Arsene Wenger: Jeneral Transformasi Arsenal

0
1375
views

Bila kita berbicara tentang Arsenal, nama Arsene Wenger amat sinonim dengan kelab bola sepak Inggeris ini. Manakan tidak, selepas dilantik sebagai pengurus menggantikan Bruce Rioch secara rasmi pada 1 Oktober 1996, banyak perubahan yang dibawa Wenger mengubah lanskap Liga Perdana Inggeris yang kita kenali hari ini. Tetapi siapa sebenarnya lelaki yang digelar Le Professor ini?

Wenger dilahirkan pada 22 Oktober 1949 di bandar Strasbourg, Alsace, Perancis. Pada masa kecilnya, beliau sudah diperkenalkan dengan bola sepak pada usia enam tahun. Semasa tempoh ini juga, bapanya, Alphonse banyak membawa Wenger menonton perlawanan-perlawanan di Jerman. Tatkala itulah, antara pasukan pertama yang diminatinya ialah pasukan Borussia Moenchengladbach. Memandangkan Alsace satu wilayah yang amat menekankan keagamaan, jika Wenger dan rakan-rakannya mahu bermain bola sepak, mereka perlu mendapatkan kebenaran dari paderi-paderi Roman Katolik untuk tidak menghadiri gereja sebelum bermain.

Jetpack Langkawi

Karier beliau sebagai pemain tidaklah segemilang karier pemain-pemain hebat Perancis tetapi itu tidak menghalangnya menunjukkan kualiti awal sebagai pengurus. Di kelab pertamanya, FC Duttlenheim misalnya, pada usia 16 tahun, Wenger menyelia latihan pasukannya berikutan pasukan itu tidak ada jurulatih yang melatih mereka secara taktikal. Tak lama selepas itu, beliau direkrut oleh kelab divisyen tiga Perancis, AS Mutzig. Di sinilah, Wenger bertemu dengan mentornya, Max Hild yang memberi kesan besar kepada setiap aspek kejurulatihannya. Selain banyak mempelajari taktik permainan, beliau turut mengikuti Hild menonton perlawanan-perlawanan Bundesliga dengan tujuan mengkaji gaya-gaya kejurulatihan yang berbeza. Dua tahun selepas itu, Wenger melanjutkan pelajaran di Universiti Strasbourg dalam fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan sambil menyeimbangkan karier bola sepaknya dengan menyertai kelab semi-profesional Mulhouse. Beliau mendapat ijazah dalam jurusan ekonomi pada tahun 1974.

Pada tahun 1978, Wenger kembali bersatu dengan Hild apabila ditawarkan peranan pemain dan pembantu pasukan simpanan FC Strasbourg. Ia satu saat indah buat beliau kerana dapat berkhidmat bersama kelab yang disokong sejak kecil. Dengan kariernya semakin ke penghujung, Wenger membuat penampilan terakhir sebagai pemain senior pada tahun 1979. Untuk dua tahun berikutnya, beliau menghabiskan masa menguruskan pasukan simpanan dan remaja Strasbourg. Menyedari kepentingan bahasa Inggeris, Wenger mengambil kursus bahasa selama tiga minggu di Universiti Cambridge dan mendapatkan sijil kejurulatihannya pada tahun 1981.

Ramai mengagumi hasil kerjanya di Strasbourg, jadi tidak hairanlah mengapa ramai mahukan Wenger jadi sebahagian daripada staf mereka. Peluang pertamanya ialah di kelab AS Cannes pada tahun 1983 di mana beliau berkhidmat sebagai pembantu Jean-Marc Guillou. Antara peranan beliau ialah meninjau pasukan lawan dan menerapkan disiplin semasa sesi latihan berjalan. Hasil kerjanya dalam meningkatkan kualiti pemain AS Cannes membantu mereka layak ke peringkat suku akhir Piala Perancis tetapi gagal layak ke Ligue 1. Kegagalan itu membuka ruang kepada kelab Ligue 1, AS Nancy untuk mengambilnya sebagai jurulatih.

