Pangeran Diponegoro, Pahlawan Nasional Indonesia Dan Pejuang Islam Yang Menentang Penjajahan Belanda Di Tanah Jawa

0
1133
views
Tugu Pangeran Diponegoro

Pangeran Diponegoro merupakan antara tokoh pahlawan Islam di Nusantara dalam perjuangan menentang penjajahan Belanda. Pangeran Diponegoro dilahirkan pada tahun 1785 dan merupakan putera tertua Sultan Hamengkubuwono III, Sultan Yogyakarta. Beliau sepatutnya menjadi pewaris takhta Kesultanan Yogyakarta, namun beliau tidak berminat sama sekali untuk menjadi Sultan kerana beliau lebih menyukai kehidupan sebagai rakyat lalu menyerah takhta tersebut kepada adiknya iaitu Sultan Hamengkubuwono IV. Selain itu, beliau juga merupakan putera berdarah orang kebanyakan daripada sebelah ibu (bukan anak gahara). Pangeran Diponegoro dikatakan amat serius dalam mempelajari ilmu agama Islam tidaklah seperti golongan bangsawan lain yang gemar berhibur dan belajar sambil lewa dalam menuntut ilmu agama Islam. Disamping itu, beliau juga amat gemar bertapa di kawasan – kawasan terpencil bagi meningkatkan kerohanian. Oleh itu, beliau dikatakan memiliki ilmu – ilmu kebatinan dan mistik yang luar biasa. Tingkah laku Pangeran Diponegoro amat berbeza sekali dengan putera -putera raja lain kerana beliau membesar di luar istana dan hidup seperti orang kebanyakan.

Potret Pangeran Diponegoro

Peperangan yang dicetuskan oleh Pangeran Diponegoro banyak merugikan kepada pihak Belanda dan menelankan kos yang begitu besar sekali. Lagipun pada ketika itu Belanda telah ditakluki oleh Perancis yang dibawah pimpin Maharaja Napoleon pada tahun 1811 baharu sahaja merdeka dan pulih daripada Perang Napoleon menyebabkan Belanda tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan terpaksa menyerah beberapa koloni di Asia Tenggara kepada British. Lagipun, V.O.C juga telah dibubarkan kerana telah jatuh muflis dan terpaksa menyerah beberapa buah koloni V.O.C kepada Belanda. Oleh itu, Belanda dibawah pimpinan Raja Baru Belanda, William I of Orange dari dinasti Orange – Nassau. Sebelum, Belanda merupakan negeri Republik yang diperintah oleh Stadtholder (pemerintah tertinggi Republik Belanda).

(Trivia: Dinasti Orange – Nassau pada asalnya pemerintah yang mendominasi pemerintahan Republik Belanda dan apabila Republik Belanda jatuh akibat Revolusi di Belanda yang terpengaruh dengan Revolusi Perancis dan tertubuhnya Republik Batavia di Belanda dan akhirnya William V terpaksa melarikan diri ke London).

Apabila Belanda baru sahaja pulih daripada Perang Napoleon di Eropah, Belanda cuba untuk menguasai Tanah Jawa kembali bagi mengaut keuntungan dan memulih kembali keadaan ekonomi di Belanda. Ketibaan Belanda di Tanah Jawa pada ketika itu bukan sahaja mendapat tentangan daripada rakyat namun juga beberapa golongan bangsawan termasuklah Pangeran Diponegoro sendiri. Jadi, Pangeran Diponegoro telah menyeru kepada seluruh rakyat di Tanah Jawa untuk menyertai jihad menentang penjajah Belanda yang selama ini telah merampas hak kekayaan Tanah Jawa dan selama ini Belanda sering memeras ugut rakyat Jawa.

Seruan jihad Pangeran Diponegoro telah mendapat sambutan golongan rakyat dan beberapa golongan bangsawan. Pemimpin agama seperti Kiyai Maja dan juga para pemuda seperti Sentot Ali Basyah Prawirodirdjo turut menyertai seruan jihad tersebut. Oleh itu, dengan penyertaan pemimpin agama telah merancak lagi usaha Pangeran Diponegoro untuk mengusir Belanda daripada Tanah Jawa.

