Dinasti Ming Mengamuk Bila Portugis Tawan Melaka

0
10026
views

Kita sedia maklum dalam sejarah bahawa ada kerajaan nusantara lain yang memberikan bantuan dan sokongan kepada Sultan Mahmud Shah dalam usaha baginda untuk merebut kembali Melaka daripada pihak Portugis contohnya Demak dan Jepara dari Jawa. Namun kita mungkin jarang dengar tentang reaksi kerajaan bangsa asing berkenaan penawanan Melaka oleh Portugis. Jadi adakah kejatuhan Melaka tidak diketahui atau tidak dipedulikan oleh rakan-rakan dagangnya dari negara asing? Sedangkan Melaka adalah sebuah Empayar kota perdagangan antarabangsa yang tersibuk dan antara terkaya di timur pada zaman tersebut, setaraf dengan Venice dan Genoa di Itali.

Semasa Portugis menyerang Melaka, terdapat para pedagang asing seperti orang India dan Cina yang membelot terhadap kerajaan Melaka. Naina Chittu memberikan maklumat risikan kepada Portugis manakala terdapat segelintir daripada pedagang Cina membantu Portugis dengan memberikan mereka jong untuk digunakan dalam penyerangan Kota Melaka. Walaupun begitu, tindakan para pedagang Cina yang mengkhianati Melaka tersebut tidak mewakili pendirian sebenar Kerajaan dinasti Ming sendiri. Hal ini kerana terdapat bukti bahawa Kerajaan Ming marah dengan tindakan biadap pihak Portugis yang menyerang Melaka. Kemarahan kerajaan Ming terhadap pihak Portugis ditonjolkan dengan tindakan-tindakan agresif yang dikenakan terhadap pihak Portugis serta pedagang-pedagang mereka yang berada di sekitar China.

Walaupun Bandar Melaka telah jatuh ke tangan Portugis, namun kerajaan Melaka belum benar-benar tumbang. Sultan Mahmud yang bertahan di Bintan telah mengantar aduan kepada kerajaan Ming, dan memaklumkan mereka tentang kejahatan dan kelicikan pihak Portugis. Hal ini telah menimbulkan kemarahan kerajaan Ming yang mempunyai kepentingan dalam perdagangan dengan Melaka. Selain itu kegiatan penculikan dan tindakan Admiral Portugis bernama Simao De Andrade yang tidak menghormati kedaulatan kerajaan Ming dengan membina lojing di Pulau Tamao tanpa persetujuan pihak berkuasa tempatan telah menambahkan lagi kebencian kerajaan Ming terhadap Portugis. Aduan bukan sahaja datang dari Sultan Mahmud, malah para pembesar Ming di Peking dan Canton juga turut menghantar aduan kepada Maharaja supaya tindakan tegas diambil terhadap Portugis.

Akibatnya Tome Pires yang telah menunggu di China selama dua tahun untuk mendapat kebenaran menuju ke Peking bagi menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Ming telah dihalang daripada memasuki Kota Diraja. Mereka telah diarahkan untuk balik semula ke Canton. Segala barang persembahan dan hadiah yang sepatutnya diberikan kepada Maharaja telah ditolak. Terdapat menteri di ibu kota Ming yang tidak mengiktiraf rombongan diplomatik tersebut dan menuduh mereka sebagai perisik. Mereka mahu agar rombongan Portugis tersebut dikenakan hukuman. Catatan Portugis juga menyebut bahawa terdapat beberapa orang penterjemah dalam rombongan Portugis itu telah ditangkap oleh kerajaan Ming.

Dipercayai mereka adalah penterjemah Cina Melaka yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan, kerana bahasa Portugis ketika itu masih asing bagi pegawai kerajaan Ming, pasti terjemahan dibuat daripada bahasa Portugis ke bahasa Melayu dan kemudian ke bahasa Cina. Seorang daripada mereka mati kerana penyakit dan 4 orang lagi telah dihukum pancung oleh kerajaan Ming kerana membelot kepada Melaka dan membawa orang Portugis ke China. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan Ming memang prihatin terhadap apa yang telah berlaku pada kerajaan Melaka ketika itu. Sbaik sahaja rombongan Tome Pires tiba di Canton, mereka telah dijadikan tebusan bagi mendesak pihak Portugis supaya mengembalikan takhta Melaka kepada Sultan Mahmud.