Di Nancy, Wenger melihat pasukannya tidak mempunyai kualiti yang mencukupi dan hanya diberi sedikit dana perpindahan. Apapun, ia sebenarnya memberi peluang kepada beliau untuk menguji semua teori yang dipelajarinya. Di sini, Wenger mengupah seorang pakar pemakanan untuk menerangkan makan secara sihat kepada pemain dan melarang mereka mengambil makanan ringan sebelum bermain. Di Nancy ini juga, beliau turut mengubah posisi pemain dengan tujuan meningkatkan lagi potensi seseorang pemain. Pada musim pertamanya sebagai jurulatih, Nancy menamatkan musim di tempat ke-12. Tetapi musim berikutnya amat mencabar di mana mereka terperangkap dalam zon penyingkiran dan terlepas apabila mengalahkan Mulhouse dengan agregat 3-2 menerusi penentuan play-off. Musim seterusnya, Wenger gagal menyelamatkan mereka dari tersingkir ke Ligue 2. Ini disebabkan tindakan pihak pengurusan menjual pemain-pemain bernilai dan memberi sedikit wang untuk mencari pengganti. Bagaimanapun, itu tidak menghalang AS Monaco untuk merekrutnya sebagai pengurus baru mereka pada tahun 1987.

Pada musim pertamanya di Monaco, Wenger merekrut beberapa pemain sebagai teras pasukan seperti legenda Tottenham Hospur, Glenn Hoddle, bekas pemain A.C Milan, Mark Hateley dan orang besi Bordeaux, Patrick Battiston. Mereka membantu AS Monaco menjadi juara pada musim 1987-1988, enam mata mengatasi pasukan lama Battiston, Bordeaux. Setahun berikutnya, mereka gagal mengekalkan kejuaraan liga dan berada di tempat ketiga di belakang Olympique Marseille dan Paris Saint Germain walaupun merekrut bakal presiden Liberia, George Weah. Pencapaian sama diulangi pada tahun berikutnya dengan penyerang Ramon Diaz menjaringkan 15 gol untuk kelab itu pada musim pertamanya. Pada musim 1991-1992, mereka menamatkan musim sebagai naib juara liga. Pada musim 1992-1993 dan 1993-1994, walaupun dengan kehadiran legenda Jerman, Jurgen Klinsmann, Monaco hanya menamatkan liga pada kedudukan ketiga dan kesembilan. Tetapi musim 1993-1994 itu juga, Monaco layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah tetapi kalah dengan juara musim tersebut, A.C Milan. Berikutan itu, Bayern Munich mahukan Wenger sebagai jurulatih baru mereka menggantikan Franz Beckenbauer tetapi ditolak AS Monaco. Pada musim 1994-1995, selepas permulaan buruk dalam liga, Monaco memecat Wenger dengan pasukan berada di kedudukan ke-17 liga.

Tak lama selepas itu, Wenger dilantik sebagai pengurus Nagoya Grampus Eight, sebuah kelab Jepun di mana pemilik majoritinya ialah Toyota. Semasa di Jepun, beliau menganggap ia satu keputusan terbaik kerana ia memulihkan semula keghairahannya pada sukan bola sepak. Wenger membantu Nagoya memenangi Piala Maharaja dan Piala Super pada tahun 1996. Kejayaan Wenger ini menarik perhatian ramai termasuk kelab lamanya, Strasbourg dan Arsenal menerusi naib pengerusi mereka dan bakal sekutu rapatnya, David Dein. Beliau menolak permintaan Strasbourg atas alasan Arsenal terlebih dahulu mengajukan niat mereka. Selepas beliau meninggalkan Jepun pada tahun 1996, Wenger meninggalkan satu legasi bercampur-campur tetapi siapa sangka anak didiknya, Dragan Stojkovic membantu Nagoya menjuarai liga pada tahun 2010.

