Siri Bedah Konspirasi: Siapakah Freemason Dan Illuminati?

2
27913
views

Teori Konspirasi adalah kepercayaan wujudnya sekumpulan manusia yang berkonspirasi atau merancang untuk menguasai dunia. Versi Teori Konspirasi yang paling popular melihat kumpulan ini terdiri daripada orang Yahudi yang bergerak atas pertubuhan—pertubuhan bernama Freemason dan Illuminati. Mereka merupakan penyembah setan dan dajjal yang berhasrat untuk membina sebuah New World Order atau One World Government.

Untuk mencapai matlamat tersebut, kumpulan Yahudi-Freemason-Illuminati ini telah menguasai kerajaan, sistem kewangan dan media. Pemimpin yang tidak mahu mengikuti telunjuk jari mereka akan dibunuh, seperti bekas presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy. Filem dan muzik yang dihasilkan oleh Hollywood turut diselitkan dengan unsur-unsur dajjal untuk melalaikan dan menyesatkan umat Islam. Malah pelbagai perkembangan teknologi juga dikaitkan dengan agenda Freemason.

Teori ini telah wujud sekian lama. Ia pernah diceritakan semula dalam plot novel Dan Brown (seperti Angels and Demons), permainan video Assasin’s Creed, trilogi novel Illuminatus! oleh Robert Shea dan Robert Anton Wilson, dan dokumentari The Arrivals. Tidak kurang juga golongan yang menjadikan ia sebagai bahan ceramah tanpa memberi sebarang kredit kepada idea asal.

Bagaimana teori ini dapat berkembang? Dari mana asal usulnya?

Tujuan siri artikel ini bukanlah untuk mencari gaduh atau untuk merendah-rendahkan mana-mana individu. Cuma, Teori Konspirasi semakin menjadi-jadi di masyarakat kita, sehingga semua perkara mahu dikaitkan dengan Freemason untuk menakut-nakutkan orang. Dengar muzik rock, Freemason. Dengar K-Pop, Freemason. Ambil vaksin, Freemason. Filem Minion, Freemason. Filem Moana, Freemason. Belajar di Oxford, Freemason. Maka diharapkan siri artikel ini dapat mengurangkan sedikit sikap paranoia yang menular di masyarakat kita.

Asal usul Teori Konspirasi adalah di Eropah menjelang akhir abad ke-18. Ketika itu berlaku peristiwa besar yang bernama Revolusi Perancis. Rakyat Perancis menggulingkan pemerintahan raja mutlak pada tahun 1789 malah turut memansuhkan kedudukan raja pada tahun 1792. Raja Perancis iaitu Louis XVI telah dipancung oleh rakyat yang radikal dan fanatik. Pergolakan di Perancis mengejutkan seluruh Eropah. Maka golongan konservatif mula menulis rencana untuk memburuk-burukkan Revolusi Perancis agar ia tidak menjadi ikutan rakyat.

Raja Louis XVI dikorbankan dalam Revolusi Perancis

Cara paling mudah untuk memburuk-burukkan revolusi rakyat Perancis adalah dengan mengaitkannya dengan setan. Pada tahun 1797, seorang profesor di Universiti Edinburgh bernama John Robison telah menerbit buku berjudul Conspiracy Against all the Religions and Governments of Europe, Carried on in the Secret Meetings of Freemasons, Illuminati and Reading Societies, diikuti oleh buku Memoirs Illustrating the History of Jacobinism yang ditulis seorang paderi Jesuit bernama Abbé Augustin Barruel (sebuah kumpulan Katolik yang diharamkan oleh kerajaan Perancis) pada tahun 1798. Mereka mendakwa kumpulan Freemason dan Illuminati sebagai dalang di sebalik Revolusi.

Bapa-Bapa Teori Konspirasi: Barruel dan Robison

Dalam bukunya, Barruel mendakwa Freemason sebagai pewaris kepada Knights Templar. Knights Templar ialah sebuah kumpulan kesatria yang kesemua ahlinya dihukum mati oleh Raja Perancis pada tahun 1314 atas tuduhan menyembah setan, satu tuduhan yang direka-reka oleh Raja Phillip IV untuk merampas harta Templars. Barruel mendakwa tujuan Freemason menggulingkan raja Perancis adalah untuk membalas dendam pembunuhan Raja Phililip IV terhadap Templars. Barruel juga mendakwa ahli-ahli falsafah seperti Voltaire, Montesquieu dan Rousseau sebagai Freemason, kerana idea-idea politik mereka mengenai kedaulatan rakyat (popular sovereignty) telah mencabar doktrin hak kekuasaan raja (divine right of kings) dan menjadi punca rakyat menentang pemerintahan beraja.

