Arqamnomics: Gerakan Ekonomi Kumpulan Arqam

3,415

Dari tahun 70-an hingga awal 90-an, negara pernah dikejutkan dengan kemunculan satu kumpulan ajaran sesat pimpinan Ashaari Muhammad iaitu al-Arqam. Kumpulan ini mencetuskan keributan pada awal tahun 1990-an sehingga ia kemudiannya diharamkan oleh pihak kerajaan pada tahun 1994.

Di sebalik semua ini, ada satu kebaikan yang ditonjolkan kumpulan ini iaitu kemampuan mereka membangunkan ekonomi dengan alasan apabila umat Islam mempunyai kekuatan dari segi ekonomi, maka umat Islam akan menjadi maju dan dapat beribadat dengan selesa.

Pendekatan ekonomi Arqam yang dikenali sebagai Arqamomics yang mengaplikasikan falsafah, teori dan amalan agama Islam dalam soal pengurusan ekonominya. Tiga prinsip utama Arqamnomics ialah:

i. Tidak mencari keuntungan berlebihan.

ii. Asas ekonomi berdasarkan tenaga sumber manusia, kepakaran, kemahiran, pemikiran ekonomi, usaha, konsisten dan doa.

iii. Ekonomi bebas daripada sumber riba, monopoli, sumber haram (contoh aktiviti perjudian dan pelacuran), pinjaman tidak berbayar dan penipuan.

Untuk mengaplikasikan pendekatan ekonomi ini dalam dunia sebenar, pergerakan tersebut membina rangkaian aktiviti perniagaan dalam dan luar negara serta dianggap berjaya mengintegrasikan falsafah ekonomi ini dalam setiap aktiviti perniagaan mereka.

Antara aktiviti yang diberi penekanan ialah penghasilan makanan halal di mana ia diletakkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Ekonominya. Dari tahun 1977 hingga 1994, aktiviti ekonomi Arqam berkisar kepada aktiviti ekonomi bersifat fardu kifayah termasuk penghasilan makanan halal, rangkaian kedai dan sebuah pusat pengedaran.

Pada tahun 1977, Arqam mula membuka banyak kilang-kilang makanan halal dan kedai-kedai perniagaan.  Pengikut Al-Arqam juga bijak menggunakan teknologi moden dan media massa bagi mempromosikan perniagaan. Mereka  bijak menggunakan media elektronik dan media cetak untuk menyampaikan segala maklumat kepada pengikutnya termasuk menerbitkan akhbar Al-Arqam edisi Jawi untuk diedarkan kepada para pengikutnya bagi mendapat maklumat terkini pertubuhan itu.

Selain bidang pemprosesan makanan halal, Arqam turut melebarkan sayap ekonominya dalam bidang lain seperti perubatan. Pada tahun 1978, Al-Arqam telah membuka klinik di serata tempat termasuklah beberapa cawangan klinik di Melaka dan di Kedah. Pada tahun 1980, kumpulan ini menjadi semakin kukuh apabila mula mengembangkan sayap dakwahnya ke luar negara bermula di sekitar Asia Tenggara dan berkembang hingga ke Eropah.

Ketika Arqam berada di kemuncak, kumpulan ini mempunyai 24 markas di serata dunia. Contohnya di Indonesia, organisasi ini mendapat sokongan ramai di situ berikutan berjaya mewujudkan puluhan kilang-kilang pemprosesan makanan halal dari Jakarta hingga Acheh dan mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada para pengikutnya.

Malah, setahun sebelum ia diharamkan, Arqam turut menubuhkan satu kumpulan syarikat yang menghimpunkan semua syarikat sayap ekonominya di bawah satu payung iaitu Arqam Group of Companies. Kumpulan ini turut menunjukkan minat dalam aktiviti ekonomi bersifat strategik dan komersial di mana salah satu syarikat bernama Spectra Technologies menawarkan khidmat penyelenggaraan kepada syarikat-syarikat besar seperti Esso, Shell, Petronas dan Tenaga Nasional Berhad.

Spectra diletakkan di bawah pemantauan Bahagian Sains dan Teknologi Arqam. Manakala Bahagian Pertanian Arqam bertanggungjawab mendapatkan tanah seluas 20 ekar untuk membangunkan Kompleks Pusat Latihan Pertanian Arqam di Batu Hampar, Perak, pemilikan 20 ekar sawah padi di Pulau Pinang dan sebuah ladang seluas 120 ekar di Sabah. Berdasarkan anggaran, kesemua aset mereka termasuk perkampungan-perkampungan dan aset syarikat ini berjumlah lebih RM200 juta.

Melihat kepada model ekonomi mereka yang tidak bergantung kepada orang lain, menyediakan sumber sendiri dan menjualnya secara terus kepada orang ramai, secara tidak langsung ia sebenarnya memecah monopoli orang bukan Islam dalam sesetengah produk seperti kicap.

