Legenda Raja Bertaring Dua

0
5135
views

Bukanlah satu perkara yang menghairankan apabila seorang raja didapati zalim. Salah seorang daripada senarai panjang raja-raja di seluruh dunia adalah Ivan IV Vasilyevich, perintis kepada pengasasan Empayar Rusia. Mudah kata, Ivan IV merupakan raja yang sangat zalim. Tetapi kezaliman baginda bukannya satu nikmat, sebaliknya tindakbalas kepada penganiayaan, cinta dan kegilaan dilalui baginda.

Ivan dilahirkan pada ketika Moscow mengharungi zaman berseni dibawah penguasaan ayahandanya, Vasili III. Kelahiran baginda disambut hujan lebat yang dahsyat, serta satu tilikan daripada Kanat Kazan:

“Seorang raja dilahirkan dalam kalangan anda; baginda mempunyai dua gigi. Gigi yang pertama, baginda akan mengunyah kami. Gigi yang kedua pula, baginda akan mengunyah anda.”

Tetapi Ivan bukanlah anak kepada isteri pertama Vasili III. Ayahandanya terpaksa mencari isteri baru bernama Elena Glinskaya untuk menggantikan Solomonia Saburova yang tidak dapat memberikannya zuriat. Melalui Elena, Vasili III mendapat dua cahaya mata – Ivan sendiri, dan Yuri Vasilyevich. Tetapi, tidak lama kemudian, kedua-dua anak ini menjadi yatim apabila Vasili III mangkat akibat sepsis daripada jangkitan bisul pinggul kanannya.

Sebelum mangkat, Vasili III melantik Elena Glinskaya sebagai pemangku sehingga Ivan Vasilyevich mencapai usia. Tentunya baginda sangka tindakan ini terbaik demi kerajaannya. Tetapi apa yang baginda tidak sangka adalah kematian Elena lima tahun kemudian. Kajian keatas jenazah Elena mendapati cebisan-cebisan mercury, menandakan Elena diracunkan. Dalam yang bertanggungjawab dipercayai adalah Keluarga Diraja Shuysky.

Kemangkatan ibundanya membentuk kebencian dalam jiwa Ivan. Untuk beberapa tahun kemudian, kebencian ini mengeruh apabila penguasaan politik Rusia diagihkan antara golongan bangsawan yang menyanjung putera-putera diraja depan khalayak ramai, tetapi disebalik tatapan umum, mereka dianiayai sehingga dibiarkan lapar. Dendam Ivan dilepaskan keatas haiwan.

Tanpa raja, golongan keluarga Shuysky menguasai Rusia menerusi Putera Vasili “Nemoy” sebagai pemangku melalui perkahwinan bersama sepupu Ivan. Tetapi “Nemoy” kemudiannya mangkat, dan pemangkuan takhta diturunkan kepada seorang putera daripada Shuysky bernama Ivan Vasilievich (akan dinamakan Ivan Shuysky untuk memudahkan pemahaman). Ivan Shuysky pula membebaskan Putera Andrey Mikhailovich yang dituduh pengkhianat semasa pemerintahan Vasili III.

Ketika berusia 13 tahun, Ivan Vasilyevich bergaduh dengan Andrey Mikhailovich kerana meletakkan but kotornya diatas katil Ivan. Maka Ivan membalaskan perbuatan ini dengan cara yang tidak dijangka – memberkas Andrey, lalu memberikannya untuk dibaham anjing-anjing buruannya.

Andrey mangkat di situ juga.

Tiga tahun seterusnya, masih lagi berdendam dengan bangsawan, Ivan menaiki takhta, tetapi bukan sebagai Putera, tetapi Raja (Tsar) yang etimologinya berasal daripada darjat Rom “Caesar”.

Ivan Vasilyevich memandang dirinya sebagai “Caesar” Rusia. Dan sesungguhnya, baginda benar-benar mencipta sebuah legasi yang berhampiran dengan darjat tersebut.

Setahun kemudian, Tsar Ivan membuat keputusan untuk berkahwin. Baginda tidak memilih jalan tradisional iaitu raja-raja berkahwin dengan calon dari luar negara. Permaisurinya adalah anak tempatan Rusia daripada Keluarga Diraja Rendah Romanov, iaitu Anastasia Zakharyina Romanovna.

