Tai – Thai : Sama Tapi Berbeza

0
1346
views
Raja Ramkhamhaeng

Lama dahulu di waktu silam, penguasaan raja-raja dari Alam Melayu pernah mencakupi sehingga ke kawasan Segenting Kra, namun kini kawasan tersebut telah dikuasai sepenuhnya oleh Thailand dan Myanmar. Kekuasaan Kedah Tua contohnya dinyatakan pernah menganjur dari Phuket (Bukit) di Thailand hingga ke Tanah Sari (Tannesarem), di Myanmar manakala Patani menguasai sebahagian besar kawasan selatan Thailand malah Ligor (Nakhorn Sri Tammarat) pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Alam Melayu. Perluasaan kuasa pemerintah bangsa Thai yang berterusan melemahkan pertahanan kerajaan-kerajaan Melayu kawasan utara Semenanjung hingga ia akhirnya ditakluk lalu diasimilasikan menjadi sebahagian daripada bangsa Thai dengan penduduk Melayu Semenanjung menggelar mereka sebagai Siam.

Siam dan Tai

Artikel Adakah Tai itu Siam yang disiarkan beberapa hari lalu telah membincangkan secara umum tentang terma Siam dan menjelaskan siapa bangsa Tai, mungkin ramai keliru apa yang kami sampai berkenaan dengan Tai sama ertinya dengan istilah Thai. Harus kita fahami bahawa Tai dan Thai itu ada perbezaannya meskipun begitu hakikatnya mereka adalah suku kaum dari bangsa yang sama iaitu bangsa Tai.

Relatifnya bangsa Tai ini mempunyai pemerintahan mereka sendiri di kawasan Yunnan dengan kerajaan mereka dikenali sebagai Nanchao, diasaskan pada tahun 650 Masihi ia awalnya menjadi sekutu kepada kerajaan China dalam mempertahankan pencerobohan dari barat iaitu dari bangsa Tibet. Peneliti daripada Federal Research Division Library of Congress dalam tahun 1987 melalui buku Thailand: A Country Study menjelaskan bahawa wujudnya Nanchao pada bahagian selatan China telah menghalang dominasi China ke atas bangsa dan suku kaum lain di kawasan daratan Asia Tenggara, selain itu ia turut menyokong pengembangan dan perluasan kuasa bangsa Tai ke bahagian Asia Tenggara dan mereka telah membina penempatan sejauh Assam di India, mereka juga menjadi sebahagian penduduk Burma dan dikenali sebagai Shan dan Lao di lembah Mekong. Bangsa Tai ini juga telah mewujudkan beberapa puak di bahagian Tonkin dan Annam (Utara Vietnam) seperti:

1. Tai Dam (Tai Hitam)
2. Tai Deng (Tai Merah)
3. Tai Khao (Tai Putih)
4. Nung

Sukhothai

Penempatan bangsa Tai di bahagian daratan Asia Tenggara sebenarnya adalah berhampiran dengan kawasan yang dikuasai oleh Empayar Khmer hinggalah tahun 1238 apabila bangsa Tai berjaya menakluk Angkor, ibu negeri Kemboja lalu mengasaskan Sukhothai kerajaan bagi bangsa Tai yang merdeka. Pengasas kerajaan ini turut menggelarkan diri mereka sebagai Thai, bermaksud bebas atau merdeka bagi mengasingkan diri mereka daripada suku kaum Tai lain yang masih berada dibawah penguasaan kerajaan yang lain. Ramakhamhaeng 1277 – 1317 merupakan Raja pertama bagi kerjaan ini, beliau digelar sebagai Rama yang Agung berikutan perluasan kuasa Sukhothai sewaktu pemerintahannya. Pada masa pemerintahannya, negara baru tersebut menerima kebanyakkan bangsa Tai yang behijrah atau melarikan diri daripada Nanchao setelah ia ditakluk oleh Mongol dibawah perintah Kublai Khan dalam tahun 1453. Pelbagai lapisan masyarakat Nanchao yang melarikan diri termasuklah pahlawan dan perajurit dari bangsa Tai, mereka kemudiannya bergabung dengan Thai dibawah perintah Ramakhamhaeang menguatkan lagi pasukan tentera Sukhothai bagi melawan bangsa Khmer dari Kemboja

Selain Sukhothai, muncul sebuah lagi kuasa bangsa Tai di kawasan dataran Asia Tenggara apabila mereka bangkit pada tahun 1296 dengan merampas kuasa di Haripunjaya, kerajaan bagi bangsa Mon lalu mereka menubuhkan kerajaan baru bagi bangsa Tai dan menamakan kerajaan tersebut sebagai Lan Na dengan Chieng Mai sebagai ibu negeri.

Ramakhamhaeng telah meletakkan Sukhothai di tahap yang tinggi dengan kuasa pemerintahan yang luas malah dinyatakan bahawa Sukhothai merupakan pusat pengembanggan kebudayaan masyarakat Thai, bagaimanapun penggantinya gagal mengekalkan penguasaan kerajaan ini hingga tahun 1378 ia telah diserap dalam kerajaan bangsa Thai seterusnya iaitu Ayutthaya.

Kesimpulan

Artikel ini menghuraikan tentang Tai dan Thai, dua istilah ini kelihatan hampir serupa dan bunyi sebutannya juga hampir sama namun ia sebenarnya berbeza dari segi maksud. Tai pada asasnya adalah satu bangsa yang besar dengan asas mereka di Yunnan, mereka kemudiannya terus berkembang jauh hingga ke utara India lantas mewujudkan suku kaum yang baru seperti Shan di Burma dan Lao di kawasan lembah Mekong. Thai pula adalah sebahagian dariapda bangsa Tai tetapi mereka mengisytiharkan sebagai bangsa yang merdeka selepas berjaya menakluk Kota Angkor pada 1238 lalu mengasaskan kerajaan mereka yang tersendiri iaitu Sukhothai.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here