Peribumi Asli Dalam Pasukan Keselamatan

0
720
views

Umum mengenali rakan-rakan kita daripada kalangan kaum Asli yang dipandang sebagai pemalu, keras kepala, enggan bersosial dan macam-macam lagilah konotasi negatif. Malah, tak kurang yang menyamakan penduduk Asli sebagai manusia kurang tamadun sehingga perkataan Jakun misalnya – yang sebenarnya merujuk kepada salah satu suku kaum Asli ini, digunakan sebagai rujukan umum terhadap seseorang yang kurang serasi dengan kemajuan moden.

Dalam dunia di mana kita mengaku kita maju dan serba moden ini, sepatutnya ini sesuatu yang tidak harus berlaku. Jika kita mampu mengangkat martabat keperwiraan orang lain, kenapa kita tidak mampu mengangkat martabat ini daripada kalangan penduduk negara kita sendiri?

Rakan-rakan kita daripada kaum Asli mungkin kaya dengan sifat pemalu mereka, namun sekiranya kita mengikuti sejarah, ramai yang mungkin terkejut dengan hakikat bahawa jasa mereka dalam membentuk keamanan pada hari ini tidak boleh dan tidak patut dinafikan. ATOA atau Angkatan Tentera Orang Asli – anak didik Rejimen Gerakhas (RGK – kini GGK) semasa zaman Insurgensi, serta Senoi Praaq daripada Pasukan Gerakan Am PDRM merupakan antara testimoni kehebatan semangat juang anak-anak Peribumi ini. Siapa sangka, bahawa Senoi Praaq digelar ‘The Silent Killer’ oleh CIA dan pernah digunakan secara rahsia di Laos. Apabila US lari dari Laos, mereka ditinggalkan begitu sahaja (mungkin dengan harapan bahawa rahsia ini akan terkubur di Laos). Siapa sangka, unit Senoi Praaq berjaya kembali ke Malaysia sambil bertempur dengan elemen-elemen musuh di sepanjang jalan. Ramai juga yang kecundang dalam perjalanan balik. Peristiwa ini telah dibukukan dan bertajuk “Death Waits in the Dark: the Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite”. Siapa sangka juga, bahawa terdapat desas-desus mereka ini pernah dilibatkan juga semasa Perang Korea pada tahun 50-an.

Kita akan menyusuri kisah kepahlawanan “The gentle and shy people” ini. Semoga ia akan membantu membuka mata ramai daripada kita tentang betapa hebat sebenarnya anak-anak tanah kita ini, termasuk anak-anak peribuminya…

DI DALAM PASUKAN POLIS

Petikan daripada ” http://www.jakoa.gov.my/senoi-praqsenoi-praaq-adalah-unit-…/” mengatakan bahawa :

Senoi Praaq adalah unit yang unik dalam PDRM. Senoi bermaksud ” ORANG ” dan Praaq bermaksud ” PERANG “. Senoi Praaq adalah unit yang unik di dalam PDRM.  Pada awalnya unit ini ditubuhkan, ianya diletakan di bawah Jabatan Orang Asli /Department of Aborigines. Pemilihan anggota diambil 100% daripada suku kaum orang asli yang terdiri dari suku Temiar, Semelai, Temuan dan Semai. Pada permulaan unit ini beroperasi, Platun Komander dan jurusemboyan terdiri daripada Pegawai dan anggota SAS British. Kemudiannya kakitangan JHEOA yang terdiri daripada orang Melayu dan pelbagai suku orang Asli ditawarkan jawatan dalam pasokan Senoi Praaq. Oleh kerana kejayaaan yang dicapai bergitu baik dan memberangsangkan, sebelum SAS meninggalkan Tanah Melayu, SAS telah menganugerahkan beret merun mereka kepada unit ini.

