Konsep Sempadan Negeri-Negeri Melayu Sebelum Kedatangan British

0
4125
views

Sebahagian orang mendakwa bahawa persempadanan di negeri-negeri Melayu hanya  wujud selepas kedatangan British. Sejauhmana pendapat ini benar? Jika sempadan itu benar-benar wujud, bagaimana bentuk sempadan itu.

Konsep Sempadan Melayu

Kita harus mengakui bahawasanya sukar untuk dinyatakan dengan jelas persempadanan antara negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British, namun sempadan tetap wujud. Orang Melayu sekian lama mempunyai definisi sendiri mengenai persempadanan di kawasan negeri mereka. Walaupun tidak mempunyai hitam putih perjanjian yang jelas dan batu ukur atau penanda seperti zaman British, tetapi orang Melayu telah menggunakan istilah ‘negeri’ atau ‘berbuat negeri’ yang sebenarnya tetap membawa makna satu ruang wilayah atau sempadan kekuasaan pemerintah Melayu.

Istilah ‘negeri’ dalam manuskrip Melayu

Kita tidak mempunyai pilihan lain untuk mengetahui konsep negeri bagi orang Melayu melainkan merujuk kepada manuskrip dan naskhah pensejarahan orang Melayu. Dalam teks Sejarah Melayu misalnya, istilah negeri menjadi pegangan orang Melayu atau paling tidak pengarang Sejarah Melayu telah menggambarkan skop kekuasaan seseorang
pemerintah. Contohnya,

“Maka segala negeri yang bertemu dengan Raja Suran habis dialahkannya. Maka semuanya habis takluk baginda. Setelah berapa lamanya maka Raja Suran pun sampailah kepada sebuah negeri ~ Gangga Nagara namanya.”

(Sulalat u’s Salatin, 2016: 17)

Ini merupakan salah satu contoh dari sekian banyak istilah ‘negeri’ yang ditemukan dalam teks-teks Melayu. Biarpun tidak disebutkan dengan jelas mengenai bentuk garis sempadan itu, namun penggunaan istilah ‘negeri’ boleh dijadikan panduan sebagai pembatas kekuasaan pemerintah secara jelas. Bahkan istilah ‘negeri’ terus diguna pakai setelah kemunculan Melaka tanpa sempadan yang jelas. Misalnya dalam syair ini,

“Dengarkan tuan suatu madah
Kisah baginda sultan di Kedah
Negerinya ramai terlalu indah
Isi negeri semuanya madah”

(Syair Sultan Maulana, 1980: 203)

Teks-teks Melayu sering menggunakan istilah ‘berbuat negeri’ atau ‘membuat negeri’ tatkala pemerintah ingin membuka kawasan baru. Dalam teks Misa Melayu, kekerapan raja-raja Perak membuka ibu kota baru diistilahkan sebagai ‘membuat negeri’. Manakala teks Tuhfat al Nafis juga menggunakan istilah yang sama bagi merujuk tindakan raja-raja Johor. Maka, istilah negeri yang digunakan tetap membawa satu maksud ruang wilayah atau sempadan walaupun tanpa garis sempadan yang jelas.

Laut dan Sungai sebagai sempadan

Sebelum kedatangan British, laut dan sungai menjadi faktor penting dalam pembentukan sempadan. Ini tidak menghairankan kerana kemunculan penempatan awal Melayu bermula di pinggir sungai. Satu fakta yang tidak disedari ramai orang ialah hampir kesemua negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan mendapat nama melalui sungai. Ini kerana sungai merupakan tempat tertubuhnya sesuatu kerajaan. Misalnya, persempadanan di antara Perak dan Selangor sejak tahun 1825 dengan persetujuan oleh kedua-dua pemerintah negeri Perak dan Selangor, iaitu Sultan Abdullah Muazam Shah (1825-1830) Perak dan Sultan Ibrahim (1778-1826) Selangor yang bersetuju menentukan sempadan di antara kedua-dua negeri tersebut iaitu di Sungai Bernam.

Sempadan berdasarkan kuasa pemerintah

Persempadanan di Negeri-Negeri Melayu sering berubah-ubah mengikut kekuasaan pemerintah masing-masing. Perebutan kawasan biasa terjadi antara pemerintah Melayu tradisional, terutama di kawasan yang mempunyai potensi ekonomi. Antara kes yang kurang diberi perhatian ramai ialah mengenai krisis persempadanan yang terjadi antara Selangor dan Perak bermula pada 1804.

Sikap Sultan Selangor pada ketika itu, Sultan Ibrahim (1778-1826) yang ingin menjadikan negerinya sebagai pengeluar bijih timah tersohor dan terkaya berbanding Perak, telah menawan kawasan di selatan Perak. Menjadikan Perak telah kehilangan wilayahnya dari Tanjong Malim sehingga Bidor. Sultan Selangor mengukuhkan kedudukannya dengan meletakkan wakilnya Raja Hasan sebagai penguasa yang mengutip cukai di kawasan tersebut. Persempadanan ini berlarutan sehingga termeterai Perjanjian Anderson 1825 yang menjadikan Sungai Bernam sebagai sempadan baru yang dipersetujui oleh Sultan Selangor dan Sultan Perak.

British mengiktiraf Negeri-Negeri Melayu

Jika ada orang yang masih berpendapat orang Melayu tidak mempunyai sempadan dan sempadan hanya dibuat selepas kedatangan British. Maka itu adalah pendapat yang lemah dan menunjukkan ketidakfahaman terhadap konsep tradisional dengan konsep baru. Sikap British yang mengiktiraf kedaulatan Raja/Sultan sesebuah negeri menunjukkan wujudnya sempadan politik dan ekonomi pada waktu itu. Kedatangan British tidak lain dan tidak bukan hanyalah melukis peta mengikut selera kepentingan ekonomi mereka sahaja. Sedangkan sempadan sudah lama wujud dalam bentuk dan nilai orang Melayu sendiri

RUJUKAN

Abdullah Zakaria, 2004. Sempadan Negeri Melayu Sebelum Campur Tangan British. Bengkel Pengesahan Fakta Sejarah Persempadanan Negeri-negeri di Tanah Melayu. Kuala Lumpur; Arkib Negara Malaysia

Ahmat Adam, 2016. Sulalat u’s-Salatin yakni pertuturan segala raja-raja. Dialih aksara dan  disunting dengan kritis serta diberi anotasi dan pengenalan. Kuala Lumpur:Yayasan Karyawan

Mardiana Nordin, 2004. Sempadan dan Kuasa Dalam Negeri-Negeri Melayu. Bengkel Pengesahan Fakta Sejarah Persempadanan Negeri-negeri di Tanah Melayu. Kuala Lumpur; Arkib Negara Malaysia

Muhammad Yusoff Hashim, 1980. Syair Sultan Maulana. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Raja Chulan, 1991. Misa Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Antara
S.Sivachandralingam. 2004.

Sempadan Negeri-negeri Melayu Pada Zaman Pemerintahan British. Bengkel Pengesahan Fakta Sejarah Persempadanan Negeri-negeri di Tanah Melayu. Kuala Lumpur; Arkib Negara Malaysia

Comments

comments

Previous articleMata Helang 304
Next articleSiapa Orang Melayu Pertama Yang Belajar Di Mesir?
Ahmad Faizal Bin Basir. Anak muda kelahiran Tanjong Malim Perak ini merupakan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah), Universiti Pendidikan Sultan Idris.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here