Aku Dan Veteran Perang Aussie

0
1631
views

Angin musim sejuk menerpa pipiku sewaktu aku menaiki bas di sebuah pondok perhentian menuju ke salah satu kuliah mekanikal di salah sebuah universiti tempatan. Inilah rutin harianku. Sedang aku hendak duduk di dalam bas yang dipenuhi dengan warga kota Sydney, terdapat seorang wanita yang berpakaian kot hitam duduk di barisan hadapan bas. Di dadanya terselit empat atau lima pingat yang rata-rata merupakan pingat kesetiaan dan pingat-pingat misi-misi kemanusiaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Di kolar kot beliau, terserlah sebuah pin yang menandakan beliau telah berkhidmat dengan Tentera Darat Australia dalam Kor Perubatan. Beliau adalah seorang veteran.

Wajahnya yang berkedut namun serius membuatkan aku berpendapat bahawa umurnya berada dalam lingkungan lima puluhan. Di tangannya terdapat sejambak bunga ros putih yang masih segar diikat dengan reben biru. Beliau hanya termenung ke arah luar bas dengan wajah seakan-akan menahan kesedihan. Sepanjang perjalanan, aku hanya memerhati keadaan bas yang dipenuhi oleh golongan muda dan warga tua.

Sewaktu bas berhenti di salah satu stesen perhentian, sepasang suami isteri dalam lingkungan empat puluhan menghampiri wanita tersebut. Dengan badan yang tegak, si suami memberi tabik hormat dan berkata, “Thank you, ma’am, for your services for our country”, atau “Terima kasih, puan, atas khidmat puan kepada negara kami”, diikuti oleh isterinya yang memeluk beliau. Kanak-kanak sekolah rendah yang baru menaiki bas pula masing-masing memberi bertukar senyuman dengan wanita tersebut. Ekspresi wanita tersebut bertukar menjadi girang dan senyuman yang jelas kelihatan. Atmosfera di dalam bas tersebut dipenuhi dengan rasa sebak dan bangga.

Namun, di sebalik rasa patriotik, ada di kalangan penumpang-penumpang bas yang mula berbincang sesama mereka betapa sia-sianya usaha tentera Australia yang berkhidmat di bawah panji-panji PBB. Mereka mula berbincang tentang mengapa Australia perlu ada angkatan tentera dan adakah rasional tentera mereka melalukan perolehan aset-aset sedangkan infrastruktur dan sistem pengangkutan mereka masih banyak yang perlu diperbetulkan.

Mengetuai perbincangan ini merupakan seorang pemuda yang aku rasa berada dalam lingkungan dua puluhan. Rakan-rakanya turut sama memberi pandangan mereka yang bagi aku adalah bersifat negatif dan tidak rasional. Bagi mereka, selagi negara mereka tidak berperang atau mengalami apa-apa konflik, kewujudan tentera dan aset-aset mereka bersifat membuang duit. Tidak menguntungkan. Golongan-golongan muda di sini telah lupakan jasa-jasa veteran mereka. Walaupun suara-suara mereka kecil, namun mereka adalah generasi yang bakal menerajui negara mereka.

Sepanjang perjalanan yang agak bosan ini, aku hanya memikirkan hala tuju negara kita dan nasib veteran-veteran yang berkhidmat semasa zaman darurat hingga ke zaman penglibatan polis di misi pengaman di Timor Leste dan terbaru, Operasi Daulat. Sebak. Keringat, darah dan tangisan mereka tidak akan dapat diselami oleh mana-mana individu yang tidak pernah menyarung loreng keramat. Aku terkenang tahun 2013, tahun di mana kedaulatan negara diuji. Negara kita disatukan dengan satu suara yang teguh dan hanya mahukan kemenangan bagi tentera dan polis kita. Aku tidak akan lupa perbualan-perbualan rakyat yang pada waktu itu dipenuhi dengan rasa cinta dan patriotisme yang tinggi.

Adakah apabila kita mengecapi status negara maju, kita akan melupakan jasa mereka yang telah berjuang demi kemerdekaan dan mereka yang menjaga kedaulatan negara? Kemajuan yang pesat menyebabkan masyarakat tidak menyelami apa itu erti sebenar kemerdekaan. Tidak cukup dengan itu, selagi tiada konflik atau apa-apa peperangan yang nyata, masyarakat akan terus mengatakan bahawa aset-aset ketenteraan adalah tidak relevan dan membazir. Mereka tidak tahu atau bersikap tidak ambil peduli akan betapa mahalnya harga sebuah kemerdekaan itu. Betapa mahalnya harga yang dibayar oleh generasi pejuang terdahulu demi sebuah bendara yang berkibar setiap 31 Ogos. Bagi aku, Jalur Gemilang merupakan tanda kemerdekaan kita. Suara-suara sumbing seperti, “Tapi itu hanya bendera, kain berwarna sahaja”, kerapku dengar dari mulut masyarakat. Mereka tidak tahu nikmat mengibarkan bendera. Kebebasan untuk menaikkan bendera dan menyanyikan lagu kebangsaan tanpa sekatan.

Generasi sekarang hanya melihat tarikh keramat 31 Ogos sebagai hari cuti biasa sedangkan hari ini adalah hari permulaan bagi pembentukan negara kita dan simbol penyatuan bagi semua kaum. Aku risau, semangat patriotik yang jika tidak ditanam dari kecil akan menyebabkan generasi akan datang lemah dan lupa tentang sejarah mereka.

Bas yang aku naiki tiba di ANZAC Parade, salah satu jalan yang dinamakan semperna semangat juang Askar Australia dan New Zealand pada Perang Dunia Pertama. Sebelum keluar dari bas, aku sempat bertanya khabar wanita tersebut.

Dengan ekspresi yang sayu, beliau berkata,

“They may have forgotten about me, but I always remember them during my deployment”
atau “Walaupun mereka telah melupakan aku, aku tetap mengingati mereka sewaktu aku berkhidmat”

Sebak.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here