Fan-Shih Man: Pengasas Empayar Pertama Rumpun Melayu

0
1734
views

Funan selalu didebatkan akan status etnik yang membinanya. Sejarawan sejak zaman-berzaman masih belum lagi mendapatkan kata putus tentang siapakah pembina kerajaan agung di Asia Tenggara ini. Namun, kalau ditanyakan kepada kami di The Patriots, kami senada dengan sejarawan seperti D.G.E Hall bahawa Funan ialah sebuah kerajaan bangsa Melayu. Kami juga senada dengan kebanyakan cendekiawan tempatan seperti Ahmad Jelani Halimi dan Shaharir Mohd Zain bahawa Funan ialah sebuah kerajaan rumpun Melayu.

Seperti mana yang diketahui, rakan-rakan admin seperti Tuan Merbok II, Nizam GTZ, Srikandi dan RAD telah membahaskan tentang empayar Funan ini jauh lebih terperinci dan baik daripada saya. Bahkan mereka telah datang dengan hipotesis-hipotesis dan teori mereka tersendiri yang mengupas asal-usul sebuah Empayar Melayu Srivijaya dengan Funan dan Pan-Pan.

Saya di sini hanya mahu mengulas secebis sejarah Funan yang agung itu. Sejarah tentang seorang raja agung yang kisahnya harus dikagumi oleh kita anak-anak Melayu. Mungkin kisahnya adalah antara artikel mengenai tokoh paling pendek yang pernah saya tuliskan, tetapi kehebatannya harus diambil sebagai pendoman kita anak bangsa. Secara rasminya, tiada empayar yang dicatatkan dalam sejarah yang dibina oleh orang Melayu sebelum zaman baginda.

Baik… siapakah tokoh yang mahu diperkatakan itu. Fan Shih-Man? Sekejap.. kenapa namanya berbunyi cina? Bagaimana The Patriots boleh sesenang itu mendakwa bahawa Fan Shih-Man ialah seorang Melayu? Sekejap.. jangan terlalu cepat melatah. Perlu saya ingatkan bahawa Fan-Shih Man itu ialah nama yang dipanggil oleh orang cina kepada baginda.

Raja-raja Melayu Melaka sendiri mempunyai nama Cina dalam rekod sejarah Dinasti Ming, kenapa China tidak berbuat perkara yang sama kepada Fan Shih-Man? Oh ya nak beritahu bahawa nama Sanskrit Fan Shih-Man menurut George Coedes ialah Sri Rama. Nama tempatan Fan Shih-Man tidaklah diketahui. Jadi seperti mana para sejarawan menggunakan nama Fan Shih-Man merujuk kepada tokoh ini, begitu juga saya.

Tetapi yang paling diketahui tentang Fan Shih-Man ini ialah baginda kemungkinan besar, tidak keterlaluan saya katakan, boleh dinobatkan sebagai raja teragung Empayar Funan sebab wilayah Funan terluas ialah dibawah pemerintahannya. Boleh dikatakan juga bahawa empayar pertama di Asia Tenggara dan empayar pertama dalam sejarah bangsa Melayu adalah dibina oleh beliau Fan Shih-Man. Era pemerintahan beliau ialah 205-225 Masihi dan bayangkan seawal abad ke-3 Masihi pun orang Melayu sudah membina empayar yang besar!

Jadi, mari bersama saya mengembara menyelami kehebatan raja agung orang Melayu ini?

Baginda bukanlah dari keturunan raja yang memindahkan kota pemerintahan Funan jauh ke pendalaman Funan, berhampiran dengan pertembungan Sungai Mekong dan anak tasik Ton Le Sap. Baginda bukanlah dari keturunan Raja Hun Pan-huang yang membina kota agung Funan bernama Wijayapura yang dicatatkan dalam catatan China sebagai sebuah kota besar yang dibarisi dek benteng dan tembok yang diperbuat daripada batu-bata. Fan Shih-Man ialah seorang jeneral perang yang berkhidmat untuk Funan.

Tetapi kita tinggalkan dulu bab raja-raja awal Funan itu, kita kembali bicara tentang Fan-Shih Man yang dikatakan bagaimana beliau boleh ditabalkan menjadi sebagai raja adalah kerana disokong oleh masyarakat Funan ketika itu. Dalam erti kata lain. Kita boleh cakapkan bahawa mungkin juga ini adalah bentuk awal demokrasi dalam tamadun Melayu.

Pendapat lain pula, seperti mana yang disebutkan oleh D.G.E Hall bahawa ketika putera kepada raja Hun P’an-Huang mangkat, putera raja itu telah menyerahkan takhta Funan kepada Fan Shih-Man. Mungkin juga kerana Fan Shih-Man mempunyai dan mengusai kekuatan ketenteraan yang besar dan ini dapat mengelakkan perpecahan apabila kuasa tentera yang kuat itu dapat digunakan untuk menundukkan bangsawan Melayu Funan yang lain dan kesatuan Funan berjaya dikekalkan.

Untuk rekod, perlu juga saya ingatkan bahawa sebelum era perluasan kuasa Funan, Funan asalnya terdiri daripada tujuh buah wilayah dan setiap wilayah ditadbir oleh anak keturunan pengasas kerajaan Funan, seorang wanita bernama Kaudinya sebelum ianya disatukan oleh raja yang saya sebutkan membina Kota Wijayapura. Lalu dari anak-anaknya raja Hun P’an-Huang ini, mereka dihantar oleh Hun P’an-Huang untuk mentadibir setiap wilayah yang berjaya ditakluknya dan setiap anak raja ini digelar sebagai raja kecil.

