Asal Usul Nama A.R Tompel

8,500

Seniman A.R Tompel atau nama sebenarnya Aman Ramli bin Jaafar sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Kewibawaan beliau sebagai seorang anak seni dalam sejarah perfileman Melayu sukar untuk dinafikan. Beri sahaja apa watak kepada beliau nescaya dapat diterjemahkan dengan baik olehnya. A.R Tompel berkomidi dengan cara bersahaja tetapi tetap mampu memberi kesan lucu yang diingati sehingga kini.

Tahukah anda dari mana datangnya gelaran Tompel yang diguna pakai oleh beliau sehingga ia dikenali dan dikenang sehingga sekarang?

A.R Tompel mula memasuki gelanggang bangsawan dan sandiwara seawal tahun 1939. Beliau telah menjelajah seluruh nusantara dengan kumpulan sandiwaranya bernama Rayuan Asmara. Selepas perang dunia beliau bersama rombongan sandiwaranya telah memasuki Malaya.

Nama Tompel itu dicetuskan oleh beliau melalui cerita sandiwara yang ditulis sendiri olehnya berjudul Nasib Si-Tompel. Nama watak berkenaan terus digunakan oleh beliau apabila pihak Shaw Brothers memberi peluang untuknya berlakon dalam filem Nilam sebagai peranan kecil dan seterusnya Rachun Dunia dengan menambah perkataan A.R di hadapan merujuk kepada nama asalnya Aman Ramli. Maka sejak dari itu nama A.R Tompel dikenali sebagai seorang tokoh hebat dalam sejarah filem Melayu hingga kini.

A.R Tompel bukan hanya mampu berlakon dan berkomidi sahaja tetapi beliau juga seorang periwayat yang baik selain pernah menjalankan kerja sebagai penolong pengarah dan seterusnya sebagai seorang pengarah. Ada juga sumber mengatakan yang A.R Tompel merupakan pengarah berbangsa Melayu pertama dilantik sebagai pengarah filem melalui filem Perkahwinan Rahsia pada tahun 1951.

Sepanjang lebih 20 tahun keterlibatan beliau dalam bidang seni, A.R Tompel telah berlakon lebih dari 20 buah filem dan mengarah tidak lebih dari 10 buah filem. Antara filem-filem lakonannya ialah Nilam, Rachun Dunia, Bapa Saya, Dewi Murni, Takdir Illahi, Aloha, Berdosa, Perkahwinan Rahsia, Norma, Chinta Murni, Sehati Serasa, Sesal Tak Sudah, Seniati, Tun Tijah, Abu Nawas, Keris Sempena Riau, Selendang Merah, Siti Payong, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Keluarga 69, Anak Bapak, Gerimis, Ahmad Albab dan Laxmana Do Re Mi. A.R Tompel juga pernah muncul dalam drama Intan terbitan RTM dan Keluarga Tompel dengan Filem Negara.

A.R Tompel meninggal dunia pada 30 Januari 1973 setelah terlibat dalam sebuah kemalangan jalanraya di Setapak. Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang.

RUJUKAN:

Arena Film

Bulanan Arena Film

Utusan Filem & Sport

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.