Khutbah Alternatif: Manhaj Ilmu

0
2319
views

Ada orang kata, “teori konspirasi pun ilmu, cuba lapangkan dada, tak perlu anti sangat”.

Ada orang kata, “teori konspirasi (mengenai Freemason dan Illuminati) ada asas dalam Quran dan Hadis, orang yang kaji ilmu fitan akan faham”.

Inilah kata-kata orang yang keliru tentang ‘ilmu’.

Benar, ulama silam seperti Al-Ghazzali, Imam Al-Bukhari dan Ibn Katsir berbicara tentang fitnah akhir zaman (al-fitan). Tetapi ilmu fitan mereka berbeza dengan ‘ilmu fitan’ yang cuba mengaitkan nas-nas tentang akhir zaman dengan teori-teori konspirasi mengenai Freemason, Illuminati dan Rothschild. Itu namanya ilmu fitan ‘New Age’.

Ilmu fitan New Age bukanlah ilmu, tetapi ilmu palsu.

Sebagai orang Islam, kita harus memiliki pandangan ilmu yang sahih dan luhur. Amal terdiri atas ilmu. Rosak ilmu, rosaklah amal, maka rosaklah umat.

Disebabkan percaya dengan dakwaan ‘vaksin adalah agenda Yahudi’, penyakit wabak berjangkit dapat membiak semula.

Disebabkan percaya dengan teori Rothschild, ada yang mengiyakan kekejaman rejim tertentu ke atas rakyatnya dengan tanggapan apa yang mereka buat adalah untuk membendung Rothschild, Yahudi dan sebagainya (konon).

Maka, siapa bilang teori konspirasi tidak membawa mudarat?

Mari kita kembali ke soal ‘ilmu’ (علم‎‎).

Ilmu adalah sesuatu yang serius dalam Islam. Adakah ilmu fitan New Age menepati ciri-ciri disiplin ilmu Islam?

Perlu ingat, ada beza di antara maklumat dan ilmu.

Maklumat (information) merujuk kepada gambaran-gambaran (tasawwur) yang sampai kepada seseorang tanpa diketahui kebenarannya.

Ilmu (knowledge) pula merujuk kepada hasil daripada pembenaran (tasdiq) maklumat-maklumat tersebut.

Semua orang boleh menerima dan menyampaikan maklumat. Tetapi, untuk menghasilkan ilmu (membenarkan maklumat, melihat hubungan antara maklumat dan membuat kesimpulan), kita memerlukan kaedah, atau uslub (أسلوب), atau manhaj (منهج).

Manhaj ialah kaedah-kaedah ilmiah yang digunakan untuk menghasilkan kesimpulan atau untuk membuktikan kebenaran sesuatu maklumat. Dalam tradisi ilmu Islam (terutamanya bidang fekah), ada berbagai-bagai manhaj: ada istidlal (الاستدلال), ada istinbat (الإستنباط). Yang belajar kitab kuning di pondok tahu. Yang belajar usul tahu. Golongan ‘tujuh kali pergi usrah sudah pandai tepis fatwa’ tak tahu.

Tradisi ilmu Barat juga berdiri atas manhaj, atau ‘method’. Sains atau ilmu (Bahasa Latin = Scientia, Bahasa Yunani = Episteme) dicapai melalui metod pembuktian (demonstration). Bukan semua kesimpulan itu sahih (valid). Kesimpulan perlu dibuktikan dan diuji. Sesuatu kesimpulan yang dibuat tanpa mengikut manhaj tidak boleh diiktiraf sebagai ilmu walaupun ianya sampai kepada kesimpulan. Contoh:

‘Illuminati tertubuh pada 1 Mei 1776’, ‘Hari Buruh jatuh pada 1 Mei’ ← ini adalah maklumat.

‘Hari Buruh adalah sambutan Illuminati’ ← ini adalah kesimpulan yang dibuat atas cantuman maklumat.

Adakah kesimpulan tersebut sahih? Kebetulan (coincidence) tidak boleh digunakan untuk membuktikan hubungan sebab-penyebab (causal relationship), kalau tidak, kita akan mencapai kesimpulan ‘matahari terbit kerana ayam berkokok’.

Bolehkah teori konspirasi (cerita-cerita mengenai Freemason, Illuminati, New World Order, Rothschild) digelar ilmu? Atau ia sekadar maklumat yang dicantum-cantum untuk mencapai kesimpulan (connecting the dots)?

Dalam tradisi sains alamiah (natural sciences) dan sains sosial Barat, hipotesis hanya boleh diangkat menjadi teori sekiranya ia boleh diuji (testable). Teori konspirasi tidak layak digelar teori pun kerana ia tidak menepati kriteria ‘teori’.

Teori konspirasi bukan sahaja gagal dari segi pembenaran kesimpulan tetapi juga dari segi pembenaran sumber. Ia berbeza dengan tradisi ilmu Islam yang sungguh teliti dalam bab sumber. Semua cabang ilmu dalam Islam mempunyai sanad dan salasilah yang disambungkan kepada Rasulullah yang merupakan autoriti ilmu (penerima wahyu). Tradisi pemberian ijazah berdasarkan penyambungan sanad ini dikagumi oleh Barat malah telah mempengaruhi sistem penganugerahan ijazah di institusi pengajian tinggi Barat moden (seperti yang dikupas oleh George Makdisi dalam The Rise of Colleges: Institutions of Learning in Islam and the West).

Ilmu fitan New Age bukan sahaja tidak mempunyai manhaj pembenaran, malah ia juga tidak melepasi kriteria sanad dan salasilah. Sumber apakah yang penuntut ilmu fitan sandarkan? Kitab apa yang diguna? Guru mana yang diikut? Tiada jawapan kepada soalan-soalan tersebut kerana mereka malu untuk mengakui bahawa sumber utama mereka hanyalah siri dokumentari ‘The Arrivals’.

Jangan menafsir nas-nas mengikut selera sendiri. Bergurulah. Itulah adab asas dalam menuntut ilmu. Kalau perkara mudah dan jelas (muhkamat) pun kita memerlukan panduan guru dan sandaran kepada tafsir ulama muktabar, apatah lagi perkara-pekara mutasyabihat (متشابهات) yang melibatkan perkara-perkara ghaib (akhir zaman, dajjal dan Yakjuj wal Makjuj). Tanpa bimbingan, silap-silap boleh jadi sesat dan mendakwa diri sebagai Imam Mahdi.

Ingat, mencampur-adukkan perkara yang haqq (nas tentang akhir zaman) dan batil (teori konspirasi tentang Freemason dan Illuminati) adalah dosa kedustaan yang amat berat (Suratul Baqarah, ayat ke-42).

Maka, kembalilah ke jalan manhaj ilmu yang murni. Saya mengakhiri khutbah dengan kata-kata Imam Syafie:

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

#KhutbahAlternatif
#Annunaki

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here