Peranan Jeneral C. William Westmoreland Dalam Perang Vietnam

0
1507
views
Gambar Jeneral C. William Westmoreland (kiri) bersama Lyndon B. Johnson (kanan).

“Militarily, we succeeded in Vietnam. We won every engagement we were involved in out there.”

Kata-kata ini diungkapkan oleh Jeneral C. William Westmoreland dalam Washington Post pada tahun 1986. Walaupun ada benar kata-kata beliau jika dilihat daripada aspek ketenteraan (militarily), bahawa mereka, Amerika Syarikat telah memenangi perang Vietnam (atau IndoChina Kedua), namun General Westmoreland gagal memahami maksud tersurat frasa yang sering kali dilaungkan sewaktu peperangan, iaitu “hati dan minda” (hearts and minds). Vietnam merupakan bentuk peperangan politik yang gagal difahami oleh General Westmoreland.

Gambar Jeneral William Westmoreland di Vietnam. Gambar diambil oleh Robert C. Lafoon, 1967. General William Westmoreland in Vietnam by Robert C. Lafoon, 1967

Siapakah Jeneral Westmoreland, tokoh yang dibanggakan di Amerika Syarikat? Beliau merupakan seorang komander tentera Amerika Syarikat di Selatan Vietnam dari tahun 1964 ke 1968. Beliau dikatakan sebagai anggota tentera yang terbaik mewakili tentera Amerika Syarikat pada ketika itu, dengan rekod cemerlang mengetuai bahagian infantri ketika berusia 31 tahun, anggota pasukan meriam yang menjadi askar payung terjun, Jeneral Mejar tentera yang termuda di usia 42 tahun, dan kejayaan-kejayaan bukan tradisional lain seperti keupayaan menerbangkan helikopter dan pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang pentadbiran di Harvard Business School. Rekod ketenteraan beliau dalam Perang Dunia Kedua dan Perang Korea membuktikan keberaniannya. Malah penampilan beliau secara fizikalnya meningkatkan kredibiliti dan membangkitkan rasa hormat orang lain terhadapnya.

Kaedah peperangan beliau mudah saja: bawa peperangan ke musuh, dan bunuh musuh dengan pantas sebelum mereka dapat digantikan. Dan di mana yang sesuai, serang dengan kuat.

Beliau sering memetik kata-kata oleh Duke of Wellington, seorang pakar ketenteraan dan politik di abad ke-19 Britain, “A great country cannot wage a little war.”

Namun walaupun dengan kejayaan dan sumbangan beliau, kelemahan beliaulah yang menyumbang kepada kegagalan tentera Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam. Berdasarkan pengalaman mereka yang pernah bekerja dengan General Westmoreland, ataupun yang rapat dengan beliau, semuanya memberikan gambaran negatif tentang beliau. Antaranya, beliau dikatakan seorang yang “dense, arrogant, vain, humourless and too honest.” Sikapnya yang terlalu bangga membuatkan beliau enggan mengundur diri daripada serangan balas ketenteraan, dan beliau juga dikatakan berat hati untuk menukar strategi ketenteraan sepanjang peperangan berlaku, yang menyumbang kepada kegagalan.

Jeneral Westmoreland telah diberikan kebebasan sepenuhnya bagi menentukan kaedah untuk memenangi peperangan di Selatan Vietnam, dan beliau memilih untuk melaksanakan bentuk peperangan pelupuhan (war of attrition), menggunakan taktik search and body destroy, di mana merit dalam bentuk pengiraan mangsa yang terkorban. Beliau beranggapan dengan membunuh seramai musuh yang boleh, mereka akan melumpuhkan semangat musuh untuk melawan dan terus berperang. Beliau menidakkan dua aspek penting dalam peperangan ketika itu, iaitu menambah baik aspek ketenteraan Vietnam Selatan dan pendamaian.

Dengan pemfokusan terhadap penggunaan senjata api semata-mata, beliau tidak mempedulikan aspek persekitaran di mana politik memainkan peranan yang penting. Beliau telah meminta dan menerima kehadiran tentera Amerika Syarikat dalam jumlah yang banyak, dan dari situ berupaya mengakibatkan korban perang yang besar jumlahnya terhadap musuh. Namun, ia tidak berupaya mencapai matlamat yang disasarkan. Pihak musuh tidak hilang semangat, malah mereka terus kekal berperang dan melawan. Dan apa yang beliau lakukan?

