Raja-Raja Bamar (Burma) Yang Agung Dalam Sejarah

0
870
views

Sebelum kita mulakan penceritaan, tentu ada di kalangan para pembaca yang tidak tahu siapakah “orang Bamar” itu? Namun jikalau disebut “orang Burma” atau “orang Myanmar” barulah kita tahu. Sepertimana Melayu yang menjadi bangsa majoriti di Malaysia dan etnik Thai yang menjadi etnik majoriti di Thailand, begitulah juga dengan bangsa Bamar (Mranma) ini yang merupakan etnik majoriti di negara Myanmar kini, namun mereka lebih terkenal dengan gelaran orang Burma di kalangan orang luar, terutamanya orang Malaysia sendiri.

Jikalau diikutkan, orang Bamar itu sendiri bukannya peribumi asal di Burma (Myanmar) itu sendiri. Orang Bamar ini asalnya berhijrah ke Asia Tenggara ini sekitar abad ke 7 hingga abad ke 9 Masihi selepas berlakunya serangan kerajaan Nanzhao yang terletak di selatan China ke atas tanah Myanmar itu sendiri. Sebelum itu, tanah Myanmar sudah lama ada penduduk asalnya yang terdiri daripada orang Mon dan orang Pyu.

Setiap bangsa di dunia ini pasti akan ada tokoh-tokoh agung dalam sejarah mereka dan begitu juga dengan kaum Bamar ini. Dalam sejarah kaum Bamar ini, mereka mempunyai tiga orang tokoh dari zaman yang berbeza dan dinobatkan sebagai “3 Raja-Raja Agung Burma”.  Ketiga-tiga orang tokoh agung tersebut telah menjadi simbol keagungan dan kehebatan bangsa Bamar dalam sejarah Asia Tenggara dan juga dianggap sebagai tokoh nasional dalam sejarah negara Myanmar.

Jasa dan legasi mereka yang berjaya menyatukan orang Bamar dan meluaskan tanah kekuasaan Burma amat dikenang dan disanjung oleh cucu mereka sehingga kini. Dalam artikel ini, mari kita kenal serba sedikit mengenai tiga orang tokoh agung bangsa Bamar ini dan mengapa dan apakah jasa mereka sehingga nama-nama mereka dikenang dan disanjung sehingga kini.

1. ANAWRAHTA (1014~1077 Masihi)

Kaum Bamar mula berhijrah dan menetap di lembah utara Sungai Irrawady sekitar awal abad kesembilan Masihi selepas serangan dari kerajaan Nanzhao ke atas negarakota-negarakota orang Pyu di sana.

Sekitar tahun 849 Masihi, kaum Bamar ini dikatakan membina penempatan pertama mereka di Pagan (Bagan) yang terletak di tengah Burma dan berjiran dengan beberapa buah negarakota Pyu. Pada mulanya, Pagan hanyalah sebuah penempatan orang Bamar yang kecil dan diperintah oleh seorang raja.

Namun, konflik politik selalu berlaku di kalangan keluarga diraja Pagan. Raja Kunhshaw pada tahun 1021 Masihi telah dirampas takhtanya sebagai raja Pagan oleh dua adik-beradik tirinya iatu Kyiso dan Sokkate. Walau bagaimanapun, kedua-dua orang putera tersebut menjaga isteri dan anak lelaki Kunhsaw yang bernama Min Saw, yang ketika itu berusia sekitar enam tahun ketika ayahnya dijatuhkan oleh kedua-dua orang putera tersebut.

Apabila Min Saw besar, beliau berjaya menjatuhkan pula pemerintahan Sokkate pada tahun 1044 selepas Kyiso meninggal dunia. Selepas Sokkate dibunuh, beliau terus melantik dirinya sendiri sebagai raja Pagan dengan memakai gelaran Anawrahta (berasal dari perkataan Sanskrit, Aniruddha) yang membawa maksud “yang tidak dapat dikawal”.

Pada masa kenaikan Anawrahta sebagai raja, kerajaan Pagan masih lagi merupakan sebuah kerajaan kecil yang dikelilingi oleh negarakota-negarakota orang Pyu di timurnya dan kerajaan orang Mon di selatannya.

Selepas kenaikan beliau sebagai raja Pagan, beliau mula mereformasikan pemerintahan dan ekonomi Pagan dengan membina dan membaiki terusan-terusan di sekitar Burma Tengah untuk mempertingkatkan hasil pertanian di sana. Beliau juga melantik empat orang negarawan Burma sebagai ketua jeneral utama dalam tentera Pagan, sehingga mereka terkenal dalam sejarah Burma sebagai “The Burmese Four Great Paladins”.

