Sebut saja jin, ramai membayangkan jin versi Will Smith dalam filem Aladdin (2019) atau versi mendiang Robin Williams dalam filem animasi Aladdin. Tetapi di sebalik elemen budaya pop yang menyelubunginya, masih banyak perkara yang tidak diketahui tentang makhluk ini.

Jin merupakan makhluk halus yang berasal dari api. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam ayat ke-15 Surah al-Rahman mafhumnya, “Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang.” Dikatakan tempoh penciptaan Nabi Adam a.s dengan kewujudan jin sejauh dua alaf seperti disyarahkan oleh Ibnu Abbas r.a[1].

Dalam syarahan beliau, jin dikatakan penghuni awal dunia ini dan bertanggungjawab membina ketamadunan mereka di atas muka bumi. Bagaimanapun, selepas beberapa lama, golongan tersebut melakukan kerosakan kepada bumi termasuk saling menumpahkan da-rah sehingga mengundang kemurkaan-Nya. Akibatnya, Allah membinasakan golongan tersebut dengan menghantar para malaikat memer-angi mereka dan menggantikan mereka dengan manusia.

Berikutan sikap golongan jin itu, para malaikat menzahirkan kebimbangan mereka apabila Allah mahu menciptakan manusia kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Firman-Nya dalam ayat 30, Surah al-Baqarah mafhumnya, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Jin lebih kepada makhluk halus atau syaitan. Kelompok ini merupakan makhluk yang bijak, punya keinginan bebas dan tinggal berhampiran alam semulajadi serta dikurniakan kelebihan magis. Dan seperti manusia, ada jin yang baik, ada juga yang busuk hati dan ada yang suka berlegar antara dua sifat berkenaan.

Walaupun jin suka menukar penampilan, satu ciri rupa yang sukar ditinggalkan ialah mempunyai bulu yang lebat. Dan ini disahkan menerusi satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a[2]. Pada satu ketika, beliau mengikuti Rasulullah s.a.w solat Isyak di Makkah sebelum baginda mengajaknya mengikutinya ke satu kawasan bernama Batha.

Setelah tiba di Batha, Nabi s.a.w mengarahkan beliau duduk sebelum membuat satu garisan di belakang tempatnya duduk. Kemudian baginda bersabda, “Jangan engkau tinggalkan garisanmu, maka sesungguhnya akan berhenti ke tempatmu beberapa orang lelaki, maka janganlah kamu bercakap dengan mereka, sesungguhnya mereka tidak bercakap dengan kamu.”

Tidak lama kemudian, muncul sekumpulan lelaki yang berkulit hitam legam dan mempunyai bulu yang lebat. Ibnu Mas’ud r.a turut melaporkan apabila mereka berada di belakang garisannya, beliau tidak melihat aurat atau pakaian mereka. Ini menunjukkan mereka sebenarnya kelompok jin dan garisan yang dibuat Rasulullah s.a.w itu bertujuan melindunginya.

Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal[3] rahimahullah, Ibnu Mas’ud r.a melaporkan mereka tidak memakai pakaian, mempunyai tubuh yang tinggi dan isi daging yang sedikit. Ini menunjukkan sesetengah jin mempunyai perwatakan dan kehidupan seperti manusia. Selain jenis seperti manusia, terdapat juga jenis nasnas, ghul, ifrit dan marid.

Jin marid dianggap paling merbah-aya dalam kalangan jin dan ia selalunya dikurung dalam teko. Ini berikutan jin ini mempunyai kelebihan magis yang luar biasa dan paling jahat dalam kalangan jin. Jin bukan sekadar muncul dalam keterangan agama Islam tetapi turut muncul dalam pelbagai kisah tamadun lain.

Selepas Rom mula melebarkan jajahan mereka ke Timur Tengah, salah satu tanah jajahan mereka ialah Syam (Syria moden). Di Palmyra, jin atau gny mengikut loghat tempatan dianggap sebagai penjaga keselamatan dan keamanan penduduk tempatan. Apabila nama ini didengar oleh orang Rom, jin atau genii disamakan sebagai makhluk halus yang berniat baik.

Menjelang abad ke-18, Empayar Rom sudah tiada dengan Bahasa Latin dipecahkan kepada beberapa bahasa yang berbeza. Begitupun, perkataan Latin seperti genii dibawa bersama dalam bahasa-bahasa ini tetapi dalam konotasi berbeza. Suku kata gen- dalam Bahasa Inggeris bermaksud menghasilkan atau menjana sesuatu yang mesra atau menggembirakan. Antara contoh perkataan Inggeris yang masih membawa maksud sebegini ialah generate dan genial.

Jadi, bagaimana perkataan jin boleh menjadi genie dalam Bahasa Inggeris? Jawapan ini terhasil melalui pemikiran bijak penulis dan penterjemah Perancis, Antoine Galland[4]. Beliau merupakan orang pertama yang menterjemah karya 1001 Malam[5] ke Bahasa Perancis untuk tatapan masyarakat pada tahun 1704.

Rajah 1: Antoine Galland

Apabila Galland menterjemah karya tersebut, satu perkataan Arab yang menarik perhatiannya iaitu jinni. Perkataan ini hampir sama dengan perkataan Perancis iaitu genie. Sejak itu, nama genie terus melekat hingga ke hari ini. Tetapi bagaimana pula perihal jin yang terperangkap dalam botol dan kaitannya dengan kisah terkenal seperti Aladdin?

