Fatma Al-Majritiya : Saintis Islam Wanita Terhebat Andalusia

0
783
views
Gambar sekadar hiasan

Zaman Emas Islam pernah menyaksikan penglibatan aktif golongan wanita di pusat-pusat pembelajaran dan kebanyakan institusi ilmu. Mereka diberi peluang sama rata dalam pendidikan, politik, seni dan kebudayaan. Keadaan ketika itu berbeza dengan wanita-wanita di Barat apabila mereka tidak dibenarkan mendapat pendidikan tinggi dan dilarang melakukan kerja-kerja pendidikan terutamanya dalam bidang sains. Tetapi sekadar dibenarkan berkongsi idea atau pendapat, melalui bapa, abang, ataupun suami.

Hari ini, ilmu astronomi moden sebenarnya banyak bergantung kepada legasi dan inovasi saintifik seorang wanita muslim bernama Fatima Al-Majritiya, yang menjadi antara ahli astronomi wanita terhebat ketika kegemilangan Tamadun Islam Andalusia. Bagaimanapun, beliau agak kurang dikenali kerana maklumat mengenainya begitu sukar diperolehi atas pelbagai faktor tertentu dan sosio-sejarah. Pihak Universiti Rovira i Virgili kini sedang giat melakukan usaha mengumpul maklumat berkenaan Fatima.

Lebih dikenali sebagai Fátima de Madrid di Barat, yang bermaksud ‘Fatima dari Madrid’, Beliau dilahirkan sebagai anak perempuan kepada ahli matematik, kimia dan astronomi tersohor Andalusia, Maslama al-Majriti, yang diangkat sebagai ‘Euclid Sepanyol’. Fatima menjadi salah seorang pelajar cemerlang dalam pelbagai cabang sains, terutamanya astronomi di bawah bimbingan bapanya.

Kedua-duanya mereka banyak bekerjasama dalam kajian matematik, kimia dan penambahbaikan jadual astronomi al-Khawarizmi (zij), iaitu jadual berkenaan :

i) Kalendar, Bulan, kedudukan Matahari dan planet

ii) Trigonometri sfera

iii) Fungsi astronomi dan ramalan gerhana

Sumbangan Fatima dan Maslama dalam usaha penambahbaikan jadual tersebut banyak membantu dalam beberapa siri pengiraan penting berkaitan saiz Laut Mediterranean, apabila ianya telah disesuaikan dengan koordinat geografi Cordoba, yang berperanan sebagai pusat pemerintahan Khalifah. Namun tidak dapat dipastikan samada Fatima terlibat dalam penemuan penting bapanya berkenaan penggunaan bahan-bahan kimia seperti Merkuri Oksida.

Fatima cekap melakukan kerja-kerja penyalinan manuskrip dan pernah menjadi pustakawan Al Hakam II; iaitu sebuah perpustakaan terbesar di dunia dan menempatkan lebih 400,000 buah buku ketika itu. Di situ, beliau mencipta satu sistem katalog yang mengumpulkan maklumat buku-buku secara terperinci, dan susunan yang lebih bersistematik. Dia diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab menyelia lebih 70 buah perpustakaan di sekitar Cordoba dan antara tugas-tugas yang biasa dilakukan Fatima ialah melawat pasar dan pusat yang mengumpulkan naskah ilmu di sekitar bandar-bandar Constantinople, Baghdad, Kaherah dan Samarkand. Wanita ini juga sering dijemput oleh saintis di bandar-bandar tersebut untuk bertukar-tukar material kajian.

Meskipun dilahirkan di Madrid, sebahagian besar hidupnya banyak dihabiskan di Cordoba. dan dikelilingi rakan-rakan yang terdiri dari ilmuwan terkenal. Ada diantara mereka bertanggungjawab menterjemahkan karyanya yang kemudian dikumpulkan ke dalam bahasa Arab dan Latin. Fatima adalah antara tokoh wanita yang diabadikan dalam kalendar ‘Tahun Antarabangsa Astronomi Sepanyol’ bagi tahun 2009 kerana jasanya sebagai perintis bidang perangkaan kelandar. Hasil kerjanya yang paling dikenali ialah ‘Correcciones de Fátima’.

Pada 1008, dunia sains kehilangan wanita hebat ini apabila beliau meninggal dunia di Cordoba, pada usia 58 tahun. Hasil kerjasama terakhir Fatima dan bapanya yang iaitu ‘Tratado del Astrolabio’, dipelihara dengan baik dan dapat dilihat di dalam perpustakaan Biara Escorial, berhampiran, Madrid, Sepanyol.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here