Sebagai seorang tokoh yang bercita-cita tinggi untuk meluaskan kuasa kaum Bamar, ditambah lagi dengan kekuatan dan kehebatan empat jeneral-jeneral hebatnya, Raja Anawrahta mula meluaskan kuasa kerajaan Pagan ke selatan dan berjaya memaksa sebuah kerajaan Mon bernama Bago (Pegu) untuk memberi ufti kepadanya namun sebuah lagi kerajaan orang Mon iatu kerajaan Thaton sebaliknya enggan untuk berbuat sedemikian.

Anawrahta lalu mengarahkan tentera Pagan yang diketuai oleh “The Four Great Paladins” tersebut untuk menakluk ibu kota kerajaan Thaton. Setelah tiga bulan melakukan kepungan, akhirnya Pagan berjaya menakluk ibu kota Thaton pada tahun 1057.

Sepertimana adat resam dalam peperangan, kerajaan Pagan telah memindahkan lebih 30, 000 orang artisan dan pengukir Mon dari Thaton ke ibu kota Pagan dan mereka dan keturunan merekalah yang bertanggungjawab membina lebih 10, 000 monumen dan candi Buddha yang besar dan indah di sekitar Pagan dan masih boleh dilihat sehingga kini.

Selepas berjaya menundukkan kerajaan Thaton di selatan, baginda melancarkan ekspedisi penaklukan ke atas Arakan (Rakhine), menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Nanzhao dan Sri Lanka serta mengarahkan kerajaan-kerajaan Mon lain di selatan seperti Haripunjaya dan Dvaravati untuk membayar ufti kepada Pagan. Baginda juga berjaya menghalang kemaraan Empayar Khmer ke atas tanah jajahannya di selatan.

Selain terkenal sebagai seorang penakluk yang bercita-cita tinggi, baginda juga terkenal sebagai seorang ahli politik yang unggul. Baginda mengarahkan orang Bamar untuk berinteraksi dan mempelajari kesenian dari orang Mon dan Pyu. Baginda jugalah yang menjadikan Bagan sebagai pusat pengajian agama Buddha Theravada yang unggul dan mengarahkan pembinaan stupa dan candi Buddha yang indah dan megah di sekitar kota Pagan yang masih boleh dilihat sehingga kini.

Dasar reformasi sosial dan kebudayaan yang dilakukan oleh Anawrahta telah menjadikan orang Bamar mempunyai budaya mereka yang tersendiri yang kebanyakannya dipengaruhi oleh budaya kaum Pyu dan Mon. Sekitar zaman itu juga, orang Pyu akhirnya berasimilasi secara penuh dengan orang Bamar hingga akhirnya menjadikan orang Pyu, yang merupakan antara peribumi paling tua di daratan Asia Tenggara itu pupus secara rasmi pada abad ke 13 Masihi.

Menjelang akhir pemerintahannya, kerajaan Bagan sudahpun menjadi sebuah empayar besar di tanah besar Asia Tenggara dan malah kekuasaan empayar Pagan ketika iu lebih besar dari keluasan negara Myanmar pada masa kini.

Raja agung kaum Bamar tersebut meninggal dunia pada tahun 1077 di luar kota Pagan akibat dibunuh secara hendap oleh musuh-musuhnya lalu dihapuskan mayatnya sehingga kesan-kesannya tidak dapat ditemui lagi.

2. BAYINNAUNG (1516 ~ 1581)

Selepas Anawrahta meninggal dunia, Pagan masih lagi kuat dan kegemilangan kerajaan tersebut diteruskan lagi oleh penerusnya. Namun Pagan mula merosot apabila kekuasaannya mula dicabar oleh orang Shan dan orang Mon, ditambah lagi dengan serangan orang Mongol pada tahun 1277 dan 1287. Kerajaan Pagan yang wujud dalam sejarah selama 275 tahun akhirnya jatuh ke tangan kerajaan Myinsaing pada tahun 1297.

Selepas kejatuhan Pagan, tanah Burma berpecah kepada beberapa buah kerajaan kecil selama lebih 300 tahun sehinggalah sebuah kerajaan terkuat orang Bamar di Burma ketika itu, Kerajaan Ava telah ditakluki oleh orang Shan pada tahun 1527. Selepas kejatuhan kerajaan Ava, ramai orang Bamar pergi melarikan diri ke Toungoo, sebuah lagi kerajaan orang Bamar yang kecil namun masih berdaulat ketika itu.

