Hussain Haniff: Pengarah Filem Melayu Yang Dilupakan

0
1179
views
Hussain Haniff sedang melakukan kerja-kerja penyuntingan filem (Sumber gambar: Hidir Ali Razali)

Dalam kebanyakan artikel, kajian ilmiah, dokumentari, kupasan filem dan sebagainya, tidak ramai penulis yang membicarakan tentang pengarah-pengarah filem Melayu di studio Cathay-Keris Film seperti Hussain Haniff. Kita sering terlupa bahawa Cathay-Keris Film juga telah banyak mengeluarkan filem-filem yang berkualiti serta turut terlibat di dalam perkembangan dunia perfileman Melayu. Kewujudan para pekerja di studio berkenaan seolah-olah dilupakan walaupun mereka juga tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Malay Film Productions dan Merdeka Film Studio.

Hussain Haniff atau nama sebenarnya Muhammad Hussain bin Muhammad Haniff telah dilahirkan pada tahun 1934. Terdapat dua percanggahan tentang tempat lahirnya. Pertama, ada yang mengatakan bahawa beliau dilahirkan di Pakistan, dan yang kedua ada yang mengatakan bahawa beliau dilahirkan di Johor. Semasa beliau masih kecil, Hussain Haniff telah berhijrah ke Singapura bersama-sama bapanya Muhammad Haniff (atau M. Haniff). Di Singapura, bapanya bekerja sebagai seorang pelukis dan pereka set di studio Malay Film Productions (MFP) yang dimiliki oleh Shaw Brothers.

Karier seni Hussain Haniff bermula sebagai pelakon tambahan di MFP. Hussain Haniff muncul sebagai pelakon tambahan menerusi filem Bapa Saya (1951) dan Juwita (1951). Dalam masa yang sama, beliau membantu bapanya melukis backdrop dan set untuk filem-filem MFP di awal tahun 1950-an. Selepas itu, Hussain Haniff mula berjinak-jinak dengan kerja-kerja penyuntingan filem di MFP. Beliau banyak menimba ilmu daripada seorang penyunting filem yang bernama H.R. Narayana.

Dalam penghujung tahun 1950-an, Hussain Haniff telah berhijrah ke Cathay-Keris Film (CKF). Seperti di MFP, Hussain Haniff diberi tugas untuk menyunting filem-filem keluaran studio itu. Hussain Haniff merupakan seorang penyunting filem yang sangat hebat. Filem-filem yang pernah disunting olehnya sering mendapat kutipan box office.

Antara filem-filem yang pernah mendapat sentuhan penyuntingan daripada beliau ialah Che Mamat Parang Tajam (1958) arahan S. Roomai Noor, Orang Minyak (1958) arahan L. Krishnan, Jula Juli Bintang Tiga (1959) arahan B.N. Rao, Raden Mas (1959) arahan L. Krishnan, Rasa Sayang -Eh! (1959) arahan L. Krishnan, Bawang Puteh Bawang Merah (1959) arahan S. Roomai Noor, Noor Islam (1960) arahan K.M. Basker dan Sri Mersing (1961) arahan Salleh Ghani.

Menurut Hamzah Hussin (Pegawai Penerangan Filem Melayu di CKF), Hussain Haniff sangat menyukai kerja-kerja penyuntingan filem. Baginya, penyuntingan filem adalah satu seni yang mempunyai keunikan yang tersendiri dan dia percaya bahawa tugas seorang penyunting filem ialah mempersembahkan sebuah filem dari bahan-bahan yang telah digambarkan oleh jurugambar.

Hamzah Hussin juga pernah berkata, “Bagi saya, Hussain ialah seorang penyunting filem yang cepat dan tangkas. Saya pernah melihat dia mengambil filem yang sudah dicetak lalu melihatnya dengan menyuluhkan lampu dan mengerat filem itu dengan tarikan tangannya, tanpa menggunakan gunting.”

Pada tahun 1961, Hussain Haniff diberi kepercayaan untuk mengarahkan filem pertama beliau iaitu Hang Jebat yang dilakonkan oleh Nordin Ahmad, M. Amin, Latifah Omar, Mahmud Jun dan ramai lagi. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Hussain Haniff tidak boleh membaca dan menulis. Dengan bantuan rakan-rakannya seperti sasterawan Ali Aziz yang juga penulis cerita asal, Shariff Medan sebagai penulis kata bual dan M. Amin sebagai penulis lakon layar serta penolong pengarah, beliau mampu mengangkat karya sulungnya itu sebagai suatu era baru dalam pengarahan filem Melayu.

Filem Hang Jebat telah mendapat sambutan luar biasa dari peminat filem Melayu ketika itu. Hussain Haniff telah berjaya mengubah pandangan masyarakat Melayu terhadap watak Hang Jebat yang sebelum itu dianggap sebagai penderhaka kepada wira Melayu sejati.

