Malaysiaku: Mudahnya Kita Ditipu…

0
444
views

Kita menyangka dengan kemajuan yang dinikmati negara kita hari ini, ia turut membawa perubahan mentaliti dalam kalangan warga tanah tercinta ini. Namun melihat perkembangan terbaru di negara ini membabitkan kelompok scammers atau penipu ini, ianya satu kisah yang tidak ada kesudahan dari dulu sampai sekarang.

Cakaplah apa jenis penipuan yang dilakukan di sini, semuanya ada. Skim cepat kaya, berlambak dipaparkan di dada akhbar atau kaca televisyen tapi masih ramai juga yang masuk. Panggillah nama apa yang anda mahu, skim Pak Man Telo atau skim piramid, modus operandinya sama saja. Seorang usahawan bernama Nasrrul Hakim Md Jani menceritakan ada tiga kelompok yang mahu sertai skim ini. Pertama, golongan yang suci hati tidak tahu skim tersebut satu penipuan. Apabila ia sudah didedahkan sebagai satu bentuk penipuan, mereka tidak lagi akan menyertai skim tersebut. Kedua, golongan ini tahu skim itu satu penipuan tapi tetap juga masuk dengan harapan dapat kaut keuntungan dari skim tersebut sebelum penganjur skim melarikan diri dengan wang pelaburan mereka. Sudahlah tahu bahkan berusaha menarik lebih ramai ahli masuk untuk mendapat komisyen yang banyak dari skim tersebut. Bagi kelompok ketiga pula, mereka ini percaya bulat-bulat akan kewujudan skim tersebut dan menganggap ianya satu rahmat. Menurut beliau, tanpa dua golongan pertama yang disebutkan ini, skim tersebut sebenarnya sudah lama terkubur.

Skim tipu produk atau perkhidmatan pun tak kurang hebatnya. Sesetengah syarikat ini menjual barang yang bersifat quackery yang mempunyai faedah tertentu seperti memberi penjimatan kepada penggunaan minyak atau merawat penyakit tertentu. Ada pula menjual barang secara online kepada pengguna tetapi memberi barang berbeza tidak seperi apa yang dimahukan pengguna. Ada juga menawarkan skim atau projek yang tidak wujud seperti projek perumahan mampu milik sebuah syarikat swasta di Langkawi seperti yang didedahkan seminggu lepas. Terbaru, sebuah syarikat bernama DBI Technology disiasat pihak berkuasa kerana didakwa mengutip dana dan menipu orang ramai di sebalik skim perumahan berpatutan yang ditawarkan. Persamaan sesetengah skim ini ialah mereka menggunakan modus operandi skim piramid dengan menarik ahli baru dan mengumpul dana berlipat kali ganda sebagai cara untuk menarik perhatian individu yang tidak mengesyaki apa-apa. Akibatnya, bila skim atau projek yang ditawarkan itu ialah satu penipuan, pengguna mengalami kerugian sehingga beribu-ribu ringgit. Ini belum ditambah kerugian dari segi masa dan tenaga yang diperuntukkan untuk menjayakan skim yang dikatakan boleh menguntungkan pengguna.

Kisah gelaran palsu ini pula, bukanlah satu rahsia sesetengah individu ini nakkan gelaran sebegini walaupun perlu berbelanja sehingga ratusan ribu ringgit. Mengapa mereka sanggup berbuat demikian? Bila seseorang mendapat gelaran tersebut, secara automatik ia mewujudkan rasa hormat orang ramai kepada individu tersebut lebih-lebih lagi sekiranya gelaran tersebut ialah gelaran berprestij. Menurut Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Husain Al-Shabab, sindiket sebegini telah aktif sejak puluhan tahun dahulu dan bergerak sebagai sebuah organisasi terancang. Beliau turut mendedahkan pernah didekati seorang ejen sindiket tersebut yang menawarkan gelaran ‘Datuk’ dengan harga RM250,000. Selain itu, ejen tersebut turut menawarkan insentif kepada Syed Husain sekiranya beliau membawa beberapa individu berminat mendapatkan gelaran tersebut.