Kedudukan kerajaan Toungoo ketika itu memang ibarat pelanduk di tengah-tengah kumpulan gajah. Apa tidaknya, di sebelah utaranya ialah kerajaan konfederasi orang Shan yang berjaya menundukkan kerajaan orang Bamar di Ava dan di selatan pula, sebuah kerajaan besar orang Mon bernama Hanthawaddy yang merupakan kerajaan terkuat dan terkaya di Burma pada masa itu. Namun kerajaan Toungoo ini membuktikan bahawa kerajaan kecil tidak semestinya lemah.

Pemerintah kerajaan Toungoo, iatu Tabinshwehti mempunyai wawasan untuk menyatukan kembali tanah Burma dan seluruh kaum Bamar sepertimana pada zaman kerajaan Pagan dahulu. Raja Tabinshwehti pada masa itu mempunyai seorang jeneral yang sangat kuat dan sangat setia terhadapnya, namanya ialah Ye Htut.

Jeneral Ye Htut ini berjaya memberi kejutan dalam sejarah Asia Tenggara apabila tentera yang diketuai oleh beliau berjaya menakluk kerajan yang terkuat di Burma ketika itu iatu kerajaan Hanthawaddy pada tahun 1541. Dalam Perang Naungyo, beliau dan tentera Toungoo seramai 1, 000 orang, 50 ekor gajah dan 500 ekor kuda berjaya mengalahkan kekuatan tentera Hanthawaddy yang jauh lebih besar, iatu sebanyak 8, 000 orang tentera, 200 ekor gajah dan 800 ekor kuda!

Ini memberi kejutan besar kerana sebuah kerajaan kecil di tengah Burma berjaya mengalahkan serta menundukkan kekuatan kerajaan yang terkuat dan terkaya di Burma ketika itu yang jauh lebih besar. Atas kehebatan dan bakat kepimpinan jeneral Ye Thut dalam perang tersebut, raja Tabinshwetti berkenan mengurniakan gelaran “Bayyinaung” kepada beliau.

Sejak dari peristiwa itu, kerajaan Toungoo meluaskan kuasanya ke selatan Burma dan bakat kepimpinan Bayyinaung sebagai jeneral tentera makin terserlah. Kekuatan ketenteraan Toungoo makin kuat setelah beliau bekerjasama dengan saudagar Portugis dan daripada merekalah, orang Bamar mula memakai senjata api dalam peperangan. Setiap pertempuran yang diketuai oleh Bayinnaung selalunya mencapai kemenangan dan Toungoo menjadi kuasa besar pada masa itu.

Raja Tabinshwetti sangat gembira dengan kehebatan Bayinnaung itu dan baginda melantik beliau sebagai menteri tertinggi kerajaan pada tahun 1539 dan tanpa ragu ragu juga, beliau dilantik sebagai pewaris takhta kerajaan Toungoo pada tahun 1542.

Namun jalan kejayaan hakikik untuk Bayinnaung menjadi bertambah sukar pula apabila pada tahun 1550,  raja Tabinshwetti dibunuh oleh putera mahkota Hanthawaddy iatu Smim Sawthut dan kemudiannya melantik dirinya sendiri sebagai raja Hanthawaddy dan Toungoo.

Namun, pemerintahan Smim Sawhut diganggu oleh beberapa orang pembesar lain yang turut melantik diri mereka sebagai raja. Ini menjadikan Toungoo mengalami zaman INTERREGNUM dan pewaris takhta yang sepatutnya iatu Bayinnaung hanya menjadi seorang raja tanpa kerajaan.

Dalam masa dua tahun sehingga tahun 1553, Bayinnaung berjaya menghapuskan kesemua raja pemberontak yang berkuasa di sekitar Toungoo selepas kematian Tabinshwetti, termasuklah Smim Sawhut. Pada tarikh 12 Januari 1554 di Pegu, baginda ditabalkan sebagai raja seluruh kaum Bamar dan menjadikan kota Pegu (Bago) sebagai pusat pentadbirannya.

Pemerintahan beliau sepanjang 31 tahun berjaya menyatukan keseluruhan tanah Burma dan kaum Bamar sepertimana pada zaman Kerajaan Pagan dahulu. Pada masa pemerintahan beliaulah juga, Toungoo muncul sebagai sebuah empayar besar di Asia Tenggara pada masa itu. Kekuatan dan kehebatan tentera Burma ketika itu tidaklah dapat disangkal lagi ditambah pula dengan kekuatan senjata api oleh saudagar Portugis ketika itu.

