Asal Usul Istilah Karut-Marut, Harta Karun Dan Khurafat Dalam Masyarakat Melayu

2,794

Berikut merupakan istilah yang masyhur diguna pakai dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak dulu. Walau bagaimanapun, tidak ramai yang tahu tentang makna dan asal usul istilah tersebut sehingga kadangkala istilah tersebut disalah guna. Oleh itu, Ibn Jawi ingin membongkar sedikit sejarah penggunaan istilah tersebut dalam artikel ini.

Karut-Marut :

Istilah ini selalunya digunakan untuk dilabelkan kepada setiap hal yang dilihat mustahil berlaku pada adat kebiasaan. Cerita seperti adanya jin syaitan yang mengganggu kehidupan manusia sama ada perniagaan, kekeluargaan, kesihatan dan sebagainya sering dilabel karut-marut. Terkadang juga, masyarakat kita menyama takrifkan “karut-marut” dengan “khurafat”.

Sememangnya, cerita karut-marut ini adalah kisah yang “Khawariqul ‘Adah” (mencarik adat) atau juga sering disebut “mustahil pada hukum adat kebiasaan”. Hal ini demikian kerana ia sebenarnya merupakan kisah-kisah sihir iaitu salah satu hal yang mencarik adat seperti mana “Mukjizat”, “Karamah”, “Maunah” dan lain-lain. Namun, istilah karut-marut selalunya dikhaskan kepada hal sihir kerana ia adalah hal mencarik adat secara fasiq.

Hal ini demikian kerana asal usul istilah karut-marut adalah daripada kisah “Harut Marut” iaitu dua entiti misteri yang terkandung dalam al-Quran. Sememangnya dua entiti ini dikaitkan dengan pengajaran ilmu sihir. Jika ditelusuri dalam catatan-catatan legenda kuno, pasti akan kita temui kisah kononnya ada dua tokoh sihir yang datang kepada manusia bagi mengajar sihir.

Selain itu, ada juga versi yang mengatakan dua tokoh ini merupakan nama-nama jin bahkan ada juga yang mengatakan nama dua orang manusia. Ada yang mendakwa mereka adalah manusia yang jahat dan ada juga yang mengatakan bahawa mereka manusia soleh. Sehinggakan, ada versi yang mendakwa mereka ini ialah malaikat sepertimana masyhur yang disebut oleh para ulama apabila mentafsirkan kisah ini pada surah al-Baqarah.

Harta Karun:

Istilah ini selalunya digunakan oleh masyarakat bagi menjelaskan sebarang jumpaan harta-harta bernilai yang tersembunyi. Selalunya, kisah-kisah pengembaraan menuju ke tempat-tempat tertentu lalu menggali tanah yang bertanda hingga terjumpa peti kayu yang dimangga besi. Apabila peti itu dibuka, ternampaklah syiling-syiling emas, perak, batu permata, mutiara dan sebagainya. Walau dimana pun harta itu dijumpa, sama ada di negara Arab, India, China atau mana sahaja, masyarakat kita akan menamakan harta itu sebagai harta karun.

Namun sebenarnya, “Karun” ini sememangnya wujud. Karun dalam kisah masyarakat Melayu sebenarnya ialah Qarun iaitu seorang tokoh masyhur pada zaman Nabi Musa ketika baginda melawan Firaun di Mesir. Qarun merupakan seorang yang kaya-raya sehinggakan kunci-kunci perbendaharaan yang menyimpan hartanya hanya mampu diangkut oleh beberapa haiwan tunggangan kerana amat banyak dan berat.

Oleh sebab Qarun angkuh dengan kekayaannya, Allah menghukumnya apabila semua hartanya tertimbus dalam tanah. Oleh itu, setiap harta yang dijumpai dalam tanah, masyarakat kita menamakannya sebagai Harta Karun/Qarun. Dalam masyarakat Yahudi, Qarun dikenali sebagai Korah.

Khurafat :

Istilah ini selalunya digunakan oleh masyarakat bagi mengkategorikan kisah-kisah mistik (alam ghaib). Malah, istilah ini kini telah diguna dengan makna yang lebih luas dan terkadang salah pada hakikat penggunaannya. Masyarakat muda-mudi yang tidak tahu akan asal usul istilah ini telah menyalahlabelkan istilah ini pada hal yang tidak tepat.

Muda-mudi yang alergi (mungkin takut) akan hal-hal berkaitan kematian dan kubur akan melabel perbuatan MENZIARAH KUBUR sebagai MENYEMBAH KUBUR (Quburiyyun) yang bersifat “khurafat”. Lebih parah, sebahagian anak muda telah menggandingkan istilah “khurafat” ini dengan istilah “bidaah”, “kufur” dan “syirik” pada perbuatan menziarahi kubur sedangkan perbuatan ini dianjurkan oleh Rasulullah bagi mengingati kematian lagi berpahala.

Sebenarnya, “Khurafat” merupakan nama seorang pemuda pada masa silam yang diculik oleh jin. Jin menculiknya masuk ke alam jin lalu beliau menyaksikan pelbagai perkara aneh. Setelah sampai suatu ketika, beliau kembali ke alam manusia lalu menceritakan pengalaman-pengalamannya kepada orang ramai. Oleh sebab cerita-ceritanya aneh, maka masyarakat mula menamakan setiap cerita aneh sebagai cerita “Khurafat” bersempena nama pemuda ini. Kisah ini dapat dirujuk melalui hadis Rasulullah dalam kitab Syamail Muhammad karya Imam al-Tarmizi Rahimahullah.

Walaupun ketiga-tiga hal ini iaitu Karut-Marut, Harta Karun dan Khurafat diistilahkan kepada hal-hal misteri, namun ada yang lebih menjadi misteri untuk kita fikirkan. Tidakkah kita sedar mengapa cerita-cerita sebegini amat sinonim dan sebati dalam kehidupan masyarakat Melayu?

Bagaimana kisah ini mendarah daging ke dalam kehidupan orang Melayu? Adakah kerana masyarakat Melayu dahulu begitu banyak mengkaji rahsia-rahsia kisah silam sehingga segala hal ini dipertutur serta diperturunkan dari generasi ke genarasi? Atau nenek moyang kita dahulu mungkin terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kisah-kisah yang seumpama di atas.

Namun, sememangnya banyak keajaiban berlaku di dalam dunia ini. Sedikit di dalam literatur Arab dan Yahudi bahkan lebih banyak kisah-kisah ajaib yang berlaku dalam negara India dan China. Tanah Melayu yang dikenali sebagai Semenanjung Emas berada ditengah-tengah India dan China serta pernah hidup dengan bangsa-bangsa Arab, Parsi dan sebagainya pada zaman keagungan pelayaran silam sehinggalah kesemua ini menjadi… MISTERI NUSANTARA…

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.