Sejarah Berdirinya Kesultanan Acheh

0
1411
views

Kesultanan Aceh Darussalam didirikan pada tahun 1502 Masihi oleh seorang raja di negeri Pedir yang bernama Raja Ibrahim. Pada ketika itu, Empayar Melayu Melaka diperintah oleh Sultan Mahmud Syah, Raja Melaka yang terakhir di mana kota Melaka menjadi pusat pelabuhan yang terkaya di Selat Melaka. Manakala, di negeri Samudera Pasai dan kawasan sekitarnya masih dalam keadaan dalam keadaan berpecah belah. Jadi, Raja Ibrahim bercita – cita untuk menyatukan kembali seluruh tanah Aceh yang telah berpecah – belah akibat kemunduran dan keadaan politik yang tidak stabil di dalam kerajaan Samudera – Pasai. Raja Ibrahim telah menakluki daerah – daerah Aceh di sekitarnya seperti Pasai, Samudera, Aru, Lamuri dan Pedir diperintah oleh raja – raja kecil. Pada ketika itu juga, Empayar Melayu Melaka juga menaungi Kesultanan Samudera – Pasai dan sudah pasti daerah – daerah kecil di Acheh menjadi sebahagian kekuasaan Empayar Melayu Melaka. Walaubagaimanapun, keluasan wilayah kekuasaan Empayar Melayu Melaka yang begitu besar dan luas sekali menjadikan daerah – daerah kecil ini menjadi kurang tumpuan kerajaan pusat di Melaka.

Raja Pedir iaitu Raja Ibrahim telah membuka pelabuhan yang memberi kemudahan yang terbaik kepada pedagang menjadikan negeri Pedir mula menjadi tumpuan para pedagang terutamanya dari negeri Parsi, Arab dan India untuk berdagang di negeri Pedir. Oleh itu, keadaan ekonomi negeri Pedir mula maju dan bertambah kaya dengan kehadiran para pedagang tersebut. Kedatangan anak dagang iaitu golongan imigran dari tanah Minangkabau yang digelar oleh orang Aceh iaitu anak “Jamea” yang bermaksud anak tetamu juga merancakkan lagi keadaan ekonomi di negeri Pedir.

Pada tahun 1507 Masihi, Raja Pedir iaitu Raja Ibrahim berjaya menyatukan seluruh daerah – daerah kecil di tanah Aceh dan beliau mendirikan sebuah kerajaan baharu yang dinamakan “Kesultanan Aceh Darussalam”. Beliau telah menggunakan gelaran “Sultan Ali Al – Moghayat Syah”. Pertabalan Sultan Ali Moghayat  Syah ditambah lagi dengan pelabuhan di Kota Melaka yang dikuasai oleh Portugis dengan mengenakan cukai yang tinggi menyebabkan ramai pedagang dari India, Gujerat, Parsi dan Arab beralih ke pelabuhan di Aceh. Keadaan ekonomi Aceh semakin meningkat dan makmur dengan kehadiran pedagang asing.

Pada tahun 1521, Portugis telah menyerang tanah Pasai dan menyebabkan keruntuhan Kesultanan Samudera – Pasai. Ramai ulama – ulama Pasai terpaksa melarikan diri ke negeri – negeri di Alam Melayu seperti Aceh, Patani dan juga Demak. Oleh itu, Sultan Aceh yang pertama, Sultan Ali Al – Moghayat Syah telah melancarkan perang fisabillilah ke atas Portugis dan berjaya mengusir Portugis dari tanah Pasai. Sultan Ali Al Moghayat Syah juga bercita – cita untuk menyatukan seluruh kerajaan – kerajaan Melayu di sekitarnya termasuklah Pahang, Melaka, Kedah, Perak dan Patani bagi mengusirkan Portugis daripada terus bertapak di Alam Melayu. Serang Portugis dibawah pimpinan Simao de Souza Galvao ke atas Banda Aceh berjaya dipatahkan oleh Sultan Ali Al – Moghayat Syah kerana mempunyai kelebihan armada – armada yang dikatakan jauh lebih canggih daripada kapal perang Portugis.