Pada Oktober 1996, Wenger dilantik secara rasmi sebagai pengurus Arsenal menggantikan Bruce Rioch. Sebenarnya, Dein mahu Wenger dilantik seawal tahun 1995 tetapi dibangkang ahli lembaga pengarah ketika itu. Tetapi selepas melihat kempen Arsenal yang merudum di bawah Rioch, pihak lembaga pengarah mula terbuka hati untuk merekrut Wenger. Dan seperti biasa, reaksi pertama bila mendengar nama Wenger ialah “Siapa Arsene?”. Tetapi pendekatan beliau dalam latihan dan pemakanan memberi kesan positif bukan saja kepada perkembangan liga tetapi juga peningkatan kualiti pemain. Wenger tidak membenarkan mereka minum arak pada hari cuti dan di ruang rehat pemain, menggalakkan pemain mengambil makanan lebih sihat dan memberi suntikan vitamin untuk membantu mengurangkan keletihan. Dan Wenger turut mendengar pandangan pemain senior seperti Tony Adams dan tidak keberatan menunjukkan sisi lucunya bagi mengeratkan lagi hubungan sesama pemain. Pada musim tersebut, Arsenal menamatkan musim di tangga ketiga di belakang Newcastle United.

Pada musim 1997-1998, untuk membantu Arsenal sebagai pencabar kejuaraan liga, Wenger membeli beberapa pemain yang akan memainkan peranan penting untuk tahun-tahun berikutnya seperti Marc Overmars, Emmanuel Petit, Giles Grimandi dan Nicolas Anelka. Pada awalnya, mereka bermula baik tetapi bergelut untuk beberapa bulan berikutnya sehingga pada satu ketika, mereka berada di tangga keenam liga. Semua menyangka pasukan bimbingan Sir Alex Ferguson, Manchester United akan meneruskan dominasi mereka tetapi semua itu berakhir apabila Overmars menjaringkan gol kemenangan ke atas Red Devils di Old Trafford, sekaligus membawa kepada sembilan kemenangan berturut-turut liga dan kejuaraan liga. Wenger turut mencipta sejarah sebagai pengurus asing pertama yang memenangi kejuaraan berganda apabila Arsenal mengalahkan Newcastle untuk memenangi Piala FA pada musim yang sama. Bagaimanapun dari 1998 hingga 2001, Arsenal mengalami kemarau kejuaraan piala tatkala pencabar mereka seperti United dan Liverpool menikmati kejayaan tiga piala masing-masing pada musim 1998-1999 dan 2000-2001.

Kemarau kejuaraan piala Arsenal ditamatkan apabila mereka sekali lagi mengulangi kejayaan trofi berganda pada musim 2001-2002. Pada ketika itu, Wenger merekrut pemain-pemain baru menggantikan pemain lama seperti Nigel Winterburn dan Steve Bould. Produk akademi, Ashley Cole menggantikan Sylvinho sementara bekas kapten Tottenham, Sol Campbell direkrut sebagai orang besi baru Arsenal. Sementara Fredrik Ljungberg dan Robert Pires menjadi sumber kreatif pasukan. Hasilnya, mereka menjuarai liga mengatasi Manchester United menerusi jaringan Sylvain Wiltord dan mengatasi Chelsea untuk menjuarai Piala FA musim itu juga. Pada musim berikutnya, walaupun pada satu ketika Arsenal dilihat boleh mencatat kejuaraan liga berturut-turut, Manchester United mengatasi mereka pada minggu-minggu akhir musim. Bagaimanapun, ia bukanlah satu bencana pada Wenger kerana Arsenal berjaya mengekalkan kejuaraan Piala FA.

Musim 2003-2004 merupakan satu pencapaian hebat kepada Arsenal. Inilah musim di mana Arsenal mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim tersebut dan pada awal musim 2004-2005 sehingga pasukan tersebut digelar The Invincibles. Pencapaian The Gunners ini menyamai pencapaian Preston North End yang dibuat 115 tahun lepas. Bagaimanapun, ia berakhir dengan kekalahan 2-0 kepada Manchester United. Hari tersebut diingati bukan saja kerana penamat rekod tanpa kalah Arsenal tetapi juga perang makanan antara kedua-dua kelab di bilik persalinan di Old Trafford sehinggakan Ferguson terkena piza yang dibaling pemain tengah Arsenal ketika itu, Cesc Fabregas. Pada musim 2005-2006 pula, mereka berjaya layak ke final Liga Juara-Juara Eropah tetapi kalah kepada Barcelona.

