Malaysia merupakan sebuah negara yang menyimpan banyak rahsia khazanah perkembangan manusia awal yang mendiami kawasan Asia Tenggara atau khususnya di kawasan Kepulauan Melayu. Rata-rata antara kita biasa membaca atau mendengar hal berkenaan kajian arkeologi yang cukup sinonim dalam penerokaan zaman prasejarah. Namun, pernahkah kita terfikir tentang cara atau kaedah masyarakat terdahulu mengebumikan mayat manusia atau kita rasa cara mereka sama sahaja seperti zaman kita sekarang? Jawapannya sudah tentulah tidak, sedang corak pemerintahan, berpakaian, dan kehidupan sosial yang lain juga berubah mengikut peredaran zaman, tidak ketinggalan aspek pengebumian mayat turut mengalami evolusinya sendiri.

Maka, artikel ini akan membawa anda menelusuri adat kematian masayarakat awal yang mendiami Semenanjung Malaysia suatu ketika dahulu. Penyelidikan arkeologi boleh merungkai rahsia kehidupan masyarakat silam melalui kajian arkeologi kematian dan pengebumian dengan mengenalpasti dan meneliti corak pengebumian dan tahap kepercayaan masyarakat pada waktu itu. Ahli arkeologi memerlukan teori untuk menyatakan perkaitan antara data pengebumian yang terhad dengan bentuk perlakuan manusia pada masa silam. “Sekitar abad ke-18 dan 19, pengebumian telah menjadi subjek kajian arkeologi yang terpenting ketika melakukan ekskavasi tapak-tapak yang berpotensi untuk dikaji” (Chapman, Kinnes & Randsborg, 1981).

Tapak kajian arkeologi di Malaysia telah membuktikan pelbagai penemuan kubur dan rangka manusia. Dicatatkan bentuk pengebumian paling awal yang diamalkan adalah pada zaman Epi-Paleolitik atau Hoabinhian lebih 10,000 tahun dahulu, penguburan zaman Neolitik pula ditemui kira-kira 6,000 tahun dahulu manakala zaman logam pula mencatatkan amalan pengebumian berlaku sekitar 500 tahun sebelum Masihi.  Sementara itu, Zuraina Majid telah memulakan semula ekskavasi di kawasan Lenggong sekitar 1980-an yang kemudiannya membawa kepada penemuan fosil terpenting iaitu rangka Manusia Perak di Gua Gunung Runtuh, Perak pada tahun 1990. Penemuan rangka manusia prasejarah ini telah menjadi sumber terpentin bagi mengenalpasti corak kehidupan masyarakat lampau menjalani kehidupan seharian seperti mencari makanan, tempat tinggal, adat kepercayaan dan corak pengebumian yang diamalkan pada ketika itu.

Di Semenanjung Malaysia, kajian arkeologi mengenai kematian dan pengebumian menjadi lebih menarik dengan penemuan beberapa bukti rangka manusia yang ditanam bersama dengan barang perhiasan, alatan batu dan bekalan makanan seperti daging haiwan di Gua Gunung Runtuh, Perak, Gua Harimau, Perak, Gua Cha, Kelantan dan Gua Peraling, Kelantan. Terdapat juga penemuan seperti kubur kepingan batu, tembikar dan gendang Dongson yang digunakan sebagai tempat penyimpanan mayat oleh masyarakat yang terkemudian daripada itu. Dalam pada itu, penemuan kubur dan rangka manusia di kawasan tertentu juga dapat menentukan pemilihan kawasan tempat tinggal oleh masyarakat terdahulu dengan mengambil kira beberapa faktor seperti perlindungan daripada binatang buas, perubahan cuaca dan bencana alam.

Kaitan Tahap Kepercayaan Dan Amalan Pengebumian Di Semenanjung Malaysia

Masyarakat awal yang mendiami Semenanjung Malaysia telah dikenalpasti bermula pada zaman Paleolitik, Mesolitik, Neolitik hingga zaman Logam. Corak pengebumian mayat bagi masyarakat pada ketika itu kebanyakannya bergantung kepada kepercayaan mereka terhadap kehidupan selepas mati. Oleh sebab itu, mayat-mayat ini ditanam bersama dengan bekalan makanan dan barang perhiasan. Adat dan kepercayaan dalam proses penguburan mayat ini berbeza mengikut zaman sebagai contoh; masyarakat Epi-Paleolitik menggunakan kaedah pengebumian secara melentur (flexed burial) dan ketika zaman Neolitik, masyarakat menguburkan mayat dalam keadaan memanjang (extended burial).

