Bani Israel adalah suatu kumpulan bangsa yang mempunyai sejarah yang panjang. Sejarah kewujudan Bani Israel bermula seawal kelahiran Nabi Ya’aqub AS yang merupakan bapa pertama yang menumbuhkan warisan Bani Israel sehingga hari ini. Dalam sejarah manusia, Nabi Adam dan Nabi Ibrahim dianggap sebagai bapa kepada seluruh umat manusia. Nabi Adam dianggap sedemikian kerana Baginda merupakan manusia pertama yang diciptakan Allah SWT. Manakala, Nabi Ibrahim adalah bapa yang melahirkan bangsa Arab dan bangsa Israel.

Nabi Ibrahim mempunyai dua orang isteri iaitu Siti Hajar dan Siti Sarah. Isteri keduanya Siti Hajar melahirkan seorang zuriat iaitu Nabi Ismail AS. Mereka berpindah dari Palestin dan menuju ke Tanah Arab. Maka lahirlah bangsa Arab bermula dari Nabi Ismail AS. Rasulullah SAW adalah darah daging dari Nabi Ismail AS yang bersambung kepada Nabi Ibrahim AS. Manakala, isteri pertama Nabi Ibrahim iaiti Siti Sarah melahirkan zuriat bernama Nabi Ishak AS.

Manakala, Nabi Ishak pula mempunyai zuriat seorang Nabi juga iaitu Nabi Ya’aqub AS. Melalui Nabi Ya’aqub AS terlahirlah bangsa Israel sehingga hari ini. Nabi Ya’aqub menetap di Palestin. Manakala, anak kepada Nabi Ya’aqub iaitu Nabi Yusuf pula menetap di Mesir setelah dibuang oleh saudaranya ke dalam perigi.

ASAL USUL NAMA IBRANI

Ibrani atau Ibri, Ibriyyun, Ibraniyyun adalah suatu nama yang membawa maksud yang sama. Nama Ibrani ini dinisbahkan kepada Nabi Ibrahim kerana di dalam Taurat ianya disebut dengan Abram orang Ibrani (Perjanjian Lama, Kejadian 14:13). Kata dasar kepada perkataan Ibrani terdiri dari tiga huruf.

Dalam bahasa Ibrani, kata dasar tersebut bermaksud pindah atau seseorang yang berhijrah dari suatu tempat menuju ke tempat yang lain. Sebahagian pengkaji menyebut bahawa nama Ibrani diambil dari nama Eber yang merupakan salah seorang datuk kepada Nabi Ibrahim AS (Perjanjian Lama, Kejadian 10:21, 24, 25 dan 11: 14-17).

Mengikut sebahagian pengkaji, perkataan Ibrani juga terdapat dalam rujukan Mesir Kuno dan Asyur Babilonia dengan nama Abirou dan Khabirou yang dinisbahkan kepada orang arab badwi antaranya kabilah Aram yang dikaitkan dengan keturunan Nabi Ibrahim AS (Ander Robert, 1970).

Perkataan Ibrani juga membawa maksud orang asing dan keterasingan bangsa (Perjanjian Lama, Kejadian 39: 14, 18 dan 14: 21, dan Keluaran 1: 19). Perkataan Ibrani juga bermaksud bahasa suku-suku terasing. Pendek kata, Ibrani membawa maksud suatu suku kaum yang terasing bahasanya dan budayanya dari manusia kebanyakan. Mungkin ingin menggambarkan akan nasib yang menimpa kaum tersebut yang tiada negaranya sendiri.

Dalam kitab Keluaran disebutkan:

“Apbila engkau membeli seorang budak Ibrani, maka haruslah ia bekerja padamu enam tahun lamanya, tetapi pada tahun yang ketuju ia diizinkan keluar sebagai orang merdeka, dengan tidak membayar tebusan apa-apa.” (Keluaran 21:2)

Sedangkan di dalam kitab Ulangan, perkataan Ibrani bermaksud saudara:

“Apabila seorang saudaramu menjual dirinya kepadamu, baik seorang laki-laki Ibrani ataupun seorang perempuan Ibrani, maka ia akan bekerja padamu enam tahun lamanya, tetapi pada tahun ketujuh engkau harus melepaskan dia sebagai orang merdeka.” (Ulangan 15: 12)

Kesimpulannya, perkataan Ibrani merupakan nama kepada bahasa yang digunakan oleh bangsa Israel iaitu Bahasa Ibrani. Perkara ini dibuktikan melalui banyaknya sastera hasil karya dari bahasa Ibrani sejak zaman dahulu seperti sastera Ibrani klasik, pertengahan dan modern.

