Keris Melayu dan Hukuman Mati Brooke

0
3491
views

DIKETIKA era dinasti keluarga Brooke memerintah Sarawak iaitu kira-kira 100 tahun,  ramai yang menggambarkan bahawa tiada undang-undang hukuman mati yang pernah dijalankan oleh mana-mana Rajah Putih pada ketika itu.  Ini kerana melalui cerita sejarah, kebanyakan penentang-penentang Brooke hanya akan menjalani hukum penjara atau dibuang daerah sahaja. Dan tanpa kita ketahui sememangnya ADA prosedur hukuman mati di Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu.

Secara relatifnya prosedur hukuman mati di ketika era Brooke akan dijatuhkan kepada mana-mana pesalah yang didapati bersabitan dengan kesalahan jenayah bunuh.  Dan undang-undang hukuman mati ini berkuatkuasa sejak di tahun 1841 lagi yang mana sejak Sir James Brooke menjadi Rajah Sarawak yang pertama lagi.  Turut dinyatakan ianya juga tertakluk kepada mana-mana penjawat awam mahupun rakyat Sarawak itu sendiri.

Yang menjadi satu keunikan walaupun James Brooke itu seorang bangsa Inggeris yang sudah tentu mempunyai pemikiran yang berbeza dengan orang-orang yang mendiami Nusantara namun perlulah diketahui bahawa cara prosedur hukuman mati era Brooke langsung tidak sama dengan British iaitu hukuman gantung.  Di era Brooke untuk konteks Sarawak, keris iaitu senjata tradisional masyarakat Melayu adalah senjata utama yang digunakan untuk prosedur hukuman mati pada ketika itu.

Dan sesuatu yang harus diketahui semua bahawa suatu waktu dahulu, Sarawak Kingdom mempunyai seorang “public executioner” yang sememangnya dilantik penuh oleh pemerintah Sarawak.  Beliau adalah seorang lelaki dari kaum Melayu Sarawak yang bernama Inchi Subu.  Inchi Subu ini juga merupakan pengikut setia kepada Rajah James Brooke sehingga beliau dikatakan akan bersama-sama dengan Rajah James Brooke pada setiap pelayarannya dengan bahteranya “The Royalist”.

Turut dicatatkan di dalam jurnal pengembaraan Brooke iaitu diketika James Brooke berada di Santubong, beliau telah jatuh sakit iaitu demam campak makanya Inchi Subu yang terlalu bimbang dengan kesihatan Rajah James Brooke telah berkayuh sampan kecil sehingga ke Kuching untuk mencari Sharif Moksin iaitu seorang dukun Melayu Sarawak.  Sharif Moksin telah dibawa ke banglo Brooke di Santubong untuk mengubatinya namun tidak berjaya kebah demamnya sehinggalah seorang doktor yang dibawa khas dari Singapura akhirnya sampai di Santubong untuk mengubati beliau.

Digambarkan juga Inchi Subu “public executioner” Sarawak Kingdom bukanlah sembarangan orang kerana beliau terlalu pakar bermain dengan keris. Dek kerana itulah ada perincian yang tertentu bagi keris yang digunakan.  Perlulah diketahui di dalam alam Melayu Nusantara, keris juga adalah senjata tradisional yang mempunyai impak-impak tertentu yang sekiranya digunakan dengan betul boleh mencabut nyawa tanpa meninggalkan “siksa” yang terlalu lama.

Menurut ceritanya keris yang digunakan adalah berukuran 18 inci panjang dan akan ditusuk menerusi badan pesalah di sebelah bahu kanan yang akan menembusi jantung pesalah yang diarahkan di dalam posisi berlutut.  Di Sarawak pada masa itu tiada tempat tertutup untuk menjalan prosedur hukuman mati sebaliknya disatu kawasan yang terbuka iaitu di satu hamparan batu keras di Batu 2, Jalan Rock sekarang.  Kawasan batu keras yang menghampar itu dinamakan “Batu Kinyang”.

Bagi menghormati setiap prosedur hukuman mati ini juga dikatakan Brooke telah memerintahkan Inchi Subu untuk mengenakan pakaian khas yang mana persalinannya adalah pakaian panglima Melayu dahulukala siap dengan tanjak dan sebagainya.  Menurut cerita oral ianya berpadanan seperti cerita pahlawan Melayu dulu-dulu yang akan setia menjalankan hukuman kepada sesiapa yang membuat onar dan menjatuhkan murka Rajanya.

Dalam pada itu ada juga corat coret yang menyatakan bahawa oleh kerana Brooke digambarkan seorang yang berhati lembut maka setiap hukuman mati ini dijalankan dengan penuh belas kasihan.  Ada sesetengah penceritaan menyatakan bahawa setiap pesalah yang berhadapan dengan hukuman mati akan diberikan makan dan minum secukupnya berdasarkan selera pesalah menjelang 3 hari sebelum dijatuhkan hukuman.

Manakala pada hari hukuman mati diadakan iaitu sebelum matahari terbit kebiasaannya, si pesalah akan dibawa ke Sungai Sarawak untuk merasai sendiri ketenangan serta mengecapi udara bersih buat kali terakhir sebelum seorang doktor Sarawak Kingdom akan membuat injeksi ubat ke anggota badan si pesalah agar segala deria rasanya dimatikan.  Kemudian di dalam keadaan tenang itulah baru si pesalah dibawa dengan kenderaan ke Batu Kinyang dan disitulah Inchi Subu sudah siaga menunggu untuk menjalankan prosedur hukuman mati dengan bersaksikan doktor, hakim, ketua agama (mengikut fahaman agama) dan pemimpin masyarakat yang mewakili kaum si pesalah.

Menurut catatannya difahamkan Inchi Subu bertindak sebagai “public executioner” Sarawak Kingdom dari tahun 1841 sehingga 1873.  Kemudian tugasnya ini diambilalih oleh anak lelakinya yang bernama Tomah bin Subu selepas itu.

Mungkin ini sesuatu yang tidak diketahui oleh kita semua setelah apa yang didodoikan amat berlainan mengenai prosedur hukuman bunuh di era Brooke.  Caranya adalah menggunapakai sistem zaman kesultanan Melayu dulu-dulu dan akhirnya setelah Sarawak menjadi jajahan takluk Koloni British Borneo barulah undang-undang hukuman gantung sampai mati digunakan di Sarawak yang mana dikatakan lebih moden dan berperikemanusiaan.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. White Rajah: A Biography Of Sir James Brooke – Nigel Barley
  2. An Account of Sir James Brooke https://archive.org/stream/rajasarwakanacc01jacogoog/rajasarwakanacc01jacogoog_djvu.txt\

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here