Moving Forward As One

Armada Laksamana Cheng Ho: Bandar Bergerak Atas Laut

3,219

Bayangkan ratusan kapal berlayar di lautan dengan kain layar berwarna merah yang diperbuat daripada sutera. Dan yang mengetuai kapal-kapal ini ialah kapal-kapal besar dengan setiap kapal lebih besar daripada padang bola sepak. Inilah Angkatan Laut Dinasti Ming yang diketuai laksamana mereka yang terkenal, Zheng He atau Cheng Ho.

ARMADA LAUT DINASTI MING

Angkatan laut ini bukan sekadar membawa kekayaan China yang tidak dapat dibayangkan ke tanah asing. Sebaliknya, ini juga merupakan cara China menunjukkan kedudukannya sebagai sebuah kuasa besar termasuk menewaskan ancaman lanun dan mengangkat pemimpin tempatan sebagai raja.

Pada tahun 1368, Dinasti Ming mula bertapak selepas berjaya menamatkan pemerintahan Dinasti Yuan atau Mongol di China selama hampir seabad. Pemerintah pertama dinasti iaitu Maharaja Hongwu memerintah selama 30 tahun dengan era pemerintahannya disifatkan sebagai makmur dan aman.

Rajah 1: Maharaja Hongwu

Bagaimanapun, selepas kemangkatan baginda pada tahun 1398, tindakan penggantinya Maharaja Jiangwen cuba menyingkirkan ayahanda-ayahanda saudaranya termasuk Zhu Di mencetuskan Pemberontakan Jingnan. Pemberontakan itu berlangsung selama tiga tahun dan hanya berakhir Jiangwen ditewaskan oleh ayahanda saudaranya di Nanjing. Nanjing kemudiannya dibakar termasuk istana diraja dan menyaksikan ramai orang terbunuh termasuk baginda sendiri.

Zhu Di kemudiannya menaiki takhta sebagai maharaja ketiga Ming dengan menggunakan gelaran Yongle yang bermaksud kegembiraan yang berkekalan. Begitupun, baginda juga seorang yang bercita-cita tinggi dan pasti mahu melebarkan pengaruh Dinasti Ming ke wilayah-wilayah lain. Buktinya, Yongle mengarahkan Annam diilhak dan turut mengetuai sendiri ekspedisi ketenteraan ke utara China bagi mengekang an.ca.man golongan Mongol.

Rajah 2: Maharaja Yongle

Tetapi baginda tidak mahu berhenti di situ saja. Yongle mahukan semua negara di setiap arah mata angin mengiktiraf kedudukan China sebagai kuasa besar dan berada di bawah pengaruh ekonomi kerajaan itu. Projek ini diserahkan kepada salah seorang orang kepercayaan baginda iaitu Cheng Ho.

Beliau dilahirkan pada tahun 1371 di wilayah Yunnan dengan nama asalnya ialah Ma He. Ramai sejarawan percaya bapanya merupakan seorang pegawai rendah kerajaan semasa Dinasti Yuan berkuasa dengan moyangnya mempunyai darah Parsi. Dan menariknya, Cheng Ho merupakan seorang Muslim dan mengamalkan ajaran agama semasa hayatnya.

Rajah 3: Cheng Ho

Semasa Dinasti Ming mula bangkit, salah satu wilayah yang jatuh ke tangan mereka ialah Yunnan dengan bapanya terbunuh dalam se.ra.ngan. Cheng Ho kemudiannya ditawan pada usia muda di mana beliau selepas itu dikasi dan diletakkan sebagai pegawai yang berkhidmat di bawah Zhu Di.

Apabila Pemberontakan Jingnan meletus, Cheng Ho bertarung dengan berani di medan pertempuran bagi menjayakan usaha tuannya mendapatkan takhta Dinasti Ming. Atas sebab itulah, bagi mengenang jasanya yang tidak ternilai itu, Yongle menukar namanya daripada Ma He kepada Zheng He. Nama Zheng dipilih sempena nama kuda perang kegemaran baginda.

Bagi membentuk angkatan laut yang dimahukan Yongle, sebuah dok kering yang besar dibina di Nanjing. Di sini, tiga buah kapal besar yang dikelaskan sebagai kapal harta karun dibina dengan panjang setiap kapal ialah 450 kaki dan 200 kaki lebar. Ini menjadikan kapal-kapal ini jauh lebih besar daripada kapal-kapal ekspedisi yang digunakan pelayar Christopher Columbus semasa berlayar ke benua Amerika.

Rajah 4: Gambaran kapal besar yang membawa khazanah harta dari China.

