LAMBANG Negara atau lebih dikenali sebagai Jata Negara (Coat of Arms) mempunyai maksud, ciri-ciri yang mengkhusus serta turut menampilkan nilaisentimental bagi sesebuah negara.  Untuk Sarawak yang pernah diperintah oleh Dinasti Keluarga Brooke sejak dari tahun 1941 hingga 1946 turut pernah mempunyai jata negara tersendiri.  Sehingga ke hari ini ramai yang tidak mengetahui apakah sejarah di sebalik jata negara yang digunakan oleh Brooke selama lebih 100 tahun memerintah. 

Dalam pada itu penggunaan warna pada jata negara yakni merah, hitam dan kuning turut sama ditampilkan di dalam rekaan bendera Sarawak dari zaman Brooke, Koloni British dan seterusnya Sarawak, Malaysia biarpun pada tahun 1974, Sarawak pernah mempunyai bendera tersendiri yang dinamakan Trisakti.  Ianya menggunakan warna berbeza sama sekali iaitu biru, putih dan merah. Jata negara turut bertukar yakni menampilkan burung kenyalang yakni ikon burung untuk Sarawak menggantikan jata negara sewaktu Brooke.  Ianya digunapakai dari tahun 1974 hingga 1988. 

Jika kita menggodek sejarah jata negara Sarawak sewaktu Brooke sehinggalah kepada penggunaan warna merah, kuning dan hitam yang digunapakai sejak tahun 1988 sehinggalah sekarang masih belum mempunyai jawapan yang tuntas dan dikaji secara menyeluruh.  Walaupun begitu selama hari ini pensejarahannya bersandarkan kepada penceritaan lisan yang diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain kerana Sarawak sewaktu Brooke memerintah hanya mempunyai bendera dan jata rasmi ketika pemerintahan rajah kedua iaitu Sir Charles Brooke yang memegang tampuk pemerintahan Sarawak dari tahun 1868 hingga 1917. 

Cerita lisan yang didodoikan kepada rakyat Sarawak selama ini adalah dikatakan semasa Sir Charles Brooke mengadakan majlis ulangtahun kelahirannya telah diberikan dengan pelbagai hadiah oleh segenap lapisan masyarakat di Sarawak pada waktu itu.  Sesuatu yang menarik perhatian beliau adalah cara pembungkusan hadiah yang diterima mempunyai makna yang tersendiri. 

Pembungkusan hadiah dengan kain berwarna kuning adalah daripada kaum Melayu Sarawak yang mana kita semua mengetahui bagaimana warna kuning itu sinonim dengan warna diraja.  Demi menghormati martabat Sir Charles Brooke sebagai tuan rajah Sarawak maka majoriti hadiah daripada kaum Melayu Sarawak menggunakan warna kuning. Manakala untuk masyarakat Cina Sarawak pula tampil dengan bungkusan kain berwarna merah.  Umum mengetahui merah itu bermaksud tuah atau “ong” di dalam masyarakat Cina jadi tidak menghairankan penggunaan warna merah itu begitu popular sekali. 

Dan bagi masyarakat Dayak di Sarawak pada masa itu lebih gemar memilih untuk menggunakan bungkusan kain berwarna hitam untuk diberikan kepada Brooke.  Hitam itu di dalam masyarakat Dayak adalah satu warna yang begitu mulia dan kerana itulah jika kita melihat kepada busana tradisi masyarakat Dayak di Sarawak itu sendiri sentiasa ada yang menyelitkan warna hitam di dalam pemakaian mereka. 

Bertindak daripada penggunaan warna-warna yang berbeza-beza ini konon-kononnya dikatakan telah memberikan idea kepada Sir Charles Brooke untuk menjadikan warna kuning, merah dan hitam sebagai warna bendera Sarawak yang melambangkan perpaduan berbilang kaum di Sarawak.  Manakala pada jata negara turut menampilkan yang sama dengan dan seterusnya turut menonjolkan seekor haiwan yang dikenali sebagai luak (badger).  Inilah cerita disebalik warna bendera dan jata negara Sarawak di zaman Brooke yang sudah begitu diketahui oleh rakyat Sarawak dari dahulu hingga sekarang.

