Peristiwa Amerika Syarikat Menyerang Kuala Batu

0
5172
views
Kapal Perang Potomac, gambar sekadar hiasan

Tahukah anda bahawa pertempuran pertama diantara tentera Amerika Syarikat dengan mana-mana bangsa Asia adalah dengan orang Islam Melayu? Jauh sebelum mereka menyerang Afghanistan, Iraq dan Libya. Malah sebelum mereka menjajah Melayu Filipina lagi sudah ada konflik yang melibatkan tentera mereka di rantau ini. Ianya bermula di sebuah pelabuhan di Sumatera yang bernama Kuala Batu atau Kuale Batee dalam dialek Acheh. Peristiwa ini dikenali dalam sejarah Amerika sebagai The First Sumatran expedition. Tulisan ini pernah saya paparkan dahulu tetapi saya paparkan sekali lagi untuk sesiapa yang belum maklum.

Pada 7 Februari 1831, sebuah kapal Amerika Syarikat berlabuh di Kuala Batu, Aceh Barat Daya. Kapal bernama Friendship itu dinakhodai oleh Charles Moore Endicot. Kapal ini datang ke Kuala Batee untuk membeli lada hitam. Apabila kapal itu tiba di pelabuhan, ia telah diserang oleh sekelompok penduduk Kuala Batee yang datang dengan tiga buah perahu. Tiga awak kapal telah terbunuh dalam serangan tersebut. Kerugian yang dialami diperkirakan sejumlah US$ 50 ribu. Namun demikian Kapal tersebut berjaya diselamatkan daripada dirampas sepenuhnya dengan bantuan daripada seorang pembelot dari kalangan orang Acheh sendiri bernama Po Adam. Peristiwa ini sebenarnya anda boleh baca dalam buku karya M.Nur El Ibrahimy yang berjudul Selayang Pandang Langkah Diplomasi Kerajaan Aceh.

Menurut Ibrahimy, peristiwa itu berpunca daripada kemarahan orang Aceh kerana selalu ditipu oleh para pedagang Amerika dalam perdagangan lada. Penduduk tempatan mendapat tahu bahawa pedagang Amerika berlaku tidak adil dengan memalsukan takaran timbangan. Mereka memalsukan timbangan dengan cara menggunakan sebuah alat timbangan yang telah diubahsuai dan boleh ditambah atau dikurangkan jumlah timbangannya mengikut kesukaan mereka. Dengan kata lain jika timbangan sebenar lada orang Acheh adalah 30 kati maka mereka akan menimbang semula dengan timbangan yang diubahsuai tersebut dan didapati timbangan tersebut berkurangan menjadi 20 atau 10 kati sahaja, maka kadar bayaran yang diterima orang Acheh berkurangan.

Itu hanya salah satu daripada faktornya. Penyebab lain pula, ialah Belanda berhasil memprovokasi orang Aceh untuk menyerang kapal-kapal Amerika. Tujuannya, kerana Belanda ingin merosakkan nama baik Kerajaan Aceh supaya dilihat bahawa kerajaan Acheh tidak mampu melindungi kapal asing yang berlabuh di perairannya. Keadaan ini mampu melemahkan kekuatan ekonomi kerajaan Acheh apabila berkurangnya kapal yang berlabuh di sana. Belanda juga telah memberikan bekalan senjata kepada kapal Aceh yang dinakhodai oleh Lahuda Langkap untuk menyerang kapal Amerika dengan menggunakan bendera Kerajaan Aceh. Hal ini sudah tentu akan memburukkan lagi nama kerajaan Acheh di persada antarabangsa.

