M. Zain: Watak Labu Membawa Tuah

0
5123
views
M. Zain, S. Shamsuddin dan P. Ramlee (Nasib Si Labu Labi, 1963) (Sumber gambar: Mohd Danial Abd Aziz)

“Aku esok pagi pukul 6 nak cari kayu. Nak cari kayu, nak cari kayu, nak cari kayu, nak cari kayu, nak cari kayu, nak cari kayu…” – Labu (Labu dan Labi, 1962)

Pasti ramai yang mengenali pelakon dan pelawak M. Zain menerusi filem Labu dan Labi dan sambungannya, Nasib Si Labu Labi. Namun, tidak ramai yang mengetahui kisah kehidupan di belakang tabir beliau.

M. Zain atau nama sebenarnya Mohd Zain Bin Shariff dilahirkan di Jalan Perak, Pulau Pinang pada tahun 1921. Beliau merupakan anak bongsu kepada seorang peniaga mi yang bernama Shariff Tomato Mi.

M. Zain dikatakan kurang berjaya dalam pelajaran. Beliau seringkali ponteng dari sekolah untuk menonton pertunjukan bangsawan. Ketika berusia 14 tahun, beliau telah membuat keputusan untuk mengikuti kumpulan bangsawan di Pulau Pinang. M. Zain pada mulanya hanya mendapat upah harian memasang, mengemas dan mengecat pentas. 2 tahun kemudian, beliau telah menganggotai Dean Opera. Selepas itu, beliau menyertai Sri Noran Opera pula, di mana kumpulan bangsawan ini turut sama dianggotai oleh seniwati serba boleh, Normadiah. Suami kepada Normadiah ketika itu, Abdul Rahman Chantek juga merupakan anggota penting dan bertindak selaku pengelola Sri Noran Opera. Ketika bersama kumpulan ini, M. Zain sempat menjelajah seluruh Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Brunei pada pertengahan tahun 1940-an.

M. Zain mempunyai hubungan yang baik dengan Normadiah. Beliau menganggap Normadiah sebagai adiknya sendiri. Apabila Abdul Rahman Chantek meninggal dunia, kumpulan Sri Noran Opera telah berpecah dan Normadiah telah mencuba nasib untuk bekerja sebagai pelakon di syarikat perfileman Nusantara Film di Singapura pada awal tahun 1950-an.

M. Zain terpaksa menganggur buat seketika. Beliau kemudiannya menyertai kumpulan bangsawan yang lain dengan menjadi penyanyi, penari dan pelawak. Pengaruh kumpulan bangsawan yang semakin merosot di tahun 1950-an membuatkan M. Zain kehilangan pekerjaannya sekali lagi. Selepas lama tidak bekerja, atas dorongan Normadiah, M. Zain mula membina kerjaya baharu di studio Malay Film Productions (MFP) yang dimiliki oleh Shaw Brothers.

Permulaan kerjaya M. Zain di MFP adalah sebagai penjaga props dan pembantu jurusolek. Ketika bekerja di MFP, M. Zain sudah menunjukkan kebolehan lawak semula jadinya. Tambahan pula beliau bertutur dengan loghat Pulau Pinang yang sangat pekat. Oleh sebab itu pihak pengurusan studio memberi peluang kepada beliau untuk berlakon di dalam filem Raja Laksamana Bintan yang diarahkan oleh Jamil Sulong pada tahun 1959.

Dari kiri: M. Rafee, M. Zain dan P. Ramlee (Nujum Pa’ Blalang, 1959)
(Sumber gambar: Mohd Danial Abd Aziz)

Sepanjang pembabitan M. Zain di dalam dunia perfileman, kebiasaannya beliau hanya diberi peranan sebagai pelakon pembantu sahaja. Walaupun hanya berlakon sebagai pelakon pembantu, terdapat beberapa watak yang sering kita ingati terutamanya di dalam filem-filem arahan P. Ramlee. Sebagai contoh, watak Che’ Kachung yang diberi minum kopi arang dalam Nujum Pa’ Blalang, penjual hamba sahaya dalam Ali Baba Bujang Lapok, lelaki India yang bergaduh dengan isterinya pada pukul 4 pagi di rumah sewa Ramlee, Sudin dan Ajis dalam Seniman Bujang Lapok dan Abang Ali pemilik rumah sewa Kassim Selamat di Pulau Pinang dalam Ibu Mertua Ku.