Semasa armada – armada Sultan Ali Moghayat Syah hendak menyerang dan membebaskan kota Melaka daripada cengkaman Portugis, anak kapal daripada armada Kesultanan Aceh telah singgah ke sebuah tempat dan dikatakan terlalu leka dengan hiburan dan hidangan jamuan oleh penduduk setempat sehingga Portugis mendapat maklumat risikan daripada penduduk Portugis yang bermukim di tempat tersebut lalu pihak Portugis mengambil kesempatan untuk menyerang armada – armada Kesultanan Aceh dan akhirnya rencana Sultan Ali Al Moghayat Syah gagal untuk merampas kembali kota Melaka.

Sultan Ali Al Moghayat Syah akhirnya mangkat pada tahun 1522 selepas setahun berjaya mengusir Portugis dari tanah Pasai dan takhta Sultan Aceh diganti oleh putera beliau, Sultan Salahuddin. Semasa pemerintahan Sultan Salahuddin, beliau tidak begitu mempedulikan hal ehwal kerajaan Aceh dan menghabiskan masa untuk berhibur dan bergurau senda dengan gundiknya. Oleh itu, adiknya yang dikatakan lebih bijak dan berwibawa telah meminta abangnya untuk turun daripada takhta. Sultan Salahuddin dimakzulkan daripada takhta pada tahun 1537 dan digantikan oleh Sultan Alauddin Al Kahar.

Bagi mengukuhkan Kesultanan Aceh Darussalam dari segi politik, ekonomi dan pertahanan, Sultan Alauddin Al Kahar telah mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Empayar Turki Uthmaniyyah yang ketika itu diperintah oleh Sultan Sulaiman Al Qanuni. Pada masa yang sama, Portugis mendapat maklumat risikan daripada pengintip Portugis yang berada di Venice mengatakan terdapat pelbagai hadiah yang berbentuk berlian, mutiara dan barangan kemas daripada Kesultanan Aceh kepada Sultan Sulaiman Al Qanuni sebagai balasan Empayar Turki Uthmaniyyah yang membantu Aceh dalam mengusir Portugis dari Melaka. Sokongan Empayar Turki Uthmaniyyah kepada Aceh telah menambah kebimbangan Portugis di Melaka dan menambah kesukaran Portugis untuk meluaskan wilayah kekuasaan mereka di rantau Alam Melayu.

Tujuan Sultan Alauddin Al Kahhar menghantar utusan mereka ke Istanbul juga untuk mendapat pengesahan daripada kekuasaan Aceh daripada Khalifah Turki Uthmaniyyah. Khalifah Turki Uthmaniyyah juga secara rasmi telah dilantik sebagai Khalifah atau Amirul Mukminin Islam yang sah selepas Sultan Salim 1 berjaya mengalahkan Kesultanan Mamluk dan menawan Khalifah Bani Abbasiyyah. Selain itu, Khalifah Bani Abbasiyyah telah menyerah alat – alat kebesaran Khalifah kepada Sultan Salim 1 dan mengakui Khalifah umat Islam yang baharu. Semenjak itu, keturunan Osman Bin Erugrul memegang kedudukan Khalifah umat Islam seperti yang diramalkan oleh Sheikh Edebali, ahli sufi yang berjuang bersama Sultan Osman Bin Ertugrul untuk menegakkan Daulah Turki Uthmaniyyah.

Kedatangan delegasi Aceh ke Istanbul juga disambut meriah kerana kesanggupan delegasi Aceh yang berada kedudukan jauh dari Istanbul amat menggembirakan rakyat di Istanbul kerana sokongan umat Islam yang bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah menjadi bukti Khalifah Turki Uthmaniyyah mendapat pengiktirafan daripada umat Islam dari seluruh dunia. Sultan Sulaiman Al Qanuni amat gembira sekali dengan kedatangan delegasi Aceh dan melayankan utusan Aceh dengan begitu baik sekali.

Sultan Sulaiman Al Qanuni menghadiahkan alatan perang seperti meriam, terakol dan senapang serta 300 perajurit (kemungkinan Janissaries) kepada Kesultanan Aceh Darussalam. Senjata – senjata perang yang canggih dihadiahkan oleh Sultan Sulaiman Al Qanuni telah memudahkan Kesultanan Aceh memperluaskan wilayah kekuasaannya sehingga Aceh menjadi kuasa yang digeruni oleh Portugis.

