Inskripsi Sukhothai II : Inspirasi Tertubuhnya Kerajaan Sukothai Dalam Sejarah

0
392
views

Kerajaan Sukhothai dikenali juga sebagai Sukhodaya yang membawa maksud ‘Dawn of Happiness’ atau ‘Di Ambang Kebahagian’

Seperti yang kita sedia maklum, Kerajaan Sukhothai ini dianggap sebagai kerajaan ‘rasmi’ pertama dalam sejarah negara bangsa Thailand. Sebelum wujudnya kerajaan ini sebenarnya sudah ada kerajaan lain seperti Lavo, Khmer dan Dvaravati, juga Tambralingga di bahagian Selatan. Namun, Sukhothai yang diasaskan oleh bangsa Tai yang berasal dari Selatan China ini lebih mesra dengan sejarah Thailand moden, walhal, Bangsa Khmer, Mon dan Melayu lebih dahulu menguasai tanah besar ini sebelum kedatangan bangsa Tai.

Artikel ini akan membincangkan perihal penubuhan Kerajaan Sukhothai berasaskan Inskripsi Sukhothai II yang dikaji oleh George Coedes, sejarawan Perancis yang pernah menjawat jawatan Direktor, Vajirañāna National Library of Thailand.

Wat Si Sawai di Sukhothai

Sebelum wujudnya Kerajaan Sukhothai, tanah di bahagian tengah bumi Siam ini dikuasai oleh raja-raja Khmer. Dua tokoh yang disebut di dalam inskripsi ini, yang bertanggungjawab menubuhkan Kerajaan Sukhothai ialah Phō Khun Bāng Klāng Thāo dan Phō Khun Phā Mu’ang Chao Mu’ang (daerah) Rāt. Bagaimana permulaannya bangsa Tai dapat membina kekuatan ketenteraan yang besar adalah suatu misteri. Namun, ianya bukanlah rahsia bahawa bangsa Tai ini telah berhijrah ke Selatan dari China sejak sekian lama.

Siapakah mereka berdua ini? Phō Khun Bāng Klāng Thāo juga dikenali sebagai Sri Indrāditya (kemudian harinya). Beliau adalah raja agung pertama Sukhothai dan juga ayah kepada Raja Rām Khamhēng yang terkenal.

Monument Raja Ram Khamhaeng

Phō Khun Phā Mu’ang Chao Mu’ang Rāt pula diyakini sebagai datuk kepada Mahāthera Sri Sradhārājcūlāmūnī seperti yang terdapat di dalam Inskripsi Ngām Mu’ang dan Bān Mu’ang (Penjaga Kota). Kedudukan Mu’ang Rat ini tidak dapat dikenalpasti secara tepat, tetapi Coedes berpendapat ianya terletak di sebelah Timur Sukhothai, berdekatan dengan dua lagi penempatan iaitu Sakhā dan Lombāchāi.

Bolehlah dikatakan bahawa Phō Khun Phā Mu’ang adalah raja (chao) bagi Mu’ang Rat manakala Phō Khun Bāng Klāng Thāo belum lagi menjadi raja.

Menurut Inskripsi Sukhothai II, Phō Khun Bāng Klāng Thāo telah menakluk Mu’ang Sri Sajjanālaya (Si Satchanalai), manakala pada masa yang sama Phō Khun Phā Mu’ang telah menggerakkan tenteranya untuk menghadapi Khlõn Lāmphong yang dianggap Coedes sebagai panglima perang Khamen atau Khmer.

Berdasarkan catatan ini bolehlah disimpulkan bahawa wilayah asal Sukhothai tertakluk di bawah Raja Khmer. Oleh kerana itulah Khlõn Lāmphong menyerang Mu’ang (daerah) Rat yang kini di bawah kuasa pemberontak berbangsa Tai.

Seterusnya catatan pada inskripsi tersebut menyatakan bahawa Phō Khun Bāng Klāng Thāo bergabung dengan tentera Phō Khun Phā Mu’ang, dan kedua-dua panglima perang bangsa Tai ini menaiki gajah menuju ke medan perang, menanti ketibaan Khlõn Lāmphong.