Ada sindiket turut menawarkan gelaran terhormat dalam dunia akademik seperti Doktor atau Profesor kepada mana-mana individu berminat atas tujuan sama. Tahun lepas, pakar motivasi terkenal, Azizan Osman terpaksa menggugurkan gelaran tersebut berikutan pendedahan kelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kehormat diterimanya palsu. Ini berdasarkan keterangan sebuah universiti awam (UA) yang menafikan menganugerahkan gelaran Doktor Falsafah (PhD) Kehormat kepada beliau. Dan ini ditambah pendedahan dua universiti swasta menafikan pernah menganugerahkan kepada individu berkenaan dalam jurusan yang dikatakan. Beberapa tahun sebelumnya, artis dan chef terkenal, Fazley Yaakob terpaksa meletak jawatan dalam pengurusan sebuah kolej swasta berikutan pendedahan Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang menyatakan beliau mempunyai ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) palsu.

Lebih buruk, trend hari ini menyaksikan ada individu mula berlagak seperti profesional dan menawarkan perkhidmatan yang ditawarkan seperti merawat gigi atau perundingan dalam sesetengah bidang. Sesetengah individu ini begitu berani menawarkan perkhidmatan sedemikian berdasarkan pembacaan mereka di Wikipedia atau menonton video tutorial di laman sesawang video seperti YouTube atau Dailymotion tanpa memikirkan akibat kepada pelanggan yang menggunakan khidmat mereka. Dan mereka meraih hasil lumayan daripada pekerjaan ini walaupun tahu berhadapan risiko ditahan pihak berkuasa dan dikenakan hukuman berat. Hanya kerana mereka mempunyai kemahiran, bukan bermakna mereka sedar akan kesan atau akibat perbuatan mereka kepada pelanggan.

Contoh, isu doktor gigi palsu yang hangat diperkatakan ketika ini. Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) yang mengulas trend kewujudan doktor gigi palsu ini menyifatkan golongan tersebut sebenarnya membahayakan diri mereka dan pesakit yang dirawat. Ini kerana golongan ini selalu mengabaikan kawalan jangkitan penyakit yang menyebabkan pesakit terdedah kepada penyakit seperti jangkitan HIV, Hepatitis B dan Hepatitis C. Persatuan tersebut turut menambah, kekurangan pengalaman yang dimiliki golongan sebegini menyukarkan mereka mengendalikan komplikasi semasa proses rawatan berjalan. Akibatnya, sudahlah kerugian wang pada doktor palsu, pesakit terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk rawatan susulan dan sekiranya kerosakan yang dilakukan tidak dapat diperbaiki, ia bakal meninggalkan kesan buruk pada penampilan dan kesihatan si pesakit.

Dalam kita sibuk memerangi kelompok sebegini yang hanya berminat menghisap darah pengguna, ada juga yang bukan saja bersimpati tetapi juga membantu mereka sekiranya mereka dikenakan hukuman berat oleh sistem keadilan. Ya, ada sesetengah kes, contohnya kes seorang doktor gigi palsu yang didenda RM70,000 atas kesalahan mengusahakan klinik pergigian tanpa lesen yang melakukannya atas dasar mahu membantu keluarga. Senang cerita, cuba mewujudkan sisi simpati pada pihaknya. Namun pada masa sama, siapa pula yang mahu bersimpati kepada pesakit-pesakit sekiranya mereka mengalami komplikasi kesihatan akibat rawatan yang diberi atau kerugian wang yang dialami mereka? Apapun, tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membayar denda wanita tersebut mencetuskan polemik dalam kalangan orang awam. Dan bagi ramai pengamal perubatan, tindakan sedemikian sebenarnya memberi mesej salah kepada masyarakat seolah-olah menggalakkan lagi kewujudan orang sebegini.