Selepas itu, pasukan Senoi Praaq  diserapkan ke dalam Jabatan KDN/KA ( Kementerian Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam) PDRM dan dikenali sebagai Batalion Ke -19 (Bn-19) PPH (Pasukan Polis Hutan) Senoi Praaq. Bn- 19 PPH ini ditempatkan di Pengkalan Hulu (dulunya Keroh), Perak. Kejayaan yang dicatatkan oleh pasukan  dalam menjalankan tugas dan perang saraf terutamanya ke atas penduduk ASli sehingga  memenangi hati dan pemikiran mereka yang banyak berada jauh  di  pedalaman telah membawa kepada penubuhan  Batalion kedua – dikenali sebagai  Batalion Ke- 20 PPH dan berpengkalan di Bidor, Perak.

Bagi memberikan identiti tersendiri kepada kedua-dua batalion ini, maka senjata yang biasa digunakan penduduk Asli diangkat sebagai insignia pasukan Senoi Praaq ini.  Buluh sumpit digunakan sebagai insignia  BN 19- PPH, manakala beliung pula digunakan untuk  BN- 20 PPH. Selain daripada itu, identiti mereka juga diserlahkan melalui pemakaian beret merun, yang pernah satu ketika ditarik balik, tetapi kemudian dipulangkan semula hak pemakaiannnya kepada pasukan ini. Keterlibatan kedua- dua merangkumi satu operasi khusus  dikenali sebagai  OP (Operasi) BAMBOO, yang meliputi kawasan   pedalaman Perak dan Kelantan. Perkhidmatan anggota Senoi Praaq ini diambil daripada skim skim tertutup (closed service), bermakna  bermakna mereka hanya boleh ditugaskan di Bn-19, BN-20 atau VAT69 Komando, dan mereka tidak ditugaskan  sebagai Anggota Tugas Am di Balai Polis. Perubahan masa menyaksikan Batalion-19 PPH kini dikenali sebagai BN- 3 PGA ( Pasukan Gerakan Am) dan BN- 20 PPH dikenali sebagai BN- 18 PGA.

Keunikan kemahiran yang dimiliki oleh anggota-anggota unit ini telahmelahirkan penjejak-penjejak yang telah banyak membantu pasukan keselamatan semasa operasi menentang komunis dulu. Antaranya adalah SM Apot anak Saat – yang telah banyak menumpahkan khidmat di dalam pasukan VAT69 Komando. Beliau berasal dari pasukan Senoi Praaq inilah.

Antara barisan veteran VAT69 Komando. Anggota Asli adalah antara yang banyak membantu operasi dijalankan melalui usaha penjejakan. Kanan sekali adalah Bah Udar Bah Win, diikuti Apot anak Saat ( 3 dari kanan). kedua-duanya berada bersama lagenda VAT69 Komando, Allahyarham Zabri semasa beliau menghembuskan nafas terakhir akibat letupan jerangkap samar dalam tahun 1975. Keempat dari kanan adalah Bah Johor – rakan sekampung Encik Apot yang turut sama menyertai pasukan bersama-sama beliau dulu.

Beret Merun kebanggaan pasukan. Sumber imej : arkib

Keistimewaan pasukan ini juga meliputi aspek kemasukan anggotanya, di mana mereka daripada kalangan Orang Asli yang memohon memasuki perkhidmatan PDRM tidak perlu menjalani latihan asas kepolisan selama 9 bulan di Pusat Latihan Asas Polis ( PULAPOL). Sebaliknya, mereka terus  diserap ke unit Senoi Praaq.

Selain daripada kemahiran menjejak, anggota pasukan ini juga turut diberi latihan PORU (Public Order Reserve Unit) bagi menangani rusuhan yang mempunyai potensi untuk merebak atau menjadi agresif.  PORU mempunyai arahan yang lebih khusus dan terperinci di mana mereka dibenarkan menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan ancaman yang bersifat lebih kritikal. Pada masa yang sama, unit Senoi Praaq juga mempunyai bahagian perisikannya sendiri. Keanggotaannya satu ketika dulu terdiri daripada pegawai-pegawai daripada pasukan  SAS (Special Air Service) UK dan New Zealand,  serta pegawai Melayu. Di antaranya  adalah Inspektor  Mohd Nor bin Abdul Jalil. Bahagian perisikan ini telah disangkuntukan kepada Cawangan Khas PDRM selepas ia  diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri dan di bawah kawal selia PDRM.

