Tema Musim Ketiga Agents of Shield

0
491
views

Bila saya menyebut musim ketiga Agents of SHIELD, sebelum pelancaran siri pod bagi musim keempat, ramai menganggap musim tersebut sebagai musim terbaik siri Marvel tersebut. Banyak elemen yang menjadikan musim tersebut musim terbaik dan ia akan disentuh dalam bahagian ketiga artikel ini.

1. Kegagalan tidak bermakna tiada peluang untuk berjaya.

Bermula dari musim kedua, SHIELD masih lagi beroperasi secara rahsia dan meneruskan aspirasi mereka iaitu sebagai perisai dan pedang untuk melindungi manusiawi sejagat. Walaupun mereka dihantui dengan insiden-insiden tidak diingini seperti kehilangan ejen-ejen berkaliber dan serangan ke atas pangkalan mereka, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan tugas mereka seperti biasa. Malah, mereka berusaha menjayakan matlamat yang ditetapkan walaupun tahu risiko kegagalan misi atau kehilangan nyawa semasa bertugas. Dan ini sesuatu yang kita harus pelajari dan adaptasi dalam kehidupan seharian kita. Ada masa bila kita diuji dengan kegagalan, kita anggap ia satu pengakhiran bagi kita untuk mencapai matlamat kita. Sedangkan tanpa kita sedari, Tuhan sebenarnya telah menyediakan pelbagai laluan untuk kita berjaya. Apa yang kita perlukan bila berhadapan dengan situasi ini ialah kaji semula kegagalan kita, lihat semua faktor yang menyumbang kepada kegagalan, ubah kaedah atau pilihan lain untuk capai sesuatu matlamat dan tawakal kepada-Nya. Gagal bukan bererti gagal selamanya, kegagalan itu hanyalah batu loncatan untuk berjaya pada langkah seterusnya.

2. Dendam hanya mewujudkan kitaran kemusnahan tanpa kesudahan.

Seperti mana kita semua tahu, pada separuh musim ketiga Agents of SHIELD, Phil Coulson membunuh musuh ketatnya, Grant Ward di planet Maveth dengan mematahkan tulang rusuk ejen HYDRA tersebut. Tetapi tanpa disedari Coulson dan Fitz selepas berjaya melepaskan diri, seorang Inhumans bernama Hive mengambil alih badan Ward dan meneruskan kitaran keganasan yang disangka hilang selepas kematiannya. Semua orang menyangka, dendam dan keadilan itu sama saja. Tetapi hakikatnya, dendam lebih kepada mendapat kepuasan diri sendiri sementara keadilan pula lebih kepada menjaga dan menunaikan hak semua pihak terlibat dengan saksama dan tanpa bias. Manusia yang mempunyai keinginan sebegini tidak akan mendapat apa-apa yang bersifat katarsis. Bahkan, dendam menyebabkan individu tersebut berterusan memuaskan nafsunya memusnahkan hidup orang lain walaupun selepas matlamatnya tercapai. Ini kerana pada dia, orang lain juga seharusnya merasa derita yang dialami walaupun ia bermakna menyakiti atau mengorbankan orang-orang yang tidak bersalah. Dalam minda manusia sebegini, orang lain juga harus merasai deritanya walaupun mereka langsung tidak tahu-menahu atau tidak ada peranan langsung dalam insiden malang yang menimpanya.

3. Pemimpin sebenar harus dihormati dan bukan ditakuti.

Satu dialog menarik antara Coulson dan Hive menarik perhatian saya. Dalam babak tersebut, Hive mahukan badan Coulson kerana mahukan kekuasaan dalam SHIELD dan meneruskan misinya membentuk kemanusiaan sebagai manusia baru di bawah pimpinannya. Tetapi Coulson mengingatkan Hive bahawa walaupun mereka akan patuh di bawah kepimpinannya, mereka hanya patuh kerana takut dan bukan atas dasar hormat yang dibina selama ini. Prinsip ini disentuh secara meluas oleh Niccolo Macchiavelli dalam bukunya, The Prince dan menjadi pegangan ramai diktator dalam sejarah dunia. Ketakutan itu satu senjata bagus dalam meraih ketaatan individu tetapi ia tidak akan bertahan lama. Ini kerana apabila mereka berjaya mendapat suara dan mendapat peluang menjatuhkan pemimpin sebegini, ianya bukan soalan kenapa ia berlaku tetapi bila ia akan berlaku. Sebaliknya, pemimpin yang memimpin atas dasar prinsip yang baik akan mendapat penghormatan dan kesetiaan orang mereka untuk tahun-tahun mendatang. Ini kerana pemimpin sebegini akan meletakkan kepentingan orang-orangnya melebihi dirinya sendiri kerana baginya, ia akan memupuk kesetiaan mereka pada organisasi dan mematahkan sebarang peluang untuk perpecahan. Pemimpin sebegini akan sentiasa memastikan mereka kekal sebagai satu unit dan sukar ditewaskan mana-mana pihak selagi mana mereka bersatu hati.