TIPS PENGGUNA ELAK DITIPU

  1. Jika nak melakukan sebarang pelaburan, semak terlebih dahulu kewibawaan sesebuah syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Bank Negara Malaysia (BNM). Syarikat-syarikat yang disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan selalunya diletakkan dalam senarai hitam dua organisasi ini.
  2. Lihat sama ada pulangan atau tawaran yang ditawarkan benar-benar relevan dan sahih. Ini kerana antara cara syarikat yang mengamalkan skim penipuan ialah mereka meletakkan pulangan lumayan atau tawaran yang buat mana-mana individu gelap mata semata-mata untuk menarik mangsa menyertai mereka.
  3. Bagi yang suka melakukan pembelian secara dalam talian, semak sekiranya penjual ada logo Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) dan nombor siri. Menurut Presiden PUIM, Encik Mohd Azrul Mohd Nor, ini bukti bahawa usahawan atau penjual terbabit diiktiraf persatuan dan melindungi hak pengguna.
  4. Semak nama individu yang disyaki sebagai penipu secara dalam talian. Di sini, kita boleh melihat nama individu terlibat dan nombor akaun yang digunakan mereka.
  5. Sekiranya merasakan ada sesuatu tidak kena, segera buat laporan kepada pihak berkuasa.
  6. Sentiasa berusaha mempertingkatkan pengetahuan terutama hak sebagai pengguna dan produk atau perkhidmatan yang mahu dibeli atau diambil. Ini bukan saja meningkatkan peluang untuk elak ditipu tetapi juga memastikan pilihan yang dibuat tepat dan memenuhi sasaran belanjawan yang ditetapkan.

SUMBER

  1. Mat Zuki, Norshahzura. (2016). Sinar Harian. Tips pengguna elak ditipu. http://www.sinarharian.com.my/bisnes/tip-pengguna-elak-ditipu-1.493991
  2. Ngah, Nazura. (2017). Berita Harian. Khidmat doktor gigi palsu berisiko – MDA. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/335220/khidmat-doktor-gigi-palsu-berisiko-mda
  3. Ahmad, Sophia. (2016). Berita Harian. UM nafi beri PhD Kehormat kepada Azizan Osman. https://www.bharian.com.my/node/197260
  4. Ahmad, Sophia. (2016). Berita Harian. 2 lagi universiti nafi bagi PhD kepada Azizan Osman. https://www.bharian.com.my/node/197632
  5. MStar. (2010). Ijazah Palsu, Fazley Letak Jawatan. http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2010/11/10/ijazah-palsu-fazley-letak-jawatan/
  6. Hashim, Qarami. (2017). MStar. Boy Iman Didakwa Cuba Menipu Guna Skim Penjualan Rumah. http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2017/09/11/boy-iman-penipuan/
  7. Mohd Noor, Hafidzul Hilmi. (2017). Harian Metro. Boy Iman kena tahan. https://www.hmetro.com.my/utama/2017/10/269128/boy-iman-kena-tahan
  8. Hussin, Mohd Hilmie. (2017). Harian Metro. ‘Doktor gigi’ didenda RM70,000. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/09/267900/doktor-gigi-didenda-rm70000-metro-tv
  9. Shaari, Syukri. (2016). Utusan Malaysia. Sindiket terancang ‘jual’ gelaran. http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-terancang-8216-jual-8217-gelaran-1.180151
  10. Md Jani. Nassrul Hakim. (2017). Utusan Malaysia. Skim cepat kaya, sukarnya ambil pengajaran. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/skim-cepat-kaya-sukarnya-ambil-pengajaran-1.476420

 

Comments

comments

Previous articleBiru Laut, Hijau Sherwood- Identiti Harimau Berjuang
Next articlePerang Salib III: Richard Mara Ke Jerusalem
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here