Sastera Ibrani adalah sastera yang menggunakan bahasa Ibrani sebagai ungkapan di samping penggunaannya sebagai bahasa komunikasi seharian. Sastera ini dapat dilihat di dalam Perjanjian Lama, kitab suci Yahudi. Bangsa Israel menjadikan bahasa Ibrani sebagai medium propaganda mereka di tengah masyarakat Eropah Timur dan Barat, Amerika dan Amerika Latin. Perkara ini menjadi tujuan utama kepada gerakan Zionis.

ASAL USUL NAMA ISRAEL

TEORI 1:

Nama Israel mula dipakai bermula antara abad 18 dan 19 sebelum masihi. Mengikut sumber dari Taurat, nama Israel asalnya merupakan nama Nabi Ya’aqub AS yang berubah menjadi Israel. Disebut di dalam kitab Kejadian:

“Lalu tinggallah Ya’aqub seorang diri. Dan seorang lelaki bergelut dengan dia sampai fajar menyinsing. Ketika orang itu melihat, bahawa dia tidak dapat dikalahkan, dia memukul sendi pangkal  paha Ya’aqub sehingga sendi itu pangkal paha itu terseliuh, ketika ia bergelut dengan orang itu.

Lalu orang itu berkata, “Biarkanlah aku pergi, kerana fajar telah menyinsing.” Sahut Ya’aqub, “aku tidak akan membiarkan engkau pergi, jika engkau tidak memberkati aku.” Bertanyalah orang itu kepadanya, “siapakah namamu?” sahutnya, “Ya’aqub.” Lalu orang itu berkata, “namamu tidak akan disebutkan lagi sebagai Ya’aqub, tetapi Israel sebab engkau telah bergelut melawan Allah dan manusia, dan engkau menang.”

Bertanyalah Ya’aqub: “Katakanlah juga namamu,” Tetapi sahutnya, “Mengapa engkau bertanyakan namaku?” Lalu diberkatinyalah Ya’aqub di situ. Ya’aqub menamai tempat itu Pniel, sebab katanya: “aku telah melihat Allah berhadapan muka, tetapi nyawaku diselamatkan!”

Lalu nampaklah kepadanya matahari terbit, ketika ia telah melewati Pniel; dan Ya’aqub kesakitan kerana pangkal pahanya. Itulah sebabnya sampai sekarang orang Israel tidak memakan daging yang menutupi sendi pangkal paha.” (Kejadian 32: 24-32)

Walaupun kisah ini dongeng dan khurafat sebagai membenarkan perubahan nama Ya’aqub kepada Israel. Namun kisah tersebut menjadi pegangan buat mereka kerana ianya disebutkan di dalam kitab suci mereka. Para pakar sejarah menyebutkan kisah tersebut sebagai Myth of Origin atau Actiological Myth. Tujuan dari kisah tersebut adalah sebagai mencipta alasan akan sebab berlakunya sesuatu peristiwa atau tradisi.

Al-Quran juga menisbahkan nama Israel kepada Nabi Ya’aqub AS, tetapi al-Quran tidak mengaitkannya dengan kisah atau alasan yang tidak masuk akal seperti yang disebut di dalam kitab suci mereka. Al-Quran hanya menyebutkan:

كُلُّ ٱلطَّعَامِ كَانَ حِلّٗا لِّبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسۡرَٰٓءِيلُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦ مِن قَبۡلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّوۡرَىٰةُۚ قُلۡ فَأۡتُواْ بِٱلتَّوۡرَىٰةِ فَٱتۡلُوهَآ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِين

Maksudnya: Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu – wahai Bani Israil – sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar. (Ali-Imran: 93)

Melalui kisah tersebut, orang Ibrani mula menisbahkan diri mereka dengan nama Israel iaitu orang yang bergelut dengan Tuhan. Melalui kisah ini, dapat difahami tujuan sebenarnya adalah bersifat rasisme dan berusaha untuk menyucikan susur galur bangsa Israel dari keterikatannya dengan keturunan Nabi Ismail AS yang bersambung dengan Nabi Ibrahim AS.

Mereka berniat untuk merendahkan keturunan Nabi Ismail dengan membataskan wahyu dan kenabian kepada keturunan Nabi Ishak sahaja. Maka, dari sini wujudlah istilah bahawa “Israel adalah bangsa pilihan Tuhan”, “perjanjian Tuhan hanyalah untuk bangsa Israel” dan “keselamatan Tuhan hanya untuk bangsa Israel”. (Will Herberg, 1970).