Selain menulis untuk mempertahankan sistem monarki di Eropah, mereka juga masing-masing mempunyai agenda peribadi. Jesuit adalah antara kumpulan yang terawal dituduh sebagai dalang di sebalik Revolusi, jadi, Barruel cuba membersihkan nama Jesuit dengan mengalihkan tuduhan ke Freemason. Robison sendiri ialah seorang Freemason, jadi dia mempersalahkan Illuminati sebagai ejen perosak Freemason di Perancis.

Adakah Freemason benar-benar sebuah kumpulan penyembah setan seperti yang didakwa oleh Barruel dan Robison?

Lambang Freemason

Asal usul Freemason ialah persatuan pekerjaan (guild association) yang wujud di Eropah ketika Zaman Pertengahan (Middle Ages). Mason bermaksud tukang batu, maka Freemason pada asalnya ialah sebuah pertubuhan tukang-tukang batu. Nama penuh Freemason ialah Free and Accepted Mason. Selain Freemason, terdapat juga guild yang bernama Free Gardener, Free Carpenters, Free Shepherds, Free Carters dan seumpamanya. Lambang Freemason iaitu sesiku dan kompas (Square and Compass) merupakan alat pekerjaan golongan tukang batu atau arkitek.

Apakah tujuan penubuhan guild? Di Zaman Pertengahan, orang hanya bekerja dalam satu bidang, bukannya sekejap bekerja di bank, sekejap main gitar, sehingga pekerjaan dijadikan sebagai nama keluarga, contohnya seperti Baker, Carter, Mason, Miller, Smith, Skinner, Taylor (tailor) dan Schumacher (shoemaker). Disebabkan pekerjaan sebegini memerlukan latihan kemahiran bertahun-tahun, maka guild ditubuhkan untuk melatih pekerja mahir dan juga untuk melindungi rakan sekerja.

Dalam guild terdapat tiga pangkat keahlian: apprentice, journeyman, dan master. Mereka akan bermesyuarat di guild hall. Mereka juga menggunakan simbol dan isyarat tangan untuk menjaga rahsia pekerjaan mereka daripada diketahui oleh pesaing.

Rank dalam Freemason

Kesemua amalan guild ini juga terdapat dalam Freemason. Pangkat keahlian Freemason terbahagi kepada 33 darjat: darjat 1 ialah Entered Apprentice, darjat 2 ialah Fellow Craft, dan darjat 3 hingga 33 digelar Master Mason. Freemason mengadakan perjumpaan berkala di lodge (loji). Dan mereka juga menggunakan isyarat tangan untuk berkomunikasi.

Dewan Freemason United Grand Lodge of England di Great Queen Street, London, kredit: Laman Seswang UGLE

Akibat Revolusi Industri, pengkhususan pekerjaan yang rigid tidak lagi relevan. Maka lama-kelamaan, Freemason telah bertukar daripada sebuah persatuan tukang batu kepada sebuah persatuan persaudaraan (fraternity) yang dibukakan kepada orang ramai tanpa mengira profesion. Tujuan persaudaraan adalah untuk menyatukan orang-orang yang mempunyai cita rasa dan minat yang sama. Bukan mudah untuk memasuki Freemason. Syarat asas mestilah beragama (ateis tidak layak) dan free-born (orang Yahudi yang tidak mempunyai hak kewarganegaraan tidak layak). Wanita juga tidak diterima ke dalam Freemason kerana idea pertubuhan Freemason adalah sebagai sebuah brotherhood.

Seperti guild yang lain, Freemason juga mempunyai tokoh panutan. Tukang kayu (Free Carpenters) menjadikan Joseph (ayah Jesus dalam Bible) sebagai tokoh, maka Freemason juga mencipta satu watak bernama Hiram Abiff berdasarkan kisah pembinaan Haikal Sulaiman (Solomon’s Temple) dalam Bible. Hiram dikatakan sebagai seorang tukang batu yang dibunuh oleh tukang batu yang lain atas kecemburuan. Dengan itu, setiap ahli Freemason perlu melalui upacara kemasukan (initiation) yang melambangkan kematian Hiram. Kisah Hiram ini adalah dongeng yang direka Freemason dan tidak didapati dalam kitab Yahudi (Torah) atau Kristian (Bible), namun ramai menganggap ia benar termasuk individu yang bertaraf syeikh.