Pada tahun 1554, baginda mengarahkan kekuatan tentera seramai 18, 000 tentera, 900 ekor gajah, 80 ekor gajah dan 140 bot perang untuk menghadang serangan dari kerajaan Rakhine, kerajaan Lanna dan kerajaan Ayuthia. Baginda juga berjaya menakluk kerajaan konfederasi orang Shan di utara pada tahun 1557 dan menakluk kerajaan Lanna di utara Thailand setahun berikutnya. Baginda juga berjaya menghadang serangan tentera kerajaan Lanxang (kini di Laos) ke atas Lanna pada tahun 1558 menggunakan kekuatan 14, 000 tentera.

Baginda juga melancarkan penaklukan ke atas Ayyuthaya di Thailand pada tahun 1563 dan berjaya menawan rajanya, Maha Chakkraphat dan melantik seorang putera raja Ayuthhaya, Mahinthra Thirat sebagai raja boneka namun sekali lagi Burma (Toungoo) melancarkan serangan ke atas Ayuthhaya pada tahun 1568 dan berjaya menakluknya kerana pengkhianatan yang dilakukan oleh seorang pembesar Ayyuthaya iatu Phraya Chakri.

Tidak dinafikan Bayinanung merupakan antara jeneral perang yang berbakat dan juga seorang ahli politik yang unggul. Pada zaman pemerintahan baginda, negara Burma bukan sahaja dapat disatukan kembali malahan kekuasaanya juga meliputi wilayah Thailand,  timur India dan Laos kini. Bukan itu sahaja, malahan baginda juga menjadikan kerajaanya sebagai pusat pengajian agama Theravada Buddha dan membuka pasaran ekonomi dan perdagangan Burma kepada saudagar Barat.

Bayinnaung akhirnya meninggal dunia pada tahun 1581 ketika berusia 65 tahun. Selepas kematiannya, kegemilangan Empayar Toungoo terus merosot dan menghadapi banyak pemberontakan dari negeri-negeri bawahannya

3. ALAUNGPAYA

Kekuasaan kerajaan Toungoo semakin lemah selepas kematian Bayinnaung pada tahun 1581 dan diterukkan lagi dengan serangan kaum Meithei yang berasal dari wilayah Manipur dari India. Kaum Meithei ini selalu membakar kampung-kampung, menawan banyak penduduk dan menjarah banyak pagoda dan stupa Buddha di sekitar Burma. Kerajaan Toungoo ketika itu adalah sangat lemah dan tidak dapat menghapuskan ancaman kaum Meithei tersebut.

Dalam masa kekacauan itulah, munculnya seorang ketua kampung untuk menyelamatkan negaranya dari serangan kaum penjarah tersebut. Nama ketua kampung tersebut ialah Aung Zeya dan dikatakan mempunyai ketinggian yang setinggi 5 kaki (1. 8 meter). Beliau yang ketika itu baru berusia 22 tahun menjadi pembantu kepada bapa saudaranya, Taungoo Yaza yang merupakan komander tertinggi tentera Toungoo ketika itu.

Keadaan dalam negara diterukkan lagi apabila orang Mon di selatan kembali memberontak pada tahun 1740 dan menubuhkan kembali Kerajaan Hanthawaddy, yang sebelum itu sudah dihapuskan oleh Bayinnaung. Pada tahun 1752, tentera Hanthawaddy mara ke ibu kota Toungoo di Ava untuk menakluknya, di mana ketika itu Toungoo sudahpun menempah kejatuhannya.

Dalam kekalutan itulah, Aung Zeya merampas takhta dan mengisytiharkan dirinya sendiri sebagai raja dengan gelaran Alaungpaya. Namun, baginda tidak dapat menahan kemaraan tentera Hanthawaddy yang akhirnya berjaya menakluk kota Ava pada bulan Mac tahun yang sama.

Walau bagaimanapun, Alaungpaya tidaklah berputus asa sebaliknya menyiapkan tenteranya untuk kembali menakluk kota tersebut.

Alaungpaya dan tentera Bamar berjaya menakluk kembali kota Ava dua tahun kemudian, itupun disebabkan kesilapan Hanthawaddy sendiri meletakkan tentera yang kurang untuk menjaga kota tersebut. Peristiwa penaklukan kembali kota Ava tersebut mencetuskan perang di antara kaum Bamar di utara dan kaum Mon di selatan.