Kapal-kapal ini turut mempunyai bahagian kedap air pada badan kapal sekaligus memastikan sekiranya kapal bocor, ia hanya berlaku pada satu bahagian saja. Ia digelar kapal harta karun kerana membawa banyak khazanah berharga seperti emas, sutera, barangan porselin dan perak. Khazanah-khazanah ini selalunya dibawa sebagai hadiah kepada pemerintah-pemerintah asing setiap kali angkatan laut pimpinan Cheng Ho ini berlabuh. Sebagai tukaran, pemerintah-pemerintah ini bersedia membayar ufti kepada pihak Ming.

Terdapat 62 buah kapal harta karun dan ia mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkan semua kapal. Kapal harta karun ini turut disokong oleh 190 kapal-kapal yang lebih kecil yang berperanan sebagai kapal bekalan. Anak kapal terdiri daripada ramai orang dari pelbagai bidang seperti pembuat kain layar, tukang masak, doktor, tukang kayu, tentera dan diplomat. Melihat kepada angkatan laut Ming ini, tidak hairanlah ramai menggelarnya sebagai bandaraya terapung.

Pada musim panas 1405, ekspedisi yang dinantikan Yongle itu bermula. Sebelum berlayar, semua krew membuat persembahan dan sembahyang kepada Mazu, dewi pelindung kelasi mengikut kepercayaan masyarakat China. Malah, idea penyembahan dewi ini turut disebarkan Cheng Ho setiap kali mereka berlabuh.

Dari Nanjing, ekspedisi menyusuri Sungai Yangtze sebelum tiba di Liujagang untuk bergabung dengan baki kapal ekspedisi lain. Menjelang Disember, musim monsun timur laut membawa angkatan laut Ming ke Qui Nhon di Vietnam sebelum menuju ke Melaka dan Sumatera merentasi Selat Melaka dan tiba di Teluk Bengal.

Tidak seperti pelayar-pelayar Eropah, Cheng Ho memilih berlayar mengikut kawasan yang sudah diketahui oleh pihak China. Di sebalik itu, beliau menggunakan pelbagai cara untuk mengetahui arah pelayarannya. Kompas magnetik digunakan untuk menentukan lokasinya dengan kemenyan yang diba.k.ar perlahan sebagai pengukur jarak dan masa.

Mereka juga bertuah kerana mempunyai akses kepada carta-carta laut yang terperinci. Ini sekaligus membolehkan mereka membaca altitud bintang-bintang utama semasa berlayar mengikut latitud tertentu. Dari Teluk Bengal, angkatan ini berpusing mengelilingi Sri Lanka sebelum tiba di Kozhikode (nama lain untuk Calicut), India.

Di Calicut, kehadiran mereka disambut meriah oleh pemerintah dan penduduk tempatan. Dengan kekuatan krew seramai 27,000 orang dan bilangan kapal yang banyak, pemerintah Samutiri di situ menyangka mereka datang dengan niat jahat. Tetapi semua keraguan itu hilang apabila rombongan Cheng Ho membawa pelbagai hadiah berharga seperti sutera dan porselin kepada baginda. Sebagai tukaran, kerajaan itu mengurniakan batu-batu berharga, batu karang dan lada hitam kepada rombongan Dinasti Ming.

Selepas setengah tahun di Kozhikode, angkatan laut Ming mula bergerak pulang sambil membawa pelbagai hadiah dari pelbagai kerajaan dan duta-duta asing termasuk dari Melaka. Bagaimanapun, Cheng Ho diberitahu laluan mereka ke Selat Melaka akan berdepan kesukaran berikutan aktiviti la.n.un yang diketuai seorang la.n.un China bernama Chen Zuyi.

Bagi mengakali pihak lawan, angkatan laut Ming mengumpan mereka masuk ke dalam perangkap sebelum pertem.pu.ran berlaku. Dalam pertem.pu.ran berkenaan, pihak Ming yang menggunakan serbuk letupan dan bom api ke atas pihak lanun. Ini mengakibatkan 10 buah kapal mereka karam dengan tujuh lagi berjaya ditawan. Sementara Zuyi pula berjaya dicekup mereka selepas diburu selama beberapa bulan.

Rombongan ini pulang ke China pada tahun 1407. Mereka bukan saja membawa pelbagai khazanah berharga malah memperkenalkan duta-duta asing yang berminat menjalinkan hubungan dengan China. Bagi Zuyi pula, disebabkan statusnya sebagai lanun, dia dihukum mati di Nanjing.

Seterusnya, pencapaian armada ini dapat dilihat menerusi ekspedisi ketiga mereka dari 1409 hingga 1411. Seperti dua ekspedisi pelayaran pertama, mereka merentasi Selat Melaka dan singgah di setiap pelabuhan untuk berdagang dan bertukar hadiah dengan pemerintah tempatan.