Selepas peristiwa tersebut, Kapal Friendship terus kembali ke Amerika. Berita mengenai penyerangan terhadap kapal tersebut akhirnya tersiar di dada-dada akhbar utama di Amerika dan Eropah sehinggakan sebahagian besar pihak pemerintah di Amerika berasa geram dan malu akan kejadian tersebut. Ditambah lagi apabila salah seorang pemilik kapal itu, Senator Nathanian Silsbee menghantar surat kepada Presiden Jackson meminta Amerika menuntut ganti rugi dan mengirim kapal perang ke Aceh. Diringkaskan cerita, Presiden Jackson telah bersetuju dengan tuntutan tersebut. Maka pihak kerajaan Amerika Syarikat telah menghantar kapal perang Potomac ke Aceh. Ini adalah kapal perang terbaik yang dimiliki Amerika pada zaman itu. Kapal tersebut telah berangkat dari New York dan tiba di Aceh pada 29 Ogos dengan membawa 260 pasukan tentera Marines.

Pada 5 Februari 1832 kapal perang Potomac tiba di perairan Kuala Batee. Commodore John Downes seterusnya telah berhubung dengan si pembelot Po Adam untuk mengetahui situasi di Kuala Batee. Menurut maklumat yang diberikan Po Adam, Raja yang menjadi wakil Acheh di Kuala Batee sama sekali tidak akan membayar ganti rugi. Commodore John Downes kemudiannya membuat keputusan untuk menyamarkan kapal dan krunya sebagai kapal dari Denmark untuk memasuki kawasan pelabuhan. Penyamaran itu berjaya apabila orang-orang Acheh yang berkawal di pantai tidak mengesyaki kapal tersebut. Beliau kemudiannya menghantar pengintip ke darat bagi mengetahui kedudukan dan kekuatan tentera Kuala Batee.

Hasil intipan yang dibuat mereka mendapati ada tiga buah kapal perang yang menjaga pelabuhan Kuala Batee ditambah dengan 5 buah kubu batu yang lengkap dengan meriam di sepanjang kawasan pantai berdekatan pelabuhan. Amerika memulakan serangan pada tengah hari 6 Februari 1832. Warga Kuala Batee yang sudah tahu kedatangan kapal Amerika itu berkubu di pantai Kuala Batee. Tentera Amerika yang berlabuh di Kuala Batee terus menyerbu benteng-benteng orang-orang Melayu. Tentera Amerika yang bersenjatakan rifle tercanggih pada masa tersebut dengan mudah dapat membunuh tentera tempatan yang bersenjatakan istinggar dan pemuras.

Namun demikian menurut laporan US penduduk tempatan melawan dengan hebat sekali sehinggakan berlaku pertarungan jarak dekat dengan menggunakan senjata tajam. Dalam pertarungan tersebut Raja Po Muhammad, telah terkorban bersama 150 orang pahlawannya. Penyerangan tersebut juga melibatkan golongan kanak-kanak dan wanita, malah terdapat satu lukisan daripada Amerika yang menunjukkan bahawa wanita Kuala Batee turut sama berperang. Di pihak Tentera Amerika, dua tewas dan 12 orang luka-luka. Tentera Amerika yang mendarat telah membakar rumah-rumah serta merompak harta-benda penduduk kampung. Banyak orang kampung yang terkorban di tangan mereka.

Gambaran pertempuran yang berlaku antara Marin Amerika Syarikat dengan penduduk Kuala Batu. Sumber: https://www.pritzkermilitary.org/explore/museum/digital-collection/view/oclc/789353752

Sebelum meninggalkan Kuala Batee, Kapal Potomac telah membedil pelabuhan dengan meriamnya sehingga hangus terbakar tinggal puing-puingnya sahaja. Dalam pembedilan tersebut dikatakan lebih dari 300 orang penduduk tempatan maut. Sebenarnya tidak semua orang Amerika yang bersetuju dengan penyerangan itu. Akhbar, Nile’s Weekly Register mengecam habis-habisan penyerangan tersebut. Namun, Presiden Jackson, berusaha untuk menutup peristiwa tersebut dari khalayak ramai.

~ASJ~

RUJUKAN:

•Muhammad Nur el Ibrahimy, Selayang pandang langkah diplomasi Kerajaan Aceh, Gramedia Widiasarana Indonesia, 1993.
Ajnn.Net.

•Warriner, Francis, Cruise of the United States frigate Potomac round the world: during the years 1831-34, New York: Leavitt, Lord & Co, 1835.

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here