Tombiruo (2017): Adiwira Yang Boleh Dibanggakan Rakyat Malaysia

0
11066
views

Ini ialah filem pertama yang aku tonton di panggung wayang seorang diri. Sebelum ini biasanya aku berteman. Namun sebab filem ini mula masuk panggung pada hari khamis, kebanyakan rakanku sibuk bekerja, maka aku datang ke panggung seorang diri. Dan ternyata filem pertama yang aku tonton tanpa berteman ini tidak menghampakan secara keseluruhan.

Pertama, kepada peminat novel Ramlee Awang Murshid, kalau kalian datang untuk datang menonton filem thriller yang bersifat seperti novel Ramlee Awang Murshid yang memerlukan anda berfikir untuk mencatumkan plot yang sengaja diletakkan tidak selari, dan berselirat, percayalah bahawa filem ini tidak menggunakan formula tersebut.

Formula Tombiruo adalah formula plot biasa yang anda lihat pada kebanyakan filem blockbuster Hollywood. Ini bukan sebuah filem yang dibuat untuk kalian menjadi penyiasat, seperti kebanyakan novel Ramlee Awang Murshid.

Anda akan dihadapkan dengan prolog, permulaaan plot, dan kemudian dibawa mengembara melalui jalan cerita yang selari – perkenalan konflik dan plot sedang memanjat untuk ke tension yang sebenarnya sebelum berhadapan dengan klimaks dan kemudian, filem akan ditamatkan dan plot yang ringkas pun terlerai.

Namun, aku tidak salahkan pihak produksi, pengarah dan penulis skrip. Formula dalam novel RAM, bukan untuk Tombiruo sahaja, tetapi kebanyakan novel beliau, pada pandangan peribadi saya, lebih sesuai diabadikan pada drama bersiri yang berjumlah sekurang-kurangnya 10 episod. Lagipun adaptasi yang bersifat seperti ini pun digunakan oleh filem-filem Hollywood yang banyak mengaptasikan daripada naskah seperti novel dan filem, lagi-lagi untuk karya Superhero seperti Marvel dan DC.

Komik Marvel dan DC yang jalan ceritanya terlalu kaya dengan plot, perkembangan watak, konflik dan persoalan prinsip dan falsafah terpaksa diabaikan dan dibentuk plot cerita yang baru memandangkan durasi dua jam tidak cukup untuk memuatkannya. Atau nanti, untuk sebuah komik dan novel sahaja, memerlukan lebih daripada 3 sekuel dan menjadi trilogi seperti The Hobbit padahal novelnya satu sahaja.

Namun, Tombiruo tetap berjaya dipersembahkan dengan baiknya. Prolognya dimulakan dengan aksi pertarungan yang mengasyikkan dengan sinematografi yang sangat memukau. Prolognya adalah sangat penting untuk plot twist yang akan didedahkan pada hujungnya. Selepas prolognya, kita terus diperkenalkan dengan watak-watak di dalam filem serta konflik yang menjadi fokus utama jalan cerita.

Tidak lari banyak dari novelnya, konflik dalam filem masih berkisarkan tentang kapitalis yang sedang membolot kekayaaan hutan Keningau, sambil seorang lelaki misteri bertopeng yang aku kira, lagaknya memang menepati ciri-ciri seorang adiwira. Dalam masa yang sama, terdapat sengketa antara ahli keluarga yang memiliki syarikat tersebut yang dinamakan Anak Bumi tentang perjalanan syarikat mereka. Watak seorang wartawan iaitu Wan Suraya yang begitu gigih cuba membongkar rahsia yang membelenggu Anak Bumi.

Watak Suraya adalah watak yang paling aku suka dalam filem. Ia bersifat seperti penghubung antara dua dunia, Ejim yang merupakan insan disebalik mitos Tombiruo dan hero utama filem iaitu Amiruddin yang dilakonkan oleh Farid Kamil yang datang dari dunia yang berbeza. Wan Suraya jugalah menjadi deus ex-machina yang digunakan oleh pengarah untuk meleraikan konflik antara dua watak protagonist dalam filem ini sebelum mereka melawan anatagonis yang sebenar. Sekurang-kurangnya untuk filem ini, cliché wanita menjadi punca dua hero utama berentakan tidak terjadi, sebaliknya menjadi penyatu.