Di Melaka, Cheng Ho diberitahu bahawa kesultanan negeri itu bersedia menjadikan Melaka sebagai negeri yang dinaungi oleh China. Permintaan itu dibuat oleh pengasas dan pemerintah pertama Melaka, Parameswara. Baginda tahu dengan menerima naungan China, dua kerajaan yang mengan.c.am Melaka iaitu Siam dan Majapahit tidak akan berani mengapa-apakan kerajaannya.

Tawaran Melaka disambut dengan tangan terbuka oleh rombongan Dinasti Ming diketuai Cheng Ho. Selepas bertukar hadiah dan barang dagangan, armada laut Ming meneruskan pelayaran ke Sri Lanka. Bagaimanapun, ketibaannya di situ tidak disambut baik oleh kerajaan Kotte yang diketuai oleh Raja Alakesvara.

Baginda melihat rombongan orang Ming ini sebagai orang asing yang cuba mencuri khazanah berharga orang Buddha Sri Lanka iaitu Gigi Buddha. Alekesvara bukan saja enggan membayar sebarang ufti kepada rombongan ini tetapi turut mengusir mereka keluar dari Sri Lanka. Ini memaksa armada laut Ming berlayar ke Kozhikode dengan Cheng Ho merancang tindak balas terhadap pemerintah Kotte itu.

Dalam pelayaran pulang, mereka singgah di Sri Lanka dan melancarkan se.ra.ngan terhadap pihak Kotte. Pada awalnya, pihak Kotte cuba mengumpan mereka mara lebih jauh ke darat dengan harapan membiarkan kapal-kapal mereka menjadi sasaran mudah mereka. Bagaimanapun, tanggapan mereka meleset sama sekali.

Ini kerana dalam kegelojohan mereka memburu harta yang ada di kapal-kapal Ming, kota mereka berjaya ditawan oleh Cheng Ho dan 2,000 ten.te.ranya. Pihak Kotte cuba menawan semula kota itu tetapi gagal. Dan lebih mengagumkan, Cheng Ho dan angkatannya berjaya melepaskan diri dan membawa bersama Alekesvara sebagai tawanan untuk dibawa pulang ke China.

Selepas mendengar laporan yang dibuat oleh beliau, Maharaja Yongle memilih untuk melepaskan Alekesvara. Bagaimanapun, baginda turut mengangkat Parakramabahu VI sebagai pemerintah baru Kotte selepas mendapat saranan daripada duta-duta Sinhala. Sebagai menghargai jasa baginda mengangkatnya sebagai raja, Parakramabahu VI bersetuju membayar ufti kepada Dinasti Ming.

Untuk ekspedisi keempat, Cheng Ho diarah mengetuai pelayaran melangkaui Calicut dan berlayar ke Teluk Parsi. Apabila mereka tiba di Hormuz, ketibaan mereka disambut baik oleh pemerintah tempatan. Khazanah yang dibawa rombongan Ming ditukar dengan batu-batu berharga, permaidani buatan Parsi dan kuda-kuda Arab yang baik kualitinya.

Di sini juga, Cheng Ho bertemu dengan ramai pedagang Islam termasuk dari tanah Afrika. Beliau bukan saja didedahkan dengan budaya sub-Sahara Afrika malah berpeluang melihat komoditi dagang mereka seperti singa dan harimau bintang. Selepas menjual komoditi mereka kepada rombongan Ming, sesetengah pedagang bersetuju menyertai mereka sebagai duta wilayah asal mereka ke China.

Salah satu kapal diketuai anak buah Cheng Ho, Yang Min telah berlayar ke Bengal dan mengadakan hubungan baik dengan pemerintah di situ. Sebagai tanda penghargaan kepada rombongan Dinasti Ming ini, pemerintah di situ mengurniakan zirafah sebagai hadiah buat Maharaja Yongle.

Rajah 5: Lakaran zirafah yang merupakan hadiah Sultan Bengal kepada Maharaja Yongle.

Armada laut Ming singgah seketika di Samudra Pasai atas permintaan seorang putera Pasai bernama Zainal Abidin. Mengikut rekod, baginda diiktiraf oleh China sebagai pemerintah yang sah tetapi takhtanya dirampas oleh saudaranya bernama Sekandar. Justeru, Cheng Ho diarah untuk membantu Zainal Abidin mendapatkan semula takhtanya.

