawa pernah membentangkan Nasi Lemak sebagai salah satu daripada 10 sarapan pagi tersihat di dunia dalam Longevity Conference.

Gambar Dr Atsuo sedang membentangkan 10 sarapan pagi berhasiat dunia.

Ini sesuatu yang mengejutkan sebenarnya. Ialah sejenis makanan tradisional tempatan kita diiktiraf dunia sebagai makanan yang sihat.

Perkara ini buat saya tertarik untuk berkongsi tentang teori asal usul yang berkait rapat dengan Nasi Lemak.

Kalau melihat kepada cerita rakyat, Nasi Lemak ini dikaitkan dengan kisah sebuah keluarga iaitu seorang ibu yang bernama Kuntun dan anak perempuannya bernama seri.

Kisah ini dikaitkan dengan zaman kesultanan Melayu Melaka saat si ibu keluar bekerja

sebagai tukang urut dan tinggallah anaknya seorang di rumah.

Dalam keadaan kebosanan, seri “mencuba resepi baharu” apabila sewaktu menanak nasi, seri memasukkan lengkuas dan daun pandan.

Sewaktu sedang menanak nasi tanpa sengaja seri terlanggar santan dan akhirnya santan tersebut pun masuklah ke dalam nasi yang sedang di tanak.

Sewaktu ibunya pulang. Ibunya merasa nasi tersebut. Disebabkan rasanya lain dari selalunya ibunya bertanya pada anaknya.

“Apa yang kau masak ni nak?”

Jawab seri, ” nasi Le Mak, ( nasilah mak).

Ibunya terus bertanya berkali-kali dan jawapan si seri tetap sama. Begitulah kalau mengikut cerita rakyat.

Namun, jika mengikut kepada Sir Richard Olof Winstedt dalam bukunya  “The Circumstances of Malay Life’’ pada tahun 1909, nama Nasi Lemak digunakan dalam makanan tradisional ini kerana tekstur dan rasanya yang sangat berlemak. Malah dalam bukunya juga ada menyatakan bahawa Nasi Lemak gemar dihidangkan dalam perayaan tempatan mahupun kenduri perkahwinan.

Menurut pandangan Ahmad Najib Ariffin pula iaitu seorang pengasas Nusantara Academy of Development, Geocultures & Ethnolinguistics (NADGE) berpendapat Nasi Lemak berasal daripada pantai barat Semenanjung Malaysia. Malah, Nasi Lemak ini dimakan oleh orang dahulu kala pada waktu pagi sebelum mereka bekerja di ladang atau bersawah padi. Hal ini kerana Nasi Lemak ini berkhasiat, sedap dan mengenyangkan.

Kini, Nasi Lemak bukan lagi makanan untuk petani atau peladang sahaja. Makanan ini sudah menjadi santapan kegemaran rakyat Malaysia. Malah bukan itu sahaja, sekarang ada banyak negara-negara lain juga sudah menjadikan Nasi Lemak sebagai santapan pagi berkhasiat mereka.

Sehinggakan pada 31 Januari 2019 google telah melancarkan “Google Doodle” yang menggunakan animasi Nasi Lemak untuk menyambutnya.

Gambar Nasi Lemak oleh Google dalam sambutan Google Doodle

Apa-apa pun Nasi Lemak kalau diminum dengan teh tarik perh padu. 😁😁

#uniknyamalaysia

Artikel ini disumbangkan oleh Nur Firdaus yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dan Kepujian (Sejarah), Universiti Malaysia Sabah.

RUJUKAN:

Berita Harian. Nasi lemak 10 makanan paling sihat – TIMES. 22 Mac 2016. Nasi lemak 10 makanan paling sihat – TIME (bharian.com.my)

Dr Norman Norawi. Kenapa Nasi Lemak Itu Makanan Sihat – Bahagian 1. 10 Julai 2019.

Foodicles. Nasi Lemak History: Origins of Malaysia’s National Dish. Nasi Lemak History: Origins of Malaysia’s National Dish – FOODICLES.

Google. Celebrating Nasi Lemak. https://www.google.com/doodles/celebrating-nasi-lemak.

The Rakyat Post. Legend Of Nasi Lemak: The Origin Of Msia’s Favorite Dish. 20 Januari 2020. Legend Of Nasi Lemak: The Origin Of Msia’s Favorite Dish | TRP (therakyatpost.com)

The Star. Nasi lemak – once a farmer’s meal, now Malaysia’s favourite. 19 November 2014. Nasi lemak – once a farmer’s meal, now Malaysia’s favourite | The Star

World of Buzz. Here’s How Nasi Lemak Was Created and Why M’sians Eat It for Breakfast. 30 Ogos 2018. Here’s How Nasi Lemak Was Created and Why M’sians Eat It for Breakfast – WORLD OF BUZZ

Ruangan komen telah ditutup.