Abdullah Bin Saba : Akar Sebuah Fitnah.

0
4797
views
Gambar sekadar hiasan

Sebelum kita memasuki konflik yang berlaku di antara Khalifah Ali bin Abu Thalib dan Khalifah Hassan bin Ali terhadap gabenor Muawiyah bin Abu Sufian, adalah lebih baik kita mengetahui apakah punca utama berlakunya kesemua masalah ini? Oleh itu, penulis cuba ‘throwback’ kembali bagaimana fitnah ini boleh bermula dan menyebabkan terjadinya ‘Civil War’ sebanyak dua kali yang meragut nyawa beberapa orang para sahabat Rasulullah saw. Jadinya, kita akan bermula dengan episod strategi seorang munafik paling agung yang bertanggungjawab memecahbelahkan saf umat Islam dan beliau juga merupakan manusia yang menyebabkan beberapa nama orang sahabat besar diburukkan oleh pihak yang terkutuk lagi durjana. Selamat menghayati perjalanan sejarah yang ringkas ini.

Menggali Lubang Fitnah.

Abdullah bin Saba, seorang pendeta Yahudi yang berasal dari San’a, Yaman dan dikenali sebagai Ibn al-Sawda berkhidmat di bawah pemerintah bekas Kisra Parsi iaitu Yazdeger III menuju ke kota Damsyik di wilayah Syam yang pada ketika itu di bawah pemerintahan gabenor Muawiyah bin Abu Sufian. Tujuannya untuk memeluk agama Islam dalam menjalankan misi utama yang dipikulnya iaitu, untuk menumbangkan pusat kekuasaan Islam di Madinah yang dipimpin oleh Khalifah Uthman bin Affan.

Setibanya di kota Damsyik, Abdullah bin Saba berpura-pura memeluk agama Islam. Beliau memulakan misinya secara teratur dengan menunjukkan kebaikkan yang tidak terhingga selama berada di kota itu. Orang ramai mula menaruh kepercayaan kepadanya. Langkah seterusnya, Abdullah bin Saba meminta izin dari gabenor Muawiyah untuk menziarahi makam Rasulullah saw di kota Madinah. Muawiyah memperkenankan hasrat Abdullah bin Saba dengan membekalkan kepadanya sebanyak beberapa wang dinar sebagai perbelanjaan ke sana. Fitnah Abdullah bin Saba bermula pada tahun 30 H.

Setibanya di kota Madinah, Abdullah bin Saba mula memainkan peranannya sebagai seorang munafik yang berselindung di sebalik akhlaknya yang mulia. Beliau sering menghadiri solat berjemaah di masjid, beriktikaf dan beliau juga suka duduk berkumpul bersama penduduk Madinah dengan berbincang atau membahas hal-hal keagamaan dan keduniaan. Di samping itu, beliau juga berhasil mengumpul segala maklumat berkaitan kekuatan dan kelemahan pemerintahan Khalifah Uthman. Pada saat penduduk Madinah berbincang mengenai pemerintahan Khalifah Uthman, maka Abdullah bin Saba tanpa segan silu menyisipkan jarum yang tajam ke dalam pemikiran para penduduk Madinah. Beliau mula mempertikaikan pemerintahan Khalifah Uthman dengan menghadirkan alasan yang Ali bin Abu Thalib lebih layak memegang jawatan khalifah berbanding Uthman bin Affan.

Tetapi penduduk kota Madinah bukan mudah untuk diracuni fikirannya. Mereka yang terbau dengan helah Abdullah bin Saba ini, dengan segera menghalau beliau keluar dari kota Madinah. Abdullah bin Saba menuju ke Hizah untuk menyebarkan dakyahnya di sana tetapi beliau menerima nasib yang sama seperti di kota Madinah. Beliau juga telah dihalau keluar dari kota Kufah. Akhirnya, Abdullah bin Saba mengambil keputusan menuju ke Mesir kerana pada masa itu Khalifah Uthman telah memecat Amru al-As dari jawatan gabenor di Mesir dan menggantikan dengan Abdullah bin Abi Sarah.

Abdullah bin Saba gembira kerana beliau melihat peluang yang luas untuk menarik simpati penduduk Mesir untuk menyokong dakyahnya. Ramai penduduk Mesir yang menyokong dakyah yang dibawa oleh Abdullah bin Saba tetapi mereka tidak berani menghantar wakil ke kota Madinah yang bertujuan meminta Khalifah Uthman turun dari kerusi pemerintahan. Abdullah bin Saba tidak berputus asa.

