Perang Saudara Russia: Pertembungan Monarki Vs Republik

0
2116
views

Landskap politik semasa awal abad ke-20 memang amat merumitkan. Sebaik sahaja Tsar Nikolai II menurunkan tandatangannya keatas dokumen penurunan takhta, DInasti Romanov bersama Empayar Rusia lantas berkecai.

Dalam titah terakhir Tsar Nikolai II, baginda menamakan adiknya Gertsog Mikhail Aleksandrovich sebagai pewaris; bermakna, takhta diraja sekadar menanti Tsar yang baru. Tetapi Gertsog Mikhail menolak tawaran ini demi semangat demokratik – pendirian yang mengundang padah, kerana penolakan takhta ini telah membuatkan dirinya mangsa pertama pembunuhan keluarga Romanov.

Diantara kejatuhan Tsarisme dan penubuhan republik Soviet, Rusia telah mengalami revolusi demi revolusi, protes demi protes, demonstrasi demi demonstrasi dan mogok demi mogok. Semuanya kerana tekanan-tekanan ekonomi yang mencekik rakyat Rusia ke tahap yang luar biasa. Dalam masa 10 tahun bermula daripada 1895, purata mogok mencecah 1,760 kali.

Ketidakpuasanhati ini berlaku akibat banyak sebab: pekerjaan yang terlalu lama (10-12 jam) dalam masa enam hari seminggu, gaji yang terlalu rendah, dan kepadatan yang terlalu sesak. Dijangka 16 orang berkongsi satu apartmen di Saint Petersburg dan Moscow, dengan tiada bekalan air dan sistem kumbahan yang efektif. Perkara ini menjadi lebih keruh selepas Perang Dunia Pertama dengan tuntutan-tuntutan perkilangan yang semakin naik mendadak.

Pengerahan rakyat menjadi tentera telah merompak pekerja-pekerja berpengetahuan dari bandar-bandar. Menggantikan tempat mereka, pekerja-pekerja tanpa kepakaran secukupnya tidak mampu memberikan pengeluaran yang sama. Kebuluran semakin memuncak, dan akhirnya, daripada rakyat hingga tentera mula menentang kerajaan Tsarisme.

Monarki Rusia mungkin dapat diselamatkan jika Tsar Nikolai II tidak terlalu ego. Baginda telah mengendahkan nasihat-nasihat daripada Parlimen Rusia (Gosduma). November 1916 boleh dikatakan masa yang terakhir buat kerajaan empayar Rusia. Beberapa bulan selepas itu, riwayat Empayar Rusia ditamatkan.

Vladimir Lenin muncul kembali pada April 1917 selepas dihalau dengan bantuan Jerman atas harapan pengaruh Bolshevisme mampu mengeluarkan Rusia daripada Perang Dunia Pertama. Hasrat mereka tercapai. Vladimir Lenin tidak berdiam diri.

Sampai sahaja di Petrograd, beliau mengemukakan thesis-thesis direktif yang merupakan platform kepada komunisme. Thesis-thesis ini berjaya menyuntik aspirasi-aspirasi halus sehingga meledakkan revolusi Julai yang menyaksikan himpunan seramai 520,000 orang dan juga Revolusi Oktober dengan bilangan jauh lebih sedikit namun kejayaan yang lebih memberangsangkan kerana revolusi inilah yang meletakkan Vladimir Lenin di tampuk pentadbiran Rusia.

Revolusi ini telah menoktahkan fasa-fasa revolusi yang dicetuskan sejak Februari. Ia menggantikan kerajaan sementara Rusia dengan perbadanan soviet (majlis), yang diketuai pekerja dan buruh. Pihak monarki dan liberal menyatukan diri mereka dibawah Gerakan Putih menentang Panji Merah Vladimir Lenin dalam percaturan berdarah yang dikenali sebagai Perang Saudara Rusia.

Dalam masa sebulan, 28 bandar penting dimasukkan dalam pengaruh mereka, termasuk Moscow selepas menyaksikan mogok protes seramai 400,000 pekerja.

Dan nampaknya Jerman akan meraih hasil yang disemai. Kuasa kerajaan ditangan, Vladimir Lenin mengerahkan dasar-dasar kenegaraan bahawa penglibatan Rusia dalam Perang Dunia Pertama wajib dihentikan walau apa cara pun. Selepas bersidang di Brest-Litovsk, langkah pertama berjaya dilaksanakan – gencatan senjata, memulakan perbincangan perdamaian yang digelumangi tuntutan-tuntutan melampau daripada Kuasa Tengah.

Ini menyebabkan Vladimir Lenin kaji semula, dan Menteri Luar Negerinya, Leon Trotsky, individu yang amat penting dalam penubuhan komunisme di Rusia menggunakan taktik neutral; tanpa damai, tanpa perang.

Tetapi mereka sedar Rusia tidak mempunyai ketenteraan yang mampu menentang kesatuan dan kehebatan koordinasi dalam angkatan ketenteraan Jerman. Dan Jerman sendiri tahu akan perkara ini. Vladimir Lenin terpaksa bersetuju untuk menyerahkan Finland, Estonia, Latvia, Lithuania, Belarus dan Ukraine kepada Empayar Jerman. Manakala Uthmaniyah pula mendapat Ardahan, Kars dan Batumi yang diambil Rusia semasa perang tahun 1878 dibawah Tsar Aleksandr II.

Keputusan ini mendapat penerimaan yang negatif daripada majoriti wilayah Rusia. Walaupun percaturan Jerman di Ukraine menemui kebuntuan selepas usaha-usaha penghasilan gandum dan arang gagal, ditambah pula dengan kebencian populasi umum kepada tentera Jerman, Vladimir Lenin tidak mampu berbuat apa-apa. Rusia sendiri kucar-kacir.

