Semua sedia maklum, pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada Jumaat lepas memberi kelegaan kepada segenap rakyat Malaysia. Pakej PRIHATIN yang bernilai RM250 bilion ini amat membantu semua yang teruk dibadai Covid-19 dan yang terkesan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac lepas.

Di sebalik pengumuman itu, ada saja suara sumbang termasuk golongan artis yang mengharap mereka tidak dipinggirkan dari tidak mendapat bantuan. Namun, selepas dibantai oleh warga maya, barulah ia diperbetulkan kepada semua penggiat seni dan suara-suara ini menegaskan kenyataan mereka disalah tafsir oleh semua.

Salah tafsir atau tidak, mungkin perkara terbaik yang patut dilakukan bagi yang mempunyai kemampuan kewangan ialah menghulurkan bantuan Covid-19 dalam pelbagai cara seperti dilakukan oleh beberapa selebriti di seluruh dunia.

Lee Min-ho

1. Pelakon terkenal Korea Selatan, Lee Min-ho (City Hunter, Legend of the Blue Sea) mendermakan wang sebanyak 500 juta won (RM1.8 juta) kepada lapan buah pertubuhan kebajikan berbeza. Wang derma ini akan digunakan untuk membantu kanak-kanak dari keluarga-keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan perubatan dan pencegahan Covid-19.

Suho dan Kai.

2. Dua ahli kumpulan EXO, Suho dan Kai mendermakan wang sebanyak 50 juta won (RM178,422.23) kepada Community Chest of Korea dan Hope Bridge Disaster Relief Association.

J.Y. Park, pengasas JYP Entertainment

3. Syarikat pengurusan JYP Entertainment yang menaungi artis seperti 2PM dan Twice turut mendermakan 500 juta won kepada Community Chest of Korea. Wang tersebut akan digunakan untuk membeli sut perlindungan peribadi (PPE) dan topeng muka serta bahan pembunuh kuman untuk keluarga-keluarga berpendapatan rendah.

Manakala pelakon The Magnificent Seven dan IRIS, Lee Byung-hun pula mendermakan 100 juta won (RM356,844.80) kepada Community Chest of Korea. Dalam satu kenyataan, beliau berkata, “Saya amat bersimpati dengan keseriusan situasi epidemik Covid-19, jadi saya memutuskan untuk menderma dengan harapan semua akan menyumbang.”

Pertubuhan tersebut turut mendapat sumbangan derma berjumlah 20 juta won (RM71,639.01) daripada chef selebriti Lee Yeon-bok. Yeon-bok merupakan pemilik restoran terkenal Mokran dan pernah tampil dalam rancangan seperti  Please Take Care Of My Refrigerator.

Ryan Reynolds

4. Pelakon yang dikenali dengan watak Deadpool, Ryan Reynolds dan isteri Blake Lively mendermakan wang sebanyak AS$1 juta (RM4.3 juta) dengan wang tersebut akan dibahagikan antara FEEDING AMERICA dengan FOOD BANKS CANADA. Reynolds turut menggesa individu yang mempunyai kemampuan kewangan untuk tampil dan menghulurkan sumbangan.

Rihanna

5.Penyanyi lagu Umbrella, Rihanna turut menghulurkan sumbangan Covid-19 menerusi yayasannya, Yayasan Clara Lionel (CLF). CLF menyumbang sebanyak AS$5 juta (RM21.6 juta) kepada pertubuhan-pertubuhan di US dan seluruh dunia.

Dana ini akan disalurkan ke bank makanan di US, pembelian peralatan perlindungan untuk kakitangan perubatan barisan hadapan, penyelidikan dan pembangunan vaksin serta mempercepatkan usaha pengujian dan penjagaan di negara-negara seperti Malawi dan Haiti.

Akshay Kumar

6. Bintang Bollywood Akshay Kumar menyumbang kepada dana Covid-19 yang ditubuhkan Perdana Menteri India, Narendra Modi dengan sumbangan berjumlah 250 juta rupee (RM14.44 juta). Selain bintang filem Airlift dan Rustom itu, ramai lagi bintang Bollywood dan Kollywood turut membuat sumbangan dalam membantu India melawan Covid-19.

