Ghazan Khan: Raja Mongol Beragama Islam

0
1402
views
Gambar menunjukkan Ghazan sebagai kanak-kanak yang didukung oleh Arghun

Di dalam artikelku sebelum ini yang bertajuk Khublai Khan, Singosari dan Marco Polo, ada diceritakan tentang rombongan Marco Polo ke Ilkhanate yang turut serta dalam angkatan menyerang Kertanegara di Singosari.

Rombongan Marco Polo ini membawa seorang puteri, anak gadis Khublai Khan yang bernama Kököchin untuk dinikahi oleh Arghun yang pada ketika itu merupakan pemerintah tertinggi Mongol Ilkhanate.

Namun, Arghun telah mangkat sebelum Kököchin tiba di Parsi dan beliau kemudiannya bernikah dengan anak Arghun iaitu Ghazan yang baru menaiki takhta.

Pada ketika ini, penguasa Mongol kebanyakannya beragama Buddha atau Kristian seperti yang dipraktik di China.

Setelah kematian Arghun, Baydu telah menaiki takhta namun hanyalah seorang raja boneka. Ghazan bercita-cita hendak merampas takhta yang sepatutnya menjadi hak baginda namun memerlukan sokongan ketenteraan yang kuat.

Baginda mendapatkan bantuan daripada Nawruz iaitu emir atau penguasa Mongol di Wilayah Oirat atau kini lebih dikenali sebagai Kalmykia di Rusia. Oirat merupakan Wilayah Ilkhanate yang paling Barat dan terletak di Laut Caspian. Ghazan berjaya menumpaskan Baydu dan naik takhta pada tahun 1295 Masihi.

Nawruzlah orang yang berjaya meyakinkan Ghazan untuk memeluk Islam yang kemudiannya menggunakan nama Islam Mahmud Ghazan.

Dengan islamnya Ghazan, maka, berakhirlah pengaruh Kristian dan Buddha di Parsi, Iraq dan juga Asia Tengah. Penganut agama Buddha yang tidak menganut agama Islam dibenarkan pulang ke Tibet.

Namun, pengislaman Ghazan tidak menghentikan peperangan di antara Ilkhanate dan Kerajaan Islam Mamluk di Mesir. Malah, telah berlaku peperangan yang hebat di Syria di antara kedua kuasa ini yang akhirnya dimenangi oleh Mamluk.

Ghazan sedang mengaji Al-Quran

Mahmud Ghazan dianggap sebagai raja atau khan Ilkhanate yang terbaik kerana di zaman beliau kebebasan beragama amat telus dan berlakunya reformasi politik dan ekonomi yang menjana kemakmuran Kerajaan Mongol Ilkhanate di Parsi, Iraq dan juga Asia Tengah.

Baginda dikatakakan seorang yang alim dan amat mahir dalam pengurusan ekonomi. Di zamannya, cukai telah dikurangkan, sistem yang menjana pendapatan negara diolah kembali malah beliau juga memperkenalkan sistem penghantaran pos.

Daripada segi keselamatan, Mahmud Ghazan telah membanteras ancaman perompak di sepanjang laluan sutera yang bermaharajalela sejak dari zaman Genghis Khan lagi.

Tabriz yang dijadikan ibukota Mahmud Ghazan dipenuhi dan dihiasi oleh binaan megah malah masjid-masjid banyak dibina di seluruh Wilayah Ilkhanate, begitu juga dengan pembinaan beberapa buah universiti.

Sistem pemberian biasiswa seperti yang diamalkan oleh Baitul Mal masa kini diwujudkan untuk menggalakkan proses pembelajaran. Jalan, sekolah, hospital, malah balai cerap untuk kegunaan ahli astronomi juga dibina.

Sistem pengurusan ladang diperkemaskan untuk menambah hasil tuaian malah baginda memperkenalkan banyak benih tanaman yang berasal dari Asia Timur untuk ditanam di Asia Tengah. Tanah-tanah terbiar juga banyak ditebusguna untuk dijadikan ladang pertanian di zaman pemerintahan baginda.

Sistem matawang baru diperkenalkan, menggalakkan lagi perdagangan Ilkhanate dengan kuasa luar. Kemakmuran ekonomi dan perdagangan Kerajaan Islam Ilkhanate pada masa itu sebenarnya banyak membantu penyebaran Islam ke Wilayah Nusantara.

Kebolehan Mahmud Ghazan bertutur dalam banyak bahasa (Mongol, Cina, Arab dan Latin) juga membantu baginda memahami tamadun asing. Bahasa Parsi menjadi lingua franca di Asia Tengah dan Mahmud Ghazan sesungguhnya telah mengembalikan sinar kegemilangan Tamadun Islam sepertimana di zaman Khalifah Harun Al Rashid dan Al Ma’mun.

Mahmud Ghazan mangkat pada 10 Mei 1304 di Tabriz dan digantikan oleh sepupunya Oljeitu sebagai Khan yang baru.

Begitulah serba ringkas cerita mengenai raja Ilkhanate ketujuh, raja yang paling hebat di antara raja-raja.

Comments

comments

Previous articleTai – Thai : Sama Tapi Berbeza
Next articleApakah Manfaat Laut Dari Segi Kesihatan?
Seorang pengembara warisan yang fokus kepada tinggalan sejarah dan budaya setempat. Gemar membaca dan menulis itu cara beliau mengekspresi diri dan dunia marcapada
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here