Sebuah babak pertarungan di antara Jebat (Nordin Ahmad) dan Tuah (M. Amin) di dalam filem Hang Jebat
(Sumber gambar: Mohd Danial Abd Aziz)

Melalui filem itu, beliau telah berjaya mencipta teknik-teknik penggambaran baru yang selama ini belum pernah digunakan dalam filem-filem Melayu. Hussain Haniff juga menjadi pengarah pertama yang menggunakan kren untuk melakukan penggambaran filem. Filem itu juga telah dipilih untuk pertandingan Festival Filem Asia Pasifik ke-9 di Seoul, Korea Selatan pada tahun 1962.

Hussain Haniff sangat terkenal dengan sifat cerewet dan panas barannya. Beliau sanggup tunggu berjam-jam untuk mendapatkan satu syot filem dan dalam mood yang betul. Beliau juga enggan menggunakan hujan tiruan untuk filem-filem arahannya, dan sanggup menunggu sehingga hari benar-benar hujan untuk melakukan penggambaran.

Menurut Hamzah Hussin lagi, beliau menganggap bahawa Hussain Haniff merupakan seorang ‘pemberontak’. Beliau gemar ‘memberontak’ dan memvisualkan perbuatan itu di dalam filem-filem arahannya. Oleh sebab itu banyak filem-filem arahan Hussain Haniff memaparkan pertumpahan darah, elemen-elemen sadisme dan unsur-unsur taboo yang kadangkala agak keterlaluan. Beliau juga seorang perfectionist yang sangat mementingkan kesempurnaan dalam pembikinan sesebuah filem terutamanya dari sudut syot filem, muzik latar serta penyuntingan filem.

Filem arahan Hussain Haniff yang memenangi
Anugerah Khas: Cerita Rakyat Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-9
(Sumber gambar: Ismadi Ismail @ TzP)

Pernah berlaku pergaduhan di antara Hussain Haniff dengan wartawan hiburan. Semuanya berpunca daripada wartawan hiburan tersebut mengkritik secara berlebihan cara lakonan seniwati Fatimah Ahmad di dalam filem Dang Anom (1962). Hussain Haniff yang berang dengan kritikan itu telah bertindak di luar kawalan dengan menampar muka wartawan hiburan tersebut. Walau bagaimanapun, hubungan dingin antara Hussain Haniff dengan wartawan hiburan itu telah didamaikan di dalam sebuah majlis yang dianjurkan oleh pihak studio CKF dan Persatuan Wartawan Melayu Singapura.

Sepanjang riwayatnya, Hussain Haniff telah mendirikan rumahtangga sebanyak dua kali. Pertama, dengan Fatimah Musteja Sani. Mereka memperoleh enam orang anak. Perkahwinan beliau yang kedua ialah dengan seniwati Fatimah Ahmad. Hasil perkahwinan ini mereka memperoleh dua orang anak.

Fatimah Ahmad, isteri kedua Hussain Haniff
(Sumber gambar: Hidir Ali Razali)

Hussain Haniff telah meninggal dunia pada 4 April 1966 di rumahnya yang terletak di No. 7 MacPherson Road, Singapura. Beliau meninggal dunia dalam usia yang cukup muda, iaitu 32 tahun akibat penyakit kanser perut. Sahabat handai beliau dari studio CKF dan MFP turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau. Jenazah beliau kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bidadari, Singapura.

Filem Jiran Sekampong (1965) sedang di ulang tayang ketika beliau meninggal dunia, manakala filem terakhirnya iaitu Udang Disebalek Batu (1966) sedang menunggu tarikh untuk ditayangkan di rangkaian panggung-panggung wayang Cathay. Beliau tidak sempat untuk mengarahkan sebuah filem epik purbawara yang berjudul Tun Perak. Pihak studio CKF juga tidak berminat untuk meneruskan projek filem tersebut kerana bagi mereka, Hussain Haniff sahaja yang layak untuk mengarahkannya. Dengan itu, projek tersebut terbengkalai begitu sahaja sehinggalah penutupan studio itu pada tahun 1973.

Filem-filem Arahan Hussain Haniff

1. Hang Jebat (1961)
2. Dang Anom (1962)
3. Mata Shaitan (1962)
4. Korban Kaseh (1962)
5. Masok Angin Keluar Asap (1963)
6. Gila Talak (1963)
7. Dua Pendekar (1964)
8. Kalong Kenangan (1964)
9. Istana Berdarah (1964)
10. Chinta Kaseh Sayang (1965)
11. Jiran Sekampong (1965)
12. Udang Disebalek Batu (1966)

Anugerah Yang Pernah Dimenangi

Anugerah Khas: Cerita Rakyat Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-9 (1962) di Seoul, Korea Selatan – Dang Anom

Sumber:

• Dato’ Ahmad Fauzee Samad
• Hidir Ali Razali
• Ismadi Ismail (Tengku Zakaria P. Ramlee/TzP)
• Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
• Mustafar A.R. (Filem Klasik Malaysia)
• Daftar Filem Melayu (1933-1993) oleh Jamil Sulong, Hamzah Hussin dan Abdul Malek Mokhtar (FINAS, 1993)
• Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka oleh Hamzah Hussin (Penerbit UKM, 1997)
• Malaysian Cinema in a Bottle by Hassan Abd Muthalib (Merpati Jingga, 2013)

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here