Upacara Kemasukan bagi Apprentice

Ramai golongan intelektual telah menyertai Freemason, kerana sifat kerahsiaannya amat sesuai bagi perbincangan idea-idea kesejagatan, kesamarataan, rasionalisme yang tidak boleh dibuat secara terbuka ketika itu. Malah idea-idea Freemason yang dianggap radikal telah menyebabkan ia diharamkan oleh Gereja Katolik pada tahun 1738.

Salah satu sebab Freemason diharamkan ialah penggunaan simbol-simbol bukan daripada agama Kristian. Freemason mempunyai konsep Tuhan yang agak berbeza dengan pemahaman Kristian Katolik dan cenderung kepada konsep Tuhan sebagai Supreme Architect of the Universe yang dipelopori oleh ahli-ahli falsafah Era Pencerahan (Age of Enlightenment), dan mereka menganggap tuhan dalam semua agama itu sama.

Tuhan menurut Freemason: Great Architect of the Universe

Mereka juga menggunakan simbol Mata Ilahi (Eye of Providence atau All-Seeing Eye of God) sebagai lambang ketuhanan (Tuhan, bukan mata dajjal) yang sentiasa mengawasi manusia. Simbol Piramid juga menjadi kegemaran Freemason kerana ia melambangkan pencapaian tukang batu, bukan kerana Freemason ini berketurunan Firaun. Salah seorang Freemason yang terkenal ialah Wolfgang Amadeus Mozart yang dinobatkan sebagai ahli muzik teragung pada abad ke-18. Dalam teater Mozart berjudul The Magic Flute yang mula ditayangkan pada tahun 1791, boleh dilihat dengan jelas simbol-simbol piramid dan Mata Ilahi.

Mata Ilahi

Disebabkan ramai di kalangan pengasas AS ialah Freemason, maka simbol-simbol Freemason turut diserapkan ke dalam lambang negara Amerika Syarikat. George Washington, presiden pertama AS, ialah seorang Freemason. Namun begitu, adalah tidak tepat untuk mengatakan AS sebagai sebuah negara Freemason: hanya 9 daripada 56 pengasas AS yang menandatangani Deklarasi Kemerdekaan pada tahun 1776 merupakan Freemason, dan hanya 13 daripada 39 pengasas yang menandatangani Perlembagaan AS pada tahun 1787 merupakan Freemason.

Lambang Negara AS di Dolar $1 merujuk kepada Mata Ilahi, bukan Mata Dajjal
Keahlian Washington dalam Freemason adalah rahsia terbuka.

Bagaimana pula dengan Illuminati?

Illuminati diasaskan oleh Adam Weishaupt, seorang Yahudi beragama Katolik di Bavaria, Jerman pada tahun 1776. Nama asal Illuminati ialah Order of the Perfectibles, sebelum dinamakan semula sebagai Illuminati yang membawa maksud pencerahan (illumination). Weishaupt menyertai Freemason pada tahun 1777 untuk mengembangkan gerakannya, namun ideologinya agak bercanggah dengan pegangan Freemason. Freemason ialah sebuah kumpulan yang bukan bersifat politik manakala Weishaupt bercita-cita untuk menggantikan sistem politik Eropah melalui ‘pencerahan’. Akhirnya, Illuminati telah diharamkan oleh kerajaan Bavaria pada tahun 1784 dan Weishaupt telah melarikan diri.

Ada pendukung Teori Konspirasi yang mendakwa Weishaupt telah melarikan diri ke AS, membunuh Washington dan menggantikan tempatnya. Ini sebenarnya cerita yang direka oleh novel Illuminatus! yang tidak masuk akal. Bukan sahaja wajah Weishaupt dan Washington itu bagai bumi dan langit, malah bukan mudah untuk merentasi lautan Atlantik ke AS. Sebenarnya Weishaupt telah mendapat perlindungan di Gotha, Jerman dan terus menulis beberapa makalah untuk membela Illuminati (seperti An Apology for the Illuminati pada tahun 1786) sehingga dia meninggal dunia pada tahun 1830.

