Pertempuran Rerantai Besi: Khalid Al-Walid Main Kejar-Kejar Dengan Parsi

0
20200
views

Sayang sekali, dalam membicarakan sejarah Islam, Pertempuran Rerantai Besi atau juga dikenali sebagai Pertempuran Sallasil ini tidak pernah dihuraikan secara mendalam oleh kita padahal pertempuran inilah yang berjaya mengubah sejarah. Pertempuran ini berlaku pada tahun 633, bulan April. Dan ini juga menandakan pertempuran pertama antara umat Islam melalui Khulafa Ar-Rashidun melawan sebuah empayar Parsi yang berada di Timur – Empayar Sasanid. Empayar ini pada zaman kemuncaknya, iaitu 10 tahun sebelum penaklukan umat Islam menaungi hampir keseluruhan utara tanah Arab.

Pertempuran ini berlaku selepas Perang Ridda – di mana peperangan umat Islam melawan kaum-kaum murtad dan juga nabi Palsu. Misnah bin Haris adalah orang yang bertanggungjawab dalam pertempuran ini. Ketua puak arab di bahagian timur Arab ini berkali-kali melakukan penjarahan ke atas kota-kota Parsi dan dia tidak ditangkap. Kelebihan Misnah ialah akar berkuda ringan yang dimiliki olehnya. Lepas menyerang dan merampas kekayaan kota di bawah empayar Parsi, dia akan menghilangkan dirinya dengan cepat tanpa dikesan musuh. Kejayaan Misnah ini membuka mata Khalifah Abu Bakar as Siddiq r.a, lalu dihantarnya kepada Misnah,seorang pahalwan agung bernama Khalid Al-Walid yang baru sahaja pulang dari Pertempuran Yamana.

Pertempuran ini disertai oleh 18 000 orang askar yang datang daripada puak-puak Arab kecil yang tinggal di sekitar Timur Laut Arab. Disatukan semuanya di bawah pimpinan Khalid, maka tentera Islam mula memasuki wilayah Empayar Parsi. Sempat juga Khalid menghantar surat kepada Hormozd, gabenor wilayah Dast Meisan,iatu wilayah Empayar Parsi yang paling dekat dengan wilayah Islam ketika itu,

Khalid sempat mengutuskan surat kepada Hormozd untuk meminta beliau memeluk Islam namun malangnya Hormozd menolak mentah-mentah pelawaan Khalid. Namun sejak dari detik inilah menyaksikan permulaan kepada kebijaksanaan Khalid Al-Walid, dan mengukir namanya dalam sejarah dunia sebagai salah seorang daripada jeneral terhebat dan terbijak dalam sejarah. Ini juga membuktikan kepada kita bahawa kemenangan Islam dulu bukan hanya dalam soal kerohanian sahaja, tetapi kebijaksanaan merencanakan strategi yang ampuh untuk menentang musuh.

Sebelum itu, saya suka untuk membawa perbincangan kita di samping kita mengkaji sebuah naskah perang yang sangat terkenal di dunia. Setiap apa strategi dan taktikal perang yang disebut oleh karya Art Of War nukilan Sun Tzu itu, kelihatannya diaplikasikan dengan baik oleh Khalid Al-Walid selaku jeneral Islam pada waktu itu meskipun Khalid tidak pernah berjumpa secara berhadapan dengan Sun Tzu,si genius yang mengarang buku tersebut.

Antara kata-kata Sun Tzu yang dicatat dalam kitab perangnya ialah seperti berikut yang boleh kita sematkan dalam mempelajari taktik perang Khalid:

1. Tahu tentang musuh dan diri sendiri, maka anda menang ratusan pertempuran tanpa malapetaka besar.

2. Dia yang akan menang adalah yang tahu bila mahu berlawan dan bila tidak perlu melawan.

3. Pahlawan yang bijak akan mengelakkan pertempuran.

Suka untuk saya petik tiga falsafah perang Sun Tzu yang kelihatan diaplikasikan dengan cukup cantik oleh Khalid dalam pertempuran ini. Khalid kelihatan mengkaji dan menyelidik mengenai kekuatan dan kelemahan tentera Parsi. Dari situ Khalid mengetahui bahawa askar Parsi dilengkapi dengan baju-baju besi, dan senjata yang canggih dan berat, mungkin tercanggih pada zaman itu. Namun, baju besi yang dipakai oleh askar Parsi ini membuatkan pergerakan mereka dalam perang agak lambat. Khalid lalu memeriksa dan melihat kekuatan pasukan askarnya. Bala berkuda askar adalah askar ringan berbanding Parsi yang sangat berat.

