Asal-Usul Jolly Roger Bendera Lanun

13,429

Kisah lanun merupakan sebuah topik yang agak masyhur bagi ramai dari kalangan kita pada hari ini, dengan kehadiran cerita-cerita romantisme yang melibatkan pengembaraan di lautan tinggi, persahabatan dan pemburuan harta karun.

Namun pada beberapa kurun yang lalu, lanun adalah penjenayah yang paling dikehendaki dan merupakan salah satu jenayah tersusun yang terawal dalam sejarah.  Sambil berlaya di lautan luas, lanun-lanun ini menyerang, menjarah dan membunuh dengan kejam.

Terdapat banyak objek perlanunan yang digunakan sebagai simbol bagi merujuk kepada lanun – berjalan di atas papan, kaki yang diperbuat daripada kayu, penutup mata, tangan cangkuk, dan anting-anting gelung emas di sebelah telinga.

Namun, simbol lanun yang paling dikenali adalah bendera hitam dengan rekaan tengkorak dan tulang silang, atau dikenali sebagai Jolly Roger.

Jolly Roger dikibarkan pada kapal-kapal lanun untuk menyampaikan mesej tertentu kepada kapal-kapal sasaran. Bendera ini boleh dimanfaatkan untuk menimbulkan rasa gerun di samping mengisytiharkan kekuasaan kapal lanun berkenaan.

Rekaan asas Jolly Roger, bendera lanun

Penggunaan bendera lanun secara umumnya meniru penggunaan bendera pada kapal-kapal lain. Sepanjang sejarah maritim, sesebuah kapal akan mengibarkan bendera tertentu untuk menyampaikan beberapa bentuk mesej. Paling utama adalah mesej yang menyatakan pihak mana yang ditumpahkan kesetiaan oleh kapal tersebut.

Kapal-kapal peribadi pula lazimnya akan mengibarkan bendera yang berbeza berbanding kapal-kapal tentera. Begitu juga dengan kapal-kapal lanun yang mengibarkan bendera tertentu untuk menyampaikan mesej atau untuk memperdaya kapal-kapal berhampiran.

Menurut sejarah, kapal lanun yang menyerang kebiasaannya akan mengibarkan bendera yang berwarna hitam penuh. Pengibaran bendera ini menandakan mesej bahawa selagimana tiada penentangan, semua anak kapal akan selamat. Namun setelah diberikan tentangan, bendera merah akan dikibar bagi menyampaikan mesej bahawa tiada belas kasihan akan ditunjukkan.

Tujuan pengibaran bendera ini adalah untuk menimbulkan rasa takut kepada pihak yang ingin diserang, sekaligus memberikan kelebihan buat lanun. Bendera hitam atau merah inilah yang dirujuk sebagai Jolly Roger pada mulanya, sebelum nama itu dikaitkan dengan rekaan tengkorak dan tulang silang pada bendera lanun.

Lukisan tahun 1725 yang menggambarkan Stede Bonnet dengan sebuah Jolly Roger

Asal-usul pengambilan nama Jolly Roger masih menjadi bahan perdebatan. Pada tahun 1724, Charles Johnson menerbitkan sebuah buku yang berjudul ‘A General History of the Pyrates’.

Di dalam buku inilah frasa ‘Jolly Roger’ mula berasal, di mana Johnsohn memetik bukan seorang, tetapi dua orang lanun yang memanggil bendera mereka sebagai Jolly Roger. Dua orang lanun tersebut adalah Bartholomew Roberts (pada tahun Jun 1721) dan Francis Spriggs (Julai 1723).

Ada juga pihak yang berpendapat bahawa nama Jolly Roger berasal dari sebuah perkataan Perancis, iaitu jolie rouge yang bermaksud ‘merah indah’.

Kemungkinan lain pula hadir dari sebuah buku tulisan David Hatcher Childress yang berjudul ‘Pirates & The Lost Templar Fleet’. Di dalam buku ini, Childress berpendapat bahawa Jolly Roger sebenarnya mengambil nama bersempena Raja Roger II dari Sicily, seorang Templar yang diyakini sebagai lelaki pertama yang mengibarkan bendera itu.