Malek Sutan Muda bersama M. Zain
(Sumber gambar: Mohd Danial Abd Aziz)

Di luar bidang perfileman, M. Zain sering mengadakan pertunjukan pentas (stage show) bersama Malek Sutan Muda. Walaupun pihak Shaw Brothers melarang bintang-bintang filem di bawah naungan mereka melakukan stage show, namun sebahagian daripada mereka mengendahkan arahan majikan mereka itu untuk mencari wang belanja lebih. Satu perkara menarik yang ingin dikongsikan di sini, M. Zain bersama Malek Sutan Muda melakukan stage show bukanlah untuk mengejar wang ringgit untuk diri sendiri. Mereka melakukan persembahan semata-mata untuk mengumpul dana dan membantu mereka yang lebih memerlukan. Akhbar The Singapore Free Press yang bertarikh 17 Ogos 1961 telah melaporkan bahawa gandingan M. Zain bersama Malek Sutan Muda pernah melakukan persembahan di hadapan 6000 orang peminat dalam acara “Aneka Ragam Rakyat” di Geylang Serai. Malek Sutan Muda pernah berkata, “Kami berdua menubuhkan gandingan ini hanyalah untuk membantu badan-badan amal dan menghiburkan golongan bawahan. Kami sentiasa terbuka menerima undangan untuk tujuan amal.”

Populariti M. Zain meningkat naik setelah P. Ramlee memberi peranan utama kepadanya sebagai Labu menerusi filem Labu dan Labi dan Nasib Si Labu Labi. Watak orang gaji kepada Haji Bakhil lakonan Udo Umar tersebut membawa tuah kepada karier lakonannya dan menjadi watak yang paling diingati sehingga kini. Boleh dikatakan P. Ramlee adalah individu yang bertanggungjawab dalam menaikkan nama M. Zain di layar perak. M. Zain selepas itu tidak pernah berpeluang lagi untuk berlakon di bawah arahan P. Ramlee kerana beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada bulan April 1964. Selepas mengecap populariti sebagai pelawak handalan, M. Zain berpasangan pula dengan seorang lagi pelawak yang hebat iaitu Aziz Sattar menerusi filem Pileh Menantu yang diarahkan oleh Omar Rojik pada tahun 1963.

M. Zain, P. Ramlee dan Udo Umar (Nasib Si Labu Labi, 1963)
(Sumber gambar: Mohd Danial Abd Aziz)

Berbalik kepada hubungan M. Zain dengan Normadiah, mereka berdua masih bersahabat baik. Perhubungan erat di antara mereka berdua telah dipaparkan di dalam satu babak filem Aksi Kuching. Mereka kelihatan sangat mesra sebagai sahabat dan menggunakan loghat Pulau Pinang ketika bertutur. Agak menyedihkan filem tersebut merupakan filem terakhir yang dilakonkan oleh M. Zain.

Ketika berusia 46 tahun, M. Zain telah meninggal dunia pada 31 Januari 1967 di Singapura.

FILEM-FILEM LAKONAN M. ZAIN

Raja Laksamana Bintan (1959) – Jamil Sulong
Nujum Pa’ Blalang (1959) – P. Ramlee
Megat Terawis (1960) – Dhiresh Gosh
Sumpah Wanita (1960) – Omar Rojik
Isi Neraka (1960) – Jamil Sulong
Putera Sangkar Maut (1960) – Dhiresh Gosh
Ali Baba Bujang Lapok (1961) – P. Ramlee
Indera Bangsawan (1961) – Dhiresh Gosh
Seniman Bujang Lapok (1961) – P. Ramlee
Panji Semerang (1961) – Omar Rojik
Si Tanggang (1961) – Jamil Sulong
Mas Merah (1961) – Dhiresh Gosh
Singapura Di-Langgar Todak (1961) – Omar Rojik
Ibu Mertua Ku (1962) – P. Ramlee
Siti Muslihat (1962) – Dhiresh Gosh
Labu dan Labi (1962) – P. Ramlee
Gerhana (1962) – Jamil Sulong
Neracha (1963) – Dhiresh Gosh
Kaseh Tanpa Sayang (1963) – Omar Rojik
Nasib Si Labu Labi (1963) – P. Ramlee
Pileh Menantu (1963) – Omar Rojik
Mambang Moden (1964) – Jamil Sulong
Melanchong Ka Tokyo (1964) – Ramon A. Estella
Sayang Si Buta (1965) – Omar Rojik
Aksi Kuching (1966) – Omar Rojik

Sumber:

• Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
• Dato’ Ahmad Fauzee Samad
• Ismadi Ismail (Tengku Zakaria P. Ramlee @ TzP)
• Mustafar A.R. (Filem Klasik Malaysia)
• Daftar Filem Melayu (1933-1993) oleh Jamil Sulong, Hamzah Hussin dan Abdul Malek Mokhtar (FINAS, 1993)
• Jejak Terbilang oleh Aimi Jarr (FINAS, 2007)
• P. Ramlee Erti Yang Sakti (MPH Publishing, 2011)
• Berita Harian Singapura
• The Singapore Free Press

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here