Antara binaan candi di Old Sukhothai

Maka, berlakulah pertempuran di antara Phō Khun Bāng Klāng Thāo dan panglima perang Khmer iaitu Khlõn Lāmphong. Keputusannya? panglima Tai berjaya mengalahkan panglima Khmer. Dengan kejayaan ini, Phō Khun Phā Mu’ang yang sedia menanti hasil pertempuran kedua panglima tadi berjaya memasuki Sukhodaya tanpa halangan daripada tentera Khmer.

Walaupun Phō Khun Bāng Klāng Thāo adalah sekutu Phō Khun Phā Mu’ang, beliau tidak mempercayai Phō Khun Phā Mu’ang 100%. Hanya setelah Phō Khun Phā Mu’ang meninggalkan Sukhothai barulah Phō Khun Bāng Klāng Thāo memasuki kota Sukhodaya.

Mengapa Phō Khun Phā Mu’ang mahu meninggalkan Sukhothai yang baru ditakluknya? Ini kerana Mu’ang Sukhothai ini telah dijanjikan untuk menjadi hak milik Phō Khun Bāng Klāng Thāo. Perlu diingat bahawa Phō Khun Phā Mu’ang sudah menjadi raja di Mu’ang Rat.

Sukhodaya kini berada di dalam genggaman Phō Khun Bāng Klāng Thāo. Namun, bagaimana Phō Khun Bāng Klāng Thāo dikenali sebagai Raja Sri Indrāditya?

Untuk menjadi raja, Phō Khun Bāng Klāng Thāo mestilah ditabalkan oleh seorang raja yang berdaulat dan diiktiraf. Ini tidaklah menjadi masalah besar kerana temannya, Phō Khun Phā Mu’ang adalah seorang raja yang diiktiraf dan ditabalkan untuk menjadi penguasa Mu’ang Rat oleh raja Khmer yang menggelar dirinya sebagai God (phi fā) Raja Mu’ang Sri Sodharapura. Malah, beliau dinikahkan dengan anak Raja Mu’ang Sri Sodharapura ini iaitu Nāng Sikharamahādevi dan dihadiahkan juga sebilah pedang Jaiyaśri.

Wat Mahathat

Atas kuasa dan daulat inilah Phō Khun Phā Mu’ang menabalkan (abisheka) Phō Khun Bāng Klāng Thāo sebagai Chao atau Raja Mu’ang Sukhodaya dengan nama Sri Indrapatīndrāditya dan gelar Kamratēng Añ Phā Mu’ang.

Kini Sri Indrāditya telah menjadi raja Sukhothai yang pertama, tetapi apakah hubungkait di antara kedaulatan takhta kerajaan bangsa Tai ini dengan Khmer? Siapakah sebenarnya God (phi fā) Raja Mu’ang Sri Sodharapura? Apakah kuasa yang ada pada beliau?

Sri Sodharapura terletak di Cambodia dan nama Sri Sodharapura ini ada disebut di dalam beberapa catatan kuno seperti Cambodian Annals. Gelar God (tuhan/deva/phi fā) pula selalu digunakan oleh raja-raja Khmer sebagai manifestasi kekuasaan yang tiada sempadan.

Gelar Kamratēng juga adalah gelaran yang sinonim dengan Kerajaan Khmer. Gelaran ini hanya boleh diberikan oleh seorang raja, dengan penggunakan kata ‘brah pāda’. Kemenangan ke atas Khlõn Lāmphong, si pahlawan Khmer sudah pasti membuatkan Phō Khun Phā Mu’ang merasakan dirinya raja yang bebas dan berdaulat (suzerainty) daripada cengkaman Kerajaan Khmer.

Mengikut catatan China, pada tahun 1294 Masihi, satu rombongan dari Sien (Sukhodaya) ada melawat negara itu. Gelar Kam-mou-ting atau Kamratēng yang merujuk kepada Rām Khamhēng juga ada tercatat.

Inskripsi Sukhothai II juga mencatat bahawa setelah segalanya selesai. seluruh tentera Sri Indrāditya dan Phō Khun Phā Mu’ang dibubarkan, lalu pulang ke kampung halaman, ke pangkuan keluarga masing-masing.

Begitulah kisah pembentukan Kerajaan Sukhodaya atau Sukhothai dan perkaitannya dengan Kerajaan Khmer.

Rujukan:

1. Sukhothai, Its History, Culture and Art, Betty Gosling, 1991, Oxford University Press

2. The Origins Of The Sukhodhaya Dynasty, George Coedes

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here