Armada Perahu Kora-kora Yang Menenggelamkan Angkatan Laut Belanda

0
513
views

Jika Laksamana Yi Sun Shin, Korea terkenal dengan kapal kura-kuranya yang berjaya menenggelamkan kapal-kapal laut Jepun, armada perahu kora-kora Sultan Nuku pula berjaya menenggelamkan kapal-kapal laut Belanda.

Sultan Nuku Muhammad Amiruddin yang terkenal dengan kesolehannya adalah Sultan Tidore yang memerintah dari tahun 1779 hingga 1805. Bapanya iaitu Sultan Jamaluddin telah ditawan oleh Belanda.

Wilayah kekuasaan Sultan Nuku sangat luas menjangkau hingga ke Seram dan Irian Jaya. Hidupnya dihabiskan dalam jihad fi sabilillah. Dengan itu, baginda digelar ‘Sayyidul Jihad’ (Penghulu Jihad).

Perahu Kora-kora adalah sejenis perahu yang masyhur di kepulauan Maluku Utara. Di samping memuatkan ramai pendayung, badannya yang rendah, panjang dan tirus umpama kereta Formula 1 menjadikan perahu ini sangat laju dan stabil ketika membelah laut. Maka penggunaan perahu ini dalam perang di laut adalah lambang kebijaksaan orang-orang Maluku.

Armada perahu yang kecil tetapi laju dalam jumlah yang banyak dengan formasi perang laut yang tersusun telah berjaya mengepung dan menenggelamkan kapal-kapal Belanda di perairan Maluku.

Dengan itu, Sultan Nuku berjaya menewaskan dan mengusir Belanda dari kepulauan rempah itu yang selama ini berpusat di Ternate. Sepanjang hidupnya, Belanda tidak pernah berjaya menewaskannya dan baginda berjaya menguasai gugusan kepulauan di utara Maluku secara mutlak dengan armada perahu Kora-koranya.

Sultan Nuku mangkat pada tahun 1805. Kerana keunggulannya dalam perang di laut, nama baginda diabadikan pada kapal Tentera Laut Indonesia.