Bulan ini dikira sebagai bulan yang cukup menarik bagi dunia arkeologi di Malaysia. Pada tanggal 10 Januari 2020, tapak arkeologi masyhur di Malaysia iaitu Gua Niah diberikan penghormatan antarabangsa apabila menerima liputan daripada portal Ancient Origins yang berpangkalan di Ireland. Seterusnya pada 21 haribulan yang lalu, negara kita digemparkan dengan penemuan lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik berusia 17 000 tahun.

Penemuan ini melibatkan peralatan batu, pecahan tembikar dan kulit siput sungai yang dijumpai di tapak-tapak yang baru diekskavasi di tiga buah gua yang terdapat di Gunung Pulai, Baling, Kedah iaitu Gua Kelambu, Gua Tembus dan Gua Akar.

Ekskavasi dan penyelidikan arkeologi ini dilakukan oleh Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama daripada Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM). Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Warisan merangkap Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop, artifak-artifak ini ditemui semasa pasukan arkeologi jabatannya melakukan eksplorasi di kawasan berkenaan pada bulan April sehingga Oktober yang lalu.

Menurutnya lagi, eksplorasi tersebut bertujuan melaksanakan pendokumentasian dan inventori tapak bagi memperoleh data arkeologi terkini dan mengetahui sebarang kemungkinan jumpaan bukti yang masih belum diterokai oleh penyelidik terdahulu.

Penemuan ini dianggap signifikan atas beberapa faktor. Pertama, kehadiran artifak-artifak ini membuktikan bahawa wujud kehidupan prasejarah seusia 17 000 tahun di Gunung Pulai. Selain itu, ia turut memberikan petunjuk dan gambaran mengenai kehidupan mereka di zaman lampau. Misalnya, peralatan batu yang ditemui menggambarkan bahawa masyarakat Paleolitik di situ sudah pun menggunakan batu secara intensif untuk tujuan pemburuan dan penyimpanan makanan. Penemuan kulit siput sedut sungai pula memberikan pencerahan tentang amalan pemakanan dan diet masyarakat prasejarah yang menetap di situ.

Lebih daripada itu, seandainya artifak-artifak yang dijumpai ini benar-benar berusia 17 000 tahun, maka hal ini membawa maksud petempatan di Gunung Pulai adalah antara yang tertua di negeri Kedah dan bahkan lebih tua berbanding Tapak Arkeologi Sungai Batu, Merbok. Untuk mengenal pasti usianya secara tepat, sebahagian daripada artifak yang ditemukan setakat ini telah pun dihantar ke Singapura untuk menjalani penganalisaan lanjut.

Dalam kata ringkas, penemuan ini menjadikan Gunung Pulai sebagai tapak arkeologi yang bernilai tinggi lantaran berupaya menambahkan lagi data arkeologi negara di samping sesuai dijadikan sebagai asas dalam mengenali asal-usul masyarakat lampau.

Memandangkan artifak-artifak ini kesemuanya ditemui di permukaan tanah kawasan gua-gua tersebut, pasukan arkeologi negara meyakini bahawa mereka akan berupaya menemukan lebih banyak artifak yang tertanam jauh lebih dalam. Justeru, usaha pemetaan dan galian terus dilanjutkan dalam tempoh sebulan lagi (sepanjang Februari) dalam rangka mencari artifak lain. Jabatan Warisan Negara turut menyeru orang ramai agar melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah di kawasan Gunung Pulai kepada pegawai daerah atau pesuruhjaya warisan, sebagai mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Seruan ini dikira selaras hasrat kerajaan negeri Kedah yang mahu menjadikan kawasan penemuan 100 artifak zaman Paleolitik di Gunung Pulai, Baling ini sebagai satu produk pelancongan memandangkan penemuan gempar ini berupaya melonjakkan lagi nama gunung tersebut terutama dalam kalangan pebyelidik dan pakar-pakar arkeologi tempatan mahupun luar negara.

Untuk tujuan ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahatir memaklumkan kepada sidang akhbar yang disiarkan baru-baru ini bahawa kerajaan negeri akan berbincang bersama Jabatan Warisan Negara (JWN) secara lebih terperinci apakah bentuk sektor pelancongan yang dapat dilakukan di tapak warisan baru itu.

Diharapkan dari semasa ke semasa, kita sebagai pencinta sejarah dan arkeologi secara khusus dan rakyat Malaysia secara umum, dapat menerima khabar perkembangan dan kemuktamadan berkenaan pembangunan pelancongan yang mahu direalisasikan di tapak arkeologi Gunung Pulai, dan tidak dilupakan, Tapak Arkeologi Sungai Batu.

 

Dalam konteks pelancongan, Gunung Pulai sememangnya memiliki tarikan tersendiri, namun kurang diwarwarkan. Gunung ini menempatkan lebih lapan buah gua yang masih segar dengan keaslian semulajadi selain disusuri oleh sebahagian daripada Sungai Ketil sekaligus menjadikan unung Pulai sebagai khazanah alam yang istimewa.

Selain daripada Gua Kelambu, Gua Tembus dan Gua Akar yang disebutkan pada awal artikel, terdapat gua-gua lain di gunung yang berketinggian 616 meter itu, antaranya seperti Gua Tok Sheikh, Gua Layang-Layang, Gua Gelap, Gua Matahari, Gua Kambing dan Gua Ikan. Di antara kesemua gua ini, gua yang dianggap paling menarik adalah Gua Tok Sheikh lantaran ia menyimpan bukti kewujudan kelompok manusia Hoabinhian yang hidup pada zaman prasejarah (sekitar 6000 hingga 8000SM).