Kumpulan ini bukan sekadar menghasilkan kicap tetapi juga mee, bihun, tauhu dan taucu. Kesungguhan mereka memberi inspirasi kepada orang Melayu lain untuk bangkit dan kini, kebanyakan taucu disediakan oleh syarikat-syarikat Bumiputra. Kejayaan kumpulan ini menarik minat ramai orang termasuk wakil Kristian Filipina untuk mempelajari model ekonomi Arqam itu.

Kunci kejayaan Arqamnomics berdasarkan beberapa buku terbitan kumpulan itu ialah:

1. Iman yang kuat di mana ia bukan saja sebagai alat pembentuk organisasi yang kuat dan semangat perjuangan yang kental bila diuji dengan cabaran dan dugaan.

2. Ikatan persaudaraan dan ukhuwah yang kuat antara ahli di mana mereka bersedia mengorbankan apa saja termasuk harta benda kerana yakin ia merupakan satu ibadat dan mendapat ganjaran di akhirat. Selain itu, mereka juga sentiasa aktif dalam soal hubungan sosial termasuk saling menasihati, saling bermaafan dan tegur-menegur antara satu sama lain.

3. Patuh kepada arahan ketua di mana segala bentuk permasalahan diajukan terus kepada pucuk pimpinan Arqam iaitu Abuya. Dengan menjadikan satu sumber sebagai pegangan, perjuangan pengikut juga dapat diselaraskan. Tetapi ini juga menimbulkan masalah lalu wakil-wakil bagi setiap peringkat atau daerah dilantik sebagai rujukan para pengikut.

4. Sumbangan daripada ahli-ahli sama ada dalam bentuk kewangan (ahli yang berada) atau tenaga dan pengetahuan (bagi ahli yang kurang berkemampuan).

5. Menjaga kebajikan ahli dalam pelbagai bentuk insentif atau bantuan seperti khidmat kesihatan percuma dan keperluan asas yang berpatutan tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak termasuk kerajaan.

6. Pengurusan perniagaan diuruskan oleh anggota Arqam sendiri di mana ia dapat menjimatkan kos pengurusan dan meningkatkan lagi nilai keuntungan perusahaan yang diusahakan.

7. Layanan mesra yang diberi pekerja perusahaan Arqam yang menjadikan sesiapa saja termasuk pengikut kumpulan itu sebagai pelanggan setia sekaligus membolehkan lebih banyak wang masuk dalam kantung kewangan syarikat-syarikat ini.

Selepas kumpulan Arqam, Ashaari kemudiannya telah membuka empayar baru dikenali sebagai Rufaqa yang mempunyai lebih 500 rangkaian perniagaan dalam dan luar negara. Antara bidang yang disertai syarikat ialah sektor jualan runcit, multimedia, penjagaan kesihatan, dobi dan motivasi. Tetapi seperti Arqam Group of Companies, Rufaqa juga mendapat tekanan daripada pihak berkuasa.

Pada tahun 2006, syarikat ini diserbu oleh pihak berkuasa kerana dikatakan cuba menghidupkan semula kumpulan Arqam yang diharamkan itu sebelum ia diharamkan pada Disember tahun sama. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran mana-mana pihak yang cuba membangkitkan ajaran Arqam akan berhadapan dengan tindakan keras undang-undang.

Berikutan itu, Global Ikhwan Sdn Bhd pula ditubuhkan untuk menyambung empayar organisasi Arqam. Ia mempunyai 700 cawangan di seluruh dunia termasuk England, Jerman, New Zealand, Australia dan Iran dengan fokus diberi kepada perniagaan pasar raya, kedai dobi dan pemprosesan makanan. Salah seorang anggota lembaga pengarah GISB menegaskan kumpulan tersebut tiada kaitan dengan Arqam dan mereka tiada minat untuk membangkitkan semula ajaran kumpulan yang diharamkan itu.

Namun beberapa tahun selepas itu, syarikat itu dipalit kontroversi apabila beberapa kakitangan Global Ikhwan Sdn. Bhd. telah ditahan di Arab Saudi kesan laporan yang dibuat mengatakan penglibatan syarikat ini dalam kegiatan ajaran sesat di Makkah. Selepas Ashaari meninggal dunia pada tahun 2010, empayar ini diuruskan oleh isteri dan anak-anaknya sehingga hari ini.

RUJUKAN:

1. Tawaurians.com. (2017). Kemampuan Al-Arqam Membangunkan Ekonomi Sangat Menakjubkan. https://www.tawaurians.com/2017/10/kemampuan-al-arqam-membangunkan-ekonomi.html

2. Usahawan.com. Bagaimana Al-Arqam Membina Network Bisnes. https://www.usahawan.com/uncategorized/bagaimana-al-arqam-membina-network-bisnes.html/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.