Tetapi 7 wilayah yang bersatu ini menyaksikan perluasan kuasanya oleh Raja Fan Shih-Man. Seperti mana yang diperkatakan oleh D.G.E Hall bahawa Fan Shih-Man menggunakan kehebatan pelaut Melayu yang berpengalaman yang tinggal di persisiran pantai empayar Funan membantu ekpedisi ketenteraannya menakluk beberapa wilayah di Asia Tenggara. Pelaut-pelaut Melayu yang hebat ini dikatakan telah membekalkan Fan-Shih Man angkjatan laut yang sangat hebat di Asia Tenggara pada waktu itu.

Lagipun Funan dalam sejarah memang terkenal sebagai kuasa maritim yang hebat dan keagungan kapal-kapal mereka dicatatkan oleh sejarawan penuh rasa kekaguman. Ini dapat dilihat melalui catatan daripada R. Braddell yang mengatakan bahawa perahu-perahu orang Funan ini sangat panjang dan mampu membawa sehingga 100 orang dalam suatu masa. Orang Funan pula mampu membina kapal yang dikatakan mampu membawa sehingga 600-700 orang dalam suatu masa dan muatan kargo yang mampu mencapai berat sehingga 1000 tan!

Jadi, saya fikir catatan China ini tidaklah menipu kita seperti berikut. Fan Shih-Man yang memanggil dirinya sebagai Raja Agung atau The Great dilaporkan sedemikian:

“Baginda merupakan seorang yang berani dan berkebolehan dan dengan menggunakan kekuatan telah menundukkan kerajaan-kerajaan yang berdekatan. Semua pemerintah menjadi taklukannya. Baginda kemudian mengambil gelaran Yang Dipertuan Agung Funan. Baginda mengarahkan pembinaan kapal-kapal yang besar dan ianya digunakan untuk merentasi lautan yang luas lalu menyerang lebih 10 buah kerajaan. Baginda telah menakluk dan membina empayarnya yang lebarnya sehingga lima-enam ribu Li. Apabila baginda ingin menakluk sempadan emas, baginda kemudiannya jatuh sakit.” (B.R Chatterji;1964:12)

D.G.E Hall mengulas tentang kempen penaklukan oleh Fan-Shih Man ini dengan mengatakan apa yang cuba dilakukan oleh Fan-Shih Man adalah percubaan menguasasi pusat-pusat perdagangan di Asia Tenggara dari Segenting Kra sehingga ke Burma hari ini. Jadi, dengan kempen penaklukannya, Funan secara tak langsung telah memastikan cengkaman ke atas aliran perdagangan dan mendapat manfaat perdagangan antara barat dan timur yang pasti akan melalui wilayah taklukannya

Kiraan moden hari ini mengatakan luas empayar Melayu pertama yang dibina oleh Fan-Shih Man ini adalah seluas 3200 Kilometer. Malangnya baginda telah jatuh sakit dan mati ketika mahu menakluk Burma atau mungkin juga menurut sejarawan yang dirujuk sebagai sempadan emas itu ialah Sememanjung Tanah Melayu. Wilayah lain yang ditakluk oleh Funan adalah seperti Langkasuka, Sri Dharmaraja, Chaiya dan juga Takuapa.

Dalam catatan lain dalam Sejarah Leang yang dicatatkan oleh B.R Chatteriji ada mengatakan seperti berikut:

“Di sempadan Selatan Funan pada jarak 3000 li, terdapat sebuah kerajaan bernama Touen-Sien. Di situ ada 5 raja dan semuanya ialah taklukan Funan. Di bahagian barat Funan pula, ianya bersempadan dengan India. Para peniaga datang ke Funan dalam jumlah yang terlalu ramai sekali untuk menjalankan perdagangan. Pasar di Funan menjadi tempat pertemuan antara timur dan barat. Setiap hari di Funan, dicatatkan terdapat lebih lima ribu orang. Objek-objek aneh, barang dagangan tinggi nilainya, semuanya boleh dijumpai di Funan.”

Saya tinggalkan di atas, kenyataan tentang Funan. Anda yang membaca tentang kehebatan perdagangan Funan, pastinya kenyataan itu mengingatkan anda kepada sebuah empayar Melayu yang wujud ribuan tahun selepas berdirinya Funan. Kerajaan apa? Melaka. Ya, ada iras-iras dengan Melaka.

Selamat meneroka jati diri anak bangsa yang sudah hilang dalam artikel mengenai Funan ini.

Rujukan:

Ahmad Jelaini Halimi. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publication. (2008)

Gambar:

Gambar ialah gambaran yang saya kira paling dekat dan tepat untuk menggambarkan rupa bentuk askar Funan dalam sejarah berdasarkan catatan sejarah dan ukiran-ukiran di candi sekitar Asia Tenggara tentang gambaran askar Melayu zaman Pra-Islam.

Label gambar ini ialah Pre-Angkorian, merujuk kepada keadaan masyarakat Indo-China ketika sebelum zaman sebuah kerajaan Khmer bernama Angkor memerintah. Jadi saya jadikan gambar ini sebagai gambar hiasan untuk artikel tentang Fan Shih-Man.

Comments

comments

Previous articleJom Kenali Sejarah Dan Perihal Zodiak Dalam Kalendar Cina
Next articleTop 30 Pemimpin Terbaik Sepanjang Zaman Menurut The Patriots
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here