Maka selepas mengenali kedua-dua belah pihak, maka Khalid datang dengan strategi perangnya. Ketika itu, Khalid datang daripada Yamamah, baru sahaja habis bertempur. Manakala Hormozd pula berkampung di Uballa. Menjangkakan Khalid akan datang dari Yamama melalui Kazima (di Kuwait hari ini), maka dari tempatnya di Uballa, Hormozd pun membawa askarnya bergerak ke Kazima dan menjangkakan untuk bertembung dengan Khalid dan tentera Islam di situ.

Khalid yang mengetahui pergerakan dan bagaimana cara Hormozd berfikir pun menggerakan askar berkudanya ke sebuah bandar tidak jauh dari Uballa, iaitu Hufeir. Memikirkan Kota Hufeir ini agak penting juga untuk Parsi, maka Hormozd pun menggerakan askar dari Kazima ke Hufeir.

Sementara itu pasukan peninjau tentera Islam disuruh untuk memerhati pergerakan askar Parsi. Bila dilaporkan bahawa Hormozd sedang bergerak ke Hufeir, maka Khalid sekali lagi memilih mengelakkan pertempuran dan berlari pula ke Kazima. Bila Hormozd sampai ke Hufeir, dia dapati pula Khalid tiba-tiba boleh berada di Khazima. Maka dalam keadaan tergesa-gesa, Hormozd memaksa askarnya bergerak dari Hufeir balik semula ke Khazima untuk bertembung dengan Khalid di sana. Malangnya, oleh kerana baju besi dan kelengkapan perang Parsi yang memang terkenal dengan keberatannya, menjadikan pergerakan askar Parsi menjadi lambat dan sudah keletihan dimain-mainkan oleh kebijaksanaan Khalid.

Babak kejar-mengejar antara Tentera Khalid (Merah) dan Parsi (Biru)

Maka Khalid pun mengatakan bahawa inilah masanya untuk dia bertempur dengan askar Parsi yang sudah keletihan itu. 18 000 orang askar Islam akan bertempur dengan 20 000 orang askar Parsi. Dan ketika inilah nama rerantai besi itu menjadi nama pertempuran tersebut.

Diceritakan bahawa askar Parsi disambungkan antara satu sama lain dengan rantai besi menandakan bahawa mereka akan bertempur sampai mati dan mengelak mereka untuk cuba lari dari medan perang. Kelebihan rerantai besi ini adalah untuk menghadapi askar berkuda seperti tentera Khalid. Namun Khalid tidak risau dan gentar sedikit pun.

Pertempuran dimulakan dengan Hormozd mencabar Khalid untuk bertempur satu lawan satu. Hormozd yang terkenal sebagai pahlawan terhebat Parsi lalu cabarannya oleh Khalid. Maka mereka berdua saling berlawan antara satu sama lain sehingga akhirnya Khalid menang. Hormzod mati terbunuh dan panglima perang yang dilantik oleh Hormozd diamanahkan untuk memeimpin tentera Parsi dan meneruskan pertempuran.

Askar Parsi yang dilatih untuk berdiri seperti batu sambil disambung oleh rerantai besi itu pada awalnya mampu menahan asakan berkuda tentera Islam sebelum kepenatan kerana dipaksa tentera Islam untuk bergerak meredah padang pasir yang panas dari satu tempat ke tempat lain dan terpaksa menagku kalah. Akhirnya… tentera Islam menang dan tentera Parsi kalah teruk dengan jumlah korban yang sangat tinggi.

Apa yang dapat kita rumuskan dari pertempuran ini, Khalid tahu pada waktu mana yang paling sesuai untuk dia berperang, bukan sesuka hati sahaja terjun ke medan perang, lalu menjeritkan takbir dan jihad, padahal itu sebenarnya adalah cara membunuh diri. Khalid adalah pahlawan yang bijak. Dia cuba mengelakkan pertempuran beberapa kali dan menyedari bahawa askar Islam tidak cukup kuat untuk bertempur secara terus dengan askar Parsi. Maka, dia merencanakan strategi yang cukup ampuh untuk melemahkan Parsi seterusnya memberi kemenangan bergaya kepada tentera Islam. Kehebatan strategi Khalid dan kemenangan dalam pertempuran ini membawa tentera Islam terus mara ke wilayah Empayar Parsi.

Comments

comments

Previous articleP Ramlee Dan Nordin Ahmad, Sahabat Selamanya
Next articleThe Big 4 Of Thrash Metal
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here