Setelah arahan untuk memerangi orang Portugis dari ibu kota sampai ke Canton, pihak pentadbir Canton telah menangkap semua orang Portugis yang berada di sekitar pelabuhan tersebut. Konflik ini memuncak apabila pada tahun 1521 berlakunya pertempuran awal diantara kerajaan Ming dengan pihak Portugis yang dinamakan sebagai Pertempuran Tamao Pertama. Kerajaan Ming telah berjaya mengalahkan armada Portugis dalam pertempuran tersebut. Ramai tentera Portugis yang terbunuh dan ditawan hinggakan orang Portugis terpaksa meninggalkan kapal-kapal mereka dan hanya dapat lari dengan tiga buah kapal ke Melaka.

Sejak itu mana-mana kapal Portugis yang masuk ke perairan China akan diserang oleh armada laut Ming. Anak kapal akan dibunuh atau ditawan. Catatan Portugis menyebut ramai tawanan yang mati di dalam tahanan, ada yang mati kelaparan, ada yang mati dicekik, ada yang dibunuh dengan cara dipukul kepalanya dengan cokmar dan yang selebihnya dibelasah sehingga mati. Bagi yang tidak dibunuh iaitu ahli rombongan diplomatik Tome Pires, mereka diseksa dan dipakaikan rantai besi besar serta dipenjarakan. Tome Pires juga dipaksa oleh pihak berkuasa Ming untuk menulis surat kepada pemerintah Portugis di Melaka agar mengembalikan semula Melaka kepada Sultannya. Pihak pentadbir Ming di Canton turut merampas segala harta benda serta barangan yang dibawa oleh rombongan Portugis tersebut.

Pada tahun 1552 satu angkatan Portugis dengan empat buah kapal yang diketuai oleh Martim Afonso de Merlo Coutinho telah dihantar oleh kerajaan Portugis di India ke China bagi meneruskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Ming. Angkatan Portugis tersebut tidak tahu akan situasi yang sedang berlaku di China ketika itu, dan mereka masih belum mendapat khabar berita bahawa hubungan diplomatik yang dihantar sebelumnya tidak berjaya malah berakhir dengan konflik. Apabila sampai di Melaka, rombongan tersebut telah dimaklumkan mengenai konflik yang berlaku di China. Namun mereka tetap mahu meneruskan misi untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Ming. Perjalanan mereka ke China ditambah dengan sebuah lagi kapal dan sebuah Jong dari Melaka.

Mereka bertolak dari Melaka pada bulan Julai 1552 dan sampai ke China dalam bulan Ogos tahun itu. Apabila angkatan Portugis ini sampai di perairan Tamao, mereka telah diserang oleh angkatan laut kerajaan Ming dalam pertempuran yang dikenali sebagai Pertempuran Tamao Kedua. Ramai anak kapal Portugis yang terbunuh dalam pertempuran itu dan lebih kurang 40 orang ditawan. Mereka kehilangan dua buah kapal dan sebuah Jong. Usaha mereka untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Ming adalah sia-sia kerana mereka dianggap sebagai bangsa gasar yang biadap dan lanun perampas Melaka. Akhirnya mereka terpaksa berundur semula ke Melaka dengan sisa kapal yang masih tinggal.

Sementara itu pihak berkuasa Ming di Canton sekali lagi memaksa Tome Pires untuk menulis surat bagi pihak kerajaan Ming kepada Raja Portugal bagi mendesak mereka menyerahkan semula kerajaan Melaka kepada tuannya yang sah. Surat tersebut kemudiannya akan diserahkan kepada duta Melayu Melaka di China untuk dipanjangkan kepada pemerintah Portugis di Melaka. Jika pihak Portugis tidak memberikan jawapan yang memuaskan maka duta Portugis tersebut (Tome Pires) tidak akan dilepaskan. Tiga pucuk surat telah ditulis iaitu untuk Raja Portugal, Pemerintah Portugis di India dan Pemerintah Portugis di Melaka. Rombongan utusan ini terdiri daripada 15 orang wakil Melayu dan 15 orang wakil Cina yang dihantar dengan sebuah Jong. Namun demikian dipercayai bahawa surat dan utusan tersebut tidak sampai kepada pihak Portugis. Hal ini kerana ianya telah dipintas oleh Sultan Mahmud Syah bagi mengelakkan sebarang hubungan diplomatik terjalin diantara Portugis dan kerajaan Ming.

Pihak kerajaan Ming juga telah menghantar warkah kepada Sultan Mahmud Syah melalui duta Melayu di Canton bagi memaklumkan baginda mengenai tindakan dan polisi yang dilaksanakan kerajaan Ming terhadap orang Portugis dan rombongan duta mereka di Canton. Sebaik sahaja warkah tersebut dibalas oleh Sultan Mahmud Syah, pihak berkuasa Ming di Canton telah bertindak membunuh ahli rombongan duta Portugis tersebut dengan kejam. Tidak diketahui apakah sebenarnya isi warkah dari Sultan Mahmud tersebut namun catatan Portugis menyebut bahawa mereka percaya warkah tersebut berisi tuduhan dan fitnah kepada mereka.