Promosi Buku DTT

Pada hari ini, Jolly Roger (bendera hitam dengan imej tengkorak dan tulang silang) dianggap sebagai rekaan piawai bagi bendera lanun. Walau bagaimanapun, rekaan sebegitu bukanlan rekaan asal bagi Jolly Roger.

Dalam A General History of the Pyrates, dua orang lanun mengibarkan bendera yang dipanggil sebagai Jolly Roger. Namun kedua-dua bendera itu tidak mempunyai imej tengkorak dan tulang silang. Daripada sini dapat kita pastikan bahawa Jolly Roger pada asalnya tidak mempunyai imej tertentu dan ia adalah istilah umum bagi merujuk mana-mana bendera lanun.

Kepelbagaian rekaan bendera lanun sememangnya banyak sepanjang peredaran sejarah; dari merah atau hitam penuh, kepada kepelbagaian imej berwarna merah dan hitam termasuklah imej tengkorak, senjata, darah dan hati. Sebahagian contoh Jolly Roger yang pernah wujud dalam sejarah adalah seperti berikut:

Rekaan-rekaan bendera yang berbeza yang digunakan oleh lanun-lanun dalam sejarah


Beberapa sumber menyifatkan rekaan tengkorak dan tulang silang berasal-usul daripada legenda Templar. Philip Gardiner menulis di dalam
The Holy Blood and the Holy Grail:

“Terdapat seorang wanita dari Maraclea yang dicintai oleh seorang Templar, si Raja Sidon. Namun, wanita itu mati di usia muda, dan pada malam selepas pengebumiannya, kekasihnya itu merangkak ke kuburnya, menggalinya dan mencabulnya. Kemudian, suatu suara entah dari mana menyuruh lelaki itu kembali dalam tempoh sembilan bulan kerana beliau akan mendapatkan seorang anak lelaki. 

Templar itu menuruti perintah tersebut dan pada masa yang ditetapkan, beliau membongkar semula kubur itu dan menemukan kepala dan tulang kaki (tengkorak dan tulang silang). Suara yang sama kemudiannya menyuruh beliau agar menyimpan tulang tersebut dengan baik kerana ia akan memberi kebaikan kepadanya. 

Justeru, beliau pun membawa tulang-tulang itu bersamanya. Ia menjadi tangkal pelindungnya, dan beliau berupaya menewaskan musuh-musuhnya dengan hanya menunjukkan tengkorak itu kepada mereka. Seiring peredaran waktu. Tulang-tulang ini diperturunkan kepada waris-warisnya.”

Pada hari ini, Jolly Roger, atau secara khusus, imej tengkorak dan tulang silang dianggap oleh ramai pihak sebagai sebuah penjenamaan secara kolektif yang berjaya. Simbol ini tidak diambil dan dipakai oleh satu entiti tunggal. Sebaliknya, ia menjadi simbol sejagat (universal) sampaikan setelah beratus tahun berlalu, simbol tersebut masih boleh dikenali sebagai simbol lanun.

Cerita-cerita lanun baik yang lama mahupun yang baru disampaikan secara terus-menerus, sama ada menerusi kisah lanun sebenar seperti Blackbeard dan Ching Shing, ataupun kisah-kisah dongeng klasik seperti ‘Peter Pan’s Captain Hook’ serta Pirates of the Caribbean.

Menerusi simbolisasi seperti Jolly Roger, setiap cerita ini walaupun menggambarkan lanun yang sangat berbeza, masing-masing menimbulkan imej lanun klasik – menjarah harta-benda, meminum banyak arak, pelayar yang cekap, dan raja lautan.

TERJEMAHAN:

M R Reese. (20 Februari 2015). The Ultimate Pirate Branding Symbol – the Origin of the Jolly Roger. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/ultimate-pirate-branding-symbol-origin-jolly-roger-002696

Ruangan komen telah ditutup.

PROMO

LAWATI LAMAN SESAWANG UNTUK MELIHAT HARGA PROMOSI JUALAN KECEMASAN COVID-19.

 

https://www.thepatriots.store

16108