Aku harus beri pujian kepada Zul Ariffin untuk berlakon dengan wajah yang memakai topeng sentiasa serta kurang dialog. Seorang pelakon dinilai dengan riak wajah ketika berlakon untuk menampakkan watak mereka hidup serta lontaran dialog yang berkesan. Namun, itu bukanlah menjadi batu penghalang kepada Zul Ariffin. Tanpa melihat riak wajah dan tidak banyak dialog untuknya, Zul Ariffin menggantikan dengan bahasa badan yang tampak menyakinkan. Bahasa badan seseorang yang sedang marah, berdendam, sayang, menyesal semuanya disampaikan dengan sempurna.

Setiap babak yang dipersembahkan terasa perlu untuk mengembangkan jalan cerita, dan menyumbang kepada perkembangan watak dan plot, bukan dicipta untuk semata-mata kerana untuk memanjangkan cerita. Pengarah berjaya menyakinkan aku bahawa setiap babak babak sangat perlu, dan kalau tidak dimasukkan dalam cerita, akan mencacatkan cerita. Pengarah tidak membenarkan aku untuk mencari ruang mempersoalkan setiap kewajaran setiap babak dalam filem.

Antara babak yang menarik perhatian aku ialah ketika pertemuan pertama antara Tombiruo dan Wan Suraya di dalam hutan. Postur bongkok dan kekok yang dipamerkan oleh Tombiruo menyakinkan aku bahawa si Tombiruo ini memang hidup hanya di dalam hutan, dan peluang untuk berjumpa dan bertutur dengan wanita secantik Wan Suraya itu akan jadi sesuatu yang kekok.

Babak lain yang aku kira sangat menyentuh hati aku ialah ketika betapa Amiruddin dan Tombiruo menangisi pemergian orang yang mereka sayang. Babak yang diselang-seli dengan jeritan dan teriakan daripada Amiruddin dan Tombiruo, dan betapa bahasa badan mereka memang nampak seperti seorang yang meratap kehilangan memang sangat berjaya. Aku jarang tersentuh dengan lakonan pelakon Malaysia, tetapi Zul Ariffin dan Farid Kamil berjaya.

Nabila Huda juga layak diberi pujian pada lakonannya. Wan Suraya tampil sebagai wartawan yang sebenar, dan Nabila Huda juga seperti sudah lama hidup menjadi seorang wartawan. Nampak jelas pada lakonannya ketika dia mengejar matlamat utama seorang wartawan, mengorek sebanyak mungkin cerita walau dengan apa-apa pun caranya. Nampak juga sisi clumsy dan juga, sisi keibuan, walau tidak panjang, sekurang-kurangnya memberikan pelbagai dimensi untuk kita menilai beliau juga wujud dalam realiti masyarakat semasa. Nabila Huda memainkan watak Wan Suraya tidak nampak seperti dibuat-buat, tetapi nampak semula jadi.

Namun, ada juga beberapa dialog yang dilontarkan dalam filem yang aku kira agak kaku dan kejung. Dialog itu dilontarkan oleh beberapa watak, dan beberapa dialog dalam skripnya nampak seperti agak try hard seperti cuba berfalsafah dan cuba menampakkan dialog yang dilontarkan untuk kelihatan deep. Lagi-lagi babak yang melibatkan antara ayahnya Tombiro dengan watak tombiruo kecil ketika ayahnya berpesan-pesan tentang kehidupan dan cinta. Tetapi selebihnya, aku tidak merasakan perasaan cringe yang selalu aku temui pada kebanyakan filem dan drama Melayu.

