Arkeologis Jumpa 400 Makam Purba Umat Islam Dari Abad Ke-8 Di Sepanyol

1,366

Baru-baru ini, sekumpulan buruh pembinaan yang terlibat dalam projek pelebaran jalan di Tauste berhampiran Zaragoza, Sepanyol terkejut apabila mereka secara tidak sengaja menemui kawasan perkuburan orang Islam dari abad kelapan hingga ke-11 Masihi. Penemuan ini turut mencabar teori ketiadaan petempatan Islam sekitar Tauste kerana kawasan perkuburan seluas lima hektar itu merupakan antara yang tertua di Sepanyol dan masih dalam keadaan baik.

Sebelum penemuan ini, rekod-rekod bertulis menyatakan kewujudan petempatan Muslim di situ sama ada bersifat sementara atau langsung tidak wujud. Pada hemat penulis, penulis tidak terkejut sekiranya rekod-rekod ini telah dipinda atau dimansuhkan sebagai sebahagian daripada kempen Inquisition kerajaan Kristian Sepanyol terhadap orang Islam dan mana-mana tinggalan mereka termasuk kawasan perkuburan.

Pengarah Pusat Pemerhatian Antropologi Nekropolis Islam Tauste dari Persatuan Sejarah El Patiaz, Miriam Pina Pardos percaya Tauste pernah menempatkan populasi Muslim yang besar di situ dan kesimpulan ini dibuat sebelum penemuan kawasan perkuburan tersebut. Kesimpulan ini dibuat selepas melihat seni bina bangunan-bangunan Tauste dan memeriksa kubur-kubur Muslim yang ditemui sekitar bandar ini.

Rajah 1: Antara kubur lama Muslim yang ditemui di Tauste sebelum penemuan terkini baru-baru ini.

Ahli arkeologi Eva Gimenez menambah, “Kami dapat melihat kehadiran orang Islam dan budaya mereka di kawasan ini lebih penting daripada apa yang disangka. Kami melihat terdapat komuniti Muslim yang besar dan sudah wujud sejak kemunculan Muslim di Sepanyol. Ini amat penting – 400 kubur Muslim menunjukkan mereka telah menetap di sini selama berabad-abad.”

Ini disokong oleh pakar arkeologi Rafael Laborda yang menyifatkan kawasan tersebut sebagai petempatan Muslim yang stabil daripada 4nc4man kekacauan politik membabitkan kerajaan-kerajaan Islam dan Kristian Sepanyol selama empat abad. Islam mula bertapak di Sepanyol pada abad kelapan Masihi menerusi ekspedisi ket3nt3raan Bani Umayyah yang diketuai oleh Tariq bin Ziyad dan seluruh Semenanjung Iberia jatuh ke tangan kerajaan tersebut dalam tempoh tujuh tahun.

Menjelang abad ke-10, penguasaan kerajaan-kerajaan Islam ke atas Andalusia mula goyah dan pada tahun 1492, Raja Ferdinand menamatkan Reconquista dengan menakluk Granada. Tetapi tidak ramai tahu terdapat banyak perubahan dari segi politik dan sosial di Andalusia sebelum kempen Reconquista berjaya.

Semasa abad kelapan Masihi, Andalusia pada mulanya muncul sebagai sebahagian daripada jajahan takluk kerajaan Bani Umayyah sebelum kemudiannya bertukar sebagai emiriah bebas daripada pengaruh pengganti mereka, Bani Abbasiyyah. Selepas itu, barulah ia berpecah kepada kerajaan-kerajaan kecil yang dikenali sebagai taifa.

Era ini menyaksikan komuniti daripada tiga agama Ibrahimiyyah iaitu Islam, Kristian dan Yahudi hidup harmoni sehingga ia digelar sebagai La Convivencia. Tetapi menurut Laborda, realiti tersebut jauh lebih rumit kerana kerajaan-kerajaan Islam ketika itu sentiasa berdepan 4nc4man sama ada oleh kerajaan Kristian atau pakatan kerajaan Kristian-taifa yang berusaha menggugat kekuasaan mereka.

Rajah 2: Rangka yang ditemui dikebumikan mengikut lunas syarak termasuk diletakkan di sebelah kanan dan menghadap kiblat.

Kebanyakan rangka yang ditemui masih dalam keadaan baik dengan semua dikebumikan di sebelah kanan dan menghadap kiblat. Begitupun, terdapat beberapa kubur yang terjejas akibat pemasangan paip moden. Mengikut rancangan firma Paleoymás SL, semua rangka akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan dengan 10% daripadanya akan diambil untuk analisis DNA.

Rajah 3: Pasukan pengkaji memeriksa sebuah rangka yang ditemui.

Analisis ini diharap dapat menentukan asal-usul populasi Muslim dan tempoh di mana penduduk tempatan memeluk Islam. Sementara baki rangka akan diletakkan dalam sebuah kripta khas yang dibina. Yang pasti, penemuan kawasan perkuburan di Tauste ini memberi banyak maklumat kepada para pengkaji untuk mengkaji kesan kehadiran Islam dalam sejarah Semenanjung Iberia.

RUJUKAN:

McDermott, Alicia. (2020). 400+ Ancient Muslim Graves Unearthed in Spain. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/ancient-muslim-graves-0014571

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.