Dengan bantuan Empayar Turki Uthmaniyyah, Sultan Alauddin Al Kahhar telah merancang untuk menyerang Portugis di Kota Melaka. Serangan Aceh telah menemui kegagalan kerana Portugis berjaya mengukuh pertahanan mereka di kota Melaka. Namun begitu,kegagalan Aceh di kota Melaka tidaklah mematah semangat Sultan Alauddin Al Kahhar untuk memperluaskan kekuasaan Aceh ke seluruh Alam Melayu. Sultan Alauddin Al Kahhar juga mengangkat salah seorang kerabat diraja Aceh untuk mejadi Sultan di Inderapura. Kebijaksanaan Sultan Alauddin Al Kahhar dengan menubuhkan Kesultanan Inderapura berjaya mengukuhkan kedudukan hegemoni Aceh sebagai kuasa Islam di Alam Melayu. Selain itu, Kesultanan Aceh Darussalam berjaya meluaskan wilayah kekuasaan ke Sumatera Barat di Bangkahulu dan Sumater Timur di Danau Toba.

Serangan Aceh yang dibawah pimpin Sultan Alauddin Al Kahhar ke atas Johor kerana mendapati sumber maklumat bahawa Johor telah berkerjasama dengan Portugis di Melaka. Ini kerana Johor tiada pilihan melainkan terpaksa berkerjasama dengan Portugis disebabkan faktor – faktor ekonomi dimana ramai pedagang dari luar telah singgah ke Aceh dan kota Melaka tidak lagi dikunjungi oleh pedagang – pedagang yang memboikot pelabuhan Melaka yang dikuasai oleh Portugis. Faktor diplomasi Johor juga memastikan Johor tidak dikuasai oleh mana – mana kuasa luar termasuklah Portugis dan Aceh. Serangan Aceh ke atas Johor berjaya dan berhasil dan Sultan Alauddin Riayat Shah, putera Sultan Mahmud Syah (Sultan Melaka yang terakhir) dan kerabat diraja Johor dibawa ke Aceh. Sultan Alauddin Riayat Shah telah dihukum bunuh dan putera Sultan Alauddin Riayat Syah ditabal sebagai Sultan Johor yang baharu.

Apabila Sultan Alauddin Al Kahhar mangkat pada tahun 1568, puteranya, Sultan Hussain telah ditabal sebagai Sultan Aceh yang baharu. Semasa zaman pemerintahan beliau, perkembangan Islam di Aceh amat maju sehingga Aceh digelar sebagai “Serambi Mekah”. Kemajuan agama Islam yang begitu pesat telah menarik perhatian para ulama untuk bermukin di Aceh. Antaranya, Syeikh Abul Khair Ibnu Hajar dan Syeikh Muhammad Al Yamani telah datang dari tanah Arab untuk bermukim di Aceh seterusnya mendirikan pusat pendidikan Islam di Aceh. Sultan Hussain juga mendapat maklumat bahawa Portugis sering merompak kapal jemaah haji dari Aceh dan menganggu laluan perdagangan Aceh dan Turki menyebabkan Sultan Hussain meminta bantuan Empayar Turki Uthmaniyyah yang ketika itu diperintah oleh Sultan Salim II. Oleh itu, Sultan Salim II segera menghantar armada Empayar Turki Uthmaniyyah ke Aceh untuk serangan Aceh ke atas Portugis dalam menakluki kota Melaka. Laksamana Turki Uthmaniyyah, Kurtoğlu Hızır Reis dihantar ke Aceh dengan kekuatan armada yang terdiri daripada lebih 20 buah dan hanya sebahagian sahaja yang tiba di Aceh kerana berlakunya pemberontakan di Yaman yang ketika itu dikuasai oleh Empayar Turki Uthmaniyyah. Setelah itu, gabungan Aceh dan Turki Uthmaniyyah berjaya mengalahkan Portugis di Melaka dengan 500 kekuatan askar Janissaries dan ratusan bala tentera Aceh. Walaubagaimanapun, Portugis meminta untuk rundingan damai dengan Aceh dan Turki Uthmaniyyah. Empayar Turki Uthmaniyyah telah mengatakan Kesultanan Aceh merupakan negeri naungan Empayar Turki Uthmaniyyah dan Portugis hendaklah menghentikan gangguan ke atas pedagang dan jemaah haji dari Aceh. Oleh itu, Portugis bersetuju menghentikan gangguan mereka ke atas pedagang dari Aceh. Selain itu juga, Kesultanan Aceh juga diberi keizinan untuk mengibar bendera Empayar Turki Uthmaiyyah di kapal mereka sebagai tanda naungan Empayar Turki Uthmaniyyah ke atas Aceh. Semenjak itu, Portugis tidak berani lagi membuat gangguan ke atas Aceh lagi.