Dek kerana ia hanyalah satu cerita lisan maka tidaklah boleh digunapakai sepenuhnya.  Ini kerana jika kita betul-betul membuat kajian mengenai penggunaan warna pada bendera serta jata negara Sarawak sewaktu zaman Brooke sebenarnya boleh dijejaki nun melangkau sehingga ke negara England pada kurun ke 14 hingga ke 17 masihi. Pada masa itu, England begitu hebat dengan cerita keagungan, kepahlawanan dan kesetiaan kesatria (knight, baron) di kalangan anggota Tentera Diraja Great Britain yang melindungi Raja England. 

Apa yang begitu menarik, Sir Charles Brooke telah mengadaptasi warna dan lambang jata negara seorang kesatria Britain yang dimulai oleh Sir Thomas Brooke dan seterusnya Sir Richard Brooke.  Sir Thomas Brooke merupakan seorang kesatria diraja Britain dari tahun 1391 hingga 1439.  Kemudian diwarisi kepada legasi anak-anak lelaki sehinggalah kepada Sir Richard Brooke dari tahun 1632.  Tambah menarik lagi keluarga Sir Thomas Brooke itu berasal daripada Sommerset, England yakni kampung halaman kepada keluarga James Brooke itu sendiri. 

Jika difikirkan bagaimana mungkin Sir Charles Brooke tampil dengan idea untuk mengadaptasi jata negara yang dimiliki oleh Knight Brooke sebegitu sahaja.  Mesti ada pertalian antara mereka kerana nama keluarga turut sama iaitu Brooke malah bukan satu rahsia lagi bahawasanya ayah kepada Sir James Brooke, rajah pertama Sarawak yang juga datuk kepada Sir Charles Brooke iaitu Thomas Brooke merupakan seorang tentera Britain yang berpangkalan di India.  Mungkin ada susurgalur mereka yang berkaitan dengan Sir Thomas Brooke hingga ke Sir Richard Brooke kerana berasal daripada tempat yang sama.  Perkaitan geneologi ini mungkin hanya boleh dirungkai oleh mereka yang pakar sahaja. 

Dengan membuat penambaikan kepada jata negara Sir Thomas dan Sir Richard Brooke inilah maka tampilnya jata negara Sarawak dibawah Sir Charles Brooke.  Dan ketika pemerintahan Rajah ketiga iaitu Sir Charles Vyner Brooke pula dilakukan penambahan motto iaitu Dum Spiro Spero di dalam bahasa latin yang membawa maksud “While I Breath, I Hope” di dalam bahasa Inggeris.  Motto ini sebenarnya turut digunakan oleh negara atau negeri lain di dunia seperti North Carolina, USA malah golongan keluarga aristokrat di England seperti Bushnell turut berkongsi motto yang sama di dalam sejarah keluarga mereka.  Sekaligus penambaikan daripada dua rajah ini telah memberikan jata negara Sarawak itu agak unik jika dibandingkan dengan yang asal yakni jata kesatria-kesatria Brooke dari Sommerset, England.

Berdasarkan kepada pembongkaran sejarah ini mungkin sudah mampu dijadikan jawapan yang tuntas di dalam kita berbicara sejarah sebenar disebalik keberadaan jata negara dan warna bendera era Brooke di Sarawak yang mana ia masih kekal misteri bagi kita semua. 

Bagi memudahkan kefahaman semua dipaparkan pada artikel ini perbezaan dan persamaan jata negara bagi dua kesatria Brooke di era 14 dan 17 masihi dan Sarawak semasa pemerintahan Brooke.  Serupa tetapi tidak sama.

-HB-

#kameksayangsarawakbah!

Rujukan:

  1. Crest Of Sarawak .https://www.heraldry-wiki.com/heraldrywiki/index.php?title=Sarawak
  2. Sir Richard Brooke, knight 1632
    http://cheshire-heraldry.org.uk/weblog/2018/02/10/sir-richard-brooke-knight-1632/
  3. Brooke Baronet
    https://www.revolvy.com/page/Brooke-baronets
  4. Borneo Oracle – Rajah Kedua, Sir Charles Brooke
  5. Borneo Oracle – Rajah Ketiga, Sir Charles Vyner Brooke

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.