Ini boleh dijawab dengan menelusuri terjemahan 1001 Malam yang dibuat Galland. Tidak ramai tahu karya seperti Ali Baba dan 40 Penya-mun dan Aladdin sebenarnya antara karya fiksyen yang dikarang beliau sebelum diselitkan dalam terjemahan 1001 Malamnya. Dan sesetengah karya ini mencedok beberapa idea yang terdapat dalam kisah-kisah tersebut.

Misalnya, kisah jin yang terperangkap dalam teko loyang. Kisah ini disebut dalam Kisah Kota Loyang Yang Hilang. Dalam kisah tersebut, sekumpulan lelaki meredah padang pasir untuk mencari lokasi kota loyang yang hilang. Kota ini dikatakan menyimpan lokasi jin yang dipenjarakan Nabi Sulaiman a.s dalam sebuah teko. Kisah ini dikatakan ada kaitan dengan salah satu mukjizat baginda iaitu memerintah golongan jin dan ia dilakukan dengan menggunakan sebentuk cincin.

Dalam satu kisah 1001 Malam yang lain, seorang nelayan menjumpai sebuah teko lama dan memutuskan untuk membukanya. Tetapi alangkah terkejutnya dia apabila melihat kelibat jin marid bernama Asmodeus[6] keluar. Asmodeus menceritakan dia telah dipen-jarakan selama 400 tahun dan memikirkan bagaimana hendak memberi ganjaran atau menghukum orang yang membebaskannya daripada pen-jara tekonya itu.

Rajah 2: Asmodeus

Pada awalnya, dia mahu memberi peluang kepada si polan mengemukakan tiga permintaan yang boleh dikabulkan. Tetapi pada akhirnya, Asmodeus mahukan si nelayan memberitahu caranya kembali ke negeri cacing. Kisah ini menjadi rujukan pertama kewujudan tiga permintaan untuk ditunaikan jin seperti dalam kisah Aladdin.

Memandangkan banyak kisah 1001 Malam tidak dinyatakan tarikhnya, agak sukar untuk mengetahui bila kisah itu berlaku dan sama ada ia sekadar imaginasi penulis atau berdasarkan kisah sebenar. Contoh mudah, kisah jin-jin yang terkurung dalam teko yang dikatakan berlaku semasa pemerintahan Nabi Sulaiman a.s.

Hari ini, jin terus berada dalam kalangan manusia bukan sekadar seperti dinyatakan dalam al-Quran, hadis Rasulullah s.a.w dan kesusasteraan Arab. Malah, ia kini wujud dalam medium moden berupa novel fantasi, permainan video dan komik.

NOTA KAKI:

[1] Nama sebenar Abdullah bin Abbas r.a, sepupu Rasulullah s.a.w dan anak kepada Abbas bin Abdul Mutalib r.a. Antara perawi hadis baginda yang utama selain Anas bin Malik dan Abu Hurairah r.a.

[2] Sahabat Nabi s.a.w berstatus Ahlul Bait. Seorang perawi hadis yang prolifik selain tiga perawi hadis utama dengan 848 hadis. Dianggap sebagai tokoh ulung dalam soal al-Quran dalam kalangan para sahabat.

[3] Hakim, ulama hadis dan pengasas mazhab Hanbali. Merupakan antara ulama yang menolak hujah Khalifah al-Ma’mun dari Bani Abbasiyyah yang mendakwa al-Quran itu makhluk berdasarkan fahaman Muktazilah. Dipen-jarakan semasa era baginda dan al-Mu’tasim sebelum dibebaskan semasa era al-Mutawakkil.

[4] Orientalis dan ahli arkeologi abad ke-17 Perancis. Juga penterjemah Eropah pertama yang menterjemah karya sastera Inggeris Lama, Beowulf.

[5] Koleksi pelbagai cerita rakyat dari Timur Tengah yang dikumpul semasa Era Keemasan Islam. Kebanyakan kisah dikesan mempunyai asal-usul Arab, Turki, Yahudi, Parsi, Yunani dan India. Sesetengah diambil dari era Abbasiyyah dan Mamluk manakala selebihnya diambil dari karya Parsi bertajuk Hezar Afsan.

[6] Jin yang dilabel antagonis utama dalam senarai pengelasan syaitan Binsfeld dan mewakili nafsu. Mengikut keterangan Imam at-Tabari, Asmodeus dipen-jarakan oleh Nabi Sulaiman a.s selepas dikatakan menyamar sebagai baginda selama 40 hari. Selepas ditewaskan baginda, jin itu dipen-jarakan dalam sebuah kotak batu yang diikat dengan besi sebelum dicampak ke dalam laut.

RUJUKAN:

Bardinelli, J. (2015). The Origin of the Genie in the Lamp. GiantGlacier.

Mohd Amin, M.Z. (2019). Makhluk Pertama Mendiami Bumi (“Petunjuk Quran Dan Sunnah Terhadap Identiti Makhluk Purba: Ulasan Kepada Teori Darwin”). Universiti Sains Islam Malaysia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.