Perjanjian Brest-Litovsk menunjukkan betapa lemahnya pihak Bolshevik. Cuma perjanjian ini mengurniakan mereka peluang untuk mengstruktur semula Rusia, bermula dengan penubuhan Tentera Merah (Red Army). Tetapi tanpa diduga, perjanjian ini juga telah mengundang campurtangan 12 negara – Amerika Syarikat, British, Perancis, Jepun, dan banyak lagi – dalam peperangan saudara ini.

Jadi, Perang Saudara Rusia boleh juga dikaitkan dengan Perang Dunia Pertama. Kerana pihak campurtangan menubuhakn militia-militia anti-Bolshevik. Gerakan Putih semakin kuat menjadi ancaman terbesar buat pihak Bolshevik. Tentera-tentera mereka yang terurus melebihi 250,000 orang. Mereka berjuang di bahagian-bahagian utama – Timur, Selatan dan Barat Laut – dengan bantuan pihak luar. Berideologikan pro-monarki, jelas terbuktinya kenapa Vladimir Lenin berpendapat keluarga Romanov mesti dibunuh, tidak kira siapa yang betul-betul berdosa.

Kematian putera dan puteri-puteri Nikolai II memanglah zalim. Tetapi berdasarkan keadaan geopolitik Rusia pada ketika itu, kematian Olga, Tatiyana, Mariya, Anastasiya dan Aleksei bukan lagi satu pilihan, tetapi kewajiban. Pihak Bolshevik tidak mampu mempertahankan kedaulatan mereka jika Gerakan Putih diberikan panji yang hidup untuk menyatukan rakyat dibawah seorang raja.

Nampaknya satu lagi peperangan bakal menyusul dalam wilayah Rusia sendiri, selepas Vladimir Lenin berjaya keluarkan Rusia daripada Perang Dunia Pertama (pada harga yang sangat tinggi). Tentera Merah mula menyusup dan menentang pakatan anti-komunisme, Tentera Hitam dipimpin Nestor Makhno, Tentera Hijau dan banyak lagi.

Mudah kata, perang saudara ini merupakan perbalahan yang melibatkan ramai pihak, bukannya dua tiga sahaja.

Untuk menempuhi dugaan yang sungguh berat, Leon Trotsky membawa pembaharuan ketenteraan yang banyak kepada Tentera Merah – memulakan barisan perisikan GRU dan polis rahsia Cheka. Proses perekrutan kemudiannya diutamakan. Cheka berperanan untuk mensifarkan tentangan kepada perekrutan dan komunisme.

Barisan Merah dan Putih memerlukan perekrutan dan bekalan yang banyak demi kejayaan operasi mereka. Sumber yang paling mudah datang daripada pihak luar bandar, tetapi tuntutan gandum dan perekrutan telah benar-benar mencengkam golongan luar bandar kearah kebuluran.

Mereka membalas dengan pembunuhan skuad-skuad penuntut gandum dan pihak-pihak berkuasa yang lain. Kes-kes ini dikembangkan ke tempat-tempat lain. Dalam tahun 1919, terdapat 344 pemberontakan golongan susah.

Angkatan ini kadang-kadang menyengat talian bekalan dan sumber kepada kedua-dua pihak – Bolshevik dan Putih – tetapi gagal bersatu dibawah pegangan yang sama. Dan kesan daripada perang saudara ini memang menggerunkan. Seramai 300,000 orang dijangka terkorban , dan bilangan yang terkorban akibat penyakit pula mencecah 450,000 orang.

Cheka pula melaksanakan pembunuhan seramai 250,000 orang yang ada juga mengandaikan melebihi sejuta “musuh rakyat”. Sebanyak 300,000-500,000 tentera-tentera Cossack daripada populasi tiga juta dibunuh dan dihalau semasa proses anti-Cossack. Dan Barisan Putih pula membunuh seramai 100,000 Yahudi di Ukraine.

Pada penghujung Perang Saudara, Rusia memang sudah tenat dan hancur. Kemarau panjang 1920 dan 1921, termasuk dengan Kebuluran 1921 (membunuh enam juta orang), mengeruhkan lagi keadaan. Penyakit menyerang Rusia seolah-olah serangan pandemik. Tiga juta orang menghidapi typhus. Tujuh juta kanak-kanak berkeliaran di jalanan. Pihak yang berpendidikan dan mempunyai kepakaran keluar dari Rusia, menyebabkan “reboot” dalam struktur Rusia sendiri.

Ekonomi Rusia pula berkecai akibat peperangan. Kilang-kilang dihancurkan. Bahan-bahan mentah diambil. Lombong-lombong dibanjiri. Hasil pengeluaran perindustrian berkurangan sebanyak tujuh kali ganda, manakala pertanian pula tiga kali ganda.

Rakyat pula tidak mahu bekerja akibat tuntutan komunisme. Tanah yang diusahakan susut 62%. Bilangan kuda jatuh daripada 35 juta kepada 24 juta, manakala tenusu pula 58 juta kepada 37juta, dimana kedua-dua ini berlaku dalam masa empat tahun sahaja.

Tukaran matawang asing pada asalnya berbeza dalam US$1 kepada RUB2 menjadi US$1 kepada RUB1,200 dalam enam tahun.

Disebalik kehancuran-kehancuran ini, sebuah impian baru berjaya dilahirkan: Sovetskiy Soyuz (Kesatuan Soviet).

Comments

comments

Previous article4 Adikuasa Purba Melawan Tamadun Melayu
Next articleTragedi Pesawat MH653 Di Tanjung Kupang
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here