Cinta mereka berdua sememangnya warna-warni. Semasa perkahwinan mereka, penguasaan Ivan disinari cahaya yang dikenali sebagai “kepimpinan cemerlang”, yang membawa Rusia dari satu kejayaan ke satu kejayaan. Benarlah bahawa cinta mampu mengekang kegeraman. Api kemarahan Ivan IV ditenangkan dakapan Permaisuri Anastasia. Hasil daripada “kepimpinan cemerlang”, Rusia dibebaskan daripada masalah-masalah politik dan kewangan. Barisan bangsawan dibersihkan.

Dari segi hubungan luar negara, Tsar Ivan mewarisi konflik berpanjangan bersama Kanat Kazan. Dibawah Vasili III, Kazan sudahpun menyerahkan kedaulatan kepada Rusia, tetapi Khan pro-Moscow kemudiannya dibunuh kumpulan anti-Moscow. Dan bangsa Kazan melancarkan serangan demi serangan keatas Moscow, yang gagal sehingga menyokong arus pro-Rusia kembali.

Walaupun muda, Tsar Ivan tetap menyokong arus pro-Rusia ini, yang membawanya ke medan perang dengan 150,000 anggota tentera. Dan kejayaan Rusia mengingati semula tilikan Kazan:

“Seorang raja dilahirkan dalam kalangan anda; baginda mempunyai dua gigi. Gigi yang pertama, baginda akan mengunyah kami. Gigi yang kedua pula, baginda akan mengunyah anda.”

Ketiadaan Kanat Kazan menjaminkan akses Tsar Ivan ke rantau Ural dan Siberia. Sebagai tanda kejayaan, Rusia mendirikan sebuah gereja di Moscow, yang pada hari ini bernama Gereja Pokrovsky (Gereja Saint Basil) di Dataran Merah, Moscow. Arkitek yang mendirikan gereja ini kemudian dibutakan matanya agar tidak dapat membuat apa-apa lagi binaan yang setaraf Gereja Saint Basil.

Pengekangan jiwa dendam Ivan IV akhirnya keluar juga. Permaisuri Anastasia mangkat, dan didapati dibunuh dengan racun seperi Elena Glinskaya. Perasaan paranoia mula menyelubungi Ivan IV. Jeneral Andrey Kurbsky yang benar-benar taat terpaksa mengkhianati Ivan demi Lithuania semasa Perang Livonia. Paranoia Ivan mengeruh sehingga tertubuhnya organisasi radikalisme bernama Oprichnina.

Operasi-operasi Oprichnina menggambarkan kezaliman Ivan – menzalimi rakyat dengan pembunuhan terbuka dan rampasan hartanah. Dan Ivan pula mula lihat musuh di merata-rata tempat, musuh yang sebenarnya imaginasi. Mimpi paling ngeri baginda berlaku apabila puteranya mati ditangannya.

Tsar Ivan telah membatalkan dua perkahwinan puteranya atas ketidaksuburan puteri-puteri tersebut, tetapi Puteri Yelena Sheremetva akhirnya hamil dengan anak kandung puteranya sendiri. Punca masalah bermula atas ralat dalam perancangan ketenteraan, yang Putera Ivan Ivanovich bergegas untuk meminta lebihan tentera agar pertempuran di Pskov dapat dimenangi.

Putera Ivan Ivanovich pula murka apabila ayahandanya menyerang Puteri Yelena hanya sebab pakaiannya. Hasil daripada serangan tersebut, kandungan Yelena tergugur. Semasa pertelingkahan ayah-anak berlaku, Tsar Ivan hilang sabar lalu menghentam kepala Ivan Ivanovich dengan cokmar besi.

Putera Ivan Ivanovich jatuh koma selama beberapa hari. Baginda tersedar seketika untuk memberi kata-kata terakhir, lalu mangkat jua pada 1581.

Kemangkatan ini memberi impak besar kepada Tsar Ivan. Baginda mula mencari pengampunan sebagai seorang biarawan, seolah-olah sedang bersedia untuk mangkat juga. Kesihatannya juga mula mengeruh, dan arthritis menamatkan riwayat 54 tahunnya pada 1584.

Rusia terjurumus dalam kancah krisis berpanjangan selepas kemangkatannya.

— AFDS —

Comments

comments

Previous articleSniper Finland Yang Menghantui Soviet
Next articlePengaruh Bangsa Melayu Dalam Peradaban Khmer
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here