TEORI 2:

Nama Israel menjadi penunjuk kepada geografi politik setelah terpecahnya kerajaan Nabi Sulaiman AS menjadi dua kerajaan yang bertikai iaitu Kerajaan Israel Utara dan Kerajaan Yahudza Selatan. Israel Utara menjadikan Syakim, Tirshah dan Samaria sebagai ibu kotanya. Manakala, Yahudza Selatan menjadik Jerusalem sebagai ibu kotanya.

Perpecahan ini terjadi pada tahun 932SM, iaitu tahun kematian Nabi Sulaiman AS. Bermula dari itu, maka nama Israel dan Yahudi digunakan sebagai makna politik dan kedudukan geografi dua buah kerajaan tadi.

ASAL USUL NAMA YAHUDI

Secara umum, Yahudi adalah gelaran kepada mereka yang menganut agama Yahudi. Sama seperti muslim bagi mereka yang menganut agama Islam. Ini bermakna Yahudi adalah nama untuk agama.

Secara khusus, Yahudi dinisbahkan kepada kecenderungan politik dan kedudukan geografi kerajaan Yahudza Selatan yang merupakan pecahan dari kerajaan NabI Sulaiman AS. Pada sudut sejarah, nama Yahudza adalah merupakan salah satu kelompok Bani Israel. Yahudza adalah salah seorang anak Nabi Ya’aqub. Yahudza menjadi tokoh penting di dalam kisah Nabi Yusuf AS melebihi pentingnya kedudukan Nabi Yusuf (menurut orang Yahudi). Kepentingan nama Yahudza menurut orang Yahudi adalah disebabkan beberapa faktor:

  1. Yahudza menjadi pelindung dan penyebab kepada tidak terbunuhnya Nabi Yusuf AS apabila dia mencadangkan supaya Nabi Yusuf dijual sebagai hamba. (Kejadian 37: 26-27)
  2. Yahudza menjadi faktor kepada Nabi Ya’aqub  dan saudaranya untuk kekal hidup apabila dia mencadangkan supaya dirinya dan Benyamin diutuskan menemui Nabi Yusuf AS di Mesir untuk meminta bantuan makanan. Tanpa cadangan Yahudza, pastilah Nabi Ya’aqub dan saudaranya akan mati kelaparan. (Kejadian 43: 8, 49: 8-10)
  3. Yahudza berjaya mendapatkan kerajaan dari Nabi Yusuf AS dan selamat dari dihukum akibat perbuatannya dahulu. Manakala, saudaranya yang lain tidak dapat diselamatkan. (Kejadian pasal 49)

Rujukan kitab Yahudi ini bermaksud untuk mengangkat kerajaan Yahudza setelah terpecahnya kerajaan Nabi Sulaiman AS sehinggalah kerajaannya jatuh ditawan oleh Nebuchadnezzar, Raja Babylon pada tahun 582SM. Kerajaan Yahudza Selatan ini bertahan lebih lama iaitu selama 135 tahun berbanding Kerajaan Israel Utara yang ditawan oleh bangsa Asyur.

KESIMPULAN

Nama Ibrani, Israel dan Yahudi adalah nama kepada bahasa, bangsa dan agama. Bangsa Israel mempunyai sejarah yang panjang dan para Nabi kebanyakannya diturunkan untuk bangsa Israel. Dari 25 orang para Nabi yang wajib diimani, hanya 10 orang sahaja yang tidak diturunkan kepada Bani Israel iaitu Nuh, Hud, Soleh, Syuib, Ibrahim, Ishaq, Ismail, Ayyub dan Muhammad.

RUJUKAN

  1. Al-Quran
  2. Kitab Kejadian
  3. Muhammad Hasan. 2017. Sejarah Agama Yahudi. Pekanbaru. Tafaqquh Media, Kelompok Smartania Publishing.
  4. Ander Robert and Ander Feuiliet, Introduction to the Old Testament, vol. 1, Doubleday & co., N.Y., 1970, hal. 42-44
  5. Mustaffa, Ishkandar. Penyelewengan Kitab Taurat dan Penjelasannya di dalam Al-Quran.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Abdul Razak bin Ramli. Asal dari Setiawangsa, KL. Umur 23 tahun. Pelajar sarjana muda dari UMT. Bidang pengajian Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim. Meminati dan mengkaji disiplin ilmu lain antaranya agama, sejarah, ideologi dan psikologi. Menggunakan bahasa Melayu, inggeris, arab dan mandarin (masih belajar). Memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi GAMIS Terengganu, Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah dan Perpaduan Nasional Pemuda PAS WP.

Comments are closed.