Khabar gembira datang pula dari Kufah buat Abdullah bin Saba. Khalifah Uthman memecat gabenor Sa’id bin al-Ash dan menggantikan posisi tersebut dengan seorang sahabat iaitu Abu Musa al-Asy’ari. Abdullah bin Saba menuju ke kota Kufah dan mempengaruhi rakyat di sana supaya menentang khalifah kerana menurunkan gabenor Sa’id. Tetapi hasilnya tetap nihil buat kedua kalinya, kerana penduduk Kufah lebih menyukai pemerintahan Abu Musa al-Asy’ari berbanding pemerintahan Sa’id.

Abdullah bin Saba tetap tidak berputus asa. Beliau melaksanakan dakyahnya dengan lebih terperinci dan teratur. Akhirnya, sebahagian penduduk kota Kufah menerima baik dakyah Abdullah dan mereka mula menghantar wakil ke kota Madinah memohon Khalifah Uthman turun dari kerusi khalifah. Khalifah Uthman tetap menolak permohonan ini kerana beliau mengikut peraturan dengan alasan, hanya ahli dari Majlis Syura sahaja yang berkuasa mutlak memecat beliau.

Penduduk kota Kufah mula menentang Khalifah Uthman setelah gabenor kesayangan mereka, Abu Musa al-Asy’ari diturunkan dari jawatan gabenor dan posisinya digantikan semula dengan Sa’id bin al-Ash. Cadangan ini diusulkan oleh Marwan bin al-Hakam dan Khalifah Uthman pun melaksanakannya. Tetapi suara rakyat tetap diutamakan oleh Khalifah Uthman. Beliau membatalkan hasrat pergantian kuasa gabenor setelah separuh dari penduduk kota Kufah ingin memberontak menentangnya.

Menabur Benih Fitnah.

Fitnah Abdullah bin Saba mula memasuki fasa pembenihan. Beliau menyebarkan berita palsu mengenai perlakuan Khalifah Uthman yang menggunakan harta Baitulmal untuk urusan peribadinya dan membahagikan tanah untuk pertanian hanya kepada ahli keluarganya sahaja. Penduduk kota Basrah dan Kufah yang berang dengan tindakan Khalifah Uthman terus menghantar wakil masing-masing ke Madinah untuk mendengar alasan kukuh mengapa Khalifah Uthman sanggup berbuat demikian.

Khalifah Uthman menjawab fitnah ini:

“Harta yang di dalam Baitulmal yang diberikan kepada ahli keluarga saya dan ada yang digunakan untuk urusan peribadi saya, sebenarnya adalah harta saya sendiri. Setelah saya dilantik menjadi khalifah, maka sebahagian harta saya ada yang disimpan dalam Baitulmal. Dengan itu, harta itu milik penuh saya. Dan berkaitan pembahagian tanah itu, ia sebenarnya diberikan hanya kepada orang yang berhak menerimanya. Tanah itu milik kaum Muhajirin dan Ansar. Kaum ini yang menerokanya dahulu dan mereka memang mempunyai hak yang penuh untuk mengambil tanah tersebut kembali. Saya tidak memberikan tanah ini kepada keluarga Bani Umayyah sahaja, bahkan ada dari kalangan keluarga Bani Hasyim dan bani lain yang mendapatkannya juga…”.

Jawapan ini memuaskan hati para penduduk kota Basrah dan Kufah. Mereka tidak jadi memberontak. Abdullah bin Saba tetap tidak senang duduk dengan suasana sebegini walaupun beliau berjaya menanam benih kebencian dan penentangan dalam hati penduduk Islam dari Kufah dan Basrah.

Bertunasnya Benih Fitnah.

Gabenor Mesir, Abdullah bin Abi Saad mulai rasa curiga dengan tindak tanduk penduduk Mesir yang mula berani menentang kuasa khalifah. Beliau menangkap sesiapa sahaja yang dicurigai menyebarkan dakyah menentang kuasa khalifah Uthman.

Akibat dari silap percaturan Abdullah bin Saad dalam mengendalikan masalah ini, maka lahirlah sebuah pasukan pemberontak dari Mesir yang dipimpin oleh al-Ghafiqi bin Harab al-Akki menuju ke kota Madinah seramai 500 orang anggota.