Meskipun tiada bukti yang menunjukkan Freemason terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan kerajaan di Eropah, namun sifat rahsia Freemason sering menyebabkannya dikambinghitamkan. Di AS pada 1830-an siap ditubuhnya Parti Anti-Mason yang berkempen untuk mengharamkan Freemason dan mereka telah memenangi banyak kerusi. Jika benar AS ialah sebuah negara Freemason, bagaimana parti sebegini dapat bergerak? (jawapan pentaksub Teori Konspirasi: wayang) Hitler, seorang penggemar Teori Konspirasi telah mengharamkan Freemason dan membunuh ribuan Freemason atas alasan mereka terlibat dalam konspirasi Yahudi, tetapi ia lebih kepada alasan untuk menghancurkan segala gerakan rahsia yang boleh mengancam kedudukannya.

Freemason sebenarnya lebih kepada sebuah kelab elit untuk bersosial. Adapun ramai orang ternama merupakan ahli Freemason, ia tidak membuktikan ada apa konspirasi di kalangan mereka, malah ahli Freemason juga berbalah satu sama lain. Semasa Revolusi Amerika (1775-1783), Freemason di AS berpecah kepadaa Loyalist (yang setia kepada penjajah Inggeris) dan Patriots (yang menuntut kemerdekaan Amerika). Orang-orang ternama yang menggangotai Freemason juga bukanlah manusia yang paling signifikan. Walaupun Washington merupakan presiden pertama AS, namun peranannya tidak sepenting Alexander Hamilton (Setiausaha Perbendaharaan) dan Thomas Jefferson (Setiasuaha Negara) yang bukan Freemason.

Perkembangan semasa juga menyebabkan Freemason tidak lagi berahsia tentang aktiviti mereka. Mereka terpaksa menjadi lebih terbuka untuk menarik lebih ramai ahli memandangkan keahlian Freemason semakin merosot. Di AS semasa 1950-an terdapat 4 juta Freemason, kini cuma tinggal 1.5 juta sahaja. Malah ramai loji tempatan juga mewujudkan laman sesawang dan membuka loji kepada kunjungan orang awam. Laman sesawang District Grand Lodge of Eastern Archipelago (DGLEA) yang merangkumi kawasan Malaysia, Thailand dan Singapura boleh dicapai tanpa had.

Laman sesawang DGLEA

Freemason mula bertapak di Malaysia selepas kehadiran orang Inggeris di Pulau Penang. Jumlah keadhlian Freemason di Malaysia dan Singapura hari ini kurang daripada 3,000 orang. Tidak kurang juga orang Melayu yang menyertai Freemason, seperti Mustapa Osman yang dilantik sebagai District Grand Master (DGM) pada 1967. Keadaan ini telah membawa kepada perdebatan mengenai Freemason ketika 1970-an yang dicetuskan oleh ahli politk seperti Haji Sulaiman Palestin dan wartawan bernama Mohd. Taib bin Datuk Dr. Haji Abbas yang menulis Mana Gagah? Parlimen – Balai Freemason (1978), Apa Salahnya Masuk Freemason (1979) dan Jatuhnya Kerajaan Dek Freemason (1982).
Untuk menamatkan polemik tersebut, siasatan mendalam telah dibuat oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Majlis Ehwal Ugama Islam pada tahun 1978. Hasil daripada siasatan, kerajaan mendapati tiada keperluan untuk mengharamkan Freemason kerana tiada bukti yang menunjukkan mereka terlibat dalam sebarang kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman negara dan masyarakat, atau terlibat dengan Zionisme. Dalam jawapan balas kepada Tuan Guru Nik Aziz, Tun Ghazali Shafie, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri juga menegaskan bahawa kebenaran yang diberikan kepada gerakan Freemason adalah sejajar dengan kebebasan pertubuhan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. [1]

Menurut Tan Sri Sanusi Junid, Tunku Abdul Rahman juga merupakan seorang Freemason. Tetapi adakah ia bukti kepada sebarang konspirasi? Ketika Malaysia masih berada di era Anglophile (mengagung-agungkan budaya Inggeris), menyertai Freemason dianggap norma dalam gaya hidup elit Barat, maka tidak hairanlah Tunku yang gaya hidupnya seperti seorang gentleman British memilih untuk menyertai pertubuhan tersebut. Namun, Tunku sendiri telah menegaskan bahawa beliau menjadi ahli sebagai “cara nak berkawan saja … tak ada apa-apa pun…. bukan badan politik pun. … kalau mereka rugikan Melayu saya takkan ikut mereka…” [2]

Neil Armsteen pernah menabur fitnah bahawa pembinaan Dewan Freemason baru di Bukit Jalil sebagai bukti kerajaan dikawal oleh Freemason. [3] Ini menunjukkan kejahilannya tentang sejarah perdebatan Freemason yang telah lama selesai pada 1970-an.

