Coriolis Force – Bukti Hakiki Bumi Bukanlah Datar

0
3488
views

Daya Coriolis adalah satu bentuk daya yang mempengaruhi pergerakan objek pada satu jasad yang berputar pada satu paksi.

Daya ini tidaklah memberikan sebarang kesan yang mendadak kepada kehidupan seharian, namun ia sangat mempengaruhi pergerakan arus lautan dan pergerakan sistem angin dan sistem ribut tropika.

Sayangnya daya ini disebut sebagai satu rekayasa oleh sesetengah golongan yang mempercayai bumi sebagai satu jasad datar, sekaligus menidakkan ciptaan dan kekuasaan Allah yang mengatur dan menyusun segala sistem cuaca dan pergerakan arus lautan dan sistem angin global.

Saya tak terkejut bila kata-kata itu keluar dari mulut pelopor-pelopor sesat FE sebab kalangan orang sebegini adalah kalangan jahil muraqqab yang konon mencanang ilmu walhal sekelumit tidak ada kefahaman hatta tahu apa yang mereka perkatakan.

Apa bukti daya coriolis ini wujud?

Tak perlu pesawat. Hanya perlu perhatikan pergerakan arus lautan, pergerakan angin sedunia dan pergerakan ribut taufan tropika.

Tiga proses alam yang diciptakan Allah ini dah cukup sebagai tanda betapa kekuasaan Allah tidak semata-mata hanya dikagumi dengan mengucapkan Subhanallah, tetapi mesti didalami dengan keilmuan mengenai alam itu sendiri.

Monsun

Siklon tropika dan Taufan

Arus utama lautan

Adapun rantau Asia Tenggara ini terletak di garisan khatulistiwa, seringkali menghadapi musim tengkujuh atau monsun yang dua – Timur Laut dan Barat Daya.

Monsun ini datang bilamana adanya dua sistem besar tekanan rendah dan tekanan tinggi terbentuk di dua hemisfera berbeza.

Misalnya Monsun Timur Laut, terbentuk bilamana adanya tekanan rendah cuaca di kawasan Siberia dari November hingga Mac, yang mana pada waktu sama musim sejuk bermula. Bila adanya musim sejuk sistem udara tekanan tinggi terbentuk, menghasilkan udara sejuk yang bergerak membentuk angin yang pergerakannya dalam bentuk kitaran menghala timur, tenggara dan kemudian timur laut apabila mendekati garisan Khatulistiwa dan seterusnya beralih arah menghala tenggara dan kemudian ke selatan mendekati sistem udara tekanan rendah yang terletak di benua Australia yang mengalami musim panas bagi hemisfera selatan.

Pergerakan utama angin ini berubah bilamana mendekati bulan April hingga September, yang mana perubahan musim berlaku di hemisfera utara yang mengalami musim panas dan menghasilkan udara panas bertekanan rendah dan hemisfera selatan yang mengalami musim sejuk dengan udara bertekanan tinggi.

Prinsip udara yang panas dari kawasan yang mengalami lebih talaan cahaya matahari bergerak ke kawasan lebih sejuk yang mengalami penalaan cahaya yang kurang akibat wujudnya dua musim berbeza ini dengan mudah dapat dijelaskan dengan eksperimentasi perolakan haba pada air yang dipanaskan dimana air yang berada dekat dengan sumber haba akan bergerak keatas menggantikan air yang suhunya lebih rendah dimana ia ditolak kebawah. Sains mudah. Yang panas akan pergi ke sejuk.

Apa bukti udara panas ni pergi gantikan udara sejuk?

Awan hujan buktinya. Bila hari menjelang hujan anda akan rasa adanya rasa panas membahang, macam tak nak hujan tapi dilangit awan mulai terbentuk, putih gebu macam kapas. Dalam udara ini ada wap air, ya ada kelembapan (dan kita bercakap pasal cuaca kat Malaysia) maka bilamana udara panas dan lembab ni naik ke atmosfera yang lebih tinggi, yakni troposfera ia akan mulai menyejuk kerana suhunya yang lebih rendah. Apa jadi bila udara panas dan lembab bertemu udara sejuk?

Jadilah kondensasi. Macam kat cawan teh o ais korang masa lepak mapley yang meleleh dengan air. Sama juga pembentukan awan yang mana ia terhasil bilamana udara panas yang naik keatas akibat pemanasan permukaan bumi terkondensasi menjadi titisan air dalam rupa bentuk awan.

Jadi udara panas naik, udara kat bawah takde la?

Tak. Udara panas tadi digantikan dengan udara yang lebih sejuk, bukan sejuk macam aircon kereta proton wira kau, tapi sejuk tu bermaksud suhunya rendah sikit dari udara panas tadi. Kalau suhu nominal Malaysia katalah 32 darjah celsius, udara sejuk tu datang dalam suhu 29 darjah celsius jadi melalui perolakan ia menggantikan udara panas tadi.
Sebab tu bila hari makin mendung, menuju hujan korang akan rasa angin macam sejuk je, ala-ala aircon 20 darjah celsius lepas tu hujan pun turun.

Sebegitu juga terjadi pada sistem cuaca atmosfera dan pergerakan angin utama sejagat.