Kelihatannya karya Ramlee Awang Murshid, meskipun dipersembahkan dalam bentuk filem, ia tidak lari dari plot twist. Cuma, aku agak kekok pada cara pertama plot twist yang pertama dipersembahkan. Ketika mereka menggunakan si bomoh tua bernama Monsiroi untuk menyampaikan sebuah rahsia yang terpendam lebih 20 tahun antara Tombiruo dan Amiruddin, aku merasakan bahawa rahsia tersebut boleh didedahkan dengan cara yang lebih baik daripada menggunakan magis sebagai plot device sekaligus bertindak sebagai plot twist utama filem. Pendedahan siapakah villain utama dihujung filem memang sangat bergaya. Aku juga suka bagaimana pengakhiran yang diterima villain. Babak CGI dihujung filem itu memang mantap!

Aku lagi suka pengarah menggunakan watak Wan Suraya sebagai seorang wartawan digunakan sebagai watak yang mendedahkan hakikat rahsia antara Amiruddin dan Tombiruo, sekaligus menguatkan lagi Wan Suraya sebagai penggerak plot. Lagipun sesuai sebagai latar belakang profession wartawan yang sudah tentunya sangat obsess dengan rahsia-rahsia dan kisah yang disembunyikan. Lebih realistik pada perkiraan aku sebab terlalu banyak unsur magis yang menyelubungi watak Tombiruo itu sendiri.

Adapun, bahagian lain yang layak diberi pujian dalam Tombiruo ialah babak aksi yang dipersembahkan. Meski ketika diawal filem, terdapat sedikit kecatatan pada babak Tombiruo berlari bersama ayahnya, yang aku lihat agak seperti kartun, mungkin kerana pace filem dilajukan sedikit, namun selebihnya sangat memukau. Langkah Silat Sendeng yang dipamerkan oleh Farid Kamil, serta kehebatan aksi tarzan Malaysia seperti Tombiruo, ia nampak sangat realistik.

Cuma, aku cadangkan dikurangkan babak peluru menuju dengan sangat perlahan ala-ala Matrix yang seperti diulang-ulang dalam filem. Sebabnya bila aku ditayangkan dengan babak seperti itu, tidak seperti babak pertarungan yang pantas, pengarah seperti memberi aku masa untuk mempersoalkan dimanakah relevannya hukum fizik melibatkan watak utama dan beraksi mengelak peluru atau pengerakkan yang mampu menyaingi peluru. Lebih pantas babak pertarungan, lebih senang aku terlepas pandang dalam soal hukum fizik ini.

Penamat untuk filem ini, aku kira jauh lebih baik dari kebanyakan penamat filem Melayu. Biasanya filem Melayu bermasalah pada penamatnya yang selalu bertindak seperti anti-klimaks. Tetapi tidak untuk Tombiruo. Mungkin sebab itu aku rasa pertengahan plot Tombiruo agak mendatar, rupa-rupanya pengarah menyimpan kukunya untuk babak klimaks dan penamat filem Tombiruo. Mungkin kita boleh katakan bahawa mungkin babak klimaks dan penamat terbaik untuk filem Melayu yang dikeluarkan sejak kebelakangan ini.

Kepada peminat novel Ramlee Awang Murshid juga, jangan lupa untuk tunggu after-credit scene. Ada hint seperti saga Laksamana Sunan bakal difilemkan juga. Namun aku rasa itu hanya bergantung pada kejayaan Tombiruo ini nanti.

Kesimpulannya, kisah Tombiruo mempertahankan hutan ini harus ditonton oleh setiap orang. Ya, aku merasakan Tombiruo juga adalah seorang adiwira yang harus dibanggakan oleh rakyat Malaysia. Dia adalah manifestasi seorang vigilante yang berjuang mempertahankan hutan dari kapitalis sewaktu pihak berkuasa terkunci tangan, mulut dan kaki menyaksikan hutan-hutan kita dijilat nafsu kerasukan manusia.

Akhir sekali, mesti kalian tanyakan berapa rating daripada aku? Aku berikan 7/10. Tahniah Tombiruo kerana berani menongkah arus! Tahniah juga tidak mengecewakan aku ketika kali pertama aku menonton secara berseorangan untuk filem ini tanpa membawa sebarang teman!

Comments

comments

Previous articlePeristiwa Kemunculan Semula Mat Kilau Pada Tahun 1969
Next articleTiga Amalan Harian Untuk Hidup Lebih Gembira
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here