Asal Usul Nama Jawatan Siak Di Masjid

0
979
views

Tiga jawatan yang sangat penting dalam institusi masjid ialah Imam, Bilal dan Siak. Jika jawatan Bilal iaitu muazzin diambil sempena nama sahabat Nabi, maka dari mana pula datangnya nama Siak (penjaga dan pembersih masjid)?

Jika orang Aceh menyebut perkataan Syeikh sebagai Syiah (sebutannya Shiyah), orang Minang zaman dulu pula menyebut perkataan Syeikh dengan sebutan Siak. Maka Siak itu bermaksud orang yang alim dalam ilmu agama.

Di samping itu, para pelajar yang menuntut ilmu agama di pondok yang disebut surau di Tanah Minang pula dipanggil dengan gelaran Urang Siak (Orang Syeikh). Antara amalan yang diterapkan oleh para guru kepada Urang Siak ialah membersihkan dan merapikan masjid-masjid dan surau-surau di Tanah Minang.

Amalan berkhidmat kepada Rumah Allah ini diterapkan sebagai pendidikan tasawuf ke atas Urang-urang Siak (pelajar-pelajar) iaitu untuk membersihkan hati-hati mereka. Ini kerana ulama-ulama yang mengajar di surau-surau di Tanah Minang juga adalah guru-guru tarekat.

Akhirnya, amalan membersihkan masjid-masjid dan surau-surau menjadi sangat sinonim dengan golongan Urang Siak ini. Maka setelah itu, mana-mana orang yang dipertanggung jawabkan membersih dan menjaga masjid turut mendapat gelaran Siak.

Gelaran Siak bagi orang yang ditugaskan membersihkan dan menjaga masjid kemudiannya masyhur dan tersebar hingga ke Semenanjung Tanah Melayu. Ini tidak menghairankan memandangkan ramai orang dari Tanah Minang yang berhijrah ke Semenanjung.

Gambar – Makam Siak Lengeh (Syeikh Lengeh), ulama dari Padang Panjang, Tanah Minang yang terawal membawa dakwah Islam di Kerinci (abad ke-15).

– Surau (pondok) di Lubuk Bauk, Sumatera Barat. Prof Hamka semasa kecil pernah belajar di sini.