Moving Forward As One

Artifak Kesultanan Melayu Melaka 500 Tahun Ditemui!

4,779

Sesiapa saja yang membaca buku Tasjil Anis Salatin – Rahsia Agung Melaka pasti merasa kagum dengan setiap aspek kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka (KMM) yang didedahkan penulis Farahana Shuhaimi. Dan sedikit demi sedikit, pelbagai artifak yang menyokong skala kehebatan Melaka pada zaman silam muncul dan menggamit minat pengkaji arkeologi dan peminat sejarah.

Terbaru, serpihan papan dan kayu jenis merbau dipercayai digunakan sebagai struktur kapal dagang atau pe.ra.ng zaman KMM, ditemui tertanam di kawasan tambakan laut di Kota Syahbandar, Pulau Melaka baru-baru ini. Serpihan papan dan kayu tersebut dikatakan berusia 500 tahun.

Rajah 1: Antara artifak yang ditemui di Kota Syahbandar, Pulau Melaka. Sumber: Bernama

Selain serpihan papan dan kayu, pasukan pengkaji arkeologi turut menemui ratusan duit syiling lama yang dikatakan berasal dari era Sultan Mahmud Shah, era Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) dan real Portugal. Artifak lain yang menarik perhatian mereka ialah serpihan seramik seperti tembikar dan porselin dari China. Serpihan seramik ini dihasilkan semasa era Dinasti Ming dan Dinasti Qing.

Menurut Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis, kerja-kerja ekskavasi di kawasan itu telah dibuat pada akhir bulan lepas. Pasukan arkeologi terdiri daripada pakar-pakar dari Jabatan Warisan Negara dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM). Selain pelbagai jenis artifak, mereka turut menemui beberapa struktur dan rangka kapal karam yang masih utuh.

Rajah 2: Datuk Muhammad Jailani Khamis meninjau struktur dan rangka kapal yang diekskavasi oleh pasukan pengkaji di Kota Syahbandar, Pulau Melaka. Sumber: Bernama.

Selain artifak-artifak dari zaman KMM, Portugal dan Belanda, pasukan arkeologi turut menemui 27 artifak yang lebih lama dari era-era berkenaan. Ini termasuk porselin, seramik, tempayan, pendayung dan celadon yang dihasilkan semasa Dinasti Song (960-1279). Jika semua artifak dapat dibuktikan pentarikhannya, ini menunjukkan Kota Syahbandar sudah berperanan sebagai pelabuhan sebelum dan selepas penubuhan KMM.

Bagi memastikan proses ekskavasi berjalan lancar, Datuk Jailani memberitahu peruntukan kecemasan akan disalurkan kerajaan negeri kepada pasukan pengkaji. Ini bagi memastikan proses ekskavasi tidak digugat oleh masalah kewangan. Ini kerana Datuk Jailani percaya masih banyak artifak yang belum dikeluarkan berikutan para air laut yang lebih tinggi dan pembinaan tambak laut sejak 2015.

Beliau turut memberi jaminan kawasan tersebut akan dilindungi dengan PERZIM dipertanggungjawabkan mengawal keselamatan tapak berkenaan. Bagi meningkatkan peluang menemui artifak-artifak bersejarah termasuk bangkai kapal karam, lebih banyak peralatan termasuk radar penembusan tanah (GPR) akan digunakan oleh pasukan pengkaji. Kesemua artifak yang ditemui akan dijadikan sebagai bahan pameran sejarah di Kompleks Pelancongan Samudera Perzim.

Penemuan signifikan ini bukan kali pertama ditemui di Pulau Melaka. Pada September tahun lepas, pasukan pengkaji dari PERZIM dan Jabatan Warisan Negara menemui pelbagai artifak bersejarah berusia 900 tahun di Pulau Melaka-Taman Melaka Raya. Antara artifak yang ditemui ketika itu seperti serpihan tembikar, duit syiling dan serpihan kayu dipercayai berasal dari era Sultan Mahmud, Portugal, VOC dan China (Dinasti Song, Yuan, Ming dan Cheng).

RUJUKAN:

Mamat, A. (2020). Artifak dipercayai berusia lebih 900 tahun ditemui di Melaka. Berita Harian.

Mamat, A. (2021). Artifak berkaitan kapal dagang 500 tahun ditemui. Berita Harian.

Bernama. (2021). More than 500-year-old ship, coins found.

Ruangan komen telah ditutup.