Perang tersebut dinamakan Perang Diponegoro dan berlangsung di Yogyakarta dan sekitarnya. Oleh kerana Yogyakarta tidak jauh daripada pusat pemerintahan koloni Belanda di Asia Tenggara iaitu Batavia (kini Jakarta), pihak Belanda tidak mengambil mudah dengan pemberontakan tersebut yang diketuai oleh Pangeran Diponegoro. Selain itu, Pangeran Diponegoro juga bercita – cita untuk menegak pemerintahan Islam di Tanah Jawa dan diperintah oleh satu Sultan atau Khalifah. Pada masa yang sama juga, di Sumatera berlakunya Perang Padri di negeri Pagaruyung. Namun, Belanda berpendapat Perang Diponegoro lebih berbahaya daripada Perang Padri. Hanya selesai Perang Diponegoro, barulah Belanda mengerah askar mereka memerangi kaum Padri.

Pada tahun 1825, Pangeran Diponegoro bersama dengan pasukan beliau berjaya merampas beberapa kubu pertahanan milik Belanda. Kejayaan Pangeran Diponegoro adalah disebabkan sokongan rakyat yang luar biasa kepada beliau dan ini menyebabkan pihak Belanda berasa amat bimbang sekali. Selain itu, Pangeran Diponegoro juga dikatakan memiliki kepintaran dalam mengatur strategi peperangan disebabkan sejak kecil lagi beliau amat gemar belajar strategi peperangan melalui buku – buku yang mencatatkan kemenangan Empayar Turki Uthmaniyyah dan lain – lain. Selain itu, Pangeran Diponegoro amat mahir dalam menunggang kuda dan memanah.
Oleh kerana merasa amat gerun dengan Pangeran Diponegoro, pihak Belanda telah memujuk Kesunanan Surakarta untuk berkerjasama dengan mereka yang akhirnya berlakunya Perang Saudara di Tanah Jawa. Begitulah cara Belanda untuk menjalankan dasar pecah belah dan perintah. Walaubagaimanapun, Pangeran Diponegora dan pasukannya tidak pernah menyerah kalah dan sentiasa memenangi dalam setiap peperangan.

Jadi, pihak penjajah Belanda telah memasang perangkap untuk memerangkap Pangeran Diponegoro dengan berlindung diatas perjanjian perdamaian. Oleh kerana Pangeran Diponegoro yang sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam dimana apabila pihak musuh mengajak berdamai, maka hendaklah menghulur salam perdamaian kepada pihak musuh. Pada 28 March 1830, Pangeran Diponegoro telah setuju berunding dengan pihak Belanda yang diwakili oleh Jeneral de Knock di pejabat Residen Belanda di Magelang. Perjanjian yang ditawar oleh Pangeran Diponegoro iaitu mendirikan sebuah negara Islam yang merdeka dan berasaskan hukum hakam Islam dan Pangeran Diponegoro sendiri menjadi Sultan atau Khalifah di Tanah Jawa amat sukar ditunai lalu Jeneral de Knock lalu merencana rancangan licik dengan mengepung beliau lalu ditangkap oleh pasukan bersenjata. Sementara itu, Kiyai Maja dan Sentot Ali Basyah juga ditangkap pada masa yang sama dan Kiyai Maja dihukum buang negeri ke Sulawesi Utara manakala Kiyai Maja dihukum buang negeri ke Bengkulu.

Pangeran Diponegoro dibuang negeri

Pangeran Diponegoro dijatuhkan hukuman buang negeri ke Makassar dan disana beliau menjalankan kehidupan seperti biasa dan akhirnya meninggal dunia di Makassar pada tahun 1855. Sesungguhnya Perang Diponegoro telah merugikan dan menelan perbelanjaan yang amat besar kepada Belanda sebanyak dua juta gulden. Bagi menghargai jasa Pangeran Diponegoro, beliau diiktiraf sebagai Pahlawan Nasional Republik Indonesia dan makam beliau di Makassar dijadikan sebagai monument nasional Republik Indonesia.

Rujukan:

1. Jannah, M. (2014). POLITIK HINDIA BELANDA TERHADAP UMAT ISLAM DI INDONESIA (Doctoral dissertation, UIN Sunan Ampel).

2. PRODI, F., USHULU, S., DDIN, D., NEGER, M., AGAMA, T., PEMIKI, N., … & ISLA, I. JALAN M.

3. Diponegoro and the Java War (1825-1830), http://home.iae.nl/users/arcengel/NedIndie/diponegoroengels.htm

4. Ajisaka, A. (2008). Mengenal Pahlawan Indonesia (ed. Revisi). Kawan Pustaka.

5. Wiharyanto, A. K. PERLAWANAN INDONESIA TERHADAP BELANDA PADA ABAD XIX.

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here