Muawiyah bin Abu Sufian juga melakukan hal sedemikian rupa dengan menangkap serta memenjarakan para penduduk kota Basrah dan Kufah yang disyaki terlibat dalam agenda menghasut umat Islam untuk menentang kuasa khilafah. Para penduduk kota Basrah dan Kufah yang tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk Muawiyah mula mengumpulkan tenaga dan bersatu hati menuju ke kota Madinah untuk meminta Khalifah Uthman menurunkan kuasa gabenor Muawiyah bin Abu Sufian.

( Kebanyakan penduduk yang ditangkap sememangnya adalah pengikut setia Abdullah bin Saba dan mereka merupakan kaum munafik yang berjanji setia di bawah nama al-Sabaiyyun untuk memecah-belahkan hubungan para sahabat dan umat Islam ).

Maka bertolaklah rombongan pasukan pemberontak dari kota Basrah pimpinan Hurkush bin Zuhair al-Saadi dan pasukan pemberontak dari kota Kufah yang diketuai oleh Abdullah bin Asham al-Amiri. Mereka membina khemah di luar kota Madinah sebelum menyerbu masuk kediaman Uthman bin Affan, iaitu:

1) Pasukan dari Kufah berkhemah di al-Wash.

2) Pasukan dari Basrah berkhemah di Za Khusub.

3) Pasukan dari Mesir berkhemah di Zil Marwa.

Tujuan asal mereka datang ke Madinah bersama pasukan yang besar adalah untuk memaksa Khalifah Uthman meletak jawatan dan menyerahkan jawatan khalifah kepada sahabat yang lain sekiranya beliau tidak memecat Muawiyah bin Abu Sufian dan Abdullah bin Saad dari jawatan gabenor. Pasukan dari Mesir mengusulkan Ali Bin Abu Thalib, pasukan dari Kufah menyukai Zubair al-Awwam menjadi khalifah seterusnya dan pasukan dari Basrah lebih cenderung memilih Talhah bin Ubaidillah sebagai khalifah keempat.

Zubair al-Awwam, Talhah bin Ubaidillah, Ali bin Abu Thalib bersama beberapa orang sahabat yang lain menghantar anak mereka masing-masing mempertahankan pintu gerbang utama dan pintu keluar masuk kota Madinah. Hassan dan Hussein diperintahkan untuk mengawal kawasan kediaman Khalifah Uthman. Penjagaan yang ketat oleh para sahabat beserta anak-anak mereka membuatkan pasukan pemberontak tidak berani memasuki kota Madinah. Akhirnya, mereka menghantar utusan untuk memujuk Zubair, Talhah dan Ali supaya berpihak kepada pasukan pemberontak.

Tetapi para sahabat besar terbabit tidak menerima tawaran tersebut. Setelah itu, Ali bin Abu Thalib meninggalkan pesanan kepada utusan pasukan pemberontak supaya menasihati ketua mereka masing-masing untuk menarik kembali pasukan pemberontak dari kota Madinah.

Pasukan pemberontak mengetahui peluang amat tipis jika datang dalam keadaan yang disedari oleh penduduk Madinah. Lalu dengan segera, mereka mengambil langkah mengundurkan pasukan dahulu dari jarak pandangan mata penduduk kota Madinah. Petang itu, penduduk kota Madinah bergembira setelah pasukan pemberontak berundur meninggalkan kawasan perkhemahan masing-masing.

Pasukan sukarelawan yang bertugas mengawal segala pintu masuk dan kawasan yang terancam bahaya oleh musuh, mula mengundurkan diri dari pos jagaan masing-masing kerana mereka menyangka pasukan pemberontak sudah bertolak pulang dan kota Madinah telah berada dalam kondisi yang selamat.

Tetapi sangkaan mereka meleset sama sekali kerana pasukan pemberontak berpatah kembali menuju ke kota Madinah pada malam hari ketika para penduduk kota sedang nyenyak tidur dibuai mimpi. Pasukan pemberontak melangkah berhati-hati menyusup dan memasuki kota Madinah. Mereka juga menguasai pos-pos jagaan dan jalan-jalan utama di kota. Pada keesokan paginya, penduduk kota Madinah terkejut dengan kehadiran pasukan pemberontak yang sudah menguasai sebahagian utama kawasan terpenting di kota Madinah.

Walaupun pasukan pemberontak sudah menguasai kota Madinah tetapi penduduk kota dilindungi dan mereka diberi kebebasan melakukan kegiatan harian dengan syarat tidak dibenarkan membawa senjata walaupun pedang yang bersarung.

Ali bin Abu Thalib menjadi orang tengah dalam perundingan di antara pihak pasukan pemberontak dan pihak Khalifah Uthman bin Affan. Pasukan pemberontak hanya memberi masa selama 40 hari kepada Khalifah Uthman untuk melepaskan jawatannya sebagai pemimpin.