Struktur asal pasukan ini telah melalui perubahan selepas ia diletakkan di bawah KDNKA. Sebelumnya, ia mempunyai struktur organisasi yang berbeza daripada PDRM. Antaranya adalah terdapatnya jawatan  Junior Staff Liason Officer. Unit-unit kecilnya dikenali sebagai skuadron dan bukannya platun seperti pasukan tentera , terdiri daripada 4 atau 5 orang anggota bagi setiap unit operasi kecil. Ini adalah identiti pasukan komando yang dikongsi oleh pasukan Senoi Praaq memandangkan ia banyak dipengaruhi oleh pasukan komando SAS yang telah terlibat secara langsung dalam penubuhannya.

DI DALAM PASUKAN TENTERA

Pada awalnya, pihak komunis telah mengintai kalangan Orang Asli ini kerana kekurangan hubungan mereka dengan dunia luar serta pilihan mereka untuk tidak campur tangan dalam sebarang konflik demi meneruskan kehidupan yang tenteram. Secara langsung, gaya hidup sebegini telah menjadi satu aset yang membantu komunis melangsungkan kewujudan mereka dalam keadaan diasak teruk oleh pasukan keselamatan. Sampai ke satu tahap, ada di antara golongan Orang Asli ini yang telah berjaya dipengaruhi oleh dakyah komunis sehingga terbentuknya pasukan kecil rejimen sumpit di kalangan pasukan komunis ketika itu. Antara karekter yang menerima bantuan daripada pihak kaum Asli ini adalah pemimpin komunis seperti Ah Soo Chye dr 5th Assault Unit yang beroperasi di sekitar kawasan Lawin, Klian dan Banding. Malah ada di antara ketua pasukan-pasukan kecil komunis ini yang telah berkeluarga dengan wanita Orang Asli, lalu mengkunci perhubungan mereka dengan puak ini.

Pengambilan khas rekrut Orang Asli siri 2/80 di Kem Terendak, Melka pada tahun 1980. Sumber : arkib

Bagi mengekang perkara ini daripada terus berlaku, pasukan komando Rejimen Gerak Khas (RGK) telah dihantar ke kawasan mereka, terutamanya kawasan puak Semai dan Sakai. Mejar Ghazali Ibrahim yang pada ketika itu adalah ketua Skuadron Y telah diberi tanggungjawab mengetuai Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Orang Asli di mana satu skuadron telah mengambil- alih petempatan askar British di kem Brinchang, Cameron Highland dan menjadikannya sebagai pengkalan hadapan. 3 anggota komando ditempatkan di pos-pos Orang Asli seperti Brooke, Trisu, Kuala Mensun, Telanok dan Bertam dengan tugasan untuk memerhati dan mengawasi cubaan komunis memengaruhi penduduk-penduduk di situ. Selain daripada itu, usaha sosial turut dijalankan bagi meyakinkan penduduk Orang Asli ini. Antaranya termasuklah menjalankan kelas-kelas tadika dan aktiviti sukan. Bantuan logistik disediakan oleh Jabatan Orang Asli Malaysia.

RGK juga telah memilih anak-anak muda Orang Asli dengan kekuatan satu platun untuk diberi latihan ketenteraan, dan dikenali sebagai ATOA . Tugasan mereka menyamai Border Scout di Sarawak, iaitu menjadi penjejak dan pendahulu pasukan. Pasukan ini telah dibubarkan selepas tamat insurgensi . Antara yang pernah terlibat di dalam pasukan ATOA ini adalah :

  1. Kpl Ahmad b. Bah Udek
  2. Lkpl Nasir b. Busu Panjang
  3. 3.Lkpl Alias b. Busu Panjang
  4. Rjr Bah Arup b. Bah Jantung
  5. Rjr zaini@Saini
  6. Rjr Wahab b. Abdullah@ Bah Hap b. Marmon
  7. Rjr Bah Lili b. Bah Jil
  8. Rjr Sharip b. Sing Lor
  9. Rjr Ali b.
  10. Rjr Mat isa
  11. Rjr wahab
  12. Rjr Bah Dek b. Bah Kurus
  13. Tpr Bah Asih b. Bah Tirai
  14. Rjr Atan b. Bah Geb