Daya-daya tarikan yang dimiliki oleh Gunung Pulai tidak hanya bersifat abstrak semata-mata, sebaliknya ia memberikan rahmat dan rezeki buat masyarakat sekitar.

Sebahagian penduduk mengambil peluang mendapatkan bekalan baja organik hasil buangan burung layang-layang di dalam Gua Layang-Layang, di mana harga pasaran bagi seguni baja organik itu mencecah RM18. Ada juga penduduk kampung yang masuk ke dalam hutan di sekeliling Gunung Pulai bagi mencari pokok paku haji yang berharga lumayan lantaran mendapat permintaan yang tinggi.

Selain mengumpulkan hasil hutan, penduduk sekitar juga berpeluang mencari rezeki di Gunung Pulai dengan menjadi malim gunung. Secara keseluruhan, dilaporkan terdapat sekurang-kurangnya 20 orang malim gunung di Gunung Pulai yang berperanan membawa pengunjung mendaki gunung berkenaan. Malahan, aktiviti di Gunung Pulai tidka terbatas kepada pendakian sahaja. Pengunjung turut berpeluang untuk melakukan aktiviti kayak di Sungai Ketil memandangkan ada penduduk yang menyediakan khidmat sewaan kayak. Kawasan berhampiran Kampung Paya Pulai pula menjadi lokasi sempurna untuk menikmati pemandangan alam terutama mataari terbit dari atas gunung. Hal ini sekaligus dimanfaatkan oleh sebilangan penduduk untuk membuka rumah penginapan buat para pengunjng.

Walaupun lokasi ini tidak dikomersialkan, tidak dinaiktaraf apatahlagi dipromosikan secara besar-besaran oleh pihak kerajaan sebagai pusat pelancongan atau pusat rekreasi, ia tetap berjaya menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara. Kekayaan alam semula jadi yang dimiliki oleh Gunung Pulai ini hanya diketahui menerusi sebaran di laman sosial, selain penyampaian maklumat secara mulut ke mulut. Sejak kepopulariti Gunung Pulai mula meningkat, lokasi tersebut berupaya menarik sehingga 80 orang pengunjung tempatan dan luar negara dalam masa sehari, khususnya pada hujung minggu.

Justeru, hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Gunung Pulai sebagai produk pelancongan wajar disokong dan digesa untuk direalisasikan. Memetik Suzalina Halid daripada sebuah rencana bertarikh 2016 yang disiarkan dalam Berita Harian, kemudahan baru yang boleh dan sesuai untuk disediakan oleh pihak kerajaan di Gunung Pulai antara lain adalah aktiviti memanjat gunung, payung terjun, sukan berakit dan berbasikal.

Malahan, Suzalina juga dengan lantang mencadangkan agar kerajaan negeri membina projek kereta kabel yang menghubungkan antara Gunung Pulai dan Gunung Baling sebagaimana yang dilakukan di Langkawi, bagi tujuan jangka masa panjang lantaran ia mampu melonjakkan sektor pelancongan di Kedah. Hal ini juga pernah dicontohkan oleh Kerajaan Peru semasa mereka giat memartabat dan mempromosikan tapak arkeologi Kuelap dengan memperkenalkan kereta kabel pada tahun 2017 dengan tujuan untuk memudahkan para pengunjung mengakses lokasi bersejarah itu tanpa perlu lagi mendaki selama tiga hingga empat jam seperti sebelumnya.

Apapun keadaannya, diharapkan semoga penemuan gempar ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh badan kerajaan untuk bukan sekadar mempersadakan dunia arkeologi negara, malah mengarusperdanakannya menerusi pembangunan sektor pelancongan, lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri sendiri menyeru untuk menadikan Tahun Melawat Malaysia 2020 sebagai misi nasional.

RUJUKAN

Suzalina Halid. (27 Mac 2016). Gua di Gunung Pulai menarik tetapi terbiar. Berita Harian.
https://www.bharian.com.my/node/137685

Tourism. (29 Mei 2019). Pendapatan Pelancongan Meningkat Sebanyak +16.9% Kepada RM21.4 Bilion Pada Suku Pertama 2019.
https://www.tourism.gov.my/media/view/pendapatan-pelancongan-meningkat-sebanyak-16-9-kepada-rm21-4-bilion-pada-suku-pertama-2019

Adie Sufian Zulkefli. (22 Januari 2020). Kawasan penemuan artifak prasejarah di Gunung Pulai boleh dijadikan produk pelancongan – Mukhriz. Astro Awani.
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kawasan-penemuan-artifak-prasejarah-di-gunung-pulai-boleh-dijadikan-produk-pelancongan-mukhriz-228762

TRT. (23 Januari 2020). Barang-Barang Terbuat dari Batu Berusia 17 Ribu Tahun Ditemui Di Malaysia.
https://www.trt.net.tr/melayu/asia-tenggara/2020/01/22/barang-barang-terbuat-dari-batu-berusia-17-ribu-tahun-ditemui-di-malaysia-1345240

Bernama. (23 Januari 2020). Lebih 100 artifak dianggar berusia 17 000 ditemui di Baling. Berita Harian.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/649263/lebih-100-artifak-dianggar-berusia-17000-ditemui-di-baling

Bernama. (21 Januari 2020). Artifak berusia 17 000 tahun ditemui di Gua Gunung Pulai, Baling. Astro Awani.
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/artifak-berusia-17-000-tahun-ditemui-di-gua-gunung-pulai-baling-228621

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.