Pengebumian melentur dilakukan dengan cara membengkokkan lutut mayat ke dagu sama ada secara mengiring atau terlentang seperti Manusia Perak (Perak Man) manakala penguburan secara memanjang pula dilakukan dengan membaringkan mayat dalam keadaan terlentang dengan tangan diluruskan ke sisi badan mayat. Pada zaman logam pula, terdapat bentuk pengebumian kubur kepingan batu yang disusun sebagai keranda untuk menutupi mayat. Selain itu, terdapat juga pengebumian yang menggunakan gendang Dongson yang ditanam bersama manik-manik perhiasan. Lokasi pengebumian atau penguburan masyarakat silam biasanya dilakukan di kawasan yang tertutup seperti di dalam gua atau di kawasan terbuka berhampiran pintu gua. Hal ini berkait rapat dengan kawasan tempat tinggal manusia ketika itu yang menghuni gua bagi mengelak daripada bencana alam seperti banjir kerana kedudukan yang tinggi dari paras air.

Terdapat dua tahap pengebumian masyarakat awal iaitu pengebumian tahap pertama yang mana mayat ditanam terus ke dalam tanah sementara pengebumian tahap kedua pula dengan menggunakan medium lain untuk menyimpan mayat seperti pasu, tembikar, perahu atau di dalam kubu. Beberapa kubur tahap pertama yang dikebumikan secara meringkuk (melentur) atau kubur tahap kedua ditemui di kawasan penempatan zaman Hoabinh. Tapak pengebumian itu tidak mempunyai bekal kubur tetapi salah satu kubur jenis melentur yang dipercayai milik seorang lelaki telah ditemui bersama dengan pelapik batu seperti bantal.

CONTOH/BUKTI TAPAK PENGEBUMIAN MASYARAKAT AWAL

Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak 

“Manusia Perak telah dijumpai di kawasan ini dalam keadaan 90% sempurna pada kedalaman kubur antara 80-100 cm dari permukaan tanah” (Mohktar Saidin, 2012). Kerangka manusia ini dipercayai berasal daripada keturunan Australo-Melanesoid yang hidup sekitar 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu. Beliau dipercayai seorang lelaki dan merupakan kerangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Asia tenggara dalam keadaan yang lengkap dari sudut anatominya sebagai manusia moden iaitu Homo Sapien. Manusia Perak ini juga merupakan penemuan manusia zaman Paleolitik pertama yang dijumpai di rantau ini dan dikebumikan mengikut amalan tradisi masyarakat Paleolitik.

Dari sudut penguburannya, Manusia Perak dikebumikan dalam bentuk melentur (flexed burial) yang mana kakinya dilipat seakan posisi bayi di dalam kandungan. Manusia Perak dipercayai mempunyai kecacatan genetik iaitu Brachimesophlangia type A2 yang menyebabkan kerangka badan di sebelah kiri badan menjadi lebih pendek dari bahagian kanan badan. Ketika hayatnya, Manusia Perak dipercayai sebagai seorang ketua bagi pengikutnya kerana meninggal dunia sekitar usia 40-45 tahun sedangkan manusia ketika itu hidup sekitar 20-30 tahun sahaja. “Ini membuktikan bahawa beliau hidup lebih lama dan dijaga dengan rapi oleh kaum serta berupaya untuk memindahkan keupayaan hidupnya kepada beberapa generasi seperti kaedah memburu dan cara mencari herba atau ubat-ubatan” (Zuraina Majid, 2003).

‘Perak Man’ yang dikuburkan dengan kaedah ‘Flexed Burial’
(Gambar kredit: www.sini.com.my)

Beliau dikebumikan dengan cermat dalam posisi fetus bersama dengan bekalan makanan seperti daging babi hutan, monyet, biawak, kura-kura, rusa, harimau bintang dan rusa serta alatan batu dan cengkerang. Ini menunjukkan bahawa masyarakat pada ketika itu telah membawa konsep ideofak (artifak yang memberi fungsi idea atau kepercayaan) dengan mempercayai kehidupan selepas mati yang membuatkan mereka percaya bekalan yang ditanam bersama mayat dapat digunakan oleh si mati dalam kehidupan di alam lain. Bekal kubur dipercayai berperanan sebagai sosiofak (artifak yang berfungsi secara sosial) kerana penyimpanannya bersama mayat menjadi lambang kepada ketinggian status atau kedudukan individu itu dalam masyarakat. Selain itu, aspek ekofak (artifak yang ditemui berdasarkan sumber alam/bukan ciptaan manusia) juga dapat dilihat dalam proses pengebumian melalui penemuan tulang dan sisa daging haiwan yang menunjukkan kelangsungan hidup masyarakat ketika itu bergantung kepada sumber hidupan hutan dan air (sungai).