Mereka dibunuh dengan cara tubuh badan dipotong satu persatu daripada tangan, kaki, kepala, dan kemaluan mereka turut dipotong dan disumbatkan kedalam mulut. Bahagian perut mereka pula dibelah dua. Hukuman ini dilaksanakan di hadapan khalayak ramai di beberapa tempat di sekitar Bandar Canton bagi memberikan mesej kepada penduduk tempatan bahawa rakyat dilarang daripada bekerjasama dengan mereka. Hanya 2 atau 3 orang Portugis dari rombongan diplomatik Tome Pires yang tidak dibunuh dengan kejam termasuk Tome Pires sendiri. Dikatakan bahawa Tome Pires akhirnya mati di penjara kerana sakit. Namun terdapat juga maklumat yang menunjukkan bahawa Pires tidak mati tetapi telah dibuang ke wilayah lain di China dan hidup sehingga usia tua dan berkahwin dengan perempuan Cina.

Apabila terdapat lagi kapal-kapal Portugis yang masuk ke pelabuhan Canton kemudiannya, ia terus dirampas oleh pihak berkuasa tempatan. Kesemua orang Portugis yang berada dalam kapal ditangkap dan dibunuh. Mereka dipancung dan kemaluan mereka juga dipotong. Orang Portugis yang tidak mati dipaksa untuk berarak keliling bandar dengan membawa bahagian badan rakan-rakan mereka yang dipotong tadi sambil diiringi dengan permainan musik Cina. Mayat-mayat mereka kemudian dipamerkan kepada umum dan kemudannya dibuang di kumbahan.

Ketegangan dan konflik diantara Portugis dan kerajaan Ming ini berterusan selama lebih kurang 20 tahun. Selama 20 tahun kapal-kapal Portugis tidak dibenarkan untuk masuk ke perairan China apatah lagi mendarat dimana-mana pelabuhan di China. Hal ini menunjukkan bahawa aduan Sultan Melaka kepada Maharaja tidak diambil ringan oleh pihak kerajaan Ming. Hubungan Ming dengan Melaka dilihat bukanlah satu hubungan biasa diantara Negara penaung dengan Negara bawahan sebaliknya adalah Negara rakan yang akrab. Dapat dilihat dengan jelas bahawa pakatan diantara Ming dengan Melaka untuk menentang Portugis sangat berjaya dan berkesan untuk beberapa lama.

Malahan rapatnya hubungan Melaka dan Ming dibuktikan dengan kewujudan sebuah makam milik kerabat diraja Melaka yang dibina oleh kerajaan Ming di sebuah pekan di China. Makam tersebut adalah milik seorang kerabat diraja Melayu yang merupakan duta kerajaan Melaka yang dihantar ke China bagi mendapatkan pertolongan kerajaan Ming untuk menentang Portugis. Catatan Portugis menyebut nama duta tersebut adalah Tuan Acem Mudeliar atau Tun Hashim Mudeliar iaitu bapa saudara Sultan Mahmud Syah.

Ada sejarawan yang mentafsirkan nama tersebut sebagai Tun Hassan Mudeliar, merujuk kepada Tun Hassan anak Tun Mutakhir Bendahara Melaka yang dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Syah pada 1510. Namun bagi saya pendapat ini mungkin salah kerana daripada sumber Melayu kita mengetahui bahawa Tun Hassan anak Bendahara Tun Mutakhir juga telah dihukum bunuh bersama seluruh ahli keluarga lelakinya.

Walaupun dalam tempoh 20 tahun tersebut kapal dan pedagang Portugis tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan-pelabuhan utama di China, namun masih ada orang Portugis yang berdegil dan telah membuat kacau di sekitar perairan selatan China terutama di sekitar Fujian, Pulau Wuyu, pelabuhan Yue di Zhangzhaou, Pulau Shuangyu di Wenzhou dan Pulau Nandao di Guangdong. Mereka dengan beraninya membina kubu dan petempatan haram di kawasan tersebut malah menjalankan aktiviti melanun, merompak serta menculik anak isteri penduduk tempatan untuk dijadikan hamba dan pelacur. Mereka juga bekerjasama dengan lanun-lanun Jepun dan keluarga-keluarga kaya disana dalam aktiviti haram.