Selepas mangkatnya Sultan Hussain pada tahun 1575, sultan – sultan Aceh tidak lagi dapat menerajui pentadbiran yang berkesan seperti Sultan Hussain, Sultan Alauddin Al Kahhar dan Sultan Ali Al Moghayat Syah. Selepas itu, Kesultanan Aceh diperintah oleh pelbagai dinasti – dinasti iaitu Dinasti Mahkota Alam (keturunan Sultan Aceh yang pertama dan keturunan yang asal), Dinasti Sultan Perak, Dinasti Inderapura dan Dinasti Darul Kamal. Dinasti Mahkota Alam berjaya kembali berkuasa selepas bangkitnya pemerintah Aceh yang paling terulung dalam sejarah Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Beliau merupakan keturunan Dinasti Mahkota Alam daripada sebelah bapa dan Dinasti Darul Kamal sebelah ibu.

Kesultanan Aceh Darussalam berada di puncak keemasan dan kegemilangan dibawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Kesultanan Aceh memperolehi kekayaan yang berlimpah ruah hasil daripada penguasaan monopoli keatas perdagangan rempah ratus dan cukai pelabuhan yang dikenakan keatas pedagang yang melalui Selat Melaka. Selain itu, kekuasaan Aceh meliputi hampir seluruh Pulau Sumatera dan Tanah Melayu termasuklah Perak, Pahang dan Johor. Selain itu, tanah Deli juga dibawah kekuasaan Aceh dan Laksamana Tuanku Gocah diamanahkan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam menjadi pemerintah tanah Deli seterusnya menubuhkan Kesultanan Deli yang menjadi antara kesultanan – kesultanan Melayu paling terkaya sekali. Penaklukan Aceh keatas Pahang juga menambah lagi kekayaan Aceh dimana Pahang amat kaya dengan sumber bijih timah. Seluruh kerabat diraja Sultan Pahang dibawa ke Aceh dan putera Sultan Aceh, Sultan Iskandar Tsani menjadi anak angkat kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Faktor – faktor kejayaan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memperluaskan kekuasaan Aceh disebabkan kecanggihan dan kekuatan armada – armada yang dimilik oleh Aceh.

Selain itu, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam amat tegas dalam hukum Islam sehingga putera beliau yang ditangkapkan berzina dan menjatuhkan hukuman mati ke atas putera beliau. Ini kerana Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam amat tegas dalam memegang prinsip Melayu “Biar mati anak, jangan mati adat”. Dalam salah satu pepatah lama Acheh yang sangat popular mengatakan bahawa Hukom ngon adat, Lagee zat ngon sifeuet yang bermaksud Hukum dan adat laksana zat dengan sifatnya. Ketegasan dan keberkesanan pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam menjadikan Aceh digeruni dan dihormati oleh kuasa – kuasa Barat termasuklah Inggeris, Portugis, Sepanyol dan Belanda.

Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam mangkat pada tahun 1636 dan takhta Sultan Aceh diganti oleh menantu dan anak angkat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam iaitu Sultan Iskandar Tsani yang merupakan putera Sultan Pahang, Sultan Ahmad Syah. Republik Indonesia telah mengisytiharkan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sebagai Pahlawan Nasional Republik Indonesia sebagai mengenang jasa beliau.