2x anggota telah berjaya dlm kursus asas komando dalam siri khas iaitu:

a.Lkpl Alias b. Busu Panjang

b.Rjr Bah Asih b. Bah Tirai

Tidak hadir Tanpa Cuti (THTC)/Tinggal Tugas

  • Rjr Sharif b. Bah Sing Lor-masih blm serah diri hingga sekarang. Anggota di kenalpasti menetap di lawasan pos Brooke

*meninggal dunia: Rjr Mat isa (Pos Menson), Rjr Bah Lili (Sg Ruil) dan Rjr Bah Arup (Bertam Valley)

Selain daripada RGK, golongan Asli juga telah dan masih terlibat di dalam cabang-cabang lain perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terutamanya di dalam pasukan Tentera Darat. Kehadiran mereka di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah antara sebab utama kemerosotan pengganas komunis, kerana kemahiran mereka yang luar biasa di samping berupaya mempengaruhi Orang Asli lain supaya menyokong pasukan keselamatan. Antara unit di mana golongan ini terbabit secara terus adalah pasukan 91 Rejimen Khas Perisikan Tempur (RKPT). Sepanjang kewujudannya, seorang anggotanya telah menerima Bintang Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) dan tiga anggotanya yang lain telah menerima Bintang Panglima Gagah Berani (PGB) – bukti keampuhan pasukan yang jarang dikenali ini.

Kem Brinchang –

Penubuhan 91 RKPT bermula pada tahun 1972 , pada awalnya dikenali sebagai Pasukan Khas Perisikan Tempur (PKPT). Fokus pasukan ini adalah kawasan-kawasan yang dikenali sebagai sensitif, dan tugas utama mereka adalah untuk mengesan dan mencari maklumat kegiatan pengganas komunis. Pada Januari tahun 1983, PKPT telah mengalami penyusunan semula pasukan ATM dan bagi menampung keperluan operasi yang semakin meningkat ketika itu , ia telah diperbesarkan dan mula dikenali sebagai 91 RKPT. Ibupejabat mereka diletakkan di Kem Changkat, Batu Gajah, Perak. Sepanjang kewujudannya di zaman Insurgensi, pasukan ini telah berjaya menumbangkan 20 pengganas komunis serta memusnahkan sejumlah besar tempat simpanan senjata dan makanan . Keanggotaan Orang Asli adalah diambil berdasarkan kepada keperluan terhadap kepakaran dan kemahiran mereka dalam menjelajah hutan. Ia juga bertujuan bagi membentengi golongan ini daripada terus dipergunakan oleh pihak komunis dalam meneruskan kewujudan mereka.

Selain daripada anggota biasa, ada juga di kalangan Orang Asli ini yang telah berjaya ditauliahkan sebagai pegawai. Antaranya adalah bekas pegawai tentera Orang Asli suku Semai, Kapten (B) Juhari Kangsar Abdullah. Beliau adalah antara produk Sekolah Pegawai Kadet (SPK), Kem Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan.

SPK ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 1981 menggantikan Yunit Latihan Pendahuluan Pegawai Kadet (YLPPK) yang telah wujud sejak 1950-an,bagi melatih golongan belia yang berkelayakan untuk menjadi pegawai tentera dengan cogan kata Sentiasa Di Hadapan. Mereka yang mengikuti pengambilan Tauliah Jangka Pendek (TJP) mengharungi latihan bersama selama sembilan bulan sebelum ditauliahkan menjadi pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda dalam Angkatan Tentera Malaysia. Kapten (B) Juhari, yang berasal dari Sg. Koyan, Kuala Lipis, Pahang, berada dalam TJP siri ke-39 bersama-sama 270 individu lain. Pentauliahan mereka dijalankan pada 27 Jun 1981, sebelum mereka dihantar berkursus lanjutan selama enam bulan di Sekolah Tempur Pegawai Muda (STPM) di Kem Paradise, Kota Belud, Sabah sebelum ditugaskan ke unit masing-masing. Beliau hanya sempat berkhidmat selama 11 tahun sebelum terpaksa menyambung perniagaan rotan keluarganya, dan kini menjadi pegawai keselamatan di Pulau Pinang..=WRA=

 

 

 

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here