Akibatnya pada tahun 1545 hingga 1547 kerajaan Dinasti Ming telah mengarahkan Naib Panglima kanan kerajaan Ming merangkap wakil Maharaja, Zhu Wan agar menguatkuasakan undang-undang mengharamkan sebarang kegiatan perdagangan laut dan hubungan dengan negara luar. Zhu Wan telah menyerang dan memusnahkan kubu-kubu Portugis yang terdapat di Pulau Shuangyu serta menghapuskan semua lanun termasuk lanun Portugis yang terdapat disana. Satu angkatan tentera Ming seramai 60,000 orang telah dihatar untuk menyerang kawasan pendudukan Portugis di Ningbo. Seramai 800 daripada 1,200 orang Portugis yang terdapat di pulau tersebut dibunuh, 25 buah kapal Portugis dan 42 buah Jong dimusnahkan. Portugis terpaksa berundur dari wilayah tersebut dan hanya berani untuk mendekati perairan Guangdong. Mereka terpaksa menjalankan aktiviti perdagangan dengan bantuan orang tengah atau menjalankan kegiatan secara haram.

Selain daripada polisi agresif yang dilaksanakan kerajaan Ming terhadap Portugis, para pendagang Cina yang menetap di seluruh nusantara juga memboikot Bandar Melaka setelah ia jatuh ke tangan Portugis. Sebahagian daripada pendagang Cina yang menetap di Jawa telah membantu orang-orang Islam Jawa dan Melayu Melaka dalam usaha Sultan Mahmud bagi mendapatkan semula kota tersebut daripada tangan Portugis. Keterlibatan orang-orang Cina Jawa dalam peperangan untuk mendapatkan semula Bandar Melaka telah disebut dengan jelas dalam catatan “The Malay Annals of Semarang and Cirebon” atau Sejarah Melayu Semarang dan Cirebon. Para pedagang Cina juga hanya menjalankan kegiatan perdagangan dengan orang Melayu serta Jawa sahaja. Perkara ini menunjukan betapa eratnya hubungan diantara orang Cina dengan orang Melayu ketika itu.

Hubungan yang buruk diantara kerajaan Ming dengan Portugis ini berterusan sehinggalah 1557 apabila kerajaan Ming membenarkan mereka untuk menapak di Macau. Kerelaan pihak Ming ini adalah kerana bantuan yang telah diberikan oleh Portugis dalam menghapuskan lanun-lanun Wako Jepun di sekitar perairan China. Pada masa yang sama Kesultanan Melaka yang ketika itu telah diwarisi oleh Kesultanan Johor telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Portugis di Melaka.

Dapat disimpulkan di sini bahawa hubungan diantara orang Melayu dengan orang Cina telah berlansung sejak berabad-abad lamanya. Hubungan Melayu dan Cina bukan hubungan sembarangan, bukan hubungan diantara tuan dengan hamba atau si penakluk dengan yang tertakluk, tetapi ia adalah hubungan persahabatan dan kasih sayang sepertinya adik dengan abang. Hubungan ini termenterai dalam lembaran sejarah panjang kedua-dua bangsa ini baik dari catatan pihak Cina mahupun dalam catatan Melayu. Kedua-dua bangsa ini saling berinteraksi antara satu sama lain, baik dari segi intelektual, ekonomi, persemendaan, mahupun aktiviti ketenteraan.

Ahli sejarah China sendiri seperti Prof Liang Liji berasa kagum dengan perhubungan mesra yang terjalin diantara Kerajaan Melayu dan Kerajaan Cina satu ketika dahulu, melalui rekod-rekod imperial. Oleh kerana itulah anak-anak muda Melayu dan Cina yang terdapat di Malaysia pada hari ini seharusnya belajar daripada sejarah silam yang gemilang ini. Mereka seharusnya menjadikan hubungan baik tersebut sebagai panduan dan pedoman supaya dapat mengeratkan lagi hubungan dan merapatkan jurang perbezaan diantara dua etnik besar Malaysia ini. Sekian.

~ASJ~

SUMBER:

•Alijah Gordon, Malaysian Sociological Research Institute. The propagation of Islam in the Indonesian-Malay archipelago. Malaysian Sociological Research Institute.

•Derek Heng,Sino–Malay Trade and Diplomacy from the Tenth through the Fourteenth Century.

•C. Guillot, Denys Lombard, From the Mediterranean to the China Sea: Miscellaneous Notes.

•Liang Liji,Lembaran Sejarah Gemilang : Hubungan Melaka-Dinasti Ming Abad ke 15.

•Li Qinngxin, Maritime Silk Road.

•Tomé Pires, Francisco Rodrigues, The Suma oriental of Tomé Pires.

•Nik Hassan Shuhaimi dan Zuliskandar Ramli,Hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan China Sejak Awal Abad Masihi dalam jurnal International Journal of the Malay World and Civilisation (IMAN) tahun 2012.

•John William Parry, Spices: The story of spices. The spices described.

•Zhidong Hao, Macau History and Society.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here