Gua Cha, Ulu Kelantan, Kelantan

Tapak ini merupakan satu kawasan yang terpenting kerana telah merekodkan sehingga 45 tinggalan rangka manusia. Kajian di Gua Cha telah menunjukkan pendudukan masyarakat Hoabinhian sejak 10,000 tahun dahulu dan Neolitik sejak 4,000 tahun yang lalu. “Sieveking telah menemui lebih 37 rangka manusia dalam Gua Cha yang meliputi 14 rangka manusia zaman Hoabinhian dalam keadaan merengkok  (flexed burial) dan 23 rangka manusia Neolitik dalam keadaan melunjur (extended burial) yang disertakan dengan barangan tembikar, perhiasan, alatan batu juga sisa makanan” (Tamadun Prasejarah Malaysia, 2011).

Salah satu kerangka manusia yang dijumpai di Gua Cha oleh Sieverking (seorang pengkaji arkeologi terawal di Malaysia) pada tahun 1954 telah dikuburkan dalam keadaan telentang dengan tangan diluruskan ke sisi badan bersama alatan tembikar dan perhiasan diri. Barangan yang ditemui bersamanya ialah lima biji mangkuk tanah liat dan gelang tangan batu bersaiz besar di pergelangan tangan dan dianggarkan usia rangka ini sekitar 1,000 tahun sebelum masihi. Selain itu, corak pengebumian memanjang ini menunjukkan tradisi formal masyarakat Neolitik dalam upacara penguburan mayat yang diamalkan oleh mereka ketika itu.

Terdapat juga bentuk pengebumian mengikut amalan masyarakat Hoabinhian yang ditemui oleh Sieveking dengan perbezaan fizikal fosil berbanding zaman Neolitik yang mana rangka berwarna lebih cerah dan dikebumikan di kawasan sedikit berpasir serta kawasan tanah coklat. Sebaliknya rangka manusia zaman Hoabinh yang dikebumikan dengan kedalaman kubur yang lebih dalam dan keadaan tanah yang berwarna coklat gelap. Dengan ini, Gua Cha dapat dijadikan tapak penting dalam menganalisis persamaan dan perbezaan kehidupan masyarakat Hoabinh dan Neolitik mengikut peredaran zaman.

Gua Harimau, Lenggong, Perak

Pada tahun 1952, William Hunt telah menemui tapak pengebumian mayat di Gua Harimau dengan penemuan rangka manusia, beliung dan tembikar di sebuah gua kecil (5 kaki lebar 5 kalki tinggi) yang terletak kea rah selatan pintu masuk gua itu. Beliau menyatakan bahawa penemuan itu adalah merujuk kepada budaya zaman Neolitik. Dipercayai seorang kanak-kanak berusia antara 10-12 tahun yang mati dihempap stalaktik di dalam gua tersebut. Sekitar tahun 1987-1988, tujuh rangka manusia telah dijumpai dengan tiga rangka dalam keadaan tak sempurna manakala empat lagi hanya dalam bentuk pecahan dan serpihan tulang. Mayat-mayat ini dikebumikan dalam kedalaman antara 30-40 cm dari permukaan tanah dengan panjang sekitar 160 cm bersama dengan bekal kubu seperti tembikar tanah, alatan batuan beserta pemukul kulit kayu. Tulang rangka yang dijumpai itu dipercayai milik masyarakat yang hidup pada zaman Neolitik hingga zaman Logam.