Pada hari ke-30 pengepungan pasukan pemberontak di kota Madinah, Khalifah Uthman diserang olah pasukan pemberontak ketika beliau sedang membacakan khutbah Jumaat. Batu-batu dilempar ke arah Khalifah Uthman sehingga membuatkannya pengsan. Ali bin Abu Thalib beserta beberapa para sahabat mengusung keluar Khalifah Uthman dari masjid dan membawanya pulang ke rumah. al-Ghafiqi bin Harab menggantikan Khalifah Uthman sebagai imam solat Jumaat.

Khalifah Uthman memohon pertolongan dari Ali untuk memujuk pasukan pemberontak keluar dari kota Madinah dan pulang ke kampung halaman. Ali bersetuju tetapi dengan syarat, Khalifah Uthman wajib mengabaikan segala permintaan pelik dari para penyokongnya. Khalifah Uthman bersetuju, maka Ali dengan segera menemui al-Ghafiqi dan berunding mencari jalan penyelesaian. Akhirnya, al-Ghafiqi berpuas hati setelah Ali menjanjikan keselamatan ke atas pasukannya dan Khalifah Uthman berjanji akan melakukan perubahan ke atas para gabenornya yang telah berbuat sesuka hati.

Rundingan damai fasa satu – selesai.

Tetapi rundingan ini tidak bertahan lama apabila Marwan bin al-Hakam menjadi punca mempengaruhi Khalifah Uthman untuk tunduk ke atas permintaan para pemberontak dengan menyatakan alasan:

1) Muawiyah bin Abu Sufian berkuasa di Syam.

2) Abdullah bin Amir berkuasa di Parsi dan Khurasan.

3) Abdullah bin Abu Sarah berkuasa di Mesir.

Kesemua yang dinyatakan di atas adalah para penyokong setia Khalifah Uthman dan ini membuatkan Uthman menukar kembali rundingannya dengan menyatakan bahawasanya dia tidak akan tunduk ke atas satu pun permintaan pasukan pemberontak. Penduduk kota Madinah yang terkejut dengan tindakan Khalifah Uthman terus menyatakan akan berjuang bersama pasukan pemberontak jikalau Khalifah Uthman memungkiri janjinya yang telah diikat bersama pasukan pemberontak.

Khalifah Uthman terus memperbaharui syarat rundingan keduanya dengan menyatakan perlantikan Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq sebagai gabenor Mesir menggantikan Abdullah bin Abu Sarah. Maka dengan ini, pasukan pemberontak Mesir pimpinan al-Ghafiqi menarik kembali pasukannya dari kota Madinah untuk pulang ke Mesir semula.

Pasukan pemberontak dari Kufah dan Basrah juga berkemas untuk pulang ke kampung halaman mereka semula setelah Khalifah Uthman berjanji akan menyingkirkan Muawiyah dari kuasa gabenor wilayah Syam.

Mekarnya Bunga Fitnah.

Ketika pasukan pemberontak Mesir sedang dalam perjalanan pulang, mereka terserempak dengan seorang lelaki yang tidak dikenali menunggang kuda dengan keadaan yang tergesa-gesa dan laju. Muhammad bin Abu Bakar yang mengesyaki sesuatu terus memerintahkan supaya mengejar dan menangkap lelaki terbabit.

Apabila ditangkap, Muhammad bin Abu Bakar menemui sepucuk surat yang memerintahkan supaya gabenor Mesir, Abdullah bin Abu Sarah membunuh Muhammad bin Abu Bakar sebaik sahaja pasukan pemberontak sampai ke perbatasan wilayah Mesir. Abdullah bin Saba mengambil peluang memanipulasi kemarahan Muhammad bin Abu Bakar dengan mempengaruhinya dan pengikutnya.

Muhammad yang bengang dengan tindakan Khalifah Uthman yang ingin merancang membunuhnya terus memutarkan kembali pasukannya dan bergegas semula menuju ke kota Madinah. Di pertengahan jalan, pasukan pemberontak Mesir bertemu dengan pasukan pemberontak Basrah dan Kufah semula. Lalu Muhammad menceritakan segalanya kepada mereka. Lalu dengan rasa marah yang menggelegak di hati, maka ketiga-tiga pasukan pemberontak melangkah maju kembali ke kota Madinah pada kali kedua dengan hanya membawa satu tujuan sahaja.

Membunuh Khalifah Uthman.

Bersambung…

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here