Pembalikan pergerakan angin monsun bila mendekati garisan khatulistiwa pada kedua-dua musim monsun yang dialami rantau Asia Tenggara berlaku kerana daya coriolis, satu daya yang wujud bukan sekadar teori untuk memenuhi kriteria Bumi sebagai objek yang berputar pada paksinya dan rupa bentuknya oblate spheroid dimana ia adalah kejadian alam yang sudah ditetapkan Allah malah sebelum wujudnya orang putih yang pandai tentang cuaca malah wujud sebelum Nasa yang dicanang kalangan baghal FE yang tak pernah melihat sendiri kejadian alam sebegini tetapi berlakon pandai walhal sebenarnya jahil muraqqob.

Daya yang sama ini juga yang menyebabkan pergerakan taufan yang senantiasa tetap sejak ribuan tahun,dan sejak manusia mulai mencatatkan rekod kejadian bencana alam tersebut dimana setiap kali, pergerakan taufan yang bermula hampir di kawasan lautan garisan khatulistiwa akan bergerak pada satu garisan lurus dan akhirnya membuat lengkokan menghala ke kawasan polar.

Taufan dan ribut tropika mempunyai sifat wujud dikawasan lautan luas yang mengalami pemanasan secara tetap akibat cahaya matahari, terbentuk lalu bergerak dalam kitaran lawan arah jam bagi hemisfera utara dan pada kitaran mengikut arah jam bagi hemisfera selatan. Putaran pergerakan taufan ini terjadi sebegitu rupa kerana mengikut putaran Bumi. Ia bukan teori tetapi kejadian alam yang nyata. Dan pergerakan dalam bentuk putaran ini ditambah lagi dengan pergerakan dari timur ke barat, dan akhirnya membentuk seakan lengkungan yang kalau tidak kalau akan cuba untuk menghala kearah barat laut dan utara bagi hemisfera utara dan menghala kearah tenggara dan selatan bagi hemisfera selatan.

Sifat putaran taufan yang mengikut arah jam dan lawan jam di dua hemisfera berbeza ini adalah pembuktian alam yang mana daya coriolis itu wujud. Dan sifat ribut tropika dan taufan yang terbentuk dikawasan latitud 5 darjah keatas dari garisan khatulistiwa juga adalah kerana putaran bumi yang mana sangat jarang untuk taufan terjadi betul2 di garisan khatulistiwa dimana taufan terbentuk dengan membawa momentum pergerakan yang didorong serapan haba permukaan lautan.

Juga suka nak saya nyatakan, selain sistem pergerakan angin sejagat, sistem arus lautan juga bergerak pada kitaran yang sama – melawan arah jam di hemisfera utara dan mengikut arah jam di hemisfera selatan dengan arus lautan yang lebih sejuk bergerak menghala ke garisan khatulistiwa yang lebih panas kemudian kembali semula ke kawasan polar dan membentuk kitaran yang berulang-ulang sejak puluhan ribu tahun.

Ini pun bukan teori, tetapi bukti alami kejadian yang ditetapkan oleh Allah dalam mengatur alam. Sejak ratusan tahun pelayar Polinesia menggunakan arus lautan Pasifik untuk berkembang luas dan mendiami Pasifik Selatan, dari Papua hingga ke New Zealand. Arus lautan dan pergerakan angin sejagat yang sama memandu pelayar dan pedangan Srivijaya ke China dan India vice versa, menunggu monsun datang dan pergi ke tanah Arab dan kembali dan masakan pedangan India dapat berhubung dengan rakan dagang purba mereka di Afrika jika mereka tidak tahu akan pola pergerakan arus lautan dan monsun.

Ciptaan Allah yang tiga ini sudah cukup membuktikan Allah menjadikan Bumi sedemikian rupa, yang mana ia berputar pada paksinya lalu mempengaruhi sistem cuaca yang dapat dilihat pada kejadian taufan dan pergerakan angin sejagat serta pergerakan arus lautan, dan haruslah sifat arus lautan, aliran angin sejagat dan pergerakan taufan serta ribut tropika ini menjadi bukti alami yang mana Bumi mestilah bentuknya tidak semata-mata datar dan penyek walhal ia adalah satu gumpalan batuan, lautan dan udara membentuk geoid.

Bumi datar tajaan FE takkan dapat menghasilkan sistem cuaca seperti yang wujud sekarang, hah apatah lagi kiblat FE pun bertaburan, dan model siang malam FE pun melalut menunjukkan betapa dangkalnya fahaman tersebut.

Nah, bukti alami yang jelas menyatakan wujudnya daya coriolis yang terhasil akibat putaran Bumi pada paksinya yang tetap. Bukan ciptaan sebarang manusia tetapi wujud sejak Bumi dijadikan Allah.

Masih mahu bertelagah mencerca yang bukan-bukan dan mencanang kemabukkan jahlun keatas kejadian alam? Saya yakin kalangan baghal FE takkan dapat terima kerana orang jahil dan fasiq walaupun diberikan pembuktian alami tetap tidak mahu berfikir malah sombong lagi angkuh dengan idea-idea palsu purba paganistik yang kemudian disalut ugama menyamar ahli padahal ilmunya sangat dangkal.

Terpulang.

Saya yang menyampaikan.

FJ

Foto 1. Arus utama lautan
Foto 2. Pergerakan angin monsun dan pembelokan digarisan Khatulistiwa
Foto 3. Arah pergerakan angin monsun serta punca sistem tekanan udara

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here