Data analisa awal mendapati bahawa masyarakat ketika itu menjadikan kawasan pintu masuk gua sebagai tapak pengebumian. Ketujuh-tujuh rangka yang ditemui itu dikebumikan di tengah-tengah pintu masuk utama gua. Rangka pertama yang ditemui dalam keadaan lengkap tertiarap dan dihadapkan ke arah barat daya (serong utara-barat) dengan kepalanya mengiring ke arah timur. Hujung kakinya dialaskan dengan batu supaya lebih tinggi daripada bahagian lain. Rangka kedua pula ditemui dalam keadaan tidak lengkap iaitu dengan bahagian kaki dan sebelah tangan kiri tetapi kedudukannya sama seperti rangka pertama. Manakala rangka ketiga pula hanya ditemui dari bahagian badan hingga kepala sahaja serta empat rangka lagi dikesan dalam keadaan yang tidak jelas. Rangka-rangka ini juga turut dikebumikan bersama beal kubur seperti tembikar tanah, perhiasan badan, batu dan gangsa.

Gua Peraling, Ulu Kelantan, Kelantan

Terdapat empat tapak kubur yang ditemui di Gua Peraling yang dilabelkan dengan Gua Peraling 1 hingga 4. Tinggalan kerangka ini dijumpai dalam keadaan tidak sempurna di kawasan batu granit. Gua Peraling 1 menunjukkan perkuburan zaman Neolitik dengan hanya menemukan bahagian kaki sahaja dalam keadaan penguburan kaedah extended burial yang ditanam sedalam 20cm di dalam tanah dan dipercayai milik seorang lelaki berumur sekitar 20 tahun. Manakala tapak Gua Peraling 4 pula dijumpai dalam keadaan yang lebih baik dengan tulang-temulang yang hampir lengkap. Rangka mayat ditapak ini dipercayai dikuburkan dalam keadaan flexed burial dan merujuk kepada seorang individu berumur antara 25 hingga 35 tahun.

Jelaslah di sini bahawa bukti-bukti kerangka tulang manusia yang dijumpai di beberapa tempat di semenanjung Malaysia dapat mengesahkan kewujudan penempatan manusia sejak zaman awal kehidupan manusia lagi iaitu mulai zaman Paleolitik hingga zaman Logam. Selain itu, penemuan tapak kubur ini juga dapat merungkai adat dan kepercayaan masyarakat silam dalam menjalani kehidupan seharian mereka serta kepercayaan terhadap kehidupan selepas mati melalui adat atau corak pengebumian yang dilakukan. Bentuk pengebumian atau adat tradisi dalam menyempurnakan proses penguburan juga berbeza mengikut keadaan dan kepercayaan masyarakat pada zaman masing-masing tetapi turut juga meneruskan kesinambungan dalam aspek tertentu seperti mempercayai adanya kehidupan lain selepas mati.

BIBLIOGRAFI

  1. ____, “Tamadun Prasejarah Malaysia”, Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia, 2011.
  2. Adi Haji Taha, “Archaeology of Ulu Kelantan” Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia, 2007.
  3. Bellwood, P.S., “Prehistory of the Indo-Malayan Archipelago”, Honolulu: University of Hawaii Press, 1997.
  4. Chapman, R., Kinnes, I., & Randsborg, K., “The Archaeology of Death”, Cambridge: Cambridge University Press, 1981.
  5. Kamaruzaman Abdul Rahman, “Penyelidikan Arkeologi Sejarah di Negeri Kelantan”, dalam JEBAT 18, 1990.
  6. Mohd Supian Sabtu, “Data Pengebumian: Tinjauan Berdasarkan Tapak Terpilih di Negeri Perak” dalam Suffian Mansor, et. al., Sejarah dan Kesarjanaan, Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 2014.
  7. Mokhtar Saidin, “From Stone Age to Early Civilization in Malaysia: Empowering Identity of Race”, Pulau Pinang: Penerbitan Universiti Sains Malaysia, 2012.
  8. Sieverking, G. de. G., “Excavations at Gua Cha, Kelantan 1954”, dalam Kelantan dalam Perspektif Arkeologi: Satu Kumpulan Esei, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1986.
  9. Zolkurnian Hasan, “Gua Harimau: Satu Laporan Awal”, dalam PURBA: Jurnal Persatuan Muzium Malaysia 18, 1989.
  10. Zuraina Majid, “Arkeologi di Malaysia”, Pulau Pinang: Penerbitan Universiti Sains Malaysia, 2003.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan sains kemanusiaan (sejarah dan tamadun) UIAM. Sedang menulis disertasi sarjana sastera (sejarah malaysia) UM. Minat sejarah, sosiologi, seni, muzik dan arkeologi. Sangat suka dengan budaya dan tamadun Asia Timur terutamanya Jepun, Korea dan China. Pluviophile, observant, introvert.

Comments are closed.