Semasa musim mereka bertukar stadium dari Highbury ke Stadium Emirates, kos pembinaan stadium amat membebankan sehingga memaksa Wenger menjual beberapa pemain bernilai seperti Campbell, Henry dan Pires serta mengambil pemain muda sebagai teras baru pasukan seperti anak saudara Rigobert Song, Alex dan Theo Walcott. Untuk tahun-tahun inilah, Arsenal menamatkan cabaran mereka di tangga keempat dan mereka diketahui sebagai menghiburkan tetapi tidak konsisten. Pada musim 2007-2008, The Gunners layak ke final Piala Liga dan pasukan paling muda bertanding dengan purata usia 21 tahun. Namun ia berakhir dengan kesedihan apabila Chelsea menewaskan mereka dengan keputusan 2-1.

Pada tahun-tahun ini juga, berlakunya pergolakan dalam lembaga pengarah yang membawa kepada pemergian Dein, sekutu rapat Wenger sehingga menyebabkan Wenger bimbang akan kedudukannya. Beliau sendiri mempertimbang untuk melepaskan jawatan tetapi dipujuk Dein untuk tidak meneruskannya. Pada tahun 2009, Wenger memecahkan rekod George Allison sebagai pengurus Arsenal yang paling lama. Namun musim 2010-2011 merupakan musim paling mencabar kepada Wenger kerana pergolakan dalam kalangan pemain di mana ada dalam kalangan mereka diintai oleh kelab-kelab besar seperti Manchester City dan Barcelona. Akibatnya, ini memaksa beliau menjual Fabregas kepada Barca sementara Samir Nasri dan Gael Clichy kepada The Citizens dan menjadi mangsa belasahan Red Devils dengan keputusan 8-2 di Old Trafford. Namun, pasukan berjaya distabilkan dan mereka layak ke Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-15.

Pada msuim 2012-2013, Wenger kehilangan kapten Robin van Persie kepada Manchester United dan pembantu setia, Pat Rice yang bersara pada akhir musim bunga. Walaupun berjaya mendapat pemain-pemain hebat seperti Mikel Arteta, Per Mertesacker, Yossi Benayoun, Lukas Podolski, Olivier Giroud, Mesut Ozil dan Alexis Sanchez, Arsenal terus bergelut dengan isu tidak konsisten dan gagal mendapat rentak diperlukan pada masa penting. Dan ia terus berulang untuk musim-musim berikutnya di mana Arsenal pada satu ketika dilihat mampu mencabar kejuaraan liga tetapi kecundang pada akhirnya. Tetapi itu tidak menghalang mereka menjadi juara Piala FA pada tahun 2014, 2015 dan 2017 sekaligus menjadikan Wenger pengurus paling berjaya dalam sejarah Piala FA.

Namun semua ini tidak akan memadamkan apa yang berlaku sekarang. Protes peminat sejak beberapa tahun lepas, isu pemain tidak konsisten, kualiti pemain yang dibawa tidak memuaskan dan mudah menjadi mangsa kelab-kelab kecil menyebabkan Arsenal merudum hingga ke tahap yang tidak pernah disangka-sangka. Pada musim ini, Arsenal gagal layak ke Liga Juara-Juara Eropah dan terpaksa bermain di Liga Europa. Mereka berjaya layak ke final Piala Liga tetapi tewas mudah kepada Manchester City dengan keputusan 3-0. Kemelut Arsenal ini berpunca dari seorang individu iaitu pengurus mereka sendiri, Wenger.

Tiada siapa boleh nafikan jasa Wenger dalam membawa Arsenal ke hadapan sehingga menjadi kelab gergasi yang kita ketahui hari ini. Namun masa sudah berubah dan sudah tiba masa beliau menyerahkan baton kepada orang lain. Jika Wenger terus berkeras dengan pendiriannya enggan melepaskan jawatan, beliau sebenarnya secara tidak langsung merosakkan legasi yang dibina selama bertahun-tahun. Suka atau tidak, ego perlu dikorbankan demi kepentingan semua. Dan ini sesuatu yang diharapkan semua lebih-lebih lagi bila ada perkhabaran Wenger bakal meletak jawatan pada akhir musim.

Previous articleCetak Rompak Permainan Video
Next articleRahsia Agung Melaka: Kekayaan Yang Tidak Terbayang Dek Akal
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE