Asal-Usul Legenda Hantu Abraham Lincoln

894

Bila ditanya mana-mana warga Amerika tentang siapa presiden kegemaran mereka, majoriti pasti memilih Abraham Lincoln. Presiden Amerika Syarikat Ke-16 itu bukan saja berjaya memelihara Amerika Syarikat daripada berpecah semasa Perang Saudara tetapi juga bertanggungjawab memulakan proses penghapusan perhambaan. Namun, impaknya bukan saja dirasai melalui legasi usaha semasa hayatnya tetapi juga dalam bentuk hantu…

Semasa menghadapi pemilihan semula sebagai presiden pada tahun 1864, sudah nampak kedutan pada wajah lelaki yang digelar Honest Abe dan Pembebas Agung (The Great Emancipator) dan bulatan hitam pada matanya. Semasa menjadi presiden selama lima tahun, beliau jarang mengambil cuti dan kurang tidur. Mungkin bagi khalayak, Lincoln amat bimbang dengan Perang Saudara yang melanda ketika itu. Tetapi tidak ramai tahu, dua tanda ini ada kaitan dengan satu mimpinya iaitu kematiannya sendiri.

Perkara ini hanya diketahui oleh beberapa orang teman rapatnya sahaja seperti Ward Hill Lamon. Lamon menulis pada satu ketika pada tahun 1865, Lincoln bertemu dengannya dan menceritakan apa yang berlaku. Lincoln bercerita:

“10 hari lepas, aku memilih untuk tidur lewat dan aku mula bermimpi. Aku dapat rasakan kekakuan seperti kematian tentang aku. Kemudiannya, aku mendengar sayup-sayup bunyi tangisan seolah-olah ramai yang menangis. Aku meninggalkan katilku dan turun ke bawah sebelum menuju ke Bilik Timur.

Di hadapan aku terdapat sebuah catafalque di mana di atasnya mayat yang telah diuruskan dengan semua peralatan pengebumian. Di sekelilingnya ialah tentera yang berperanan sebagai pengawal dan ramai orang melihat mayat di mana wajahnya ditutup sementara ada yang menangis teresak-esak. Aku bertanya kepada salah seorang daripada mereka, ‘Siapa yang mati di Rumah Putih?’ Salah seorang daripada mereka menjawab, ‘Presiden. Beliau mati dibunuh oleh pembunuh.’”

Namun, ini bukanlah kali pertama Lincoln melihat kematiannya sendiri. Tidak lama selepas memenangi pilihan raya pada tahun 1860, beliau melihat pantulan dua imejnya pada sebuah cermin di kediamannya di Springfield, Illinois. Satu imej merupakan imej sebenarnya sementara satu lagi wajah menunjukkan riak wajah yang pucat.

Walaupun isterinya, Mary Todd Lincoln tidak melihat imej tersebut, beliau merasa terganggu bila mendengar kisah suaminya itu. Mary Todd berpandangan wajah sebenarnya itu mewakili penggal pertamanya sebagai presiden sementara wajah pucat itu ialah Lincoln akan mendapat penggal kedua tetapi tidak berpeluang menamatkan penggal kedua.

Tetapi tragedi yang membelenggunya bukan satu isu baru kepada Lincoln. Ibunya, Nancy Hanks Lincoln, meninggal dunia semasa beliau berumur sembilan tahun. Sementara cinta pertamanya, Ann Rutledge pula meninggal dunia akibat penyakit demam kepialu sekaligus mengakibatkan Lincoln murung selama beberapa minggu.

Perkahwinannya dengan Mary Todd juga bersifat pasang surut kerana sikap panas baran isterinya itu dan kepercayaan yang kuat terhadap perkara ghaib. Tidak mustahil Lincoln meminati soal spiritualisme ini dipengaruhi oleh isterinya itu tetapi kebanyakan bukti menunjukkan beliau juga seorang skeptik.

Hasil perkahwinannya dengan Mary Todd mengurniakan empat cahaya mata iaitu Robert Todd, Edward, William/Willie dan Thomas ‘Tad’ Lincoln. Tetapi daripada empat anak ini, hanya Robert Todd sahaja yang terselamat dan menjadi penerus legasi bapanya itu. Adik-adiknya iaitu Edward dan Willie meninggal dunia pada usia muda sementara Tad meninggal dunia semasa berusia 18 tahun pada tahun 1871.

Tetapi kematian Willie akibat demam kepialu paling memberi kesan kepada ibu bapanya di mana ia berlaku semasa penggal pertama Lincoln sebagai presiden. Beliau sering melawat kubur anak ketiganya itu dan duduk berjam-jam sambil menangis.

Sementara Mary Todd pula memilih berkurung dalam bilik selama beberapa minggu berikutan tragedi itu. Atas permintaan isterinya itu, Lincoln menjemput medium datang ke Rumah Putih untuk mengadakan upacara perhubungan komunikasi dengan Willie tetapi kebanyakan upacara tersebut berakhir dengan kekecewaan. Lincoln sendiri hanya datang ke upacara berkenaan sebanyak dua kali.

Pada 14 April 1865, Lincoln dit3mb4k oleh John Wilkes Booth menerusi t3mb4k4n dari belakang kepalanya di Ford’s Theater semasa menonton teater Our American Cousin. Pada malam sama peristiwa itu berlaku, rakan subahat Booth iaitu David Herold dan Lewis Powell mensasarkan Setiausaha Negara ketika itu, William Seward sementara George Atzerodt diarah membvnuh Naib Presiden Andrew Johnson.

Hanya cubaan Booth sahaja berhasil dengan kem4t1an Lincoln pada pagi 15 April 1865. Sementara Seward terselamat dan hanya mengalami kecederaan pada muka selepas diserang Powell sementara Atzerodt pula membatalkan hasrat pembvnuhan Johnson.

Rajah 1: Lakaran pemb***han Lincoln di tangan Booth di Ford’s Theater pada 14 April 1865.
Rajah 2: Powell bergelut dengan anak Seward, Frederick Seward semasa hendak melepaskan diri dari kediaman Seward.

Untuk dekad-dekad seterusnya, ia merupakan permulaan kepada kisah legenda hantu Lincoln dengan tempat utama yang dihantuinya ialah Rumah Putih. Isteri kepada Presiden Calvin Coolidge, Grace Coolidge pernah melihat kelibatnya berdiri di tingkap Oval Office dengan tangannya berada di belakang sambil melihat di seberang Potomac iaitu bekas tapak pertempuran Perang Saudara di seberang Potomac.

Jika Lyndon Johnson berkesempatan bertemu dan sempat bertanyakan nasihat Lincoln berkenaan Perang Vietnam, lain pula kisah Wanita Pertama Bird Johnson. Pada satu malam musim bunga, beliau menonton sebuah program berkenaan kematian Lincoln di sebuah bilik. Tiba-tiba, Bird melihat satu plak yang tidak pernah dilihatnya tergantung di atas pendiang apinya yang menunjukkan kepentingan Lincoln pada bilik berkenaan. Melalui keterangan setiausaha akhbarnya, Liz Carpenter terhadap penulis John Alexander, beliau turut mengadu merasa seram sejuk dan merasa kurang selesa.

Menurut pengusaha syarikat pelancongan, Jared Broach, Lincoln selalunya muncul pada saat di mana negara diuji dengan ujian yang dahsyat seperti peperangan. Justeru tidak hairanlah jika kelibatnya muncul apabila seseorang presiden itu diuji seperti Franklin D. Roosevelt (Perang Dunia Kedua) dan Johnson (Perang Vietnam). Bagi yang membaca artikel Rumah Putih berhantu sebelum ini, anda sudah pasti masak dengan peristiwa Permaisuri Wilhelmina yang pengsan selepas melihat kelibat Lincoln, kisah Winston Churchill dengan Lincoln dan rasa kurang senang Eleanor setiap kali menggunakan bilik Lincoln sebagai pejabatnya.

Namun, Rumah Putih bukan satu-satunya lokasi yang dihantui Lincoln. Di Loudonville, New York, hantu itu menghantui sebuah rumah di mana pemiliknya pernah berada di Ford’s Theater semasa peristiwa pembvnuhan Presiden Amerika Ke-16 itu. Kawasan lain yang dikatakan dihantui Lincoln ialah kuburnya di Springfield, Illinois dan keretapi hantu yang berjalan pada waktu malam semasa bulan April dengan mengikut laluan sama diikuti keretapi pengebumiannya dari Washington D.C hingga Springfield.

Oh, ya. Ada satu kisah menarik berkenaan hantu ini dengan gambar potret yang diambil oleh Mary Todd. Empat tahun selepas pembvnuhan Lincoln, balunya mengambil keputusan membuat potret gambar baru dengan jurugambar William H. Mumler dengan menggunakan nama samaran.

Selepas gambar siap diproses, Mumler perasan terdapat imej seorang lelaki meletakkan tangan di bahu Puan Tundall (nama samaran yang digunakan Mary Todd). Barulah dia sedar bahawa itu sebenarnya imej Lincoln dengan Puan Tundall sebenarnya ialah Mary Todd. Walaupun ramai menganggap gambar tersebut sebagai palsu dan cuba dihasilkan semula oleh jurugambar terkenal ketika itu seperti J.W. Black dan L.H. Hale, imej tersebut sukar dicabar dan dianggap asli.

Rajah 3: Gambar hantu Lincoln pada bahu Mary Todd Lincoln.

RUJUKAN:

1. Scott, Beth dan Norman, Michael. (2019). The Lingering Legend of Abraham Lincoln’s Ghost. Haunted America. History. https://www.history.com/news/legend-of-abraham-lincolns-ghost-white-house

2. Manseau, Peter. (2017). Meet Mr. Mumler, the Man Who “Captured” Lincoln’s Ghost on Camera. Smithsonian Magazine. https://www.smithsonianmag.com/smithsonian-institution/meet-mr-mumler-man-who-captured-lincolns-ghost-camera-180965090/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.