Murka dengan tindakan rombongan Dinasti Ming itu, Sekandar mengarahkan ribuan tenteranya menyerang pasukan Ming-Zainal Abidin. Bagaimanapun, serangan tersebut berakhir dengan kegagalan dengan baginda pula kini menjadi buruan mereka. Akhirnya, Sekandar bersama isteri dan puteranya berjaya dicekup dengan baginda dibawa pulang sebagai tawanan mereka.

Selepas dikembalikan takhta baginda, Sultan Zainal Abidin bersetuju membayar ufti kepada Dinasti Ming dan menerima mereka sebagai penaung Samudra Pasai. Bagi Sekandar pula, sebaik tiba di Nanjing, baginda dikenakan hukuman mati kerana cuba merampas takhta pemerintah lain.

Seperti biasa, Yongle dan para pembesar merasa kagum dengan hadiah-hadiah yang dikurniakan pemerintah asing kepadanya. Tetapi satu hadiah yang dianggap unik dan istimewa sudah pastilah zirafah yang dibawa Yang Min dari Bengal.

Bagi masyarakat China, zirafah ini berkemungkinan melambangkan Qilin, satu semangat mistik yang melambangkan kebangkitan seorang pemerintah hebat. Dan ini menunjukkan pemerintahan Yongle mendapat keabsahan dari syurga dan melambangkan prestijnya sebagai pemerintah.

Pada 1417, Cheng Ho mengetuai ekspedisi pelayaran kelima dengan niat berlayar melepasi Hormuz. Mereka tiba di Aden, Yaman dan di sini mereka bertukar lebih banyak khazanah mereka dengan singa, harimau bintang, burung unta dan kuda belang. Dari Aden, mereka berlayar ke Mogadishu dan Malindi untuk menghantar pulang pedagang-pedagang Afrika ke tempat asal mereka.

Di sini, mereka disambut baik oleh penduduk Swahili. Begitupun, wujud satu insiden di mana Cheng Ho mengarahkan tembakan meriam dilepaskan sebagai balasan terhadap kebiadaban seorang ketua puak terhadap mereka.

Tetapi menjelang tahun 1424, tidak lama selepas beliau pulang dari ekspedisi pelayaran keenam, Yongle mangkat. Baginda mangkat semasa menyertai ekspedisi mengekang ancaman pihak Mongol di sebelah utara. Penggantinya, Maharaja Hongxi melihat ekspedisi ini sebagai satu pembaziran dan tidak berminat untuk membiayai mana-mana ekspedisi selepas ini.

Bagaimanapun, Hongxi hanya memerintah selama setahun dan mangkat pada 1425. Puteranya, Maharaja Xuande memilih untuk meneruskan cita-cita Yongle dan memanggil semula Cheng Ho untuk mengetuai ekspedisi pelayaran terakhir pada 1431.

Tetapi manusia hanya merancang, Tuhan lebih berkuasa ke atas segala-galanya. Pada tahun 1433, semasa dalam perjalanan ke Kozhikode, Cheng Ho kembali menemui Tuhannya dan dikebumikan di laut. Dengan pemergian beliau dan Yongle, tiada siapa yang dapat menghalang usaha kelompok tertentu Dinasti Ming untuk memusnahkan armada laut yang merupakan manifestasi cita-cita baginda.

Tidak diketahui mengapa armada ini dibubarkan. Ada mengatakan ia bertentangan dengan nilai Confucius yang mementingkan nilai masyarakat agraria. Ada pula mengatakan ia diusahakan oleh kelompok pembesar yang tidak senang dengan pengaruh Cheng Ho terhadap Yongle. Tetapi sebab sebenar ia dibubarkan mudah: faktor kewangan.

Yongle mengusahakan banyak projek seperti membina kota Beijing, ekpedisi peperangan dan ekspedisi maritim diketuai Cheng Ho. Tetapi semua ini memerlukan kos yang banyak dan ini memaksa para pemerintah seterusnya untuk menghentikan ekspedisi laut Dinasti Ming. Dan bagi memastikan kisah ini dilupakan, Maharaja Jiajing mengarahkan semua buku log pelayaran Cheng Ho dibakar pada 1529 dan menutup terus sempadan China kepada orang luar.

Begitupun, itu tidak bermakna hubungan China dengan negara-negara luar sudah berakhir. Ini berdasarkan penemuan sebuah barang porselin yang mengandungi kaligrafi Arab yang berasal dari abad ke-17. Ramai sejarawan percaya barang ini sebenarnya dibuat atas tempahan pemerintah Kesultanan Acheh, dua abad selepas pemergian Cheng Ho.

RUJUKAN:

Stone, Leo. (2019). Zheng He’s Floating City: When China Dominated the Oceans. Kings and Generals.

Ruangan komen telah ditutup.