Jadi, tidak perlu terkejut beruk sekiranya anda bertemu seorang yang mengatakan “I am a Freemason”. Ketua Freemason di Malaysia ialah Dr. Yeoh Poh Hong yang menjawat DGM sejak tahun 2003. Kalau tidak percayakan dengan maklumat yang dibekalkan oleh Freemason sendiri, boleh minta maklumat daripada Kementerian Dalam Negeri.

Dr. Yeoh di Dewan Freemason, Jalan Tun Razak, kredit: The Star (http://www.thestar.com.my/opinion/letters/2005/04/17/mystery-unveiled/)

Walaupun dakwaan Freemason sebagai pertubuhan konspirasi untuk menguasai dunia tidak kukuh, ini tidak bermakna Freemason ialah sebuah pertubuhan yang ‘harmless’. Pendapat penulis ini adalah sama dengan Tun Hussein Onn yang menyeru ahli Freemason untuk bertaubat. [4] Pegangan Freemason bahawa semua agama itu sama adalah tidak konsisten dengan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Penulis ini juga tidak berhasrat untuk membela Freemason, cuma nak beritahu bahawa Freemason tidaklah sehebat dan sedahsyat mana seperti yang diceritakan oleh pendukung Teori Konspirasi, dan teori mengenai mereka hanyalah rekaan Barruel dan Robison yang harus diteliti melalui konteks politik Eropah ketika itu.

Tidak kira Barruel atau Robison, tidak pernah mereka mengaitkan Freemason dengan Yahudi (Weishaupt itu kira Yahudi murtad yang menganut Kristian), kerana Yahudi adalah kelas bawahan yang tidak layak untuk menyertai Freemason. Teori Konspirasi hanya mula diperkayakan dengan watak Yahudi bermula abad ke-19. Perkara ini akan dikupas dalam artikel seterusnya.

Wallahu a’lam.

Bacaan Lanjut:

Jovan Byford (2011), Conspiracy Theories: A Critical Introduction.

Margaret C. Jacob (1991), Living the Enlightenment: Freemasonry and Politics in Eighteenth-Century Europe.

David Stevension (1988), The Origins of Freemasonry: Scotland’s Century, 1590 to 1710.

Rujukan Dalam Artikel:

[1] The Straits Times, 23 Mac 1977, halaman 7.

[2] http://sanusijunid.blogspot.my/2010/02/terima-kasih-tun-ghazali-shafie.html

[3] https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1782572788695282&id=1639448496341046

[4] “Hussein Seru Anggota2 Freemason Bertaubat”, Berita Harian, 27 Oktober 1978, halaman 1.

Comments

comments

2 COMMENTS

  1. benda tak pasti…tinggalkanlah…penyudahnye takde kesudahan…terbahagi terpecah…ideologi,,,entah dari siapalah gamaknya nak didakwa dakwi nak disanggah punggah…SIAPA TUHAN-MU?SIAPA IMAM-MU?APA AGAMA-MU?APA KITAB-MU?MANA KIBLAT-MU?

  2. Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda bahawa akhir zaman (selepas kewafatan baginda s.a.w) ialah ‘zaman fitnah’.. fitnah’ yang maha dasyat sehingga membuatkan manusia keliru, bingung seterusnya terjerumus dlm kegelapan angkara fitnah. Sebab itu Muslim harus berpegang kuat pada Al Quran dan Hadith. Cukuplah dgn Hadith tentang Dajjal laknatullah yg membawa fitnah dasyat diakhiri dgn pengakuan dirinya sebagai tuhan manusia. Utk menjayakan fitnah bukan lah mudah apatah lagi utk buat manusia mempercayai dirinya (dajjal) itu tuhan dlm tempoh 40 hari spt dlm hadith. Perlu ada perancangan yg mampan, strategik dan hebat utk mempengaruhi akal manusia. Rentetan dri peristiwa2 yg berlaku didunia kini terutama pada Muslim adakah berkait rapat dgn perancangan fitnah dajjal?? Tidak mustahil. Oleh itu benar atau tidak perihal Freemason, Illuminati dll, itu hal lain. Cukup utk jdikan perhatian atau peringatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here