Rajnikanth.

Misalnya, legenda filem Tamil Rajnikanth mendermakan lima juta rupee untuk usaha penjagaan pesakit Covid-19. Manakala Hrithik Roshan yang muncul dalam filem War, filem terlaris Bollywood tahun lepas mendermakan sejumlah besar topeng muka kepada pekerja-pekerja majlis perbandaran Mumbai.

7. Artis Malaysia turut tidak ketinggalan menyumbang bagi meringankan beban rakyat yang terhimpit dengan situasi PKP akibat Covid-19. Misalnya, penyampai Era iaitu Radin Amir Affendy dan Haniff Hamzah memperuntukkan sebahagian gaji mereka untuk disumbangkan kepada insan memerlukan.

Radin Amir Affendy

Sejak Khamis lepas, kedua-dua penyampai radio ini menerima beratus mesej peribadi menerusi laman Instagram (IG) selepas membuka bantuan kepada rakyat Malaysia yang berdepan kesempitan hidup.

Haniff Hamzah.

Bagi Pemenang trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Radin berkata, ini merupakan daripada sebahagian usaha dan sumbangan yang mampu dilaksanakan. “Saya tahu ramai yang terkesan dengan penularan virus COVID-19 ini, lebih lagi mereka yang tiada gaji ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

“Saya berharap sumbangan tidak seberapa dapat meringankan beban mereka yang memerlukan wang sepanjang tempoh PKP ini. Saya pernah melalui fasa kesusahan, jadi saya tahu tekanan yang dihadapi. Bagaimanapun, gaji saya bukanlah besar untuk membantu secara keseluruhan. Saya bantu ikut kemampuan.

“Namun, saya percaya rezeki di tangan Tuhan. Niat saya membantu mereka yang memerlukan duit bagi menampung keluarga,” katanya semasa ditemubual akhbar Berita Harian.

Radin, 30, berkata permintaan mereka yang memerlukan bantuan tidak keterlaluan, hanya minta membeli lampin pakai buang anak, makanan dan barang keperluan. “Mereka tak minta ratusan atau ribuan ringgit, sekadar RM50 sudah cukup besar buat mereka,” katanya.

RUJUKAN:

Channel News Asia. (2020). South Korean celebrities join fight against COVID-19 with donations to aid efforts. https://cnalifestyle.channelnewsasia.com/trending/south-korean-celebrities-join-fight-against-covid-19-12494270

Economic Times. (2020). Akshay Kumar joins Covid-19 fight with a Rs 25 cr donation to PM’s relief fund. Wife Twinkle says she is ‘proud’ of him. https://economictimes.indiatimes.com/magazines/panache/fight-against-coronavirus-akshay-kumar-pledges-to-donate-rs-25-cr-in-pm-cares-fund/articleshow/74863417.cms

Ruey Yan, Lim. (2020). Coronavirus: South Korean celebrities donate money, masks. The Straits Times. https://www.straitstimes.com/lifestyle/entertainment/coronavirus-south-korean-celebrities-donate-money-masks

Radhakrishnan, Manjusha. (2020). Bollywood’s Akshay Kumar, Rajinikanth donate for coronavirus. The Gulf News. https://gulfnews.com/photos/entertainment/bollywoods-akshay-kumar-rajinikanth-donate-for-coronavirus-1.1585469281700?slide=2

Sky News. (2020). Coronavirus: The celebrities donating millions to help during pandemic. https://news.sky.com/story/coronavirus-the-celebrities-donating-millions-to-help-during-pandemic-11963615

Alhamzah, Tahir. (2020). #Showbiz: Ryan Reynolds, Blake Lively donate US$1mil to Covid-19 patients. New Straits Times. https://www.nst.com.my/lifestyle/groove/2020/03/576038/showbiz-ryan-reynolds-blake-lively-donate-us1mil-covid-19-patients%C2%A0

Mohamad, Zaidi. (2020). Radin, Haniff sedekah duit gaji. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/03/670324/radin-haniff-sedekah-duit-gaji


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.