Terus menghantar tenteranya untuk berperang. Beliau juga menggunakan jumlah angka korban perang sebagai tanda kemajuan dan kemenangan sedangkan ia tidak memberi makna. Stanley Karnow, seorang wartawan dan sejarawan Vietnam ada mengatakan: “Westmoreland did not understand – that there was not a breaking point (to break the enemy’s spirit using massive airpower and death tolls), they were breaking ours (U.S. Army).”

Menurut sekolah pemikiran tindakan cegah pemberontakan (counterinsurgency), iaitu salah satu sekolah pemikiran yang dominan berkenaan strategi peperangan Amerika Syarikat di Vietnam, Jeneral Westmoreland dan tentera Amerika Syarikat gagal kerana mereka tidak mengadaptasi prinsip counterinsurgency sewaktu peperangan. Krepinevich dalam buku beliau, The Army and Vietnam (1986), dan para sarjana lain dalam sekolah pemikiran yang sama juga mengatakan bahawa Amerika Syarikat telah mengaplikasikan konsep peperangan yang salah dalam melawan musuh mereka.

Namun begitu, sekolah pemikiran revisionis pula mempertahankan tindakan General Westmoreland di medan peperangan. Penjelasan utama yang dibentangkan oleh pihak pemikir revisionis adalah mengambil kira situasi atau realiti sebenar yang berlaku sewaktu peperangan di Vietnam Selatan – ancaman yang ditimbulkan oleh pihak Vietnam Utara dan unit tentera Vietcong – memberikan General Westmoreland tiada alternatif melainkan fokus terhadap penggunaan kaedah peperangan konvensional. Sejarawan revisionis membahaskan bahawa pihak Amerika Syarikat tidak dapat berperang menggunakan prinsip counterinsurgency kerana ancaman yang dihadapi di Vietnam Selatan amat berbeza dan kompleks berbanding yang dikenakan oleh pihak pemberontak bersenjata di kawasan perkampungan.

Seperkara yang juga perlu diambil kira, kaedah peperangan tentera Amerika Syarikat pada ketika itu adalah mengikut pengalaman-pengalaman lepas mereka, seperti mana tentera Amerika Syarikat pada tahun 1960-an telah dilatih, disusun, diajar dan dididik untuk melawan. Ia merupakan satu-satunya bentuk peperangan yang pernah dihadapi oleh mana-mana pegawai kanan tentera Amerika Syarikat pada ketika itu. Justeru itu, tidak hairanlah jika kaedah peperangan tentera Amerika Syarikat di Vietnam bersifat konvensional.

Dengan mengamati dua hujah ringkas ini dan mengambil kira keperibadian dan pengalaman Jeneral Westmoreland, secara umumnya ramai bersetuju dengan sekolah pemikiran counterinsurgency tentang bagaimana pihak Amerika Syarikat sepatutnya mengendalikan peperangan di Vietnam. Walaupun selepas 41 tahun kejatuhan Saigon (sekarang dikenali sebagai Ho Chi Minh), sehingga hari ini, sejarah peperangan Vietnam masih menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pihak tentera Amerika Syarikat dan perbincangan politik. Malah terdapat pemikir yang lebih suka menimbulkan persoalan ‘siapa yang salah’ (who was to blame) yang sebenarnya tidak membantu dalam menambahbaik strategi peperangan pihak tentera Amerika Syarikat dari segi perancangan dan pembuatan keputusan. Ada juga pihak yang berpendapat bahawa walau apa pun keputusan yang dibuat sewaktu pertempuran, perang ini tidak akan dapat dimenangi. Kolonel Gian Gentile ada mengulas, “The United States lost the war in Vietnam. And we lost it for reasons having less to do with tactics than with the will, perseverance, cohesion, indigenous support, and sheer determination of the other side, coupled with the absence of any of those things on the American side.”

RUJUKAN:

The Army and Vietnam oleh Andrew Krepinevich, Jr. (1989).

Who Lost Vietnam?: Soldiers, Civilians, and US Military Strategy dalam Jurnal International Security, tulisan McAllister, James. (2010-2011).

US Army Strategy in the Vietnam War, dalam Jurnal International Security, tulisan Spector, Ronald H. (1987).

“The War Over the Vietnam War,” The Wall Street Journal, tulisan Boot, Max. (2011)

“General Westmoreland dies, led US in Vietnam,” The Boston Globe, tulisan Feeny, Mark. (2005)

“General William Westmoreland Reports on the Vietnam War,” WNYC, tulisan Quarles, Philip. (2016)

“The General Who Lost Vietnam,” Time, tulisan Thompson, Mark. (2011)

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here