Baginda yang pada masa itu sudahpun menjadi raja bagi seluruh kaum Bamar telah mengarahkan tenteranya untuk menakluk muara sungai Irrawaddy untuk melemahkan ketenteraan Hanthawaddy. Setelah 14 bulan mengepung pusat pentadbiran Hanthawaddy di Pegu, akhirnya kota tersebut jatuh pada bulan Mei 1757 seterusnya menghapuskan sama sekali kekuasaan orang Mon di selatan.

Setelah berjaya mengembalikan kekuasaan kaum Bamar di selatan Burma, raja Alaungpaya menggerakan tenteranya ke Manipur untuk menakluk kerajaan Meithei di sana, yang selama ini menimbulkan keadaan tidak aman dan kacau-bilau di negaranya. Baginda berjaya menghapuskan sama sekali kekuatan tentera Manipur pada tahun 1756 dan dua tahun berikutnya, baginda dapat menakluk istana raja Manipur dan melantik raja boneka di situ. Bukan itu sahaja, baginda juga memanfaatkan kehebatan orang Meithei dalam perang berkuda dengan menyerap pasukan berkuda Manipur ke dalam organisasi tentera Burma.

Walaupun baginda dapat menghapuskan kekuasaan Mon di muara sungai Irrawaddy, namun kekuasaan Mon masih lagi berbaki di sekitar Tennaserim dan mereka mendapat bantuan dari Ayutthaya, yang juga berusaha untuk mengambil wilayah Tennaserim tersebut.

Aluangpaya murka dengan tindakan Ayutthaya yang dianggap masuk campur dalam hal ehwal dalaman Burma, dan memberi amaran namun ditolak oleh Ayutthaya sebaliknya mengisytiharkan perang dengan Burma.

Pada bulan Disember 1795, baginda menggerakan sebanyak 40, 000 tentera untuk mara ke selatan menuju ke Tennaserim dan berjaya menghapuskan pemberontakan Mon di sana. Selepas itu, baginda dan tentera Burma mara ke kota Ayutthaya dan mengepung kota tersebut pada bulan April 1760.

Namun tidak sampai lima hari kepungan tentera Burma, raja Alaungpaya jatuh sakit dipercayai akibat radang usus. Ini menurunkan semangat tentera Burma dan memaksa mereka untuk menghentikan kepungan dan berundur balik ke Burma.

Dalam keadaan baginda yang sedang melarat, tentera Burma mengusung baginda balik ke Burma dan mengelakkan serangan dari tentera Ayutthaya sepanjang perjalanan tersebut. Baginda akhirnya meninggal dunia di Martaban pada 11 Mei 1760 setelah memerintah dan menyatukan kembali tanah Burma dan kaum Bamar selama lapan tahun. Baginda meninggal dunia ketika berusia 46 tahun.

Legasi tiga orang raja agung yang diceritakan sebentar tadi, menjadi kemegahan dan kebanggan kaum Bamar sehinggalah sekarang. Malahan ketiga-tiga raja tersebut menjadi tokoh nasional di negara Myanmar walaupun terdapat kritikan dan cemuhan dari etnik lain contohnya etnik Mon yang tidak senang dengan Alaungpaya dan menganggap raja tersebut sebagai orang yang bertanggungjawab menghancurkan sama sekali kekuasaan orang Mon di selatan sehingga kini, di mana nasib etnik Mon sekarang ibarat “hidup segan mati tak mahu” sahaja.

Sejarah dan legenda mengenai kisah hidup mereka sehingga kini menjadi legenda yang hidup di kalangan orang Bamar. Malah kerajaan Myanmar sanggup membina patung gangsa gergasi ketiga-tiga orang raja tersebut di ibu negara baru mereka di Naypyidaw, di mana dalam mana-mana acara kenegaraan yang diadakan di sana, para tentera Myanmar akan berkawat dan memberi tabik hormat di hadapan patung-patung gergasi tersebut.

Walaupun jikalau diikutkan Myanmar lebih mundur berbanding Malaysia, namun rakyat Myanmar sangat mencintai sejarah mereka dan menghargai legasi dan jasa tokoh agung mereka. Berbeza pula dengan Malaysia, di mana rakyatnya khususnya bangsa Melayu bukan sahaja banyak yang buta sejarah malahan memperlekehkan jasa pahlawan dan tokoh agung bangsanya sendiri, hingga menganggap nama-nama hebat dalam sejarah bangsa seperti Tun Perak, Hang Tuah, Rentap dan Tunku Anum itu sebagai tidak wujud dan dongeng sahaja.

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here