4. Tamak membawa rebah.

Seperti mana kita sedia maklum, matlamat sebenar HYDRA ialah mengembalikan semula Hive ke dunia dan meneruskan aspirasi asalnya iaitu sebagai penakluk dan pemerintah Bumi. Namun pada masa sama, sel-sel HYDRA ini mempunyai motif masing-masing dan saling bersaing untuk mencapat matlamat mereka sendiri walaupun ini bermakna memerangkap dan membunuh ahli organisasi sendiri. Semuanya atas satu sebab, tamak dan sikap sebegini yang harus dijauhi dalam kehidupan kita. Tamak ini sebenarnya boleh sekiranya ia disalurkan dalam bentuk persaingan melakukan kebaikan dan menuntut ilmu seperti yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. Namun, sekiranya tamak itu dibiarkan berleluasa, ia sebenarnya akan menambah lagi penyakit hati seperti sombong, dengki dan khianat. Ini kerana bila sikap tamak ini wujud, manusia tidak akan puas dengan apa yang dimiliki. Bahkan, dia akan berusaha memiliki yang lain walaupun keupayaan untuk mentadbirnya sudah berada di luar jangkauannya. Ketamakan manusia dalam mengejar matlamat mereka menjadikan mereka buta pada segala-galanya dan menghalalkan apa saja cara untuk mencapainya. Dan ini apa yang dilakukan oleh ahli-ahli HYDRA sesama mereka seperti cubaan bunuh Werner von Strucker, cubaan bunuh Ward dan membunuh anak perempuan Gideon Malick semata-mata atas nama kuasa. Namun, ketamakan mereka bukan saja membawa kepada kemusnahan diri sendiri tetapi juga kemusnahan organisasi mereka secara keseluruhannya.

5. Berkorbanlah demi kebaikan yang lebih besar.

Pada akhir musim ketiga, Agents of SHIELD, kita tahu akan ada ejen SHIELD yang akan terkorban di angkasa lepas. Pada mulanya, kita menyangka ejen tersebut ialah Daisy Johnson tetapi sebaliknya teman lelaki beliau, Lincoln Campbell. Lincoln mengorbankan dirinya dengan membawa Quinjet ke angkasa lepas bersama Hive dan bom nuklear dalam pesawat tersebut bagi mengelakkan manusiawi bertukar menjadi manusia baru idaman Hive. Walaupun kita merasai kesedihan yang dialami Daisy tetapi kita juga sedar bahawa apa yang dilakukan oleh Lincoln satu pengorbanan yang besar. Makanya, jika kita mahu mencapai sesuatu matlamat, pada satu ketika, kita juga perlu berkorban. Walaupun pengorbanan yang dibuat akan menyusahkan kita untuk jangka masa pendek tetapi jika kita tetap berada di landasan tepat untuk berjaya, makanya ia satu tindakan yang berbaloi. Saya akui, agak sukar bagi kita melakukan perkara sedemikian lebih-lebih lagi bila membabitkan barang atau orang yang kita sayang. Tetapi jika kita merasakan ia satu tindakan berbaloi dan boleh memberi manfaat dalam jangka masa panjang, makanya yang untung pada akhirnya bukan saja diri kita tetapi juga orang-orang yang kita sayangi. Dan hakikat ini difahami oleh Daisy di sebalik kesedihan yang menyelubungi beliau. Beliau sedar Lincoln hanya menjalankan tugasnya sebagai ejen SHIELD dan tahu risiko yang dihadapinya walaupun itu bermakna mengucapkan selamat tinggal kepada kekasih yang dicintainya.

Musim ketiga Agents of SHIELD menonjolkan pelbagai sisi dan cerita yang kita tak pernah sangka mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian. Maka, tidak hairanlah musim tersebut antara yang terbaik yang pernah dihasilkan pihak Marvel, setanding dengan produksi mereka yang lain seperti Daredevil dan Jessica Jones (Netflix).

Comments

comments

Previous articleLawrance of Arabia: Pencetus Revolusi Arab
Next articleArmada Sultan Abdullah Ma’ayah Syah Muncul Di Kuala Johor 1602
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here