Pada zaman Sultan Iskandar Tsani, berlakunya perselisihan hal – hal yang melibatkan agama diantara Syeikh Nuruddin Ar Raniri dan Syeikh Hamzah Fansuri. Pada masa itu, ajaran – ajaran tasawuf yang dibawakan oleh Syeikh Hamzah Fansuri amat popular di kalangan rakyat Aceh. Kritikan Syeikh Hamzah Fansuri terhadap perilaku dan moral raja – raja, bangsawan dan orang – orang kaya telah menyebabkan Syeikh Hamzah Fansuri tidak begitu digemari oleh kerabat diraja Aceh. Selain itu, fahaman Wahdatul Wujud yang dibawa oleh Syeikh Hamzah Fansuri dianggap sesat oleh Syeikh Nuruddin Ar Raniri sehingga Syeikh Hamzah Fansuri dihukum bunuh serta dengan pengikutnya sekali. Kitab – kitab karangan Syeikh Hamzah Fansuri juga turut dibakar. Fatwa hukuman bunuh ini yang dikeluarkan oleh Syeikh Nuruddin Ar Raniri berdasarkan peristiwa hukuman bunuh Al Hallaj di kota Baghdad yang dipersetujui oleh para ulama kerana mengaku bersatu dengan Allah yang dianggap sesat oleh ulama – ulama syariat.

Kesultanan Aceh Darussalam pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani tidaklah begitu menyerlah dan hanya meneruskan dasar – dasar Sultan Iskandar Muda Mahkota dalam pemerintahan. Selepas kemangkatan Sultan Iskandar Tsani, Kesultanan Aceh Darussalam tidak lagi mampu untuk mengekalkan kegemilangan seperti zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dan Kesultanan Aceh Darussalam telah berakhir pada tahun 1903 selepas Sultan Muhammad Daud Syah kalah dalam peperangan dengan Belanda dalam Perang Aceh – Belanda. Walaubagaimanapun, serangan gerila Aceh ke atas Belanda telah mengagumi kuasa – kuasa Barat dan juga serangan gerila Aceh merupakan serangan gerila untuk menentang kuasa penjajahan Barat yang paling berjaya dalam sejarah penentangan Asia Tenggara kepada kuasa Barat.

Rujukan:

  1. Hamka, Sejarah Umat Islam Edisi 2016
  2. Syaifullah Azizi, Hubungan Kesultanan Aceh dan Kesultanan Turki Utsmani Pada Abad ke 16, Program Studi Ilmu Hubungan Internasional, Fakultas Ilmu Sosial & Ilmu Politik, Universitas Airlangga
  3. Sanjay Subrahmanyam (2012) The Portuguese Empire in Asia, 1500-1700: A Political and Economic History, John Wiley & Sons, 30 Apr 2012.
  4. Sardiman A.M, M.PhD (2008) Sejarah 2 SMA Kelas XI Program Ilmu Sosial, Perpustakaan Nasional: Katalog Dalam Terbitan (KDT), Cetakan Pertama, Januari 2008
  5. Merle Calvin Ricklefs (2008), Sejarah Indonesia Modern 1200–2008, Penerbit Serambi, 2008
  6. Dr. M. Dien Madjid (2014) Catatan Pinggir Sejarah Aceh: Perdagangan, Diplomasi, dan Perjuangan Rakyat, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, 2014
  7. Keat Gin Ooi (2004), Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor, ABC-CLIO, 2004
  8. Sultan Iskandar Muda, Melayu Online, http://melayuonline.com/ind/personage/dig/303/sultan-iskandar-muda
  9. Fauziah, M. (2013). PEMIKIRAN TASAWUF HAMZAH FANSURI. Substantia, 15(2).
  10. M Umar, BAB II LATAR BELAKANG SEJARAH ISLAM DI ACHEH, http://studentsrepo.um.edu.my/5374/6/Bab2.pdf
  11. Joko P. Putranto (2009) ACEH CONFLICT RESOLUTION: LESSONS LEARNED AND THE FUTURE OF ACEH, NAVAL POSTGRADUATE SCHOOL MONTEREY, CALIFORNIA, June 2009

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here